Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Selasa, 20 Julai 2021

China ancam perang menggunakan bom nuklear secara berterusan ke atas Jepun

China ancam perang menggunakan bom nuklear secara berterusan ke atas Jepun


Pegawai-pegawai Parti Komunis China memberi amaran keras akan menggunakan bom nuklear ke atas Jepun jika negara Matahari Terbit itu cuba mempertahankan Taiwan daripada serangan China.


Menurut lapor akhbar Daily Star pada 19 Julai 2021, kelmarin, Jawatankuasa Perbandaran Baoji iaitu bandar utama di wilayah Shaanxi memuat naik video amaran itu menerusi saluran perkongsian video tentera tempatan dikenali dengan nama 'Liu Jun Tao Lue'.


Video tersebut mempunyai tajuk bermaksud 'Sekiranya ada campur tangan Jepun dalam usaha menyatukan semula Taiwan, serangan nuklear perlu dilaksanakan segera.' Bagaimanapun, video kontroversi yang disiarkan pada hari Ahad lalu itu telahpun dipadam.


"Jika Jepun berani campur tangan dalam usaha membebaskan Taiwan, maka kami akan mengerahkan askar, pesawat dan kapal perang. Kami akan memulakan perang besar-besaran terhadap negara itu.


"Kami akan menggunakan bom nuklear secara berterusan sehingga Jepun menyerah kalah tanpa syarat. Kami akan menyerang sehingga Jepun sedar ia tidak mampu membayar harga peperangan ini," ujar klip video itu.


Meskipun video itu telah dipadamkan dari media sosial, ia sempat mengumpulkan sekitar dua juta tontonan. Aktivis hak asasi manusia, Jennifer Zeng membuat salinan video itu dengan sari kata bahasa Inggeris dan memuat naiknya di laman Twitter.


"Negara kita (China) berada di tengah-tengah perubahan besar yang belum pernah berlaku dalam satu abad dan semua kebijaksanaan, taktik dan strategi politik perlu disesuaikan untuk melindungi kebangkitan negara kita secara damai.


"Sekiranya Jepun berperang dengan China untuk kali ketiga, rakyat China akan membalas dendam dengan cara paling dahsyat," kata Zheng.


Video itu diakhiri amaran untuk menghukum Perdana Menteri, Jepun Yoshihide Suga, mantan Perdana Menteri, Shinzo Abe dan Timbalan Perdana Menteri, Taro Aso yang berhasrat merebut kembali Pulau Diaoyu dan Ryukyu yang kini di bawah pemerintahan China.


Kenyataan keras pegawai-pegawai Parti Komunis China terhadap Tokyo itu adalah susulan kenyataan oleh pegawai kerajaan Jepun bahawa mereka akan mempertahankan Taiwan jika negara pulau itu diserang oleh China.


Menteri Pertahanan Jepun, Nabuo Kishi dan timbalannya, Yasuhide Nakayama menyokong supaya Jepun terlibat membantu Taiwan jika pulau itu diserang oleh China.


Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Jepun Taro Aso berkata sebarang serangan oleh China terhadap Taiwan akan turut menjejaskan Tokyo dan seterusnya memanggil usaha bersepadu untuk mempertahankan Taiwan.


Kapal selam nuklear kelas Jin jenis 094A milik Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) berada di perairan Qingdao, wilayah Shandong di timur China pada 23 April 2019. - Foto AFP.

Khamis, 15 Julai 2021

Messi Setuju Gaji Baharu RM6.99 juta Seminggu, Dikurangkan 50 Peratus

Messi Setuju Gaji Baharu RM6.99 juta Seminggu, Dikurangkan 50 Peratus


Lionel Messi dilaporkan mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontraknya di Barcelona dengan gaji kurang 50 peratus. Gergasi LaLiga itu sebelum ini gagal mendapatkan tandatangan Messi, 34, sebelum kontrak lamanya tamat penghujung bulan lalu.


Tetapi laporan media Sepanyol menunjukkan kemajuan telah dicapai dalam rundingan kedua-dua pihak. Kontrak baharu itu menyaksikan ikon Argentina itu akan mendapat gaji kurang separuh daripada sebelumnya.


Gajinya dalam kontrak baharu itu sekitar £1.2 juta (RM6.99 juta) seminggu berbanding gaji dalam kontrak lamanya yang bocor awal tahun ini.



Seperti yang dilaporkan L'Equipe Mac lalu, Messi mengetuai senarai pemain menerima gaji paling tinggi di Eropah dengan £2.1 juta (RM11.96 juta) seminggu.


Dan gaji seminggu Messi itu, lebih sekali ganda melebihi pencabar terdekatnya iaitu Cristiano Ronaldo, 36, dikatakan menerima £900,000 (RM5.12 juta) seminggu di Juventus.


Barcelona turut memegang klausa pembebasan sebanyak £300 juta (RM1.74 bilion) ke atas pemain itu. Kontrak baharu itu dikatakan lima tahun walaupun Messi berkata dia mahu menamatkan kariernya di MLS.


Menurut Sport, penyerang itu sedia menerima pengurangan gaji susulan krisis kewangan dihadapi kelab itu. Pengumuman rasmi dijangka minggu depan apabila bintang itu pulang daripada bercuti selepas membantu Argentina menjuarai Copa America.


Update 13 Ogos 2021: Lionel Messi pernah memberitahu mahu kekal di Barcelona bahkan telah menawarkan pemotongan gaji sehingga 50 peratus bagi persetujuan kontrak baharu, namun kelab ini masih tidak dapat meneruskan kerana kekangan kewangan.


Messi yang bergelar ejen bebas sejak 1 Julai lalu kini sudah melengkapkan perpindahan mega ke Paris Saint-Germain (PSG). Messi melengkapkan perpindahan ke PSG, bagaimanapun Barcelona masih hutang Messi RM608 juta.

Isnin, 5 Julai 2021

Nilai Pampasan RM2.3 bilion, Kapal Halang Terusan Suez Dilepaskan 7 Julai

Nilai Pampasan RM2.3 bilion, Kapal Halang Terusan Suez Dilepaskan 7 Julai


KAHERAH - Kapal kargo gergasi berukuran 400 meter panjang dan 59 meter lebar Ever Given yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana menghalang Terusan Suez Mac lalu akan dilepaskan Rabu ini, menurut pihak berkuasa terusan.


Lembaga Terusan Suez semalam berkata majlis akan diadakan pada hari sama bagi menandakan perjanjian antara pemilik kapal dan pelepasan kapal berkenaan.


Mesir menahan kapal milik syarikat Jepun, Shoei Kisen Kaisha dan menuntut pampasan ganti rugi hasil terusan serta kos pelepasan dan kerosakan laluan air yang menghubungkan Asia dan Eropah.


Kapal seberat 200,000 tan tersekat secara melintang ketika ribut pasir pada 23 Mac lalu dan memerlukan usaha besar-besaran selama enam hari untuk melepaskannya.


Menurut syarikat data maritim Lloyd's List, kejadian itu menyebabkan kerugian kira-kira AS$9.6 bilion (RM39.64 bilion) sehari berikutan laluan kapal antara Asia dan Eropah itu terhalang.


Selama beratus tahun Terusan Suez telah menjadi salah satu daripada sumber pendapatan utama dalam mata wang asing untuk kerajaan Mesir. Secara purata, 50 kapal melalui Terusan Suez setiap hari.


Bayaran tol yang dikenakan untuk melalui Terusan Suez bergantung kepada jenis dan saiz kapal selain berat kargo. Kebiasaannya bayaran tol boleh melebihi AS$100,000 (RM414,650).


Susulan insiden itu, Mesir kehilangan pendapatan harian antara AS$12 juta (RM49.55 juta) dan AS$15 juta (RM61.95 juta) sepanjang tempoh berkenaan, menurut pihak berkuasa terusan. Kerja-kerja mengapungkan kapal berkenaan juga mengakibatkan kerosakan teruk terhadap terusan itu.


Minggu lalu, Ketua Lembaga Terusan Suez, Osama Rabie dilaporkan berkata Mesir menandatangani perjanjian dengan pemilik Ever Given sekali gus memuktamadkan nilai pampasan. Mesir mengurangkan tuntutan daripada AS$900 juta (RM3.7 bilion) kepada AS$550 juta (RM2.3 bilion).

Khamis, 1 Julai 2021

Lelaki Cipta Rekod Dunia Balut Isteri Paling Cepat Guna Plastik

Lelaki Cipta Rekod Dunia Balut Isteri Paling Cepat Guna Plastik


Ramai di antara kita yang mempunyai impian untuk mencatatkan rekod dunia, namun untuk mencipta rekod dunia memerlukan kemahiran luar biasa atau unik. Malah, ia bukannya sesuatu yang mudah kerana anda mempunyai pesaing seramai lebih daripada tujuh bilion manusia di bumi.


Satu perkara yang pasti, setiap rekod yang dicipta akan dipecahkan suatu hari nanti. Ada yang mengambil masa sekejap, ada juga yang mengambil masa yang lama. Bagaimanapun, sesetengah rekod dunia ini sangat menakutkan dan dahsyat sehinggakan tiada siapa yang berani memecahkannya.


Menurut lapor berita UPI, 29 Jun 2021, seorang lelaki mencipta Rekod Dunia Guinness terbaru apabila berjaya membalut tubuh isterinya menggunakan plastik dalam masa paling pantas.


David Rush buat pertama kali cipta rekod balut isterinya, Jennifer gunakan plastik paling pantas pada 2019 dengan masa 1 minit dan 57 saat. Selepas itu, rekod tersebut dirampas oleh sepasang suami isteri lain yang berjaya melakukan langkah tersebut pada masa 1 minit dan 29 saat.


Apabila David Rush mendapat tahu bahawa rekod asalnya telah dipecahkan. Dia dan isteri kini gigih berlatih untuk memperbaiki teknik mereka, video itu dikongsi di saluran YouTube.


Rush memaklumkan, dia menggunakan sembilan gulung plastik untuk berlatih bagi memecahkan rekod tersebut.


"Saya telah menghabiskan sembilan gulungan plastik untuk berlatih percubaan terbaru ini, dan kami berjaya memperbaiki teknik, paling pantas adalah 1 minit, 2.44 saat," katanya.


Katanya, selain perlu pantas, cabaran baharu itu juga memerlukan dia membalut isterinya dengan teliti tanpa ada ruang udara serta melakukan balutan berasingan pada tangan dan kaki.


David Rush buat pertama kali cipta rekod balut isterinya, Jennifer gunakan plastik paling pantas pada 2019 dengan masa 1 minit dan 57 saat.

David Rush dan isteri gigih berlatih untuk memperbaiki teknik mereka.

Rabu, 30 Jun 2021

Penyelidik Cipta Alat Pengunci Mulut Bantu Turunkan Berat Badan

Penyelidik Cipta Alat Pengunci Mulut Bantu Turunkan Berat Badan


Dalam usaha mengatasi krisis berat badan berlebihan, sekumpulan penyelidik dari New Zealand dan United Kingdom mencipta peralatan mengunci mulut dari makan. Ia mengunci rahang pemakai daripada terbuka luas sekali gus menahan diri daripada makan dalam kuantiti yang banyak.


Lapor akhbar The Sun semalam, peralatan yang dikenali sebagai 'The Dental Slim Diet Control' merupakan alat yang dihasilkan oleh pakar pergigian yang dipasang di antara gigi atas dan bawah seseorang.


Digelar sebagai 'alat menurunkan berat badan pertama di dunia' peranti menggunakan magnet itu menghalang mulut daripada terbuka melebihi 2 milimeter. Menurut perekanya, alat tersebut dapat mengehadkan amalan pemakanan kepada diet berasaskan cecair.


Peralatan itu masih selamat kerana tidak menutup rahang sepenuhnya, pemakai masih boleh bercakap dan bernafas dengan normal selain terdapat fungsi keselamatan yang membolehkan alat tersebut dicabut jika berlakunya serangan panik atau tercekik.


Menurut penerbitan British Dental Journal, enam peserta yang mengambil bahagian dalam ujian pemakaian alat tersebut menunjukkan mereka berjaya menghilangkan purata berat badan 6.36 kilogram dalam masa dua minggu.



Ketua Penyelidik yang juga Naib Canselor Universiti Otago, Prof. Paul Brunton berkata, peralatan itu adalah berkesan, selamat dan berpatutan bagi individu yang mahu menurunkan berat badan.


"Alat itu dipasang oleh doktor gigi yang boleh dibuka oleh seseorang ketika waktu kecemasan serta dipasang atau ditanggalkan semula.


"Halangan utama untuk setiap orang menurunkan berat badan adalah disiplin dan alat ini membantu mereka membentuk tabiat baharu yang membolehkan mereka mematuhi diet rendah kalori untuk jangka waktu tertentu," jelasnya.


Dalam pada itu, alat tersebut mencetuskan kontroversi di internet selepas ramai pengguna berpendapat ia tidak sesuai untuk digunakan. "Saya rasa ia agak teruk dan menjatuhkan maruah," tulis seorang pengguna di Twitter.


"Masalah kami, golongan berbadan gempal ini adalah kami tidak boleh menutup mulut kami (daripada untuk terus makan)," tulis seorang lagi pengguna.


Alat tersebut menggunakan magnet yang dilekat pada gigi gigi. - Foto Universiti Otago.

Ahad, 27 Jun 2021

Gara-Gara Jiran Pemalas, Wanita Nyaris Maut Dihempap Sofa Dibuang Dari Tingkap 3 Rumah Flat

Gara-Gara Jiran Pemalas, Wanita Nyaris Maut Dihempap Sofa Dibuang Dari Tingkap 3 Rumah Flat


Seorang lelaki yang terlalu malas untuk membawa sofa lamanya menuruni tangga bertindak membuang sofa itu melalui tingkap rumah flat tanpa menghiraukan keselamatan orang lain. Tindakan lelaki itu hampir membunuh jirannya dalam kejadian di Uskudar di Istanbul, Turki.


Menurut laporan tempatan yang dipetik Daily Star, kejadian berlaku pada 9 Jun 2021 lalu selepas pemilik rumah dikenali Mesut Duran membeli sofa baharu, dia mencampak keluar sofa lama daripada tingkap rumahnya.


Malah, rakaman kamera keselamatan bangunan memperlihat dengan jelas detik sofa 'terbang' dan hampir mendarat di atas jiran wanita Mesut yang ketika itu sedang berjalan keluar daripada bangunan berkenaan.


Wanita itu yang terkejut, turut dilihat memandang ke arah rumah Mesut yang berada di tingkat tiga dengan muka marah dan menunjukkan isyarat tangan, sebelum berlalu pergi.


Ketika ditemu bual, Mesut mengakui bahawa dia ingin membuang sofa itu dari tingkap rumahnya dan tidak menyangka wanita berkenaan berada di tempat kejadian.


"Saya melihat dulu ke luar tingkap dan tiada siapa pun di hadapan bangunan. Jadi saya fikir selamat untuk buang sahaja sofa melalui tingkap.


"Jiran saya keluar ketika saya sedang campak sofa itu dan ia hampir terkenanya. Dia kelihatan takut dan saya juga terkejut melihat dia tiba-tiba keluar," kata Mesut kepada portal berita DHA.


Katanya, dia bersyukur sofa itu tidak jatuh di atas jirannya kerana berkemungkinan boleh membunuh wanita itu.


Tangkap layar rakaman kamera keselamatan menunjukkan wanita nyaris dihempap sofa yang dibuang jirannya melalui tingkap.

Selasa, 15 Jun 2021

Penduduk Yang Sudah Divaksin Dapat Hadiah Lembu

Penduduk Yang Sudah Divaksin Dapat Hadiah Lembu


Pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan tempatan di negeri masing-masing dalam usaha mencapai tahap imuniti kelompok yang tinggi, bagi menggalakkan orang ramai menerima suntikan vaksin bagi membendung penularan Covid-19.


Bulan lalu, penduduk di Amerika Syarikat ditawarkan sepaket ganja secara percuma kepada orang ramai yang mengambil suntikan vaskin di bandar Washington, dalam usaha membendung penularan wabak itu, lapor CNN.


Di Filipina pula, hadiah lumayan diberikan kepada penduduk yang sudah divaksin di bandar San Luis di Pampanga berdekatan Manila, kerajaan perbandaran akan menghadiahkan seekor lembu bernilai AS$628 (RM2,600).


Pegawai Pengurusan Bencana, Ardee Taruc berkata, haiwan itu disumbangkan oleh penderma tempatan dan sangat bermakna kerana San Luis merupakan kawasan pertanian.


"Hadiah lembu mungkin tidak bermakna di tempat lain, tetapi tidak di sini. Seekor lembu mampu mengeluarkan seseorang daripada belenggu kemiskinan. Sekiranya lembu betina, petani dapat menjual susunya," katanya.


Filipina merekodkan bilangan penduduk yang sudah menerima satu dos vaksin sebanyak empat peratus iaitu bersamaan 110 juta penduduk dan 1.4 peratus sudah menerima dos kedua.


Ramai penduduk yang enggan menerima suntikan vaksin selepas mendengar berita mengenai penduduk negara lain yang pengsan, terkena serangan jantung serta mati selepas dicucuk.


Dalam perkembangan sama, bermula Julai depan di Las Pinas, seramai 10 penduduk yang sudah menerima suntikan vaksin akan berpeluang memenangi pakej barangan keperluan bernilai lebih AS$100 (RM411).