Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Selasa, 9 April 2024

Pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu jatuh dari atas bukit

Pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu jatuh dari atas bukit


Seorang pemandu pelancong maut selepas ditimpa bongkah batu yang jatuh dari atas bukit ketika mengunjungi sebuah kawasan pelancongan di Taman Saikat, Gunung Rapat, Ipoh semalam.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada pukul 11.30 pagi.


Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika lelaki tempatan berusia 44 tahun itu mengunjungi lokasi pelancongan tersebut bersama pelancong warga Vietnam.


"Semasa berada di lokasi kejadian, satu bongkah batu dianggarkan seberat lima kilogram telah terjatuh dan menimpa kepala mangsa.


"Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya, semalam.


Menurut beliau, hasil pemeriksaan oleh pakar forensik daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian mangsa kerana kecederaan di kepala akibat ditimpa batu.


Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.


"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.


Bongkah batu yang jatuh dan menimpa kepala seorang pemandu pelancong di kawasan pelancongan di Taman Saikat, Gunung Rapat, Ipoh, pada Isnin. - Foto Ihsan pembaca (Gambar kecil: Abang Zainal Abidin).

Rabu, 27 Mac 2024

Pemain remaja maut terkena sepakan di perut

Pemain remaja maut terkena sepakan di perut


Malang menimpa seorang pemain bola sepak remaja berusia 17 tahun apabila menemui ajal akibat terkena tendangan di bahagian perut dalam satu perlawanan, lapor akhbar Metro UK pada 26 Mac 2024.


Wassim Jazzar dari kelab amatur Algeria, mengalami kecederaan itu ketika bertembung dengan pemain pertahanan lawan.


Kejadian berlaku ketika dia cuba mengeluarkan bola dan secara tidak sengaja ditendang di perut oleh pemain lawan sebelum rebah di atas padang.


Permainan kemudian dihentikan dan para pemain kedua-dua pasukan mengerumuninya untuk memberi bantuan.


Wassim selepas itu terpaksa dikejarkan ke hospital dengan kereta awam kerana menurut media tempatan tiada ambulans atau doktor di sekitar kawasan tersebut.


Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia dengan 'sepakan maut' itu didakwa sebagai punca kematian, lapor The Sun.


Media Algeria pula melaporkan bahawa Wassim meninggal dunia sejurus selepas terkena tendangan itu.


Berita sedih itu menyusul selepas arena bola sepak Colombia dikejutkan dengan pemergian Guillermo Beltran yang tumbang ketika latihan. - Sumber Metro UK.


Para pemain mengerumuni Wassim selepas rebah terkena tendangan di perut oleh pihak lawan. - Foto Twitter.

Ahad, 24 Mac 2024

Pelancong Kanada maut selepas terjatuh dari kereta api

Pelancong Kanada maut selepas terjatuh dari kereta api


Seorang pelancong warga Kanada meninggal dunia selepas terjatuh dari kereta api ketika mengembara di Thailand, lapor stesen penyiaran NDTV pada 23 Mac 2024.


Menurut akhbar The Independent, Ryan Joseph Ralph, 24, sedang mengembara bersama teman wanitanya dari Britain, Shona Morgan, 22, sambil meraikan ulang tahun kelahirannya.


Pasangan tersebut dilaporkan menuju ke Pulau Koh Tao di selatan Thailand apabila tragedi itu berlaku pada 20 Mac lalu.


Ketika beberapa jam perjalanan, Ralph dilaporkan bangun meninggalkan Morgan yang sedang tidur untuk merokok di hujung gerabak kereta api yang sedang bergerak. Bahagian itu tidak mempunyai pintu halangan.


Selepas bangun sejam kemudian dan menyedari teman lelakinya tiada, Morgan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.


Hampir 200 pegawai polis dan penyelamat kemudian mencari mangsa sebelum dia ditemui dengan kecederaan parah pada kedua-dua kaki dan disahkan meninggal dunia. 


Menurut akhbar The Independent, Ralph dipercayai cedera selepas terjatuh dari kereta api.


"Daripada siasatan awal, tiada kesan serangan," kata Leftenan Kolonel Polis, Rathnont Kasemchaisit. - Sumber NDTV.


Jasad Ryan Joseph Ralph ditemui di Stesen Kereta Api Chet Samian. - Foto Viral Press.

Rabu, 21 Februari 2024

Wanita mati dalam kereta tertidur selepas jaga bapa di hospital

Wanita mati dalam kereta tertidur selepas jaga bapa di hospital

 

Wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta berkunci di kawasan parkir hadapan Klinik Pakar, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh semalam dipercayai tertidur setelah penat menjaga bapanya di wad hospital tersebut.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, wanita tersebut dipercayai memasuki kereta berkenaan yang diletakkan di tempat letak kenderaan HRPB untuk berehat namun tidak membuka cermin.


"Siasatan awal mendapati satu perempuan India ditemui dalam keadaan terbaring di tempat duduk belakang kereta. Dengan bantuan dari pihak bomba dan penyelamat, pintu telah berjaya dibuka dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia.


"Hasil siasatan mendapati si mati menjaga bapa yang sakit di wad HRPB dan dipercayai masuk ke dalam kereta untuk berehat tanpa membuka cermin kereta," katanya hari ini.


Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu bedah siasat.


Menurut Yahaya, semalam pihaknya telah menerima maklumat daripada pengawal keselamatan yang memaklumkan telah nampak seorang perempuan tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia di dalam sebuah kereta di parkir HRPB.


"Pihak polis ingin menasihatkan orang awam agar tidak mengamalkan tabiat tidur dalam kenderaan kerana sekiranya enjin kenderaan dimatikan, sistem pengudaraan tidak berfungsi atau ketiadaan oksigen boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba," katanya.


Semalam, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa berusia 20 tahun itu diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia.


Anggota bomba membantu membuka pintu kereta yang berkunci dari dalam di kawasan tempat letak kenderaan HRPB Ipoh semalam. - Foto JBPM.

Sabtu, 20 Januari 2024

Sayap kiri terbakar di udara, pesawat kargo terpaksa melakukan pendaratan kecemasan

Sayap kiri terbakar di udara, pesawat kargo terpaksa melakukan pendaratan kecemasan


Sebuah pesawat kargo melakukan pendaratan cemas sejurus berlepas dari sebuah lapangan terbang di Miami, Florida kerana mengalami kerosakan enjin, lapor saluran berita Fox News pada 19 Januari 2024.


Pesawat syarikat penerbangan Atlas Air, Boeing 747-8 itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Miami (MIA) menuju ke Puerto Rico pada hari Khamis kira-kira jam 10.11 malam (waktu tempatan).


Beberapa saksi kejadian melihat api pada sayap kiri pesawat itu ketika ia berada di udara. Tidak lama kemudian, pesawat berkenaan berpatah balik setelah mengalami kerosakan enjin dan berjaya mendarat dengan selamat dalam tempoh satu jam perjalanan, kata jurucakap Atlas Air.


"Kakitangan penerbangan mengikuti semua prosedur standard dan selamat kembali ke MIA," tambah kenyataan itu.


Atlas Air juga memaklumkan bahawa pihaknya akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh untuk menentukan punca kerosakan.


Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan dijalankan selepas penerbangan mendedahkan penemuan lubang bersaiz sebiji bola lisut pada enjin pesawat itu.


Miami-Dade Fire Rescue (MDFR) memberitahu Fox News Digital bahawa pesawat itu mendarat dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.


Bilangan anak kapal yang berada di dalam pesawat ketika kejadian tidak didedahkan. - Sumber Fox News.


Kebakaran dilihat pada Boeing 747-8 sejurus selepas ia berlepas dari lapangan terbang. - Foto JASON REDMOND/AFP.

Sabtu, 13 Januari 2024

Lelaki menembak mati rakannya disangka tikus

Lelaki menembak mati rakannya disangka tikus


Seorang lelaki menembak dan membunuh rakannya di ladang tebu dalam insiden di wilayah Chaiyaphum kerana menyangka mangsa seekor tikus, lapor portal berita Thaiger pada 11 Januari 2024.


Anggota-anggota polis menyerbu ladang tebu berkenaan di daerah Kasetsombun pukul 12.45 tengah malam (waktu tempatan) pada 10 Januari selepas menerima aduan mengenai satu kejadian tembakan.


Mereka menemui seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Adisak, 31, terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Polis berkata, Adisak mempunyai beberapa kesan tembakan pada muka dan badannya. Rakannya yang bernama Banterng, 34, mengaku melepaskan tembakan yang mengenai mangsa.


Banterng menegaskan tembakan itu adalah satu kemalangan. Ketika kejadian, Banterng menyatakan bahawa mereka sedang memburu tikus.


Menurut Banterng, dia melihat sesuatu bergerak di belakang tebu dan segera melepaskan tembakan ke arahnya, menyangka ia adalah tikus. Dia kemudian menyedari sasarannya adalah rakannya dan cuba menyelamatkannya.


Banterng berkata, dia menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan tetapi Adisak meninggal dunia ketika polis dan pegawai perubatan dalam perjalanan ke tempat kejadian.


Dia menyerahkan sepucuk pistol yang digunakan dalam kejadian tersebut kepada polis.


Walaupun tembakan itu disahkan sebagai kemalangan, Banterng masih berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 288 Undang-undang Jenayah iaitu membunuh dengan niat.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara selama 15 hingga 20 tahun. - Sumber The Thaiger. 


Adisak ditembak oleh rakannya di ladang tebu di wilayah Chaiyaphum pada 10 Januari lepas. - Foto Matichon.

Selasa, 9 Januari 2024

Bermimpi ada emas, lelaki maut terjatuh dalam lubang digali selama setahun di lantai dapurnya

Bermimpi ada emas, lelaki maut terjatuh dalam lubang digali selama setahun di lantai dapurnya


Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam 130 kaki (39.6 meter) yang digali di bawah lantai dapurnya selepas dia bermimpi ada emas tertimbus di bawah lantai itu.


Mirror UK pada 8 Januari melaporkan Joao Pimenta da Silva, 71, menjunam ke bawah lubang yang digalinya selepas kehilangan imbangan kerana tergelincir.


Jirannya berkata, pesara itu taksub dengan idea ada emas tertanam di kawasan di bawah kediamannya di perbandaran Ipatinga, Minas Gerais, itu.


Seorang daripada jirannya, Arnaldo da Silva memberitahu media tempatan bahawa Joao menghabiskan lebih setahun menggali lubang dan mengupah ramai orang untuk melakukan kerja penggalian.


"Dia bermula dengan membayar upah 70 Reais Brazil (kira-kira RM67) sehari kepada penggali ketika lubang itu masih rendah tetapi semakin dalam kos semakin meningkat.


"Dia akhirnya menawarkan membayar sekitar 495 Reais Brazil (kira-kira RM472) kepada sesiapa yang sanggup memasuki lubang digali dan membantu mengeluarkan tanah," katanya.



Arnaldo berkata, Joao mendakwa diberitahu oleh 'roh' dalam mimpi terdapat emas di bawah batu di bawah lantai dapurnya.


Katanya, dia cuba memberi amaran kepada Joao mengenai bahaya misinya itu tetapi tidak diendahkan.


Sementara itu, anggota bomba mengesahkan tragedi yang membawa kepada kematian warga emas yang menginginkan emas itu berlaku pada 5 Januari lalu.


Bomba menerima panggilan sekitar jam 1.30 tengah hari mengenai kejadian dan bergegas ke sebuah rumah di kawasan kejiranan Betania selepas dilaporkan pemilik kediaman terjatuh dalam lubang.


Gambar-gambar lubang yang berdiameter sekitar 89 sentimeter dengan kedalaman 39.6 meter turut diterbitkan dalam akhbar Brazil.


Laporan tempatan berkata, mangsa dipercayai tergelincir dari pelantar kayu bahagian atas lubang itu.


Mayatnya dikeluarkan oleh perkhidmatan kecemasan. Dia didapati mengalami kecederaan di kepala dan patah kaki serta patah tulang lain. - Sumber Mirror UK.


Lubang digali Joao di bawah lantai dapur rumahnya. Gambar kanan, pasukan keselamatan menjalankan operasi menyelamat. - Foto Mirror UK.