Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Sabtu, 16 Julai 2022

Asap 1.5 tan ganja dibakar buat penduduk Colombia 'khayal' ada yang jatuh sakit

Asap 1.5 tan ganja dibakar buat penduduk Colombia 'khayal' ada yang jatuh sakit


Polis di ibu kota Colombia terpaksa meyakinkan orang ramai selepas 1.5 tan ganja yang dibakar membentuk kepulan asap tebal di bandar itu, lapor akhbar Daily Mail pada 14 Julai 2022.


Penduduk di pinggir bandar Medellin Bello menyifatkan 'bau ganja luar biasa' selepas anggota polis membakar stok dadah yang dirampas pada Selasa lalu.


Apabila cuaca semakin berangin, asap ganja mula menyelubungi seluruh bandar sehingga membuatkan penduduk tempatan tidak selesa dengan bau tersebut, malah ada yang mendakwa mereka berasa khayal.


Media tempatan melaporkan penduduk di beberapa blok pangsapuri terpaksa dipindahkan berikutan keadaan itu.


Pejabat Datuk Bandar menjelaskan kepulan asap yang semakin banyak itu 'bukan disebabkan api', sebaliknya ia adalah ganja yang dibakar selepas rampasan dadah lebih satu tan di Bogota pada dua minggu lalu.



Jelasnya, dadah tersebut dipercayai akan diedarkan dan dijual di kawasan kejiranan El Mirador di bandar itu.


Pegawai dari Polis Negara, Tentera Darat dan Bomba serta kakitangan dari Pejabat Peguam Negara terlibat dalam pembakaran terkawal itu.


"Kami merasakan asap yang sangat mengerikan keluar dari kawasan terbabit (lokasi pembakaran). Bau ganja yang terlalu kuat mencetuskan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk sehinggakan ada dalam kalangan mereka seperti mahu jatuh sakit.


"Kami berharap, pihak berkuasa dapat menggunakan pendekatan yang lebih baik dalam melupuskan dadah secara selamat," kata seorang penduduk memberitahu Caracol TV. - Sumber Daily Mail.


Kepulan asap tebal menyelubungi bandar Medellin Bello, Colombia, selepas stok rampasan ganja dibakar besar-besaran. - Foto Daily Mail.

Ahad, 3 Julai 2022

Nissan Skyline R32 disita kerana diubah suai menyerupai kenderaan polis

Nissan Skyline R32 disita kerana diubah suai menyerupai kenderaan polis


Tindakan seorang lelaki mengubah suai kereta miliknya sehingga menyerupai kereta milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya memakan diri apabila kenderaan itu disita pihak polis semalam.


Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berumur 43 tahun yang berniaga aksesori kenderaan ditahan pada jam 10.30 malam selepas kereta terbabit viral di TikTok.


Katanya, pihaknya telah terkesan viral di laman media sosial mengenai sebuah kereta yang menyerupai kereta peronda polis di sebuah pameran kereta yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.


"Penahanan itu dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang selepas melakukan pemerhatian di pusat pameran tersebut.


"Polis kemudian merampas kereta jenis Nissan Skyline R32 yang mempunyai lambang dan corak menyerupai kenderaan polis. Pemeriksaan lanjut mendapati kereta tersebut mempunyai cukai jalan yang sah dan digunakan oleh suspek.


"Lelaki tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis tengah malam tadi, dan kes disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barangan yang dibekalkan kepada PDRM untuk menjalankan tugas," tegas beliau.


Terdahulu, Unit Perhubungan Awam Bukit Aman mengesan video viral di TikTok yang memaparkan kenderaan pameran di MAEPS Serdang, yang berlangsung semalam hingga hari ini, yang menyerupai kenderaan polis.


Polis merampas sebuah kereta jenis Nissan Skyline R32 dimiliki seorang lelaki yang diubahsuai menyerupai kenderaan polis ketika menyertai pameran kereta di MAEPS Serdang semalam. - Foto ihsan PDRM.

Ahad, 12 Jun 2022

Polis menahan 9 lelaki terlibat belasah 2 wanita di restoran

Polis menahan 9 lelaki terlibat belasah 2 wanita di restoran


Polis di China menahan sembilan individu yang terlibat dalam serangan kejam ke atas sekumpulan wanita di sebuah restoran baru-baru ini, lapor laman berita Wion News pada 11 Jun 2022.


Rakaman kejadian yang tersebar di internet itu memaparkan seorang lelaki meletakkan tangannya di belakang badan seorang wanita, yang sedang makan bersama dua rakan di sebuah restoran berbeku di wilayah Hebei, utara China.


Lelaki itu bertindak menyerang apabila wanita berkenaan cuba menolaknya. Rakan-rakan suspek kemudian menarik mangsa ke bahagian luar restoran lalu memukulnya secara bertubi-tubi ketika dia terbaring di atas tanah.


Apabila rakan wanita itu cuba menghalang lelaki itu, dia juga dihempap ke lantai. Insiden itu mencetuskan kemarahan ramai berkenaan isu gangguan seksual dan keganasan terhadap wanita di China, di mana perbualan mengenai hak-hak wanita telah dibangkitkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Susulan kejadian tersebut, dua wanita berkenaan dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan. Pihak berkuasa bagaimanapun berkata, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil dengan kecederaan yang tidak membawa maut.


"Kes itu sedang disiasat dengan lebih lanjut," demikian menurut polis bandar Tangshan. Mereka telah menahan sembilan suspek yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.


Dalam pada itu, netizen mendesak pihak berkuasa untuk membanteras keganasan terhadap wanita, serta menyelar tingkah laku suspek dan meminta hukuman berat dikenakan. - Sumber Wion News.


Tangkap layar memaparkan insiden dua wanita diserang oleh sekumpulan lelaki di sebuah restoran di China. - Foto Twitter.

Rabu, 8 Jun 2022

Lembu bunuh kanak-kanak kena tangkap, berdepan hukuman penjara dan kerja berat

Lembu bunuh kanak-kanak kena tangkap, berdepan hukuman penjara dan kerja berat

Gambar hiasan.

Pihak berkuasa Sudan Selatan mengesahkan bahawa polis negara berkenaan menangkap seekor lembu kerana membunuh seorang budak lelaki berusia 12 tahun, lapor akhbar Daily Star pada 6 Jun 2022.


Polis menahan lembu jantan itu bersama pemiliknya selepas haiwan itu dituduh menyerang mangsa di sebuah ladang di negeri Lakes. Laporan menyatakan bahawa serangan lembu tersebut mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian.


Jurucakap polis Sudan Selatan, Mejar Elijah Mabor berkata, 'suspek' kini dalam tahanan polis.


"Lembu itu ditahan di sebuah balai polis Daerah Pusat Rumbek. Bedah siasat dilakukan sebelum mayat mangsa dihantar ke rumah keluarganya untuk tujuan pengebumian," ujarnya.


Kejadian itu bukan kes pertama melibatkan penahanan haiwan di Sudan Selatan. Bulan lalu, seekor kambing jantan ditangkap atas tuduhan membunuh seorang wanita berusia 45 tahun.


Dalam serangan kejam itu, Adhieu Chaping telah dirempuh di tulang rusuk berulang kali oleh haiwan itu sebelum mati akibat lukanya.


"Pemiliknya tidak bersalah, tetapi kambing jantan itu yang melakukan jenayah jadi ia patut ditangkap," kata seorang jurucakap polis menjelaskan penahanan kambing jantan tersebut.


Pada minggu lalu, kambing tersebut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan kerja berat selepas didapati bersalah.


Menurut lapor akhbar The Independent, mana-mana haiwan ternakan yang membunuh seseorang, secara automatik diberikan sebagai pampasan kepada keluarga mangsa apabila ia telah menjalani hukumannya. - Sumber Daily Star.

Rabu, 25 Mei 2022

Polis Thailand akan kesan individu sebar gambar dan video Tangmo

Polis Thailand akan kesan individu sebar gambar dan video Tangmo


Kes kematian pelakon Thailand, Tangmo Nida kembali menjadi perhatian ramai selepas satu hantaran dalam akaun Facebook milik mendiang seolah-olah mendedahkan kejadian sebenar kematiannya.


Sehingga kini, timbul persoalan gerangan siapakah yang memuat naik hantaran itu sehingga ada yang mendakwa ia dibuat oleh ibu Tangmo, Panida Siriyudthayothi.


Bagaimanapun, perkara tersebut dinafikan oleh peguam wanita itu yang memberitahu Panida sama sekali tidak menggunakan akaun Facebook milik Tangmo.


Sebuah video turut dimuat naik dalam aplikasi TikTok menunjukkan Tangmo sedang memegang gelas minuman sambil menyanyikan lagu dan mengusap rambutnya.


Memetik lapor agensi berita Thailand (TNA) pada 24 Mei 2022, Polis Thailand dijangka mengenal pasti individu yang menyebarkan gambar dan video mendiang Tangmo dalam tempoh tujuh hari.


Pesuruhjaya Biro Siasatan Jenayah Siber, Pol Lt Gen Kornchai Khlaikhlueng berkata, organisasinya sudah meminta pengendali telefon mudah alih untuk mengenal pasti individu yang mengeluarkan gambar dan video melalui akaun media sosial Tangmo, dan dijangka mendapat jawapannya dalam masa tujuh hari.


Katanya, individu itu mungkin mempunyai akses kepada akaun iCloud mendiang kerana semua gambar dan video yang disiarkan dikesan digunakan daripada akaun aktres itu dan polis telah memeriksanya sebelum ini.


Pada 24 Februari lalu, Tangmo dilaporkan lemas selepas terjatuh dari bot laju yang dinaikinya bersama lima orang lain di Sungai Chao Phraya di wilayah Nonthaburi. Mangsa ditemukan terapung tidak jauh dari Jeti Pibul Songkram 1, dua hari selepas dia terjatuh.


Sejak insiden kematian itu, seramai 29 saksi dipanggil oleh pihak polis bagi membantu siasatan. Plot kematian wanita itu terus menimbulkan pelbagai persoalan selepas pengurusnya mengaku memberikan kenyataan palsu mengenai apa yang berlaku di atas bot pada malam pelakon itu lemas.


Polis akhirnya menamatkan siasatan mereka dan mendakwa rakannya memandu bot laju itu secara melulu menyebabkan kematiannya tetapi beberapa aktivis mendakwa dia dibunuh. - Sumber Thailand News.


Akaun Facebook Pattaratida "Tangmo" Patcharaveerapong aktif tiba-tiba.

Isnin, 28 Mac 2022

Lelaki ditahan simpan lebih 500 basikal curi di halaman belakang rumahnya

Lelaki ditahan simpan lebih 500 basikal curi di halaman belakang rumahnya


Seorang lelaki Britain berusia 55 tahun ditahan selepas polis menemui lebih 500 basikal curi di halaman belakang rumahnya, yang boleh dilihat melalui satelit Google Earth, lapor laman berita NDTV pada 24 Mac 2022.


Polis menemui basikal-basikal itu yang ditimbun di kediaman tersebut di daerah Littlemore, Oxford. Pihak polis masih dalam proses untuk mengenal pasti pemilik-pemilik ratusan basikal yang ditemui di hartanah lelaki berkenaan.


Polis mendapat maklumat setelah beberapa aduan telah difailkan terhadap lelaki itu oleh jiran-jirannya, yang mengadu diganggu oleh tikus-tikus yang bersarang di dalam timbunan basikal curi itu.


Lelaki itu ditahan pada minggu lalu kerana disyaki menyimpan dan memiliki barang curi. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan selesai.


Polis Lembah Thames memberitahu Badan Penyiaran Britain (BBC) bahawa waran telah dikeluarkan terhadap lelaki itu berdasarkan siasatan. Menurut penduduk tempatan, polis dilihat berada di lokasi tersebut untuk menyusun beratus-ratus basikal yang dicuri.


"Ia telah berlaku selama kira-kira lima tahun," kata Colleen Butler, yang telah tinggal di kawasan itu selama 32 tahun. Dia menambah bahawa lelaki yang ditahan kerana mencuri telah berpindah ke sana sedekad lalu.


Selepas kejadian itu dilaporkan dan polis memuat naik gambar basikal tersebut di media sosial, ia mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna yang kebanyakannya mempersoalkan tindakan lelaki tersebut.


"Apa yang dia lakukan dengan semua basikal itu?" kata seorang pengguna di Twitter. "Kenapa tiada siapa yang melihatnya lebih awal," tambah seorang lagi.


Sebanyak 500 basikal ditemui polis setelah menyerbu rumah lelaki berkenaan. - Foto Hyde News.

Ahad, 6 Mac 2022

20 kucing ditemukan mati, disyaki perbuatan khianat

20 kucing ditemukan mati, disyaki perbuatan khianat


Seorang pengunjung sebak bercampur marah menyaksikan 20 bangkai kucing bergelimpangan disyaki diracun di kawasan Pantai Keluang, Besut, pada jam 9.30 pagi tadi.


Roshanafi Osman, 39, yang menetap di Alor Lintang berhampiran bersama isteri bersiar-siar di pesisir pantai itu, selepas selesai sarapan di sebuah gerai berhampiran sebelum dikejutkan dengan penemuan bangkai kucing tersebut.


Katanya, satu laporan sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampung Raja jam 3.30 petang tadi. Tindakan itu bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian.


"Tujuh daripada jumlah keseluruhan kucing itu masih kecil. Bangkai dijumpai bersama beberapa ekor kucing peliharaan kerana mempunyai tali leher," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurutnya, seorang rakannya yang sering memberi makan kucing itu sejak sekian lama memberitahu sebelum ini semua haiwan berkenaan dalam keadaan sihat.


"Saya bersama keluarga serta rakan membantu mengutip bangkai kucing untuk ditanam dalam satu lubang.


"Petang ini pihak veterinar meminta saya menunjukkan lokasi bangkai ditanam dan menggali semula untuk bedah siasat punca kematian," katanya.


Katanya, kejadian itu juga turut mengundang simpati ramai pihak yang kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab.


Pihak veterinar melakukan siasatan awal di lokasi kucing ditemui mati bergelimpangan.