Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Sabtu, 11 Disember 2021

Perkhidmatan sewa telefon pintar iPhone dapat sambutan menggalakkan di Indonesia

Perkhidmatan sewa telefon pintar iPhone dapat sambutan menggalakkan di Indonesia


Sejak beberapa hari kebelakangan ini, perniagaan menyewa telefon pintar iPhone semakin berkembang di Indonesia, berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan menjadi peluang perniagaan baharu, lapor Kompas.com pada 10 Disember 2021.


Sehubungan itu, seorang peniaga yang menjual iPhone menerusi francais cawangan Pontianak yang dinamakan 'Abang Apple', kini turut menawarkan perkhidmatan sewaan telefon pintar tersebut.


Pemilik Abang Apple, Aprin berkata, perkhidmataan sewaan itu dapat memberikan pelanggan pengalaman menggunakan iPhone, terutamanya untuk golongan yang belum mampu membeli telefon mahal itu.


"iPhone memberikan pengalaman berbeza kepada penggunanya berbanding telefon pintar lain. Perkhidmatan sewaan telefon pintar ini juga boleh dijadikan pilihan kepada mereka yang bercadang untuk beli iPhone pada masa akan datang," katanya.


Menurutnya, telefon pintar itu boleh disewa secara harian bermula pada harga 40,000 rupiah (RM11.68) sehari untuk iPhone 6 dan 400,000 rupiah (RM117.25) bagi iPhone 11 Pro Max.


Jelas Aprin, pelanggan hanya perlu membawa salinan kad pengenalan, kad SIM dan mengisi borang butiran diri untuk mendapatkan perkhidmatan sewaan tersebut.


"Pelanggan hanya menyediakan salinan kad pengenalan atau lesen memandu dan mengisi borang data peribadi. Jika lulus pengesahan, pelanggan boleh segera membawa iPhone yang diingini," kata Aprin kepada Kompas.com, semalam (10/12/2021).

Ahad, 5 Disember 2021

Wanita Bibir Terbesar Dunia Mahu Besarkan Lagi Bibirnya

Wanita Bibir Terbesar Dunia Mahu Besarkan Lagi Bibirnya


Seorang wanita dari Bulgaria yang dipercayai memiliki 'bibir terbesar di dunia', mahu membesarkan lagi bibirnya dengan menjalani prosedur suntikan kali ke-27 pada Hari Krismas nanti, lapor akhbar Daily Star pada 3 Disember 2021.


Andrea Ivanova, 24, menjadi tajuk utama berita selepas menunjukkan foto bibirnya yang semakin besar, malah ia juga membantunya mendapatkan 8,000 pengikut di laman sosial Instagram dengan ramai lelaki menawarkan wang kepadanya.


Ivanova yang sudah membelanjakan sebanyak £5,000 (RM27,993) untuk bibirnya sahaja berkata, dia tidak merancang untuk berhenti melakukan prosedur tersebut dalam masa terdekat.



Menurut wanita itu, bibirnya yang besar itu meningkatkan keyakinan dirinya. Dia juga turut merancang untuk memanjangkan wajahnya dan mengubah bentuk dagu serta rahangnya.


"Saya sangat sukakan bibir yang lebih tebal dan besar, saya benar-benar mahu melihat bagaimana ia akan kelihatan pada wajah saya.Tidak lama lagi saya akan melakukan prosedur baharu untuk pembesaran bibir dan pipi," katanya.


Biarpun kerap melakukan suntikan bibir, Ivanova tidak bimbang bibirnya mungkin 'pecah' satu hari nanti. Ivanova kali pertama menyuntik bibirnya dengan asid hyaluronik pada 2018 dan akan menambahnya setiap bulan kerana amat menyukai bibir tebal dan mungil.


Baca juga: Tidak kisah gadai nyawa demi memiliki bibir paling tebal di dunia.


Ivanova menyukai bibirnya yang besar dan akan terus melakukan prosedur membesarkan bibir. - Foto Jam Press.

Rabu, 1 Disember 2021

Prank Curi Kereta, Tiga 'Influencer' Dikenakan Hukuman Penjara Lebih 3 Tahun

Prank Curi Kereta, Tiga 'Influencer' Dikenakan Hukuman Penjara Lebih 3 Tahun


Tiga personaliti media sosial di Rusia dikenakan hukuman penjara lebih tiga tahun, selepas didapati melakukan prank melampau terhadap seorang pemandu e-hailing dengan berpura-pura mencuri keretanya.


Menurut lapor laman berita Oddity Central pada 29 November 2021, tiga influencer tersebut memutuskan untuk melakukan prank itu dan merakam serta memuat naik video berkenaan di laman media sosial pada Mac 2021 lalu.


Ketika kejadian, tiga individu tersebut menghubungi syarikat perkhidmatan e-hailing kononnya mahu menempah kereta untuk melakukan perjalanan.


Apabila kereta sudah sampai, dua individu itu masuk ke dalam kereta dan meminta pemandu untuk membantu seorang lagi rakan, yang sedang meletakkan bagasi dalam bonet kenderaan itu.


Apabila pemandu e-hailing itu keluar, salah seorang individu dalam kenderaan tersebut melompat ke tempat duduk pemandu lalu melarikan kereta berkenaan.


Seluruh kejadian itu dirakam oleh seorang lagi rakan kepada influencer berkenaan. Pemandu itu yang menyangka keretanya telah dicuri lalu menghubungi polis.


Ketika mereka memulangkan semula kereta dan mengakui perbuatannya adalah gurauan semata-mata, polis sudah sampai di tempat kejadian.


Pada Khamis lalu, sebuah mahkamah memutuskan bahawa Dumshebay E., Tusupov A. dan Khasanov R.N. didapati bersalah melakukan jenayah dibawah Perkara 166 Kanun Tatacara Jenayah Persekutuan Rusia.


Ketiga-tiga individu itu dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun enam bulan. Mereka akan menjalani hukuman tersebut di sebuah kem tahanan di tanah jajahan Rusia.


Tussupov A. yang kini mempunyai lebih 1.2 juta pengikut di Instagram dan dua rakannya yang merupakan penulis blog, mungkin akan dihantar ke kem tahanan gaya Gulag, kira-kira 500 kilometer dari Moscow.


Kem itu terletak berhampiran pekan kecil dan hanya menawarkan kemudahan yang amat terhad kepada tahanan. Ia menempatkan kira-kira 800 banduan yang tinggal di berek sekitar 100 hingga 120 orang. Didakwa hanya terdapat satu bilik air dengan satu tandas dan satu singki setiap berek.


Tiga influencer melakukan Prank melampau terhadap seorang pemandu e-hailing dengan berpura-pura mencuri keretanya.
Sanggup Jadi Mangsa Dera Selama Tiga Tahun Kerana Suami Kacak

Sanggup Jadi Mangsa Dera Selama Tiga Tahun Kerana Suami Kacak


Seorang wanita di Hunan, China didakwa sanggup bertahan didera dari segi mental dan fizikal oleh suaminya selama tiga tahun, kerana pasangannya itu disifatkan mempunyai wajah yang sangat kacak.


Menerusi lapor Chinapress.com pada 19 November 2021, wanita yang dikenali sebagai Li Nu, 23, menjadi mangsa dera suaminya dan ditemukan menangis di tepi jalan oleh orang ramai, baru-baru ini.


Menurut Li, pada mulanya, dia bertemu dengan suaminya melalui seorang kenalan kepada rakannya. Mereka berdua tertarik dengan penampilan masing-masing dalam pertemuan kali pertama sebelum berkahwin dua bulan kemudian dan sering bertengkar.


"Pada mulanya, kami hanya melemparkan kata-kata kesat antara satu sama lain tetapi saya tidak menyangka lama-kelamaan dia berani naik tangan pada saya," katanya.


Menurut sumber, ibu bapa dan ahli keluarga juga sudah menasihati wanita tersebut untuk berpisah dengan suami, namun wanita itu enggan mahu melepaskan.


"Antara sebabnya adalah kerana suami saya merupakan cinta pertama, jadi saya tidak mahu berputus asa dengan rumah tangga saya.


"Selain itu, suami saya terlalu tampan dan jika saya bercerai dengannya, susah untuk mencari lelaki kacak selepas ini," katanya.


Menurut portal berita Mirror Press, lelaki itu sudah bersetuju menceraikan isterinya yang sedang mengandung ketika ini dan berjanji akan menjaga bayi dalam kandungan itu.


Li tidak sanggup bercerai dengan suaminya kerana lelaki itu terlalu kacak. - Foto China Press.

Ahad, 28 November 2021

Lelaki Kaya Didakwa Kahwini 8 Wanita Serentak, Tarik Perhatian Warganet

Lelaki Kaya Didakwa Kahwini 8 Wanita Serentak, Tarik Perhatian Warganet


Sebuah rakaman video memaparkan seorang lelaki kaya berkahwin dengan lapan wanita secara serentak menjadi tular di media sosial baru-baru ini, lapor laman berita Suara.com pada 26 November 2021.


Video tersebut telah dimuat naik menerusi akaun Instagram bernama @kegoblogan.kekinian pada Khamis lalu.


"Lelaki kaya ini berkahwin dengan lapan orang wanita serentak," demikian keterangan yang ditulis pada klip video tersebut.


Menerusi video itu, dapat dilihat pengantin lelaki itu sedang mengadakan sesi bergambar sambil diapit oleh kelapan-lapan isterinya yang berbaris di sebelah kiri dan kanannya.


Kesemua mereka tampak begitu serasi dengan busana pengantin yang dipakai. Raut wajah mereka juga terlihat gembira dengan pancaran senyuman semasa mengikuti sesi penggambaran berkenaan.


Bagaimanapun lokasi pernikahan tersebut tidak dinyatakan. Netizen yang menonton video itu kemudiannya meninggalkan pelbagai komen berkenaan majlis pernikahan itu.


"Kasihan kepada mereka yang masih bujang, jodohnya sudah diambil orang," komen seorang netizen.


"Ianya kelihatan seperti sesi bergambar untuk pakaian perkahwinan," kata seorang lagi netizen.


"Mantap, isterinya lapan jadi mertuanya ada 16," komen seorang netizen lain.


Walaupun begitu, video tersebut telah menjadi tular di media sosial. Ianya telah menerima lebih 3,000 kali tanda suka dengan ratusan komen.


Tular seorang lelaki kaya raya didakwa berkahwin dengan lapan orang wanita secara serentak. - Foto Instagram.

Isnin, 8 November 2021

Lelaki Panik Cari Lori Sampah, Wang Tunai RM90,000 Dibuangnya Tanpa Sengaja

Lelaki Panik Cari Lori Sampah, Wang Tunai RM90,000 Dibuangnya Tanpa Sengaja


Seorang pemilik sebuah perniagaan di pulau Lemnos di Greece, hampir berputih mata apabila tanpa sengaja telah membuang wang tunai berjumlah £16,000 (RM89,842) yang disangkanya sampah sarap, lapor Daily Star pada 5 November 2021.


Individu yang tidak didedahkan identitinya itu telah meletakkan wang tunai tersebut di dalam dua bungkus beg plastik sampah. Dia berbuat demikian kerana mahu mendepositkan wang tersebut ke dalam sebuah bank Isnin depan.


Selain mahu menyimpan wang, lelaki itu juga ingin membuang beberapa kotak berisi sampah sarap. Dia kemudiannya membuang plastik sampah yang ada padanya bersama plastik berisi wang tunai tersebut sebelum kembali semula ke kedainya.


Lelaki berkenaan kemudiannya tersedar akan kesilapannya selepas mendapati tiada wang di dalam mesin daftar tunai di kedainya.


"Saya melihat sekeliling dan menyedari beg yang penuh dengan wang itu tidak ada lagi dan tersedar akan kesilapan yang telah saya lakukan.


"Saya mula panik dan berlari ke luar untuk menahan sebuah kenderaan majlis perbandaran yang sedang melalui kawasan kedai serta memaklumkan kepada tiga orang pekerjanya tentang apa yang telah berlaku," katanya.


Pekerja majlis perbandaran itu kemudiannya menjejaki lori sampah yang membawa sampah bersama wang tunai tersebut sebelum ia tiba di kawasan pembakaran.


Mereka akhirnya berjaya menemui beg plastik sampah pertama dan kemudiannya menemui plastik sampah kedua yang berisi wang tunai tersebut.


Peniaga itu mengisi wang tunai yang mahu disimpan di bank dalam satu plastik sampah sebelum tanpa sengaja membuangnya. - Foto Daily Star / Getty Images.

Khamis, 4 November 2021

Kalau Dah Jodoh Tak Ke Mana, Remaja 17 Tahun Kahwini Nenek 71 Tahun

Kalau Dah Jodoh Tak Ke Mana, Remaja 17 Tahun Kahwini Nenek 71 Tahun


Cinta tidak mengenal usia. Itulah yang dibuktikan pasangan di Amerika Syarikat ini apabila mengecapi kebahagiaan tanpa mengambil kira 54 tahun jarak usia mereka.


Gary Hardwick mendedahkan bahawa dia berumur 17 tahun apabila mengahwini isterinya yang ketika itu berusia 71 tahun dalam majlis perkahwinan yang berlangsung pada 2015, lapor akhbar New York Post pada 1 November 2021.


Gary yang kini berumur 23 tahun itu menyiarkan kehidupannya bersama Almeda, 75 di akaun TikToknya. Ramai netizen meninggalkan pelbagai komen mengenai hubungan tersebut termasuk meminta Gary menjauhi orang yang menentang kebahagiaan dia dan isterinya.


Membalas komen peminat tersebut, Gary mengucapkan tahniah kepada mereka dan meluahkan kegembiraan apabila peminatnya mengikut kata hati serta memilih meneruskan percintaan tidak kira apa tanggapan orang lain.



"Tahniah juga kerana berani mempertahankan cinta kamu dan pasangan selain menampilkan siapa diri kamu sebenarnya yang memilih untuk mencintai sesiapa sahaja tanpa mengambil kira penerimaan orang luar.


"Kadangkala situasi menjadi sukar apabila keluarga tidak memberikan sokongan dan tidak turut bahagia bersama, namun anda perlu untuk menjauhi sesiapa sahaja termasuk ahli keluarga atau sebaliknya," kata seorang pengguna media sosial.


Gary Hardwick yang menetap di Maryville berkahwin dengan Almeda pada tahun 2015, dua minggu selepas bertemu di majlis pengebumian anak wanita itu, Robert.


Pada ketika itu, Almeda masih mengalami tekanan selepas suami pertamanya, Donald yang dikahwini selama 43 tahun meninggal dunia pada tahun 2013 setelah tujuh bulan dirawat di hospital akibat komplikasi diabetes, manakala Gary pula sedang mengalami masalah dengan seorang wanita.


Setelah berkahwin, Gary dan Almeda berpindah ke rumah wanita itu dan tinggal bersama cucu lelakinya dengan seorang daripada mereka berumur tiga tahun lebih tua berbanding Gary.


Gary dan Almeda berkahwin pada tahun 2015 ketika masing-masing berusia 17 dan 71 tahun.