Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Sabtu, 6 April 2024

Tikam teman wanita beberapa kali sehingga mati selepas lamaran ditolak

Tikam teman wanita beberapa kali sehingga mati selepas lamaran ditolak


Seorang pemandu teksi menikam teman wanitanya beberapa kali sehingga mati di khalayak ramai selepas lamarannya ditolak, lapor laman berita India Today pada 1 April 2024.


Lelaki berusia 35 tahun itu kemudian menyerah diri di balai polis berhampiran. Wanita itu meninggal dunia akibat kecederaan tikaman dan mayatnya ditemui di tempat kejadian.


Suspek dikenali sebagai Girish berasal dari Jayanagar di Bengaluru, manakala wanita berusia 42 tahun itu, dikenali sebagai Farida Khatun, berasal dari Bengal Barat dan bekerja di sebuah spa di bandar Bengaluru.


Farida kembali ke Bengaluru dari Bengal Barat bersama anak perempuannya pada 26 Mac, sejurus sebelum hari lahir Girish pada 29 Mac.


Dia ingin meraikan hari lahir Girish bersama-sama dengannya dan juga mencari kolej untuk salah seorang anak perempuannya.


Pada hari kejadian, lelaki itu menemani Farida dan anak perempuannya untuk membeli-belah dan makan tengah hari, sebelum pulang ke hotel.


Pada petang itu, semasa di Shalini Grounds, Girish melamar Farida, tetapi wanita itu menolaknya.


Dalam keadaan marah, Girish menikam wanita itu berkali-kali dan kemudian menyerah diri di balai polis Jayanagar.


Sementara itu, Deputi Komisioner Shivaprakash Devaraju berkata, polis menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.30 malam Sabtu mengenai penemuan mayat seorang wanita di tangga Shalini Ground.


Sepasukan polis yang tiba di tempat kejadian, mengenal pasti kesan tikaman di badannya.


"Seorang lelaki dikenali Girish datang ke balai polis dan mengaku melakukan jenayah itu. Kami menahannya untuk siasatan lanjut.


"Girish dan Farida mengenali antara satu sama lain sejak 10 tahun lalu dan menjalinkan hubungan.


"Dia ingin mengahwini wanita itu tetapi ditolak, menyebabkan pasangan itu sering bertengkar.


"Kami sedang mengambil keterangan daripada penjual buah-buahan dan orang lain yang berada di tempat kejadian ketika kejadian itu berlaku. Kami juga sedang menyiasat jika ada motif lain," katanya. - Sumber India Today.


Pemandu teksi menikam teman wanitanya beberapa kali selepas lamaran ditolak. - Foto India Today.

Khamis, 4 April 2024

Wanita berjaya atasi kemurungan selepas bersuami dua

Wanita berjaya atasi kemurungan selepas bersuami dua


Seorang wanita di Brazil mendakwa bahawa dia berjaya mengatasi masalah kemurungan dengan menjalinkan hubungan bersama dua lelaki secara serentak, tetapi kini berhasrat untuk mencari pasangan ketiga dalam hidupnya, lapor akhbar New York Post.


Pesohor media sosial, Lary Ingrid (Larissa) berkata, dia tidak lagi mengalami masalah kemurungan ketika tampil dalam rancangan Se Liga VM di stesen televisyen Verdes Mares, lapor Jam Press.


Wanita berusia 27 tahun itu menjalinkan hubungan serentak dengan Italo Silva, 25, dan Joao Victor, 18. Dia melahirkan seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki daripada setiap lelaki itu.


Ingrid dilaporkan telah bertemu Silva lapan tahun lalu. Keadaan berubah selepas Silva mendapat idea supaya mereka menjalinkan hubungan dengan individu lain.


Dia bersetuju dengan Silva dan memilih rakan zaman kanak-kanaknya, Victor untuk bersama mereka.


Victor pada awalnya teragak-agak tetapi akhirnya bersetuju selepas mereka menandatangani perjanjian untuk 'tetap bersama'.


Hubungan Ingrid luar biasa kerana melibatkan seorang wanita dengan berbilang lelaki yang dipanggil poliandri, berbeza dengan poligami apabila lelaki beristeri lebih daripada satu.


"Saya tidak ada masa untuk tertekan lagi, mereka adalah 'suami' saya," seloroh wanita itu, sambil menambah bahawa ia bagus untuk mempunyai dua lelaki mencuci pinggan dan mengemas rumah untuknya.


Dengan kedua-dua perbuatan itu menyalahi undang-undang Brazil, poligami dilarang kerana menyumbang kepada laporan bersekedudukan tanpa berkahwin. - Sumber New York Post.


Ingrid bersama dua pasangannya. - Foto Jam Press.

Jumaat, 29 Mac 2024

Menyamar jadi wanita, penjenayah paling berbahaya lolos penjara

Menyamar jadi wanita, penjenayah paling berbahaya lolos penjara


Seorang penjenayah berbahaya Venezuela berjaya melarikan diri dari penjara dengan hanya menyamar sebagai seorang wanita sebelum keluar pada penghujung waktu melawat, lapor laman berita Oddity Central pada 26 Mac 2024.


Manuel Lorenzo Avila Alvarado, 25, yang dipenjarakan kerana pembunuhan dan rompakan berjaya melarikan diri dari Penjara El Libertador di Tocuyito, Carabobo pada 13 Mac lalu, pada waktu lawatan suami isteri.


Menurut akhbar tempatan El Carabobeño, kejadian itu berlaku kira-kira 2 petang, pada penghujung waktu melawat.


Walaupun mempunyai ton kulit gelap, Alvarado berjaya menipu beberapa pengawal penjara apabila memakai rambut palsu dan pakaian wanita, kemungkinan besar dibawa masuk teman wanitanya.


Kamera keselamatan penjara merakam detik ketika banduan itu, berpakaian seperti wanita dan keluar dari kemudahan yang dikawal ketat dengan bercampur dalam sekumpulan wanita.


Tidak jelas bagaimana pengawal itu boleh ditipu dengan mudah, namun empat daripada mereka kini sedang disiasat berhubung kejadian ini.


Avila baru-baru ini dipindahkan ke penjara Tocuyito dari kemudahan koreksional lain di negeri ini tetapi berjaya melarikan diri dengan dakwaan bantuan teman wanitanya yang juga dikehendaki sebagai rakan sejenayah.


Walaupun usaha terbaik polis Venezuela, Avila dan teman wanitanya masih bebas.


Ini bukan kali pertama banduan lelaki menggunakan penyamaran wanita untuk keluar dari penjara.


Beberapa tahun lalu, seorang lelaki Paraguay yang digelar 'Gordito Lindo' melakukan aksi yang sama dengan memakai rambut palsu hitam, alat solek dan pakaian wanita sebelum berjalan keluar dari pintu hadapan penjara.


Namun, kebebasannya tidak lama kerana pihak berkuasa berjaya menangkapnya dalam beberapa jam. - Sumber Oddity Central.


Avila dan Penjara El Libertador di Tocuyito, Carabobo. - Foto Oddity Central.

Khamis, 28 Mac 2024

Wanita tergamak ketuk kepala ibu dengan kuali hingga mati

Wanita tergamak ketuk kepala ibu dengan kuali hingga mati


Seorang wanita di Bronx, Amerika Syarikat tergamak mengetuk kepala ibunya dengan periuk masak hingga mati dan kemudian menelefon pihak kecemasan dengan mengakui melakukan pembunuhan kejam itu.


Bagaimanapun, suspek, Skydajah Patterson, 26, telah dibebaskan polis dan mendapat rawatan kesihatan mental selepas didakwa memukul ibunya, Selma Mclean berusia 46 tahun di apartment mereka terletak di Presiden Adams House di Bronx pada jam 3.40 pagi (waktu tempatan).


Sumber berkata, Skydajah memberitahu operator kecemasan bahawa dia baharu membunuh ibunya dan semasa pihak berkuasa tiba di apartmen itu mereka mendapati Mclean sudah tidak sedarkan diri dan terdapat kecederaan di muka dan kepalanya.


Malah, wanita muda itu masih memegang periuk masak berlumuran darah.


"Dia mengakui menggunakan peralatan dapur untuk memukul belakang kepala ibunya sehingga pengsan," katanya.


Namun, wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Anak perempuan mangsa telah ditahan, tetapi dia tidak menghadapi sebarang pertuduhan pada lewat petang, kata polis.


Sementara anak baptis Mclean, Danaeyah Reynolds, 26, memberitahu The New York Post bahawa ibunya telah menghantar mesej kepadanya sebelum pembunuhan kejam itu dengan mengatakan dia takut kepada Skydajah yang baharu saja dibebaskan dari wad psikiatari.


"Dia berada di wad psikiatri sejak Februari hingga minggu lalu. Dia mula mendengar suara dan mula bercakap dengan suara seorang lelaki.


"Ibu baptis berkata dia takut kerana Skydajah mengatakan suara di kepalanya memberitahu bahawa ibunya sangat merbahaya," katanya.


Skydajah dikatakan mengalami gangguan mental sejak dia kehilangan bayi lelakinya pada bulan Ogos lalu. - Sumber New York Post.


Anggota polis mengawal pintu masuk apartment didiami Skydajah Patterson dan ibunya yang terletak di Bronx, New York. - Foto Robert Mecea.

Skydajah Patterson, 26, didakwa menggunakan kuali untuk membunuh ibunya. - Foto Facebook/Skydajah Patterson.

Rabu, 27 Mac 2024

Pemain remaja maut terkena sepakan di perut

Pemain remaja maut terkena sepakan di perut


Malang menimpa seorang pemain bola sepak remaja berusia 17 tahun apabila menemui ajal akibat terkena tendangan di bahagian perut dalam satu perlawanan, lapor akhbar Metro UK pada 26 Mac 2024.


Wassim Jazzar dari kelab amatur Algeria, mengalami kecederaan itu ketika bertembung dengan pemain pertahanan lawan.


Kejadian berlaku ketika dia cuba mengeluarkan bola dan secara tidak sengaja ditendang di perut oleh pemain lawan sebelum rebah di atas padang.


Permainan kemudian dihentikan dan para pemain kedua-dua pasukan mengerumuninya untuk memberi bantuan.


Wassim selepas itu terpaksa dikejarkan ke hospital dengan kereta awam kerana menurut media tempatan tiada ambulans atau doktor di sekitar kawasan tersebut.


Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia dengan 'sepakan maut' itu didakwa sebagai punca kematian, lapor The Sun.


Media Algeria pula melaporkan bahawa Wassim meninggal dunia sejurus selepas terkena tendangan itu.


Berita sedih itu menyusul selepas arena bola sepak Colombia dikejutkan dengan pemergian Guillermo Beltran yang tumbang ketika latihan. - Sumber Metro UK.


Para pemain mengerumuni Wassim selepas rebah terkena tendangan di perut oleh pihak lawan. - Foto Twitter.

Selasa, 19 Mac 2024

Kerap mengalami sakit kepala, rupanya cacing pita bertelur dalam otak

Kerap mengalami sakit kepala, rupanya cacing pita bertelur dalam otak


Penderitaan seorang lelaki yang kerap mengalami sakit kepala atau migrain terbongkar apabila telur cacing pita ditemui dalam kepalanya, lapor NBC News pada 12 Mac 2024.


Pembongkaran itu diketahui selepas lelaki warga Amerika berusia 52 tahun menemui seorang doktor selepas mengadu sakit kepala teruk dan ubat dimakannya gagal memberikan kelegaan kepadanya.


Doktor yang melakukan imbasan mendapati sejumlah telur cacing pita 'bersarang' dalam otaknya.


Selepas membuat pemeriksaan lanjut, lelaki itu disahkan menghidap penyakit neurocysticercosis, sejenis jangkitan daripada larva cacing pita babi yang boleh memasuki tisu seperti otak dan otot.


Penyelidik berkata, pada mulanya mereka hairan selepas mendapati lelaki itu mengakui dia tidak pernah mengunjungi mana-mana kawasan berisiko tinggi.


"Selepas diselidik, pesakit menafikan dia memakan daging mentah atau makanan jalanan.


"Pada masa sama dia mengakui gemar memakan daging separuh masak sepanjang hayatnya," menurut kajian dalam American Journal Of Case Report.


Penyelidik percaya jangkitan itu berpunca akibat tidak mencuci tangan selain memakan daging tidak dimasak sempurna.


Namun nasib lelaki itu baik apabila diberikan ubat anti-parasit dan anti-radang dan dilaporkan pulih seperti sedia kala.


Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat menyatakan dalam laman webnya bahawa sistiserkosis boleh berlaku kepada individu yang tidak pernah mengembara keluar dari negara ini.


"Sebagai contoh, individu yang dijangkiti cacing pita dan dia tidak mencuci tanggannya berkemungkinan tidak sengaja mencemari makanan dengan telur cacing pita semasa menyediakan makanan kepada orang lain," katanya. - Sumber NBC News.


Imbasan menunjukkan telur cacing pita yang bersarang dalam otak seorang lelaki di Amerika Syarikat. - Foto NBC News.

Sabtu, 16 Mac 2024

Tiada yang mustahil, inilah doktor terpendek di dunia

Tiada yang mustahil, inilah doktor terpendek di dunia

 

Dr Ganesh Baraiya, pemuda dari Gujarat, India, membuktikan tiada yang mustahil apabila mencapai cita-citanya bergelar doktor terpendek di dunia.


Ia memandangkan Dr Ganesh, 23, hanya mempunyai ketinggian 91.4 sentimeter (sm), menjadikan dia mungkin doktor terpendek di dunia, lapor Oddity Central pada 13 Mac 2024.


Dr Ganesh yang menamatkan pengajiannya dan kini bertugas sebagai pelatih di Hospital Sir-T di Bhavnagar, menyimpan impian bergelar doktor sejak kecil lagi, lalu belajar bersungguh-sungguh mendapatkan gred yang tinggi dalam pelajaran.


Bagaimanapun, laluannya agak sukar kerana pernah memohon menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS), namun ditolak walaupun mendapat keputusan yang baik.


Majlis Perubatan India menolak permohonannya kerana ketinggiannya dengan memberi alasan Ganesh tidak akan dapat melaksanakan tugasnya dalam kes kecemasan.


Dr Ganesh mengakui kecewa namun enggan berputus asa hingga kesnya dibawa ke Mahkamah Agung India.


Pada 2018, Mahkamah Tinggi di India, memutuskan Ganesh berhak untuk mendaftar dalam MBBS, dan dia melakukannya pada tahun berikutnya.


"Saya sangat kecewa tiga tahun lalu, tetapi enggan menerima penolakan mereka. Sekarang saya sangat gembira kerana mendapat keadilan daripada Mahkamah Agung.


"Kini saya dalam perjalanan untuk memenuhi impian yang saya harapkan sejak kecil. Saya tahu saya berbeza, tetapi saya mahu menjalani kehidupan yang baik seperti orang lain dan membanggakan ibu bapa saya," kata Dr Ganesh.


Sehingga kini, Dr Ganesh masih menangani isu diskriminasi kerana ramai pesakitnya enggan bercakap dengannya kerana ketinggiannya. - Sumber Oddity Central.


Dr Ganesh Baraiya. - Foto Oddity Central.