Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Jumaat, 23 September 2022

Lelaki maut selepas tertelan tulang ikan menyebabkan ususnya berlubang

Lelaki maut selepas tertelan tulang ikan menyebabkan ususnya berlubang


Seorang petani di Sri Lanka maut selepas tertelan tulang ikan yang menembusi ususnya serta mencetuskan jangkitan yang membawa maut. Laporan kes yang memperincikan kejadian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan, International Journal of Surgery Case Reports.


Memetik laporan akhbar New York Post pada 20 September 2022, pesakit berusia 60 tahun dengan namanya tidak didedahkan itu mengunjungi Hospital Besar Daerah di Sri Lanka selepas mengalami sakit perut, muntah, sembelit dan perut kembung selama tiga hari.


Selepas mengesyaki pesakit berkenaan mengalami kejutan septik, doktor bergegas membawanya ke unit rawatan rapi, di mana imbasan mendapati perutnya dipenuhi cecair.


Gejala itu menunjukkan bahawa buah pinggang pesakit berkenaan telah berhenti berfungsi yang menunjukkan tanda-tanda kemungkinan sepsis, di mana sistem imun badan bertindak menyerang organnya sendiri.


Selepas menjalani pembedahan selama dua jam, kakitangan perubatan menemui lubang kecil pada usus petani tersebut yang berpunca daripada tulang ikan sepanjang 2 sentimeter, lapor akhbar Daily Mail.


Serpihan tulang yang kelihatan tidak berbahaya itu membocorkan usus pesakit berkenaan, menyebabkan najis meresap keluar dan kuman menjangkiti dinding perutnya. Akibatnya, usus membesar manakala nanah kuning terkumpul di sekeliling lubang itu.


Dalam usaha untuk menyelamatkan pesakit tersebut, doktor menghiris sebahagian usus berukuran 10 sentimeter dan mengalirkan lubang tersebut dengan tujuan untuk menyambung semula usus yang sihat selepas jangkitan dihapuskan.


Meskipun telah berusaha sedaya upaya, pesakit itu bagaimanapun meninggal dunia akibat serangan jantung hanya lapan jam selepas dimasukkan ke bilik kecemasan, demikian menurut laporan tersebut.


"Tulang ikan adalah penyebab utama 'perforasi gastrousus'," tulis penulis kajian.


Dalam cara kematian yang sama pada 2021, seorang lelaki Belanda mati tercekik selepas menelan kunci keretanya ketika bercuti di Sepanyol. - Sumber New York Post.


Seorang petani meninggal dunia secara tragis akibat jangkitan kuman selepas tertelan tulang ikan. Dia juga tidak mengingati pernah menelan tulang ikan tersebut. - Foto B.M. Munasinghe/IJSCR.

Rabu, 24 Ogos 2022

Detik yang menggerunkan apabila kapal layar mewah karam di Itali

Detik yang menggerunkan apabila kapal layar mewah karam di Itali


Sebuah kapal layar mewah sepanjang lebih 39 meter karam di pantai selatan Itali, selepas mengalami masalah ketika belayar pada Sabtu 20 Ogos lalu.


Menurut laman berita Wion News memetik laporan dari Super Yacht Times, kapal bernama My Saga itu dibina di Itali pada 2007 sebagai Yuko.


Semasa menyeberangi Teluk Squillace, kapal itu mengalami masalah menyebabkan kaptennya menghantar panggilan kecemasan pada lewat malam.


Sebuah kapal pengawal pantai telah dihantar dari pelabuhan Crotone dan mendapati kapal layar itu dimasuki air di hujung buritannya sekitar sembilan batu nautika dari Marina Catanzaro.


Empat penumpang dan seorang anak kapal, semuanya berbangsa Itali segera dibawa turun dari kapal layar terbabit dengan meninggalkan empat anak kapal lain termasuk kapten ketika mereka cuba menyelamatkannya.



Kapal itu kelihatan senget ke kanan ketika kejadian. Sebuah bot tunda kemudiannya dihantar dari Crotone untuk mencuba menyelamatkan kapal layar terbabit.


Operasi menyelamat telah dijalankan tetapi rakaman video yang diambil oleh pengawal pantai Itali menunjukkan buritan kapal layar itu akhirnya hilang di bawah ombak dan air mencecah garisan bumbungnya.


Ia memaksa pasukan penyelamat berhenti untuk menundanya dan kapal layar tersebut mula tenggelam dengan cepat.


Sky News melaporkan bahawa keadaan cuaca yang semakin buruk menyebabkan bot tunda penyelamat tidak dapat membawa kapal layar itu ke pelabuhan.


Kapal layar itu akhirnya tenggelam sekitar jam 1 tengah hari Ahad dengan empat anak kapal di dalamnya dipindahkan ke bot peronda pengawal pantai untuk dibawa ke pelabuhan Catanzaro Marina. - Sumber Wion News.


Sebuah kapal layar mewah tenggelam di perairan Itali. - Foto Guardia Costiera.

Ahad, 21 Ogos 2022

Gali terowong untuk rompak bank, akhirnya tertimbus di bawah tanah akibat runtuhan

Gali terowong untuk rompak bank, akhirnya tertimbus di bawah tanah akibat runtuhan


Pihak berkuasa Rom di Itali menarik keluar seorang lelaki disyaki perompak dari runtuhan sebuah terowong berhampiran Vatican City, selepas kumpulannya dikatakan cuba menggali 20 kaki untuk sampai ke dalam sebuah bank, lapor Daily Mail pada 20 Ogos 2022.


Lelaki itu dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan kritikal, tetapi tidak mengancam nyawa ketika anggota penyelamat mengambil masa kira-kira 8 jam untuk mengeluarkannya dari runtuhan.


Dipercayai lelaki itu bersama empat rakannya sedang bersiap sedia untuk merompak bilik kebal bank berhampiran dan menggali terowong yang bermula berhampiran sebuah kedai kosong untuk sampai ke situ.


Salah seorang daripada empat rakan subahatnya, yang berjaya melarikan diri dari terowong yang runtuh, menghubungi perkhidmatan kecemasan dan anggota bomba meminta bantuan.


Sekurang-kurangnya dua daripada suspek lain telah ditahan polis ketika cuba melarikan diri dari kawasan itu. Polis dilaporkan telah mendakwa dua lelaki berkenaan kerana mengelak daripada diberkas dan merosakkan harta benda awam.


Penyelamat menggunakan penggali mekanikal kemudian menggali lubang selari untuk membebaskan lelaki itu. Dia diberi makanan cecair dan silinder oksigen untuk membantunya bernafas, akhirnya ditarik keluar hidup-hidup, sementara orang ramai bersorak.


Menurut laporan media, mereka merancang melakukan rompakan semasa cuti umum Ferragosto di Itali apabila bank itu akan ditutup.


Jurucakap polis memberitahu media tempatan berkata lelaki itu sebelum ini pernah disabitkan kesalahan merompak, bersama-sama dengan empat anggota kumpulan yang lain. - Sumber Daily Mail.


Terowong yang digali perompak. Ia bermula di bawah sebuah kedai kosong yang ditutup dan dikatakan telah disewa baru-baru ini. - Foto AFP.

Walaupun polis tidak mengesahkan lelaki itu menggali untuk rompakan, media Itali telah melaporkan bahawa berkemungkinan lelaki itu melakukan rompakan. - Foto Grzegorz Galazka/SIPA/Shutterstock.

Sekumpulan besar perkhidmatan kecemasan berkumpul untuk membantu usaha menyelamat. - Foto Grzegorz Galazka/SIPA/Shutterstock.

Selain polis dan penggali, orang ramai turut berkumpul mengikuti penyelamatan itu sehingga ia selesai. - Foto Grzegorz Galazka/SIPA/Shutterstock.

Penduduk melihat kerja penyelamatan. Seorang penduduk berkata bahawa mereka tidak mengesyaki sesiapa sedang menggali lubang dan tiada bunyi bising. - Foto Grzegorz Galazka/SIPA/Shutterstock.

Pasukan bomba Itali mengeluarkan seorang lelaki yang disyaki perompak yang tertimbus dalam runtuhan di Rom pada 11 Ogos lalu. - Foto AFP.

Selasa, 9 Ogos 2022

Satu kotak keluli misteri ditemui terapung di luar pantai Australia

Satu kotak keluli misteri ditemui terapung di luar pantai Australia


Satu objek misteri ditemui terapung di luar utara pantai Australia oleh sekumpulan nelayan baru-baru ini. Bekas keluli besar itu ditemui oleh sekumpulan nelayan yang bekerja di kapal Wildcard di Teluk Carpenteria, timur laut Groote Eylandt, lapor akhbar Daily Mail pada 8 Ogos 2022.


Nelayan terbabit berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan terhadap bekas keluli itu. Ada yang berpendapat terlalu berbahaya untuk meninggalkan bekas keluli terbabit begitu sahaja kerana ia kemungkinan dilanggar kapal lain.


Seorang daripada nelayan terbabit kemudian terjun ke laut untuk memeriksa objek itu tetapi gagal membukanya. Mereka juga tidak dapat menunda objek itu kembali ke pantai. Ini menyebabkan mereka mengikatkan boya penanda padanya supaya ia boleh dilihat oleh kapal-kapal lain.



"Jika anda tidak memberi perhatian pada waktu malam, kemungkinan besar ia tidak dapat dilihat melalui radar atau dilihat oleh seseorang," kata seorang nelayan dikenali sebagai Tiger Davey kepada Daily Mail Australia.


Davey berkata, bekas keluli itu kemungkinan tempat penyimpanan barang dan ia kemungkinan terjatuh ke laut, dan mungkin datang dari kapal lain kerana Teluk Carpenteria adalah laluan perkapalan utama.


Sementara itu, pengurus kempen plastik Persatuan Pemuliharaan Marin Australia Shane Cucow melabelkan Teluk itu sebagai 'titik panas untuk serpihan'.


Cucow menjelaskan Teluk itu terletak di pinggir arus lautan global yang bermaksud bahawa sisa telah ditarik masuk dari seluruh dunia ke kawasan itu.


Beliau berkata, kapal nelayan tempatan dan antarabangsa yang melalui laluan perkapalan menambah serpihan dengan pukat dan peralatan menangkap ikan yang dibuang atau hilang di dalam air.


Dalam pada itu, pihak Keselamatan Maritim telah mengeluarkan amaran keselamatan mengenai objek berkenaan selepas ia dikesan di teluk tersebut. - Sumber Daily Mail.


Bekas itu ditemui oleh sekumpulan nelayan yang bekerja di kapal Wildcard di Teluk Carpenteria, timur laut Groote Eylandt. - Foto Daily Mail.

Satu kotak misteri ditemui di Teluk Carpenteria, Australia baru-baru ini. - Foto ABC.

Isnin, 1 Ogos 2022

Majlis perkahwinan batal selepas mentua selar menantunya hodoh, pendek

Majlis perkahwinan batal selepas mentua selar menantunya hodoh, pendek


Hari bahagia bertukar menjadi episod paling memalukan dalam hidup. Itu yang berlaku kepada seorang wanita Tunisia yang ditinggalkan bakal suami pada majlis perkahwinannya. Ia selepas ibu kepada si lelaki mendakwa pengantin perempuan hodoh dan pendek.


Menurut lapor Daily Star, ibu kepada si lelaki hanya melihat gambar bakal menantunya itu. Menjelang hari bersejarah, wanita terbabit dikatakan hanya melihat bakal menantunya itu buat kali pertama di majlis berkenaan.


Majlis perkahwinan itu berlangsung dengan kehadiran ramai tetamu. Di hadapan semua orang, wanita itu mendekati anaknya dan meminta dia membatalkan perkahwinan.


Ibu kepada lelaki itu dilaporkan kecewa selepas mendakwa bakal menantunya terlalu pendek dan tidak menarik untuk mengahwini anaknya.


Dia kemudian mengarahkan anak lelakinya untuk menghentikan majlis itu serta-merta, kerana dia tidak boleh membenarkan anak lelakinya menikahi wanita dikenali sebagai Lamia Al-Labawi itu.


Lelaki terbabit bersama-sama dengan ibunya dilaporkan kemudian meninggalkan Lamia.


Sebelum 'drama' berkenaan, Lamia dilihat bergambar di sebelah pasangannya yang dilihat sedang mengelap mukanya dengan sapu tangan.


Susulan insiden berkenaan, Lamia kemudian memuat naik video di media sosial untuk menerangkan mengenai insiden berkenaan.


Wanita itu memberitahu orang ramai bahawa dia adalah anak yatim piatu dan menghabiskan banyak wang untuk mengadakan majlis berkenaan. Bagaimanapun katanya, kebahagiaan itu 'diragut' daripadanya oleh bakal ibu mentuanya.


Bakal pengantin perempuan yang jiwanya hancur itu dikatakan dibiarkan menanggung malu dan sekarang dikatakan enggan tampil keluar bertemu orang ramai berikutan penolakan itu.


Kisah itu tersebar di media sosial di mana Lamia mendapat sokongan daripada netizen.


"Dengan kasih sayang dan persaudaraan, saya memberitahu anda, angkat kepala anda dan hadapi dunia dengan sekuat tenaga anda," kata pelakon teater Tunisia, Hedi Al-Mejri kepada Lamia. - Sumber Daily Star.


Foto Lamia Al-Labawi bersama bakal suaminya itu. - Foto CEN.

Ahad, 10 Julai 2022

Elon Musk batal pembelian Twitter bernilai RM195 bilion

Elon Musk batal pembelian Twitter bernilai RM195 bilion


Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk yang juga individu terkaya dunia mengumumkan beliau mahu membatalkan perjanjian AS$44 bilion (RM195 bilion) bagi pembelian Twitter Inc, lapor agensi berita Reuters pada 9 Julai 2022.


Beliau dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diambil selepas syarikat gergasi media sosial tersebut gagal mengemukakan maklumat mengenai akaun palsu di pentas dalam taliannya.


Dalam pemfailan, peguam Musk berkata, Twitter telah gagal atau enggan menjawab pelbagai permintaan berkaitan maklumat akaun palsu atau spam di platformnya yang merupakan asas kepada prestasi perniagaan syarikat.


"Twitter melanggar banyak peruntukan perjanjian, memberi maklumat palsu atau mengelirukan ketika membuat persetujuan mengenai perjanjian penggabungan itu bersama Musk.


"Maklumat ini penting bagi mengukur prestasi sebenar kedudukan syarikat berkenaan," kata pemfailan itu.


Musk juga menarik diri kerana Twitter memecat eksekutif berpangkat tinggi dan satu pertiga daripada pasukan pemerolehan bakat, yang dianggap melanggar kewajipannya untuk 'memelihara komponen material organisasi perniagaan semasa'.


Keputusan Musk berkemungkinan mengakibatkan pertelingkahan undang-undang berpanjangan antara jutawan itu dan syarikat berusia 16 tahun yang berpangkalan di San Francisco.


Sementara itu, Twitter dalam maklum balasnya, berkata ia akan saman Musk susulan tindakan membatalkan pembelian.


Pengerusi Twitter, Bret Taylor, menerusi laman mikro blog itu, mengumumkan pihaknya akan bertindak mengikut undang-undang bagi memastikan Musk menghormati dan meneruskan perjanjian itu.


Sebelum ini, Musk memberi amaran akan membatalkan pembelian itu jika Twitter gagal mengemukakan bukti bahawa jumlah akaun spam atau 'bot' adalah lebih rendah daripada lima peratus keseluruhan pengguna perkhidmatan media sosial itu.


Saham Twitter naik kepada AS$51.70 (RM229) seunit pada April lalu apabila Musk mengumumkan hasratnya mahu membeli syarikat itu.


Namun, harganya jatuh kepada AS$35.76 (RM158) seunit sebulan selepas itu apabila komitmen Musk mula dipertikaikan dan semalam, saham Twitter jatuh lagi kepada AS$37 (RM164) seunit.


Bulan lalu, Twitter memberikan Musk akses data 'firehose' syarikat itu yang mengandungi ratusan juta 'tweet' harian pengguna. - Foto AP.

Ahad, 3 Julai 2022

Datuk bandar 'berkahwin' dengan aligator betina untuk memohon kesejahteraan alam

Datuk bandar 'berkahwin' dengan aligator betina untuk memohon kesejahteraan alam


Seorang datuk bandar di Mexico 'mengahwini' seekor aligator dalam upacara bertujuan untuk mendapat kesejahteraan dari alam semula jadi, lapor laman berita Wion News pada 1 Julai 2022.


Dalam upacara yang berlangsung pada Khamis, Victor Hugo Sosa 'mengahwini' seekor aligator betina berusia tujuh tahun. Majlis perkahwinan penuh warna-warni itu dimeriahkan dengan alunan muzik, barisan penari serta tetamu yang memakai pakaian tradisional.


Sosa yang merupakan pemimpin suku Orang Asli, turut memberikan ciuman kepada 'pengantin perempuan'. Atas sebab keselamatan, dan untuk mengelakkan gigitan yang tidak diingini, mulut aligator telah diikat rapat lapor Reuters.


Upacara perkahwinan itu dipercayai merupakan amalan suku Orang Asli Chontal dan Huave dari negeri Oaxaca sejak beratus-ratus tahun lalu, sebagai doa untuk memohon kesejahteraan alam.


"Kami meminta hujan yang cukup dari alam semula jadi, makanan yang cukup serta ikan yang banyak di sungai," kata Sosa, yang merupakan datuk bandar komuniti nelayan kecil di pantai Pasifik Oaxaca yang panas terik.


Dalam majlis tersebut, aligator itu dipakaikan dengan gaun pengantin berwarna putih serta pakaian lain. Penduduk tempatan membawa pengantin aligator itu berarak di sekeliling kampung sambil beberapa lelaki mengipas haiwan itu.


Reptilia itu yang dikenali sebagai 'puteri kecil' dianggap sebagai dewi yang mewakili ibu bumi. Menurut ritual, perkahwinan antara 'dewi' dan pemimpin masyarakat mewakili kesatuan antara ketuhanan dan kemanusiaan.


Oaxaca yang terletak di selatan Mexico yang kurang maju, adalah rumah bagi banyak komuniti orang asli yang telah mengekalkan bahasa dan tradisi mereka dengan teguh. - Sumber Wion News.


Sosa 'mengahwini' seekor aligator betina berusia tujuh tahun. - Foto Daily Mail.