Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Rabu, 23 Februari 2022

Lelaki diculik di Kemboja dijadikan 'hamba darah' selama beberapa bulan berjaya melarikan diri

Lelaki diculik di Kemboja dijadikan 'hamba darah' selama beberapa bulan berjaya melarikan diri


Seorang lelaki dari China dilaporkan diculik dan dijadikan 'hamba darah' selama beberapa bulan di Kemboja selepas terpedaya dengan tawaran iklan pekerjaan palsu, lapor Daily Star pada 20 Februari 2022.


Lelaki yang hanya dikenali dengan nama keluarga Li berjaya melarikan diri pada awal bulan ini dengan bantuan ahli kumpulan yang menculiknya. Dia kini sedang dirawat di sebuah hospital di Kemboja dan berada dalam keadaan stabil, lapor South China Morning Post.


Sejak Ogos tahun lalu, kumpulan itu mengambil sebanyak 800 mililiter (ml) darah setiap bulan daripada badan Li. Berdasarkan garis panduan kesihatan global, manusia tidak boleh menderma darah melebihi 500 ml bagi setiap sesi.


Dilaporkan, darah itu dijual kepada pembeli persendirian secara dalam talian. Apabila dia dimasukkan ke hospital minggu lalu, lengan Li dipenuhi dengan kesan lebam dan kesan jarum.


Sementara itu, Li yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Shenzhen dan Beijing berkata, dia menolak untuk terlibat sama dalam skim penipuan kumpulan tersebut.


Katanya, kumpulan itu menggunakannya sebagai 'hamba darah' selepas mengetahuinya seorang yatim piatu dan tidak boleh digunakan untuk wang tebusan.


Li pada mulanya terpedaya dengan tawaran iklan pekerjaan palsu dan ditahan oleh individu bersenjata serta dibawa merentasi sempadan China-Vietnam.


Lelaki itu kemudian dijual pada harga AS$15,000 (RM62,801) kepada kumpulan Kemboja yang menjalankan skim penipuan. Menurut Li, tujuh lelaki lain turut ditahan dalam bilik yang sama dengannya.


"Oleh kerana saya mempunyai darah jenis O negatif, kumpulan itu mengambil lebih banyak darah berbanding lelaki lain," katanya.


Tambahnya, dia turut diugut untuk dijual kepada penuai organ haram jika dia tidak memberikan darahnya kepada mereka. - Sumber Daily Star.


Li sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Isnin, 7 Februari 2022

Lapisan ais semakin cair di Greenland, 100 juta orang ditenggelami air setiap tahun

Lapisan ais semakin cair di Greenland, 100 juta orang ditenggelami air setiap tahun

Gambar hiasan.

Lapisan ais di Greenland kehilangan 4,700 gigaton ais sejak dua dekad lalu, sekali gus memberi amaran jumlah itu mencukupi untuk menenggelamkan Amerika Syarikat (AS) di bawah 0.3 meter air.


Menerusi lapor akhbar Daily Mail pada 4 Februari 2022, penemuan itu hasil kajian analisis data Denmark dari satelit Gravity Recovery and Climate Experiment (GRACE) yang dikumpul dari April 2002 hingga Ogos 2021.


"Data menunjukkan kebanyakan ais hilang di sepanjang pinggir kepingan ais. Pemerhatian bebas juga menunjukkan ais semakin menipis dan terdapat tahap pencairan lebih tinggi dari permukaan ais," kata penyelidik.


Penyelidik NASA memberitahu, kehilangan ais amat teruk di sepanjang pantai Greenland Barat akibat pemanasan air di bawah permukaan yang mempercepatkan pencairan glasier.


"Kehilangan lapisan ais Greenland dan Antartika adalah antara penyebab utama kenaikan paras laut yang berpunca akibat perubahan iklim," kata agensi itu.


Menurut pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan AS, apabila seluruh lapisan ais Antartika mencair, ia akan meningkatkan paras laut global sebanyak kira-kira 60 meter. Sekiranya lembaran ais Greenland hilang, ia turut menyumbang peningkatan paras laut global sebanyak 7.4 meter.


Malah, kajian 2019 yang diterbitkan dalam jurnal Nature mengira bahawa di bawah tahap pemanasan semasa, Greenland akan menyumbang sekitar 7 hingga 13 sentimeter kepada kenaikan paras laut global menjelang akhir abad ini.


"Setiap kenaikan sentimeter dalam paras laut global, 6 juta orang terdedah kepada banjir pantai. Kalau dilihat tahap pemanasan semasa, pencairan ais Greenland akan menyebabkan 100 juta orang ditenggelami air setiap tahun," kata saintis iklim dari Universiti Leeds dan pengarang kertas 2019, Andrew Shepherd.


Kehilangan lapisan ais Greenland dan Antartika adalah antara pemacu utama kenaikan paras laut yang dicetuskan oleh perubahan iklim, kata NASA. (Gambar) perubahan dalam ketebalan ais di atas Greenland antara 2018–2020.

Sabtu, 22 Januari 2022

Satelit Elon Musk yang semakin banyak ganggu kerja pengawasan asteroid berhampiran Bumi

Satelit Elon Musk yang semakin banyak ganggu kerja pengawasan asteroid berhampiran Bumi


Satu kajian mendapati rangkaian satelit milik Elon Musk, Starlink yang semakin banyak menyebabkan kerja pemantauan asteroid terganggu kerana imej satelit-satelit berkenaan muncul pada teleskop pemerhatian, lapor akhbar Daily Star 20 Januari 2022.


Satelit-satelit tersebut menghalang saintis daripada mengesan asteroid berhampiran Bumi, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Astrophysical Letters.


"Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat tentang kesan buruj satelit orbit Bumi rendah (LEO) pada pemerhatian astronomi berasaskan tanah, khususnya, pada tinjauan lapangan luas dalam optik dan inframerah," tulis dalam kajian itu.


Ketika ini, sebanyak 1,800 satelit Starlink dicatatkan mengorbit Bumi pada jarak kira-kira 550 kilometer untuk memberikan capaian internet kepada 24 buah negara.



Bilionair terkaya di dunia itu dikatakan menghantar semakin banyak satelit pengorbit Bumi sejak 2019 menerusi syarikatnya, SpaceX. Beliau malah merancang untuk mempunyai 10,000 satelit Starlink di orbit Bumi menjelang tahun 2027.


Dalam pada itu, kajian baharu itu secara khusus dijalankan untuk menyiasat kesan satelit-satelit ke atas imej pada kamera milik satu pusat kajian ruang angkasa, Zwicky Transient Facility (ZTF).


"Satelit-satelit Starlink bertanggungjawab ke atas 5,301 coretan pada imej teleskop antara November 2019 hingga September 2021," jelas ahli astronomi dari Universiti Warsaw, Przemek Mroz yang merupakan pengarang utama kajian.


Beliau turut menjelaskan bagaimana bilangan 'imej senja' yang terjejas telah meningkat daripada 0.5 peratus kepada 20 peratus antara 2019 hingga 2021.


Memandangkan hasrat SpaceX untuk terus mengembangkan Starlink mereka, ahli astronomi meramalkan bahawa tidak lama lagi setiap 'imej senja' akan dirakam pada kamera milik ZTF yang mempunyai sekurang-kurangnya satu coretan.


Ahli-ahli astronomi menjangkakan bahawa sekurang-kurangnya satu coretan 'imej senja' akan dirakam pada kamera milik Zwicky Transient Facility (ZTF) akan datang. - Foto Getty /Science Photo Library RF.

Ahad, 12 Disember 2021

Tak pernah turun tangan kanan selama 45 tahun dan tidak bercadang untuk menurunkannya

Tak pernah turun tangan kanan selama 45 tahun dan tidak bercadang untuk menurunkannya


Dalam usaha untuk menyatukan manusia bersama, seorang warga emas di India dilapor tidak pernah menurunkan tangan kanannya selama 45 tahun, lapor akhbar Daily Star pada 6 Disember 2021.


Sadhu Amar Bharati mengangkat tangan kanannya dan menggenggam jari sejak 1976 dan tidak merancang untuk menurunkannya demi kepercayaan yang dipegang.


Kisahnya kembali diperkata selepas gambar menunjukkan keadaan tangan dengan kuku jari panjang yang masih kekal pada posisi sama.


Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak sebelum ini pernah bekerja di bank, tetapi pada tahun 1973 dia memutuskan untuk meninggalkan kehidupan itu demi keamanan dunia.


Bharati mula dedikasikan kehidupannya kepada dewa Shiva dan memutuskan untuk mengangkat tangan serta mengekalkan kedudukan itu sebagai tanda ketaatan.


"Saya tidak minta lebih. Kenapa kita perlu bergaduh sesama sendiri, mengapa ada begitu banyak kebencian dan permusuhan antara kita? Saya mahu semua rakyat India hidup aman," katanya sebelum ini kepada History of Yesterday.


Dia menghabiskan dua tahun pertama dalam kesakitan, tetapi keperitannya beransur kurang selepas itu sehinggalah kini dia sudah tidak merasakan apa-apa. - Sumber Daily Star.


Amar Bharati dengan tangan kanannya yang masih diangkat sejak 1973. - Foto Flickr Vision.

Ahad, 28 November 2021

Wanita Tersalah Laman Web Upah Pembunuh Berdepan Hukuman Penjara Seumur Hidup

Wanita Tersalah Laman Web Upah Pembunuh Berdepan Hukuman Penjara Seumur Hidup


Rancangan seorang wanita di Michigan, Amerika Syarikat, yang berhasrat menggunakan pembunuh upahan untuk membunuh bekas suaminya tidak berjaya apabila dia menggunakan laman web yang salah.


Menurut lapor laman berita New York Post pada 23 November 2021, Wendy Wein, 52, menggunakan laman web jenaka, rentahitman.com untuk mencari seseorang yang boleh membunuh bekas suaminya.


Polis Negeri Michigan berkata, Wein menghubungi laman web 'palsu' yang mendakwa boleh 'menyelesaikan masalah' itu untuk mengupah pembunuh. Pemilik laman itu, Bob Innes kemudian membuat laporan polis selepas menerima borang permohonan Wein.


Menurut Monroe News, seorang polis membuat penyamaran sebagai pembunuh upahan kemudian bertemu dengan Wein di tempat letak kereta, Wein menawarkan untuk membayarnya $5,000 (RM21,195) untuk membunuh bekas suaminya sebelum dia ditahan Jumaat lalu.


Wein mengaku salah atas tuduhan permintaan pembunuhan itu dan menyalahgunakan komputer untuk melakukan jenayah pada 12 November lalu.


Wanita itu yang kini di reman dengan jaminan AS$500,000 (RM2,119,500) bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup manakala bagi kesalahan kedua maksimum 20 tahun jika mengaku salah.


Sebelum kes Wein, pada 2018 lalu seorang lelaki Virginia, Devon Barber, 20, menghubungi Bob Innes dan berkata dia mahu mengupah seseorang untuk membunuh bekas teman wanitanya serta ibu bapa wanita itu.


Dia juga mahu pembunuh itu menculik anak perempuan wanita itu berusia 3 tahun untuk dibesarkan sebagai miliknya. Barber akhirnya ditahan polis dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun.


Innes berkata, dia juga menerima e-mel pada 2010 daripada seorang wanita bernama Helen yang mengatakan dia berasal dari United Kingdom. Wanita itu mendakwa, namanya telah dikeluarkan daripada waris bapanya, dan dia mahu mereka yang mengeluarkan namanya mati.


Wendy Wein mengaku cuba mengupah seseorang untuk membunuh suaminya. - Foto Michigan State Police.

Ahad, 24 Oktober 2021

'Jiran Dari Neraka' Lempar Najis Setiap Hari Ke Halaman Rumah Jirannya

'Jiran Dari Neraka' Lempar Najis Setiap Hari Ke Halaman Rumah Jirannya


Seorang wanita di London mendedahkan bahawa dia mempunyai jiran bersikap biadab yang gemar membuang najis kanak-kanak dan anjing ke arah pintu hadapan rumahnya, lapor akhbar The Sun pada 22 Oktober 2021.


Menerusi perkongsian di TikTok, wanita tersebut menyatakan bahawa sikap biadab jirannya itu berlaku setiap hari.


Dalam klip video pertama yang dikongsi, wanita itu menulis keterangan "Jiran dari neraka" apabila jirannya itu dilihat sedang mengaut najis anjing di halaman rumahnya dan membuang semula ke arah rumah wanita berkenaan.



Video itu menjadi tular dengan menerima tontonan melebihi 122,000 kali di samping pelbagai komen ditinggalkan.


Selain itu, dalam satu video berlainan, jiran yang sama dilihat melempar najis anaknya ke arah halaman rumah wanita berkenaan.


"Letak sahaja (najis) betul-betul di hadapan pintu rumahnya supaya dia terpijak najis itu apabila keluar dari rumah," komen seorang pengguna yang turut tidak senang melihat sikap biadab jiran itu.


"Anda perlu bersemuka dengannya. Itu adalah hak anda. Jika saya di tempat anda, saya pasti akan muncul di pintu rumahnya dalam masa beberapa saat," kata seorang lagi netizen.


Gambar kiri memaparkan seorang wanita mengaut najis anjing dan gambar kanan dia membuang semula najis itu ke rumah jiran yang berhadapan dengan rumahnya.

Jumaat, 1 Oktober 2021

Sumbat Dalam Dubur, Cubaan Seludup Emas 1Kg Gagal

Sumbat Dalam Dubur, Cubaan Seludup Emas 1Kg Gagal


Penyeludup menjadi lebih kreatif sejak kebelakangan ini berikutan permintaan terhadap emas memuncak. Seorang penyeludup warga India menyumbat hampir satu kilogram (kg) emas berbentuk pes ke dalam duburnya, bagaimanapun taktik itu berjaya dikesan pihak Kastam India.


Menurut lapor berita Daily Mail pada 29 September 2021. 'Keldai emas' itu ditahan Isnin lalu, selepas seorang pegawai keselamatan melihat 'objek mirip logam dalam rongga badan' suspek di lapangan terbang Imphal di timur laut Manipur.


Lelaki berkenaan, yang mahu ke New Delhi, ditahan untuk soal siasat dan tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan, kata Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat dalam satu kenyataan.


Pegawai kemudian membawanya ke bilik pemeriksaan perubatan, di mana keputusan imbasan X-ray di bahagian bawah badannya menunjukkan empat kapsul berisi pes emas seberat lebih 900 gram, bernilai kira-kira RM2.4 juta.



Permintaan terhadap emas memuncak dalam tempoh beberapa bulan menjelang hujung tahun di India, berikutan musim perkahwinan dan persiapan untuk perayaan kaum Hindu yang terbesar iaitu Deepavali dan Dussehra.


Pakar berkata, India adalah pengguna emas kedua terbesar di dunia dan penyeludupan semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, termasuk dengan menukar logam berharga itu menjadi bentuk pes. Manipur yang bersempadan dengan Bangladesh menjadi laluan utama penyeludupan emas ke India.


Penyeludup menjadi lebih kreatif sejak kebelakangan ini, dengan pihak berkuasa menemukan jongkong emas yang dijahit pada pakaian atau tersembunyi di rongga mulut, selain ada yang menggunakan kerusi roda untuk menyembunyikannya.


Pada Ogos lalu, Pusat Dasar Emas India berkata dianggarkan 300 tan emas diseludup ke negara itu setiap tahun, yang membawa kerugian besar dari segi hasil pendapatan cukai kepada kerajaan.


Bungkusan berisi pes emas yang ditemui disorok dalam dubur seberat hampir 1kg. - Foto AFP.