Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Rabu, 24 Ogos 2022

Detik yang menggerunkan apabila kapal layar mewah karam di Itali

Detik yang menggerunkan apabila kapal layar mewah karam di Itali


Sebuah kapal layar mewah sepanjang lebih 39 meter karam di pantai selatan Itali, selepas mengalami masalah ketika belayar pada Sabtu 20 Ogos lalu.


Menurut laman berita Wion News memetik laporan dari Super Yacht Times, kapal bernama My Saga itu dibina di Itali pada 2007 sebagai Yuko.


Semasa menyeberangi Teluk Squillace, kapal itu mengalami masalah menyebabkan kaptennya menghantar panggilan kecemasan pada lewat malam.


Sebuah kapal pengawal pantai telah dihantar dari pelabuhan Crotone dan mendapati kapal layar itu dimasuki air di hujung buritannya sekitar sembilan batu nautika dari Marina Catanzaro.


Empat penumpang dan seorang anak kapal, semuanya berbangsa Itali segera dibawa turun dari kapal layar terbabit dengan meninggalkan empat anak kapal lain termasuk kapten ketika mereka cuba menyelamatkannya.



Kapal itu kelihatan senget ke kanan ketika kejadian. Sebuah bot tunda kemudiannya dihantar dari Crotone untuk mencuba menyelamatkan kapal layar terbabit.


Operasi menyelamat telah dijalankan tetapi rakaman video yang diambil oleh pengawal pantai Itali menunjukkan buritan kapal layar itu akhirnya hilang di bawah ombak dan air mencecah garisan bumbungnya.


Ia memaksa pasukan penyelamat berhenti untuk menundanya dan kapal layar tersebut mula tenggelam dengan cepat.


Sky News melaporkan bahawa keadaan cuaca yang semakin buruk menyebabkan bot tunda penyelamat tidak dapat membawa kapal layar itu ke pelabuhan.


Kapal layar itu akhirnya tenggelam sekitar jam 1 tengah hari Ahad dengan empat anak kapal di dalamnya dipindahkan ke bot peronda pengawal pantai untuk dibawa ke pelabuhan Catanzaro Marina. - Sumber Wion News.


Sebuah kapal layar mewah tenggelam di perairan Itali. - Foto Guardia Costiera.

Rabu, 27 Julai 2022

Ular sepanjang 18 kaki belit tuan sendiri sehingga menemui ajal

Ular sepanjang 18 kaki belit tuan sendiri sehingga menemui ajal


Seorang lelaki di negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat meninggal dunia selepas dibelit ular peliharaannya sepanjang 5.48 meter (18 kaki) di bahagian leher minggu lalu, lapor majalah People pada 26 Julai 2022.


Elliot Senseman, 27, mati ketika dirawat di Hospital Lehigh Valley kira-kira pukul 8.11 pagi (waktu tempatan) pada hari Ahad, 24 Julai 2022, kata Koroner Daerah Lehigh, Daniel A. Buglio dalam satu kenyataan.


"Punca kematian adalah kecederaan pada otak akibat kurang oksigen semasa dibelit.


"Seekor ular sawa boa constrictor dengan saiz kira-kira 5.48 meter melilit leher mangsa, yang mengakibatkan kecederaan otak ," kata kenyataan tersebut sambil menambah, kejadian itu disifatkan sebagai kemalangan.


Dalam insiden pada minggu lalu itu, anggota polis Perbandaran Upper Macungie dikejarkan ke perkampungan Fogelsville sejurus menerima panggilan kecemasan. Setibanya di lokasi kejadian, anggota-anggota polis menemui seorang lelaki terbaring di lantai, manakala seekor ular melilit lehernya.


"Disebabkan saiz reptilia itu amat besar, salah seorang anggota kami terpaksa menembak kepala ular tersebut tanpa mengakibatkan kecederaan kepada mangsa," demikian menurut laporan polis.


Dalam pada itu, seorang ahli keluarga mangsa memberitahu laman berita The Daily Beast bahawa mangsa mula membela ular sejak berusia 10 tahun selain mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan reptilia itu.


Dia juga telah menyelamatkan banyak ular dalam tempoh enam tahun lalu dan amat berminat dalam mencari tempat tinggal baharu bagi haiwan tersebut.


Bersama-sama dengan ular yang membunuhnya, Senseman mempunyai dua lagi ular peliharaan di rumahnya. Sebelum ini, ular sawa boa constrictor yang membunuhnya telah didera dan kekurangan zat makanan, menurut The Daily Beast.


"Ular tertentu ini agresif, dan itu adalah salah satu isu, dengan cara ular ini menyerangnya dan bagaimana ia menjadi agresif, ia tidak bertindak balas secara normal," kata ahli keluarga mangsa memberitahu outlet itu. - Sumber People.

Sabtu, 2 Julai 2022

Bugatti berharga RM9 juta milik Cristiano Ronaldo rempuh dinding sebuah kediaman

Bugatti berharga RM9 juta milik Cristiano Ronaldo rempuh dinding sebuah kediaman


Sebuah kereta mewah milik bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo, 37, dilaporkan mengalami kerosakan selepas merempuh dinding sebuah kediaman di Pulau Majorca, Sepanyol, lapor akhbar Daily Star pada 20 Jun 2022.


Ketika kejadian, supercar model Bugatti Veyron berharga £1.7 juta (RM9.1 juta) itu dipandu seorang pekerjanya. Kemalangan itu menyebabkan bahagian hadapan supercar tersebut telah mengalami kerosakan yang agak teruk.


Bagaimanapun, pekerja yang memandu kereta itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius dan dipercayai terdapat lebih daripada seorang berada di dalam kenderaan tersebut ketika kejadian.


Menurut laporan, Ronaldo dan keluarganya berada di pulau peranginan tersebut bagi menikmati percutian, dan dua buah kereta miliknya turut dibawa ke situ, dengan menggunakan jet peribadi yang bernilai £20 juta (RM91.8 juta).


Pemenang Ballon d'Or lima kali itu tiba di Majorca bersama lima anaknya dan teman wanitanya Georgina Rodriguez pada hari Selasa, 14 Jun lalu. Tetapi polis dipercayai sedang menyiasat insiden yang berlaku pada pagi Isnin.


Ronaldo dan keluarganya tinggal di rumah agam dengan sewa £10,000 (RM45,889) setiap satu hari di sana - sebuah hartanah berdasarkan cadangan bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Sergio Ramos. - Sumber Daily Star.


Bugatti Veyron milik Cristiano Ronaldo dikatakan merempuh dinding kediaman di pusat peranginan pantai timur Sa Coma. - Foto Daily Mail.

Keluarga Cristiano Ronaldo meraikan ulang tahun ke-12 anaknya. - Foto Daily Star.

Polis masih menyiasat insiden tersebut. - Foto Daily Mail.

Jumaat, 6 Mei 2022

Wanita mabuk pandu SUV turuni tangga salahkan GPS

Wanita mabuk pandu SUV turuni tangga salahkan GPS


Seorang wanita mabuk di Amerika Syarikat (AS) memandu kenderaannya menuruni tangga di sebuah garaj, lapor laman berita Wion News pada 3 Mei 2022.


Wanita berusia 26 tahun itu berkata, insiden itu berpunca daripada kesilapan aplikasi sistem pengesanan global (GPS) kerana membawanya ke tangga.


Dia memandu kenderaan utiliti sukan (SUV ) di atas tangga menuju ke garaj Jabatan Polis Portland. Polis mendakwa bahawa wanita itu memandu dalam keadaan mabuk.


"Seorang wanita berusia 26 tahun memandu melalui Jabatan Polis melintasi plaza pejalan kaki kami dan kemudian cuba menuruni tangga ke Middle Street.


"Wanita itu memberitahu bahawa dia mengikut arahan aplikasi GPS tetapi pegawai yang menyiasat kes tersebut berpendapat kejadian itu berpunca daripada perbuatan memandu di bawah pengaruh alkohol," kata kenyataan polis.


Tambah kenyataan sama, wanita yang masih belum didedahkan identitinya itu setakat ini, telah disaman kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.


"Kami bernasib baik kerana dia tidak melanggar sesiapa dan kejadian itu berakhir dengan hanya kerosakan harta benda. Tolong jangan minum arak dan memandu," jelas kenyataan itu.


Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan, setiap hari, kira-kira 28 orang di AS maut dalam kemalangan memandu dalam keadaan mabuk - iaitu seorang setiap 52 minit.


"Pada 2019, kematian ini mencapai peratusan terendah sejak 1982 apabila NHTSA mula melaporkan data alkohol - tetapi masih 10,142 orang kehilangan nyawa. Kematian ini semuanya boleh dicegah," kata data di laman web itu. - Sumber Wion News.


Gambar menunjukkan keadaan kereta wanita terbabit yang tersekat ketika cuba dipandunya menuruni tangga gajar.

Khamis, 5 Mei 2022

Lelaki pandu supercar berharga RM3 juta baru dibeli langgar pokok

Lelaki pandu supercar berharga RM3 juta baru dibeli langgar pokok


Seorang lelaki yang baru membeli sebuah kereta 'supercar klasik' berharga RM3 juta terpaksa berputih mata apabila kenderaan itu terlibat dalam kemalangan, akibat dirinya yang tidak pandai memandu, lapor akhbar The Sun pada 3 Mei 2022.


Robert J. Guarini dari negeri Florida, Amerika Syarikat, melanggar pokok ketika memandu kereta 2006 Heritage Edition Ford GT selepas membelinya dalam satu acara lelongan, bulan lalu.


Menurut laporan, kemalangan itu difahamkan berlaku pada kelajuan rendah dan tiada sesiapa yang cedera, namun menyebabkan bahagian hadapan keretanya remuk.


Lelaki itu memberitahu polis bahawa dia hilang kawalan ketika menukar gear kerana 'tidak biasa memandu kereta manual', selepas meninggalkan rumahnya untuk memandu kereta itu dari kawasan kejiranan kira-kira jam 6 petang pada Jumaat lalu.


Laporan polis mengenai insiden itu menyatakan bahawa sejurus selepas kemalangan, Guarini menghampiri seorang petugas keselamatan berhampiran dan memberitahunya bahawa dia tidak mempunyai telefon bimbit.


Dia kemudiannya terpaksa berpatah balik ke rumahnya untuk menghubungi polis dan membiarkan keretanya tanpa pengawasan sesiapa.



Meskipun Guarini memberitahu polis bahawa dia tidak biasa memandu kereta secara manual, tambahnya, ia bukan menjadi satu-satunya penyebab kepada kemalangan itu.


"Tayar lama, laluan jalan yang berlumpur dan baru diturap membuatkan kereta itu berpusing dan melanggar sebatang pokok.


"Saya tidak mahu orang berfikir bahawa saya memandu pada kelajuan 144 kilometer sejam. Saya hanya memandu pada kelajuan 56 kilometer sejam," katanya.


Menurut laporan polis, kereta itu dibeli di lelongan Barrett-Jackson di Palm Beach pada April lalu dengan harga AS$704,000 (RM3 juta). Kereta itu juga dilaporkan tidak berdaftar dan tidak diinsuranskan pada masa nahas.


Ford membina kira-kira 4,000 buah kereta GT antara 2004 dan 2006 sebagai penghormatan kepada kereta lumba Ford GT40 legenda, yang memenangi beberapa perlumbaan Le Mans pada 1960-an.


Kenderaan yang terlibat dalam nahas itu difahamkan sebagai salah satu daripada 346 kereta Edisi Heritage yang jarang ditemui. - Sumber The Sun.


Sabtu, 9 April 2022

Pesawat DHL mengalami masalah hidraulik terputus dua selepas tergelincir ketika pendaratan kecemasan

Pesawat DHL mengalami masalah hidraulik terputus dua selepas tergelincir ketika pendaratan kecemasan


Sebuah pesawat kargo Boeing 757-200 yang dikendalikan oleh DHL, terputus dua selepas tergelincir dari landasan ketika melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santamaria di Costa Rica, laporan akhbar Daily Mail pada 8 April 2022.


Penerbangan D07216 itu terbang dari San Jose ke Bandar Guatemala, pada Khamis (7 April), namun terpaksa berpatah balik kira-kira sejam selepas berlepas dan mendarat semula di Lapangan Terbang Juan Santamaria sekitar 10.30 pagi (waktu tempatan).


Semasa mendarat, pesawat berusia 22 tahun itu terbabas sebelum membelok tajam ke arah kanan. Kepulan asap keluar dari bawah tayar sebelum kapal terbang itu berhenti di kawasan tidak rata dengan percikan api keluar pada hujung ekornya.


Krunya hilang kawalan ke atas pesawat DHL tersebut semasa pendaratan cemas selepas kedua-dua topang gear runtuh. Topang gear adalah mekanisme yang menanggung beban pendaratan.



Rakaman video menunjukkan sebahagian badan pesawat terputus, manakala jentera bomba pantas menyembur buih pencegah kebakaran ke atasnya. Dua anak kapal yang berada dalam pesawat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.


Pengedali lapangan terbang tersebut, Aeris menyatakan insiden itu berlaku pukul 10 pagi waktu tempatan dan selepas kerja pembersihan dilakukan, lapangan terbang tersebut dibuka semula pukul 3.30 petang.


Jelasnya, kira-kira 8,500 penumpang dan 57 penerbangan kargo terjejas akibat penutupan sementara lapangan terbang terbabit.


Menurut Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Costa Rica, Luis Miranda Munoz, pesawat itu dijadualkan terbang ke Guatemala apabila mengalami kegagalan sistem hidraulik. Sehubungan itu, juruterbang meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan kecemasan sejurus berlepas.


Keadaan pesawat kargo DHL yang terbabas ketika melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang San Jose, Khamis lalu. - Foto Twitter.

Isnin, 4 April 2022

Ferrari RM1.38 juta kemalangan, pemilik hanya sempat memandu sejauh 3.2 kilometer

Ferrari RM1.38 juta kemalangan, pemilik hanya sempat memandu sejauh 3.2 kilometer


Merasai pengalaman memandu kereta mewah adalah impian ramai orang. Namun, seorang pemilik Ferrari yang baru saja membeli kereta itu hanya sempat memandu sejauh 3.2 kilometer sebelum terbabit kemalangan, lapor akhbar Mirror UK pada 1 April 2022.


Ia menyebabkan kereta sport itu yang berharga 250,000 Pound Sterling (kira-kira RM1.38 juta) remuk di bahagian depan manakala pemandu tidak cedera.


Kereta mewah yang terbabit kemalangan itu dipercayai model Ferrari 488. Gambar yang dikongsikan oleh polis menunjukkan bonet kereta itu melengkung dan mengalami kesan calar di seluruh bahagian hadapan kereta.


Pemandu kereta tersebut terpaksa mengira kos kerugian walaupun pada awalnya gembira selepas membelinya di bandar Derby, daerah Derbyshire.


"Derby. 1 April. Pemandu membeli sebuah kereta Ferari pagi tadi dan merempuhnya selepas memandu kurang daripada 3.2 kilometer. Tiada kecederaan dialami," kata Unit Polis Derbyshire di laman Twitter.


Pengguna maya memberi reaksi di media sosial dengan seorang menulis "Oh Tidak! Terluka" manakala seorang lagi berkata "Anda akan benar-benar kecewa."


"Saya menerimanya kerana kereta itu menghadap ke arah yang salah. Mungkin terlalu banyak minyak?" kata seorang lagi netizen.


"Betapa malunya anda. Itu akan memerlukan sedikit baik pulih," komen netizen lain. - Sumber Mirror UK.


Gambar menunjukkan kereta Ferrari 488 yang berlanggar sejurus selepas seorang pemilik membelinya di Derby. - Foto Derbyshire Roads Policing Unit / SWNS.