Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Rabu, 28 Disember 2022

Penduduk gempar anak kambing dilahirkan miliki dua punggung, enam kaki

Penduduk gempar anak kambing dilahirkan miliki dua punggung, enam kaki


Penduduk Kampung Relau di Asahan, Daerah Jasin, Melaka gempar apabila seekor anak kambing biri-biri dilahirkan dalam keadaan luar biasa dengan mempunyai dua punggung dan enam kaki.


Pemiliknya, Raihan Ismail, 52, berkata, anak kambing itu lahir pada Selasa minggu lalu dan keluarganya terkejut apabila melihat fizikal haiwan tersebut termasuklah mempunyai dua ekor di bahagian punggung.


Ujarnya, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku sepanjang dia menjadi penternak selama 15 tahun dan kini anak kambing tersebut menjadi tumpuan penduduk yang teruja melihat keadaan fizikalnya.


"Anak kambing ini lahir pada Isnin minggu lalu dan saya mula perasan keistimewaannya apabila ingin mengalihkannya daripada kandang.


"Ibunya yang berumur 10 tahun sudah banyak kali melahirkan anak, ini kali pertama anaknya mempunyai enam kaki, dua punggung dan ekor," katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.


Mengulas lanjut beliau berkata, anak kambing itu mempunyai dua kaki yang normal di bahagian hadapan, namun mempunyai empat kaki di bahagian belakang.


"Sebelum ini dia berdiri seperti haiwan lain tetapi sejak pagi tadi kakinya seolah-olah tidak kuat dan saya terpaksa membantunya setiap kali dia ingin menyusu dengan ibunya.


"Ada juga kawan yang belikan susu formula dan kita beri (anak kambing menyusu) guna botol, setakat ini reponsnya baik," katanya.


Ujarnya, pihaknya dan penduduk kampung tidak menganggap anak kambing itu sebagai suatu petanda atau kepercayaan lain tetapi kebesaran Allah S.W.T semata-mata.


Tambahnya, sekiranya ada pihak yang berminat ingin membeli anak kambing itu, dia sudi menjualnya namun perlu membeli dengan ibunya sekali kerana ia masih kecil dan menyusu.


Tangkap layar anak kambing yang mempunyai enam kaki dan dua punggung. - Foto Kosmo Online.

Sabtu, 24 Disember 2022

Biawak gergasi sesat masuk kawasan resort berjaya ditangkap

Biawak gergasi sesat masuk kawasan resort berjaya ditangkap


Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu menangkap seekor biawak seberat kira-kira 20 kilogram yang sesat di kawasan sebuah resort Jalan Pantai Cahaya Bulan, semalam.


Ketua Operasi APM Kota Bharu, Leftenan Muda Nor Hamiza Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2 petang.


Menurutnya, sebelum masuk ke kawasan resort, kakitangan resort itu melihat haiwan reptilia sepanjang kira-kira dua meter itu berada di bawah sebuah kereta.


"Semasa anggota APM tiba, biawak itu sudah berada di kawasan lapang. Anggota bertugas mengambil masa selama 10 minit untuk menangkapnya menggunakan alat khas.


"Haiwan itu kemudianya dibawa ke tempat kurungan sementara di Pejabat APM daerah sebelum ia dilepaskan ke kawasan hutan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, Nor Hamiza, biawak itu kemungkinan sesat selepas air surut di kawasan sekitar kampung yang ditenggelami air akibat hujan lebat pada minggu lalu.


Katanya, sebelum ini, APM Kota Bharu berjaya menangkap biawak dan haiwan berbisa di beberapa rumah penduduk yang terjejas banjir. - Sumber Kosmo.


Anggota APM menangkap seekor biawak yang sesat di kawasan sebuah resort di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu semalam. - Foto APM.

Rabu, 21 Disember 2022

Pemancing naikkan patin terbesar di dunia seberat 190 kilogram selepas bertarung 90 minit

Pemancing naikkan patin terbesar di dunia seberat 190 kilogram selepas bertarung 90 minit


Seorang pemancing dari Britain berjaya menangkap seekor patin seberat 190 kilogram (kg) yang dipercayai antara terbesar di dunia selepas bertarung selama satu jam setengah untuk menaikkan ikan gergasi itu di Thailand, lapor akhbar Daily Mail pada 19 Disember 2022.


Dean McEwan, 36, menangkap ikan itu di Sungai Mekong ketika melakukan aktiviti memancing di kolam ikan Palm Tree Lagoon Fishery.


Disebabkan terlalu besar, tiga lelaki lain perlu membantu McEwan untuk memasukkan ikan patin tersebut ke dalam jaring bagi membolehkan berat dan saiznya diukur. Haiwan gergasi itu mempunyai panjang 213 sentimeter (sm) dan seberat 190 kg.


Meskipun tiada rekod rasmi bagi kategori 'catfish' terbesar yang ditangkap oleh pemancing Britain di Thailand, hasil tangkapan McEwan mungkin adalah yang terbesar.



"Ketika itu adalah waktu tengah hari, di mana saya mengalihkan pandangan seketika daripada joran sebelum terdengar bunyi kuat pada batang pancing.


"Ia benar-benar menguji stamina. Selepas sejam setengah bertungkus-lumus, kami berjaya menaikkan ikan dan berehat seketika," kata McEwan. 


Selepas mengambil ukuran berat dan panjang serta merakam gambar kenang-kenangan, McEwan melepaskan semula ikan patin itu ke dalam tasik.


Sementara itu, seorang ekspatriat Britain yang mengendalikan kolam ikan itu bersama isteriya, Tim Webb berkata, ia merupakan ikan patin terbesar di tasik itu dan mungkin yang terbesar di Thailand. - Sumber Daily Mail.


Selepas mengambil ukuran berat dan panjang serta merakam gambar kenang-kenangan, McEwan melepaskan semula ikan patin itu ke dalam tasik. - Foto Dean McEwan/B.

Sabtu, 17 Disember 2022

Budak dua tahun cedera kena telan dengan badak air sebelum dimuntahkan semula

Budak dua tahun cedera kena telan dengan badak air sebelum dimuntahkan semula


Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di negara Uganda, Afrika Timur ditelan seekor badak air sebelum binatang buas itu memuntahkan kembali mangsa, lapor laman berita News Week pada 13 Disember 2022.


Mangsa dimuntah keluar selepas saksi kejadian bertindak merejam badak air itu dengan menggunakan batu, kata polis.


Dia bermain sendirian berhampiran rumahnya di tepi sebuah tasik di bandar Katwe Kabatoro Ahad lalu apabila seekor badak air yang kelaparan membaham mangsa menggunakan rahangnya yang besar, lapor saluran radio Capital FM Uganda.


Sebelum badak air itu sempat menelan mangsa sepenuhnya, seorang saksi kejadian, Chrispas Bagonza mula melempar batu ke arahnya, menyebabkan haiwan itu 'memuntahkan' mangsa kembali, demikian menurut agensi yang paling awal melaporkan kejadian tersebut.


Mangsa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan di bandar berhampiran, Bwera. Badak air tersebut dikatakan telah melarikan diri ke dalam tasik, demikian menurut laporan sama.


"Bagonza melempar batu ke arah badak air tersebut dan menakutkannya, menyebabkan ia melepaskan mangsa dari dalam mulutnya.


"Dia memberanikan diri untuk menyelamatkan mangsa," kata Polis Uganda kepada akhbar Telegraph Uk.


Badak air dianggarkan membunuh sekurang-kurangnya 500 orang setahun di Afrika dengan mengunyah mangsa menggunakan gading yang boleh membesar sepanjang 30 sentimeter (sm).


Badak air biasanya mempunyai berat antara 1,270 hingga 3,175 kilogram, dan sering ditemukan di kawasan tanah lembap, sungai, tasik dan paya, ia boleh membuka mulut sebesar 150 darjah dan mempunyai gigitan yang sangat kuat.


"Kekuatan gigitan mereka kira-kira tiga kali lebih besar daripada singa," kata Lochran Traill, ahli ekologi dan saintis pemuliharaan dari Universiti Leeds di United Kingdom, sebelum ini memberitahu Newsweek.


"Itulah sebabnya ia sangat berbahaya, mereka boleh menyebabkan trauma yang teruk kepada tubuh manusia sama ada melalui gigitan atau pijakan," kata Lochran lagi. - Sumber News Week.


Mangsa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. - Foto New York Post.

Khamis, 15 Disember 2022

Bangkai haiwan misteri terdampar di tepi pantai didakwa anak raksasa 'Loch Ness'

Bangkai haiwan misteri terdampar di tepi pantai didakwa anak raksasa 'Loch Ness'


Misteri bangkai haiwan laut yang sebelum ini tidak dikenali dan digelar sebagai 'anak Loch Ness' mungkin berjaya diselesaikan, lapor portal berita Daily Star pada 14 Disember 2022.


Ia terdampar di tepi sebuah pantai di Poole, Dorset, United Kingdom (UK) menyebabkan penduduk tempatan 'menggaru' kepala mereka mengenai identiti sebenar binatang itu.


Kemunculan di tepi pantai menyebabkan ia diberikan gelaran anak Loch Ness iaitu seekor raksasa misteri yang didakwa masih hidup di sebuah tasik di tanah tinggi Scotland.


Seorang wanita, Lindsay Freeman membuat penemuan itu dan berkata: "Saya sedang berjalan di pantai pada masa itu. Ia menarik perhatian saya kerana ia kelihatan luar biasa dan besar.


"Saya tidak dapat memikirkan haiwan yang mempunyai ekor seperti jerung tetapi juga kaki seperti penyu. Ia juga kelihatan seperti mempunyai 'lengan' kecil dan kepala yang sangat pelik. Ia kelihatan seperti raksasa laut."


Walaupun menemui bangkai haiwan itu pada bulan November lalu, Freeman memutuskan untuk menyiarkan imej tersebut secara online minggu lalu dan menyebabkan netizen membuat pelbagai spekulasi tentangnya.


Ada netizen menganggap ia ialah anak Loch Ness, manakala yang lain berpendapat bangkai haiwan tersebut mungkin sejenis ikan pari.


Namun, seorang pengurus projek di Program Penyiasatan Cetacean Strandings, UK, Rob Deaville menganggap ia adalah sejenis elasmobrankia iaitu keluarga hidupan laut yang merangkumi ikan pari dan jerung.


"Saya bukan pakar dalam pengecaman elasmobrankia tetapi ia kelihatan seperti tinggalan (bangkai) ikan pari," katanya. - Sumber Daily Star.

 

Misteri bangkai haiwan laut di tepi pantai Poole, Dorset dipercayai sebagai ikan pari. - Foto Lindsay Freeman/Pen News.

Rabu, 7 Disember 2022

Ular sawa batik seberat 60 kg 'tumpang tidur' bonet MPV cikgu

Ular sawa batik seberat 60 kg 'tumpang tidur' bonet MPV cikgu


Seorang guru wanita terkejut apabila menyedari seekor ular sawa batik seberat 60 kilogram berada di dalam bonet kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser sebelum ke sekolah di rumahnya di Kampung Padang Kala, Melor dekat Kota Bharu, hari ini.


Ketua Operasi Pusat Kawalan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Bharu, Siti Nur Zakiah Abdul Halim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi semasa guru berusia 53 tahun itu memanaskan enjin MPV miliknya sementara bersiap-siap untuk ke sekolah.


Menurutnya, guru itu pada awalnya pelik apabila terdengar bunyi dari bahagian bonet MPV itu semasa memanaskan enjin. Curiga dengan bunyi itu, guru berkenaan terus membuka bonet kenderaaannya sebelum mendapati seekor ular sawa batik berada pada bahagian bateri.


"Wanita itu terus menghubungi panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.25 pagi sebelum seorang pegawai dan empat anggota APM bergegas ke lokasi kejadian.


"Anggota bertugas mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan ular sawa batik sepanjang tiga meter itu menggunakan alat khas," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Siti Nur Zakiah, ular itu dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah dan diletakkan dalam sangkar sementara menunggu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambilnya.


Anggota APM menangkap ular sawa batik seberat 60 kilogram di dalam bonet sebuah MPV di Kampung Padang Kala, Melor dekat Kota Bharu hari ini. - Foto APM.
Ribuan anjing laut mati secara misteri hanyut ke pantai Russia

Ribuan anjing laut mati secara misteri hanyut ke pantai Russia


Kira-kira 2,500 ekor anjing laut mati ditemui di luar pantai Russia di Laut Caspian, lapor akhbar New York Post pada 4 Disember 2022.


Pihak berkuasa di wilayah Dagestan berkata, punca kematian itu tidak jelas tetapi berkemungkinan disebabkan oleh fenomena alam semula jadi.


Menurut laporan awal pada Sabtu lalu, 700 anjing laut ditemui mati di luar pantai sebelum jumlah itu kemudian meningkat kepada 2,500, demikian menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Russia.


Dalam satu kenyataan, ketua Pusat Perlindungan Alam Sekitar Caspian (CEIC), Zaur Gapizov berkata, anjing-anjing laut itu mungkin sudah mati sejak beberapa minggu lalu. Tiada tanda-tanda ia dibunuh atau terjerat dalam pukat, katanya.



Pakar dan pendakwa raya dari Agensi Perikanan Persekutuan telah memeriksa pantai itu dan mengumpulkan data untuk penyelidikan dalam makmal kerana bahan pencemaran tidak segera dikesan.


Kematian besar-besaran membabitkan anjing laut yang disebabkan oleh alam semula jadi tidak pernah didengari sebelum ini.


Kazakhstan yang mempunyai pantai Caspian yang panjang, melaporkan terdapat sekurang-kurangnya tiga kejadian serupa tahun ini.


Menurut CEIC, bilangan anjing laut di rantau Caspian dianggarkan kira-kira 70,000 hingga 300,000 ekor. - Sumber New York Post.


Anjing laut mati dihanyutkan ke darat. - Foto Kementerian Alam Sekitar Dagestan.