Memaparkan catatan dengan label Ketenteraan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ketenteraan. Papar semua catatan

Rabu, 23 November 2022

AS sedang bersiap sedia kerah 6 pesawat pengebom B-52 berkeupayaan nuklear ke utara Australia

AS sedang bersiap sedia kerah 6 pesawat pengebom B-52 berkeupayaan nuklear ke utara Australia


Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengerahkan sehingga enam buah pesawat pengebom B-52 berkeupayaan nuklear ke pangkalan udara di utara Australia, lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada 30 Oktober 2022 lalu.


Menurut ABC memetik dokumen AS, Washington sudah merangka pelan terperinci untuk membina kemudahan khusus bagi pesawat berkenaan di Pangkalan Udara Tindal, kira-kira 300 kilometer (km) di selatan Darwin, wilayah utara Australia.


Kementerian Pertahanan Australia tidak mengulas mengenai laporan tersebut, namun Tentera Udara AS memaklumkan keupayaan untuk mengerahkan pesawat pengebom ke Australia menghantar mesej kuat kepada musuh mengenai hasrat Washington untuk menggerakkan kuasa udara.


Penganalisis dari Center for New American Security, Becca Wasser berpandangan tindakan AS merupakan amaran kepada China di tengah-tengah kebimbangan republik itu mungkin boleh menceroboh pulau Taiwan.


"Mempunyai pesawat pengebom yang berupaya menjangkau dan berpotensi menyerang tanah besar China dilihat penting, dan menghantar isyarat kepada republik itu bahawa sebarang tindakan ke atas Taiwan mampu memberi kesan," katanya.


Ketegangan yang semakin memuncak antara Beijing dan AS ketika ini menjadikan Australia utara sebagai hab pertahanan penting bagi Washington. Malah, negara itu komited untuk membelanjakan AS$1 bilion (RM4.72 bilion) untuk menaik taraf aset ketenteraan di rantau itu.


Sementara itu, menurut laporan ABC, rancangan Washington itu termasuk pembinaan 'kemudahan operasi skuadron' untuk digunakan pada musim kemarau di Wilayah Utara, pusat penyelenggaraan bersebelahan dan kawasan tempat letak pesawat untuk B-52.


Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, terbabit dalam kerjasama dengan AS mengenai Pakatan Pertahanan dari masa ke semasa.


"Sudah tentu, ada lawatan ke Australia termasuk di Darwin yang mempunyai tentera AS, secara bergilir-gilir ditempatkan di sana," katanya pada sidang media.


Wilayah Utara Australia menjadi tuan rumah kepada kerjasama ketenteraan yang kerap diadakan dengan AS. Setiap tahun, ribuan tentera laut mengadakan latihan bersama, bermula di bawah Presiden AS terdahulu, Barack Obama.


Tahun lalu, AS, Britain dan Australia memeterai perjanjian keselamatan yang akan menyediakan Australia dengan teknologi menggunakan kapal selam berkuasa nuklear, sekali gus membimbangkan China. - Sumber ABS.


Pesawat pengebom B-52. - Foto Reuters.

Jumaat, 18 November 2022

Tidak sedar peluru tertanam di leher selama 77 tahun sejak Perang Dunia ke-2

Tidak sedar peluru tertanam di leher selama 77 tahun sejak Perang Dunia ke-2


Seorang veteran perang China baru-baru ini mendapati dia hidup selama hampir lapan dekad dengan peluru tertanam di lehernya. Dia hanya menyedari peluru itu selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di Shandong, China, lapor Portal oddity Central.


Lelaki itu, Zhao He, 95, tidak berasa sakit tetapi selepas beberapa ketika, veteran Perang Dunia ke-2 itu mula mengalami sedikit ketidakselesaan di lehernya, jadi anaknya memutuskan untuk membawanya ke hospital untuk pemeriksaan.


Selepas mendengar mengenai dia jatuh balkoni, doktor mengesyorkan imbasan sinar X untuk memastikan dia tidak mengalami kerosakan serius pada lehernya. Imbasan sinar X mendedahkan objek asing di leher lelaki itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai peluru lama.


Lelaki berusia 95 tahun itu berkata, dia menyertai tentera China ketika remaja dan berjuang melalui dua peperangan, menentang penceroboh Jepun semasa Perang Dunia ke-2 (1931-1945), dan Perang Korea pada tahun (1950-1953).


Ketika Perang Korea, dia berada di pihak Korea Utara untuk menentang Amerika Syarikat dan tentera Korea Selatan. Zhao kemudian bersara dan menjadi pekerja di beberapa kilang tempatan.


Dia mengalami beberapa kecederaan semasa berada dalam tentera, tetapi dia tidak ingat apa-apa mengenai tembakan di leher. 


"Dia cedera ketika membawa rakan seperjuangan yang cedera menyeberangi sungai ketika salah satu pertempuran. Terdapat serpihan di bahagian lain badannya juga," kata menantu lelaki itu, Wang.


Zhao sendiri menganggarkan peluru itu berada di lehernya sejak 1944, apabila dia terkena peluru ketika menyeberangi sungai. Peluru itu didakwa masuk melalui bahagian kiri hidung, menembusi rahang atas sebelum bersarang di lehernya.


Selepas pemeriksaan imbasan sinar X, doktor memberitahu Zhao He dan keluarganya, peluru itu berada berhampiran dengan beberapa saluran darah utama dan memandangkan ia tidak menyebabkan sebarang masalah kepadanya, adalah lebih baik untuk membiarkannya.


"Saya bersetuju dan sihat selama ini jadi tiada sebab untuk mengubah keadaan sekarang," kata Zhao.


Zhao tidak menyedari ada sebutir peluru tertanam pada lehernya. - Foto Viral Press.

Ahad, 13 November 2022

Pesawat tentera bertembung di udara menyebabkan letupan bola api dan asap hitam berkepul ke langit

Pesawat tentera bertembung di udara menyebabkan letupan bola api dan asap hitam berkepul ke langit


Dua pesawat tentera Boeing B-17 Flying Fortress dan Bell P-63 Kingcobra berlanggar dan terhempas ketika pertunjukan udara di Dallas, Amerika Syarika, pada hari Sabtu, 12 November 2022 yang menyebabkan letupan bola api dan asap hitam berkepul ke langit.


Kru kecemasan berkejar ke tempat kejadian di Lapangan Terbang Eksekutif Dallas, kira-kira 16 kilometer dari pusat bandar. Tidak jelas berapa ramai mangsa dalam dua pesawat itu.


Menurut Dallas Fire-Rescue memberitahu The Dallas Morning News, tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan mereka berada di darat.


Rakaman berita dari tempat kejadian menunjukkan serpihan pesawat di kawasan berumput di dalam perimeter lapangan terbang.


Anthony Montoya, 27, yang menghadiri pertunjukan udara itu bersama seorang rakan melihat kedua-dua pesawat itu bertembung.


"Saya hanya berdiri di sana. Saya benar-benar terkejut dan tidak percaya. Semua orang di sekeliling tercungap-cungap, menangis teresak-esak dan terkejut," katanya.



Pegawai tidak menyatakan berapa ramai orang yang berada di dalam pesawat itu, tetapi Hank Coates, Presiden Syarikat yang mengadakan pertunjukan udara itu berkata, salah satu pesawat, pengebom B-17 Flying Fortress, biasanya mempunyai anak kapal.


"B-17 Flying Fortress, biasanya mempunyai anak kapal empat hingga lima orang manakala satu lagi pesawat pejuang P-63 Kingcobra, mempunyai seorang juruterbang. Pesawat mereka diterbangkan oleh sukarelawan terlatih dan kebiasaannya juruterbang bersara," katanya.


Datuk Bandar Dallas Eric Johnson berkata, NTSB mengawal tempat kejadian dengan polis dan bomba tempatan memberikan sokongan. Jumlah mangsa dalam nahas itu masih belum disahkan sehingga lewat petang Sabtu.


Pesawat itu berlanggar dan terhempas sekitar 1.20 tengah hari, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dalam satu kenyataan.


Perlanggaran itu berlaku semasa pertunjukan Commemorative Air Force Wings Over Dallas, yang dijadualkan pada 11 hingga 13 November, hujung minggu Hari Veteran, dan tetamu akan melihat lebih daripada 40 pesawat era Perang Dunia II.


Video acara Wings Over Dallas sebelum ini menggambarkan pesawat perang vintaj terbang rendah, kadangkala dalam formasi rapat, pada simulasi strafing atau larian pengeboman.


Keselamatan pertunjukan udara terutamanya dengan pesawat tentera yang lebih berusia menjadi kebimbangan selama bertahun-tahun. Pada 2011, 11 orang terbunuh di Reno, Nevada, apabila P-51 Mustang merempuh penonton.


NTSB kemudian berkata, mereka mula menyiasat 21 kemalangan sejak 1982 membabitkan pengebom era Perang Dunia II, mengakibatkan 23 kematian. - Sumber CNN.


Sisa pesawat tentera selepas bertembung di udara ketika pertunjukan udara di Dallas. - Foto AP.

Selasa, 8 November 2022

China mendedahkan teknologi ketenteraan canggihnya, robot anjing yang lengkap dengan mesingan

China mendedahkan teknologi ketenteraan canggihnya, robot anjing yang lengkap dengan mesingan


Satu rakaman video mengejutkan telah didedahkan oleh kontraktor pertahanan China yang memaparkan robot anjing menggunakan mesingan sedang diangkut menggunakan dron, lapor akhbar Mirror UK pada Oktober lalu.


Rakaman itu dimuat naik di halaman 'Kestrel Defense Blood-Wing' di Weibo, menunjukkan dron menghampiri atas sebuah bangunan sambil mengangkut sebuah robot anjing bersenjata.


Dron itu meletakkan robot itu di atas bumbung berkenaan sebelum mesin 'robodog' itu mula bergerak dan kelihatan sedang mengimbas sasaran berdekatan.


Rekaan itu dipercayai dilengkapi mesingan ringan QBB-97 buatan China yang dipasang pada belakangnya, demikian menurut laporan oleh The War Zone.


Tiada pengesahan sama ada klip itu berasal daripada latihan ketenteraan China. Ia dimuat naik oleh akaun Weibo yang disahkan, iaitu syarikat yang dipercayai mempunyai kerjasama secara langsung dengan syarikat China, Kestrel Defense.



"Dron tugas berat Red Wing Forward menghantar robot anjing tempur yang melancarkan serangan mengejut atau boleh diletakkan di atas bumbung sebagai pengawal.


"Tentera darat boleh menggunakan robot ini untuk melakukan serangan penyepit tiga dimensi ke atas musuh di dalam bangunan," tulis kapsyen pada video berkenaan.


Menurut The War Zone, mesingan di belakang robot anjing itu boleh menembak sehingga 650 das tembakan seminit.


Senjata serupa telah direka di seluruh dunia, tetapi kebanyakannya digunakan oleh koperasi manusia. Penganalisis tentera bimbang senjata autonomi ini tidak lama lagi boleh digunakan ke medan perang.


Mesin-mesin itu akan membolehkan pasukan membenam jauh di belakang garisan musuh tanpa risiko kematian manusia. - Sumber Mirror UK.


Robot ini dilengkapi dengan mesingan ringan yang boleh melepaskan 650 das tembakan seminit. - Foto Weibo.

Selasa, 27 September 2022

Indonesia beli enam jet tempur Rafale buatan Perancis pada 2026

Indonesia beli enam jet tempur Rafale buatan Perancis pada 2026


Kementerian Pertahanan memaklumkan kontrak pembelian enam jet tempur Rafale bagi memperkuatkan sistem utama persenjataan Indonesia. Pesawat itu akan tiba pada 2026.


Lapor CNN Indonesia, Jurucakap Menteri Pertahanan, Dahnil Anzar Simanjuntak berkata, kontrak pembelian itu masih berkuatkuasa sejak 9 September lalu.


"Pesawat pertama akan tiba di Indonesia pada hujung 2026 selepas kontrak termeterai. Pihak kementerian juga sudah merancang sumber manusia untuk mengendali dan menyelenggara pesawat industri buatan Perancis," katanya.


Sebelum ini, Kementerian Pertahanan sudah menandatangani kontrak kerjasama pembelian enam pesawat tempur generasi 4 dan 5 Dassault Rafale buatan Perancis.


Kontrak tersebut ditandatangani oleh Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto ketika menerima kunjungan Menteri Angkatan Bersenjata Perancis, Florence Parly di Jakarta, 10 Februari lalu.


Menurut Prabowo, pihaknya merancang untuk membeli 42 pesawat Rafale dan kontrak pertama itu hanya melibatkan pembelian enam pesawat terlebih dahulu.


"Kita rencananya akan mengakuisisi 42 pesawat Rafale. Kita mulai hari ini dengan tanda tangan kontrak pertama untuk 6 pesawat," kata Prabowo ketika itu. - Sumber CNN Indonesia.


Jet pejuang Dassault Rafale buatan Perancis semasa latihan ketenteraan di kepulauan Sunda, Indonesia.- Foto AFP.

Sabtu, 3 September 2022

India lancar kapal pengangkut pesawat terbesar buatan tempatan

India lancar kapal pengangkut pesawat terbesar buatan tempatan


India kelmarin melancarkan kapal pengangkut pesawat buatan tempatan pertama, INS Vikrant yang dibina dengan kos kira-kira AS$2.5 bilion (RM11.1 billion), lapor portal berita Daily Mail pada 2 September 2022.


INS Vikrant adalah kapal pengangkut pesawat kedua India dan bakal menyertai INS Vikramaditya, iaitu kapal induk era Kesatuan Soviet yang dibeli dari Rusia pada 2004 untuk mempertahankan Lautan Hindi dan Teluk Benggala.


Kapal induk INS Vikrant adalah kapal perang terbesar yang dibina di India. Ia boleh membawa seramai 1,600 kru dan mengendalikan armada kecil terdiri daripada 30 pesawat termasuk jet pejuang dan helikopter.


Pelancaran kapal induk itu berkait rapat dengan usaha keras untuk menghadapi armada tentera laut China yang semakin besar. Kapal INS Vikrant direka oleh tentera laut India dan dibina oleh Cochin Shipyard Limited (CSL), syarikat milik negara.


Kapal sepanjang 262 meter dengan berat mencecah 45,000 tan itu menggunakan empat turbin gas yang menghasilkan kuasa 88 MW. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 28 knot.


Pelancarannya dirasmikan oleh Perdana Menteri, Narendra Modi selepas 75 tahun kemerdekaan negara itu daripada pemerintahan British.


"Ia adalah hari bersejarah dan pencapaian penting. Inilah contoh usaha kerajaan untuk menjadikan sektor pertahanan India semakin berdikari," kata Modi.


Perkembangan baharu India itu muncul ketika pesaingnya, China meluaskan kehadiran di Lautan Hindi dan Pasifik Barat dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini.


Tentera laut China sedang membina kapal dengan pantas dan kini mempunyai angkatan laut terbesar dunia berdasarkan bilangan kapal. Pencapaian tersebut bertujuan untuk menyaingi armada tentera laut Amerika Syarikat.


India merupakan negara ketiga selepas Britain dan China yang merasmikan kapal pengangkut pesawat buatan tempatan dalam tempoh tiga tahun lepas.


Kapal induk itu mengambil masa 18 tahun untuk disiapkan selepas beberapa kali mengalami kelewatan, menyebabkan kosnya meningkat kepada AS$2.5 bilion.


Kapal perang itu akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2023 selepas kali pertama menjalani ujian pendaratan dengan pesawat pejuang MiG-29K buatan Russia. - Sumber Daily Mail.


Kapal pengangkut sepanjang 262 meter (860 kaki) baharu itu direka oleh tentera laut India dan dibina di limbungan kapal Cochin di selatan India. - Foto AP.

INS Vikrant bernilai AS$2.5billion ialah kapal pengangkut pesawat operasi kedua India, menyertai INS Vikramaditya era Soviet yang dibelinya dari Rusia pada 2004 untuk mempertahankan Lautan Hindi dan Teluk Benggala. - Foto AP.

Kelasi tentera laut bergambar swafoto di atas dek kapal pengangkut pesawat baharu itu selepas ia melancarkan, kelmarin. - Foto AP.

INS Vikrant direka untuk memuatkan kira-kira 1,600 anak kapal dan 30 pesawat. - Foto AP.

Selasa, 16 Ogos 2022

Bukan dihentikan BN, PH atau PN, projek LCS terhenti sendiri

Bukan dihentikan BN, PH atau PN, projek LCS terhenti sendiri


Isu projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), menarik tumpuan kini menjadi perbalahan pemimpin politik kerajaan dan pembangkang yang mendesak siasatan secara terperinci selain segera mendakwa individu yang terlibat dengan skandal berkenaan.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menegaskan pemberhentian projek LCS adalah disebabkan Boustead Naval Dockyard Sdn. Bhd (BNS). Mereka sudah 'kehabisan duit' bagi melaksanakannya.


"Ia bukan disebabkan oleh kerajaan memerintah sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).


"Ia terhenti dengan sendiri apabila BNS tidak mampu membayar vendor, pembekal dan kontraktor yang terlibat walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek tersebut.


"Dalam prosiding PAC, pihak pengurusan BNS sendiri mengakui syarikat itu menghadapi masalah kewangan serius sehingga terpaksa mengurangkan gaji kakitangannya," katanya pada program Diskusi Rakyat, di Lumut, semalam.



Ketika ini, isu LCS menjadi medan pertelagahan politik apabila pemimpin daripada kalangan BN, PH dan PN saling salah menyalahkan antara satu sama lain, sebagai punca projek itu tidak dapat disiapkan walaupun sepatutnya kapal pertama LCS diserahkan pada 2019.


Bercakap kepada pemberita, Kah Woh memaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif BNS yang baharu, Azhar Jumaat ketika prosiding bersama PAC mengakui terdapat salah urus kewangan yang serius oleh pihak pengurusan lama sehingga menyebabkan situasi yang berlaku pada hari ini.


Jelas Kah Woh, dapatan PAC mendapati terdapat perbelanjaan yang digunakan bukan untuk pembinaan kapal berjumlah RM1.4 bilion meliputi pembayaran hutang lapuk projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) berjumlah RM400 juta, membina fasiliti atau bangunan di Cyberjaya bernilai RM305 juta dan kos di luar jangka berjumlah RM700 juta.


"Begitu juga dengan kerugian yang dialami oleh BNS akibat membayar harga mahal sehingga empat kali ganda menerusi 'letter of award' bernilai RM3.3 bilion kepada syarikat sub-kontraktor, Contraves Advanced Devices Sdn. Bhd. (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn. Bhd.(CED).


"Bagi pihak PAC, kita berpendapat memang berlaku salah laku amat serius khasnya daripada aspek kewangan, sebab itu kita mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan dan pendakwaan mereka," katanya. - Sumber Kosmo Online.


BACA: Pembinaan kapal tempur pesisir pantai bukan projek 'halimunan'.


Kah Woh (dua kanan) pada program Diskusi Rakyat: LCS - Pertahanan Negara Yang Dieksploitasi di Seri Manjung semalam.