Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Jumaat, 19 November 2021

Pencuri Licik Curi Sembilan Lembu Sudah Ditambat, Petani Kerugian RM30,000

Pencuri Licik Curi Sembilan Lembu Sudah Ditambat, Petani Kerugian RM30,000


Seorang petani kerugian RM30,000 selepas sembilan lembu miliknya disyaki dicuri dalam kejadian di Kampung Tendong, Pasir Mas, lapor laman berita Harian Metro, hari ini.


Kejadian itu disedari penduduk kampung yang melihat sebuah lori dan sebuah pikap Toyota Hilux yang mencurigakan keluar dari lokasi berkenaan pada jam 3.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ketika mangsa berusia 62 tahun itu mahu melihat haiwan ternakannya, dia mendapati lembu ditambat telah hilang.


Beliau berkata, padang itu terletak kira-kira 300 meter dari rumah mangsa dan lelaki itu memaklumkan dia menambat lembu pada 7 malam tadi.


"Mangsa mendapati semua tali digunakan untuk menambat lembu dipotong orang yang tidak dikenali. Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis hari ini kerana mengesyaki sembilan lembu termasuk tujuh lembu betina miliknya bernilai RM30,000 dicuri.


"Hasil siasatan awal, mangsa memberitahu orang kampung sekitar itu melihat sebuah lori dan sebuah Toyota Hilux keluar dari kawasan jalan berkenaan pada 3.30 pagi, namun nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, tiada pagar keselamatan dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tempat kejadian. Polis kini sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


Seorang petani kerugian RM30,000 selepas sembilan lembunya disyaki dicuri di Kampung Tendong, awal pagi hari ini. - Foto hiasan.

Ahad, 14 November 2021

Seorang Lelaki Sindiket Pelaburan Tidak Wujud Cuba Sogok Polis RM200,000 Ditahan

Seorang Lelaki Sindiket Pelaburan Tidak Wujud Cuba Sogok Polis RM200,000 Ditahan


SEREMBAN - Cubaan seorang lelaki menyogok anggota polis dengan wang tunai berjumlah RM200,000, sebagai dorongan untuk melepaskan lima orang rakan sindiket pelaburan tidak wujud gagal selepas dia turut ditahan.


Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, lelaki warga tempatan berusia 30an itu ditahan di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai dekat sini awal pagi tadi.


Katanya, tujuan lelaki itu menyogok anggota polis supaya tidak mengambil tindakan kepada anggota sindiket yang ditangkap dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Nilai sebelum ini.


"Pihak polis telah merampas wang tunai itu bersama dua buah telefon bimbit bersama lelaki itu," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini, hari ini.


Tambahnya, lima anggota sindiket yang terdiri daripada tiga orang lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 21 dan 24 tahun ditahan oleh anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Nilai, malam tadi.


Jelas Mohamad, modus operandi sindiket tersebut adalah menyasarkan warganegara Malaysia sebagai mangsa dengan menawarkan skim pelaburan tidak wujud di Facebook.


"Sindiket akan berhubung dengan mangsa hanya melalui aplikasi WhatsApp serta menggunakan pelbagai akaun bank dalam menjalankan aktiviti penipuan itu," katanya.


Jelasnya, turut dirampas dalam serbuan itu ialah 15 buah telefon bimbit, dua buah computer riba dan wang tunai berjumlah RM2,473. Kesemua yang ditahan direman selama dua hari bermula hari ini.


"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang satu tahun atau tidak melebihi 10 tahun atau denda atau kedua-duanya," jelasnya.


Mohamad Mat Yusop (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan pihak polis susulan penahanan enam orang berkaitan pelaburan tidak wujud dalam sidang akhbar di IPD Nilai, Seremban hari ini. - Foto Afifi Hafiz Mohd.

Sabtu, 13 November 2021

Wanita Tergamak Simbah Sup Panas Ke Muka Pengurus Restoran

Wanita Tergamak Simbah Sup Panas Ke Muka Pengurus Restoran


Seorang pengurus restoran di Amerika Syarikat dilaporkan telah disimbah dengan sup pedas pada 7 November lalu, selepas seorang pelanggannya mendakwa bahawa sup itu sangat panas sehinggakan penutup plastik pada bekasnya mencair ke dalam kuahnya.


Menerusi satu klip video yang tular di TikTok, pengurus tersebut dilihat berbincang dengan wanita berkenaan yang sedang membuka penutup dan mengajukan bekas sup ke arahnya.


Kemudian, wanita tersebut bertindak secara tiba-tiba dengan menyimbah sup menudo Mexico pedas ke muka pengurus yang berada di meja kaunter restoran terbabit.


Pengurus restoran, 24, berkata, wanita tersebut telah menelefon pihak restoran terlebih dahulu untuk membuat laporan mengenai perkara yang berlaku.


"Dia tidak ingin berbincang walaupun saya telah menawarkan makanan lain sebagai ganti rugi secara percuma serta bayaran balik. Selain itu, dia tidak mahukan apa-apa melainkan terus memarahi saya di meja kaunter," katanya.


Pengurus tersebut menyatakan bahawa dia berasa seakan telah disembur dengan penyembur lada pada ketika itu, namun tidak mengalami kecederaan yang serius.


Tambahnya lagi, susulan daripada kejadian, laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya. Sehingga kini, video tersebut telah menerima lebih jutaan tontonan di TikTok.


Tangkap layar rakaman kejadian.




Isnin, 8 November 2021

Pinjam Wang Untuk Kahwin, Lelaki Tuntut Hutang Nyaris Ditetak

Pinjam Wang Untuk Kahwin, Lelaki Tuntut Hutang Nyaris Ditetak


KLANG - Seorang tukang cuci kereta yang berhasrat menuntut semula hutang daripada adik saudaranya bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia nyaris ditetak dalam kejadian di Taman Sentosa, kelmarin.


Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ketika mangsa berusia 25 tahun bersama dua beradik sedang duduk di hadapan rumah ibunya. Hutang yang dituntut mangsa adalah sebanyak RM2,200, dipinjam suspek tahun lalu bagi menampung kos perkahwinan.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sekumpulan suspek yang menaiki dua kereta jenis Proton Wira dan Hyundai kemudiannya tiba dengan seorang daripadanya adalah adik saudara mangsa.


Katanya, dua suspek telah bertindak menyerang mangsa dan adiknya menggunakan senjata parang dan pisau. Suspek juga cuba menetak mangsa namun berjaya ditahan ibu bapa dan adik beradik mangsa.


"Bantuan turut disalurkan jiran-jiran mangsa dalam menyuraikan keadaan dan menghalau kesemua suspek agar beredar," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Kata beliau, susulan kejadian tersebut hanya adik lelaki mangsa berusia 21 tahun cedera di bahagian muka akibat ditumbuk oleh suspek.


Jelas Shamsul Amar, bertindak maklumat kemudiannya berjaya menahan sembilan suspek lelaki berusia 20 hingga 28 tahun dalam tempoh lima jam sahaja di kawasan berhampiran rumah mangsa.


Beliau berkata, pihaknya turut merampas kereta jenis Proton Wira selain dua bilah parang masing-masing berukuran 69 dan 67 sentimeter serta sebilah pisau lipat.


"Punca kejadian disebabkan mangsa meminta wang RM2,200 yang dipinjam adik saudaranya sejak tahun lalu kerana tidak cukup wang kahwin.


"Hasil semakan lima daripada suspek mempunyai rekod lampau termasuk berkaitan ugutan, merompak, mencuri dan dadah," katanya.

Selasa, 2 November 2021

Seludup 5 Wanita Thailand, Anggota PGA Bersama Dua Rakan Didakwa

Seludup 5 Wanita Thailand, Anggota PGA Bersama Dua Rakan Didakwa


Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama dua individu didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini atas pertuduhan menyeludup lima wanita pendatang asing tanpa izin (PATI), awal bulan lalu.


Tertuduh, Muhd. Nor Hafifi Khanapiah 33, yang berpangkat koperal didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama dua rakannya, Mohd. Azhar Mohammad, 28 dan Muhammad Rahmat Muhammad, 33.


Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama-sama telah menyeludup lima migran wanita warga Thailand iaitu Yuyanee Yusoh, Nuriyah Mama, Romlah Saa, Haleemoh Chairesai dan Rorpee-Ah Dorloh.


Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, Tanah Merah kira-kira pukul 10 malam pada 6 Oktober lalu. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Wan Badrul Munir Mohd. Hamdy.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 20A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala hanya Muhammad Rahmat diwakili peguam bela Shaharuddin Mohamed. Mahkamah menetapkan 9 Disember depan untuk memanggil dan merekodkan keterangan kesemua migran yang terlibat dalam kes itu.


Akhbar sebelum ini melaporkan, cubaan seorang anggota polis berpangkat koperal menyeludup PATI untuk dijadikan pekerja restoran gagal apabila dia diberkas bersama dua rakannya di tepi jalan di Lalang Pepuyu, Tanah Merah.


Anggota PGA itu mengambil PATI dari pangkalan haram berhampiran Sungai Golok untuk dibawa bekerja di kedai makan di Selangor dan dipercayai menyewa MPV tersebut pada kadar RM450 sehari untuk melakukan aktiviti tersebut.


Anggota polis membawa ketiga-tiga tertuduh ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini. - Foto Utusan Malaysia.

Ahad, 17 Oktober 2021

Dikatakan Mengalami Gangguan Mistik, Bomoh 'Meratah' Bakal Pengantin

Dikatakan Mengalami Gangguan Mistik, Bomoh 'Meratah' Bakal Pengantin

Bomoh yang juga pesara kerajaan ditahan polis pada 12 tengah malam hari yang sama di rumahnya.

Bakal pengantin perempuan yang dikatakan mengalami gangguan makhluk halus dan mendapatkan rawatan bertukar tragedi apabila dia dirogol bomoh semasa upacara tersebut berlangsung di Kampung Tendong, Pasir Mas.


Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Nasaruddin Md Nasir berkata, gadis itu mendakwa terjumpa suspek berusia 67 tahun terbabit di sebuah kedai pada Khamis lalu dan menceritakan masalahnya.


Katanya, suspek kemudian memberitahu boleh merawat dan meminta mangsa ke rumahnya sebelum gadis berusia 23 tahun itu hadir pada jam 3 petang bersama bakal suaminya. 


"Lelaki terbabit meminta wanita berkenaan masuk ke bilik rawatan melalui pintu belakang rumah dengan diiringi isterinya yang dikenali dengan panggilan Mak Su," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.


Nasaruddin berkata, semasa ditinggalkan dalam bilik bersendirian bersama suspek, lelaki itu meminta mangsa menanggalkan seluar dipakainya kononnya sebahagian daripada rawatan. Dia kemudian bertindak menggosok paha serta kemaluan mangsa.


"Selepas memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa, suspek kemudian bertindak lebih berani dengan memasukkan alat sulitnya pula. Sesi 'rawatan' selama setengah jam itu berakhir dengan kejadian rogol," katanya.


Menurutnya, suspek memberi amaran supaya mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa selain meminta gadis berkenaan datang sekali lagi bagi membuat rawatan susulan.


Kata beliau, suspek juga memberi amaran kepada wanita itu agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu tetapi mangsa menceritakan kepada bakal suaminya serta keluarga sebelum tampil membuat laporan polis.


"Susulan laporan itu, suspek yang juga pesara kerajaan ditahan polis pada 12 tengah malam hari yang sama di rumahnya. Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Oktober depan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


"Hasil siasatan mendapati suspek aktif menjalankan perubatan tradisional sejak 1985. Selain itu kita juga dapati suspek menggunakan modus operandi gangguan makhluk halus sebelum 'meratah' mangsa," katanya.


Mohd. Nasaruddin tidak menolak kemungkinan itu bukan kejadian pertama berlaku dan menyeru mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa perbuatan suspek turut tampil membuat laporan polis.


Nasaruddin Md Nasir beramah mesra dengan pengamal media selepas sidang akhbar di IPD Pasir Mas, Kelantan, hari ini.

Khamis, 14 Oktober 2021

Lupa Makan Ubat, Pesakit Mental Bersenjatakan Sebilah Pisau Mengamuk Di Pasar Raya

Lupa Makan Ubat, Pesakit Mental Bersenjatakan Sebilah Pisau Mengamuk Di Pasar Raya


Seorang lelaki bersenjatakan sebilah pisau bertindak memecahkan barangan di sebuah pasar raya di Sibu Jaya, Sarawak, dipercayai mengalami masalah mental, lapor Harian Metro, hari ini.


Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Collin Babat berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari semalam, apabila suspek berusia 37 tahun itu masuk ke dalam pasar raya berkenaan dan mengamuk dengan bersenjatakan sebilah pisau.


"Suspek bertindak memecahkan barang-barang di dalam kedai sebelum mengacukan pisau ke arah dua juruwang wanita yang berada di kaunter pembayaran. Dua pekerja itu kemudiannya melarikan diri sebelum suspek menghempaskan mesin wang ke lantai," katanya.



Beliau berkata, tindakan berani orang awam yang berada di tempat kejadian berjaya menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis.


Collin berkata, tindakan suspek itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada orang ramai dan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM2,500.


Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek merupakan memegang kad psikiatri. Suspek juga dipercayai tidak mengambil ubat untuk kesihatan mentalnya seperti yang dijadualkan.


Collin berkata, pisau yang digunakan suspek juga berjaya dirampas dan suspek turut direman untuk siasatan lanjut mengikut Sesyen 393 Kanun Keseksaan.


Barangan pasar raya di Sibu Jaya yang dipecahkan dan suspek berjaya ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis semalam. - Foto Melvin Joni.