Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan

Isnin, 17 April 2023

Dasar laut bocor, saintis terkejut temui lubang besar 'mengeluarkan' sesuatu unsur lain

Dasar laut bocor, saintis terkejut temui lubang besar 'mengeluarkan' sesuatu unsur lain


Sekumpulan saintis terkejut menemui sebuah lubang besar di dasar lautan di luar pantai negeri Oregon, Amerika Syarikat di kawasan dikenali sebagai Zon Subduksi Cascadia, lapor akhbar Daily Star pada 13 April 2023.


Pakar-pakar dari Universiti Washington berkata, penemuan lubang dasar laut yang bocor mungkin bukan petanda baik di rantau berkenaan.


Lubang itu dinamakan 'Pythias Oasis' sempena nama seorang pendeta Greek yang membuat ramalan ketika duduk di atas mata air panas, lapor laman web Futurisme.


Ia menarik perhatian saintis sejak ditemui pada 2015, tetapi penyelidikan baharu mencadangkan bahawa air yang keluar dari lubang itu adalah sesuatu unsur lain.



Pakar-pakar percaya bahawa ia sebenarnya adalah sejenis pelincir tektonik yang diperlukan oleh plat untuk mengelakkan pergerakan dalam tanah.


Semasa menjalankan penyelidikan, saintis menemui 'buih-buih pada kedudukan kira-kira 1.2 kilometer di bawah permukaan air'.


Dengan menggunakan robot peneroka dasar laut, mereka mendapati buih-buih itu hanya komponen kecil cecair panas berbeza secara kimia yang muncul dari sedimen dasar laut.


Profesor oseanografi dan geologi dasar laut Universiti Washington, Evan Solomon berkata: "Mereka meneroka ke arah itu dan apa yang dilihat bukan hanya gelembung metana, tetapi air yang keluar dari dasar laut seperti paip.


"Itu sesuatu yang tidak pernah saya lihat dan dalam pengamatan saya tidak pernah dikaji sebelum ini," katanya.


Kajian sebelum ini mendapati air yang keluar dari lubang itu lebih panas daripada suhu lautan.


Ia dipercayai kebocoran dasar laut pertama seumpamanya tetapi pakar percaya bahawa yang lain mungkin wujud tanpa pengesanan. - Sumber Daily Star


Pakar percaya ia mungkin cecair tektonik yang bocor ke lautan. - Foto Universiti Washington.

Ahad, 16 April 2023

Kejadian unik, salji dan hujan batu melanda Arab Saudi, mengganggu lalu lintas

Kejadian unik, salji dan hujan batu melanda Arab Saudi, mengganggu lalu lintas


Sebahagian kawasan di Arab Saudi termasuk wilayah Al Baha dilanda salji dalam satu kejadian yang unik pada pagi Isnin lalu, lapor portal berita Gulf News pada 11 April 2023.


Video di media sosial menunjukkan salji dan hujan batu melanda jalan raya menyebabkan banyak kenderaan yang tersangkut.


Gangguan cuaca luar biasa tersebut menyebabkan keterujaan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa yang mengambil kesempatan daripada fenomena alam yang jarang berlaku itu.


Dalam pada itu, portal berita The Siasat Daily melaporkan bahawa wilayah Al Baha terkenal dengan kawasan pergunungan megah dan landskap yang indah.



Kru-kru kecemasan dari majlis perbandaran terpaksa mengalihkan batu dan hujan batu dari jalan raya manakala taman-taman bertukar warna menjadi putih.


Ramai pemandu singgah untuk menikmati cuaca yang sejuk dan sederhana itu manakala kanak-kanak dan orang dewasa muda dilihat berseronok di lereng gunung termasuk di tepi jalan raya yang dilitupi salji.


Pertahanan awam telah meningkatkan kesediaan mereka untuk menghadapi sebarang potensi risiko dan telah mengerahkan pasukan peronda.


Pihak berkuasa telah memberi amaran kepada rakyat, penduduk dan pemandu kenderaan supaya berhati-hati memandangkan perubahan cuaca di rantau itu. - Sumber Gulf News.


Sebahagian kawasan termasuk wilayah Al Baha diliputi salji pada awal pagi Isnin lalu. - Foto LBCI.

Ahad, 26 Mac 2023

Kuda belang 'serang' jalan raya yang sibuk di Seoul

Kuda belang 'serang' jalan raya yang sibuk di Seoul


Seekor kuda belang mencetus kekecohan di kawasan jalan raya yang sibuk di Seoul, Korea Selatan, setelah haiwan itu terlepas dari kandang sebuah zoo di ibu negara.


Kuda belang jantan, bernama Sero itu dilaporkan meloloskan diri dari Zoo Kanak-Kanak Seoul pada petang Khamis lalu.


Menurut lapor BBC News pada 23 Mac 2023, Polis, pegawai bomba dan kakitangan zoo bertungkus-lumus selama lebih tiga jam untuk menangkap Sero dan menghantar semula kuda belang itu ke kandangnya dengan selamat.


Video tular yang disiarkan dalam talian menunjukkan haiwan itu berlari melepasi lalu lintas di jalan yang sibuk.



Sero juga dilihat berkeliaran dan menyelongkar tong sampah di kawasan perumahan berhampiran timur bandar itu.


Menurut Balai Bomba Gwangjin, kuda belang berusia hampir dua tahun itu dapat melarikan diri selepas memecahkan pagar kayu di sekeliling kandangnya.


Sero akhirnya ditangkap oleh pegawai menggunakan pagar keselamatan (jaring hijau) selepas haiwan itu memasuki lorong sempit.


Mamalia tersebut ditenangkan sebelum dibawa pulang ke zoo dengan menaiki sebuah trak. - Sumber BBC News.


Seekor kuda belang yang terlepas dari zoo berkeliaran di kawasan jalan raya di Seoul pada Khamis, 23 Mac 2023 akhirnya berjaya ditangkap. - Foto BBC News.

Sabtu, 25 Mac 2023

Rangka manusia tanpa identiti ditemukan berhampiran sungai di Paloh

Rangka manusia tanpa identiti ditemukan berhampiran sungai di Paloh


Satu rangka manusia tanpa pengenalan diri ditemui berhampiran sebatang sungai di Ladang Tereh di Paloh, Kluang oleh seorang lelaki yang sedang memancing, Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, penemuan rangka yang belum dapat dikenali pasti jantina dan usia itu dilaporkan kepada pihaknya kira-kira pukul 8.30 malam hari kejadian.


"Hasil siasatan awal mendapati mayat berada 6.1 meter dari tebing sungai dalam keadaan mengereng yang hanya tinggal tulang sahaja.


"Pemeriksaan telah dibuat oleh pasukan Forensik dan mendapati terdapat baju T berwarna biru dan baju sejuk berlengan panjang berdekatan rangka namun tiada sebarang dokumen peribadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut Bahrin lagi, mayat kemudian dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.


Ujarnya, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga dan mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan penemuan mayat itu boleh tampil untuk membuat pengecaman.


"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga hasil forensik diperolehi daripada pihak hospital," katanya.


Satu mayat yang hampir tinggal rangka ditemui di tepi sebatang sungai di Ladang Tereh di Paloh, Kluang, Khamis lalu.

Selasa, 21 Februari 2023

Serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di kota purba selatan Itali

Serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di kota purba selatan Itali


Penduduk ‘kota batu’ purba di selatan Itali dikejutkan dengan satu fenomena luar biasa selepas serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di pinggir bandar itu, Matera baru-baru ini, lapor akhbar The Guardian pada 19 Februari 2023.


Objek angkasa yang bergerak pada kelajuan 321 kilometer sejam itu dikesan di langit wilayah Puglia dan Basilicata pada 14 Februari lalu, membuatkan ia digelar ‘bebola api Hari Kekasih’.


Ia dikatakan jatuh di balkoni rumah pasangan adik beradik, Gianfranco dan Pino Losignore bersama ibu bapa mereka.


Mereka menyedari keadaan itu apabila melakukan pemeriksaan pada panel solar kediaman tersebut tiga hari kemudian.


Mereka mendapati panel dan jubin telah rosak, bersama dengan serpihan kelabu bertaburan di seluruh balkoni.


“Saya tidak berada di rumah ketika ia berlaku, namun ibu saya memberitahu dia ada mendengar bunyi dentuman kuat.


“Dia berasa bimbang, namun disebabkan cuaca berangin, saya menyangkakan bunyi dentuman itu adalah ranting pokok. Rupa-rupanya, ia adalah serpihan meteorit,” kata Gianfranco.


Bebola api meteorit itu dipantau pada kamera pengawasan Prisma, sebuah projek yang dikendalikan oleh Institut Astrofizik Itali, sekali gus membolehkan pakar mengesan lokasi ia jatuh.


Lebih 70 gram serpihan telah dikumpulkan setakat ini untuk kajian tersebut, yang kemudiannya akan dipamerkan di muzium.


Seorang wakil Prisma, Carmelo Falco berkata, meskipun banyak meteorit jatuh ke Bumi, apa yang jarang berlaku di Matera adalah ia mendarat pada permukaan bersih, justeru, objek itu tidak tercemar. - Sumber The Guardian.


Gianfranco menemui serpihan kelabu bertaburan di seluruh balkoni rumahnya. - Foto Gianfranco Losignore.

Isnin, 6 Februari 2023

Lelaki temui wang lama bernilai RM241,000 dalam dinding rumah

Lelaki temui wang lama bernilai RM241,000 dalam dinding rumah


Seorang lelaki Sepanyol menemui enam bekas tin berisi wang tunai lama negara itu yang bersamaan dengan nilai £47,000 (RM241,241) semasa melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya, lapor akhbar The Sun pada 1 Februari 2023.


Bagaimanapun, keterujaan lelaki itu, Tono Pineiro tidak lama kerana Bank of Spain tidak lagi menerima wang tersebut kerana ia telah menghentikan pengeluaran wang kertas lama tersebut iaitu pada tahun 2002.


Peseta (sebutan wang lama Sepanyol) telah dihapuskan secara berperingkat selepas Sepanyol menerima pakai euro pada tahun 2002. Bank of Spain menganggarkan kira-kira 1.6 bilion euro wang kertas lama dan syiling tidak ditukar sebelum tarikh akhir.


"Saya menghubungi mereka, tetapi mereka memberitahu saya bahawa ia tidak mungkin lagi (menukar wang tersebut)," kata Pineiro.


Namun, dua bekas tin berisi wang tunai lama itu masih boleh ditukar sebelum tarikh akhir Jun 2021, jadi dia dapat menukarnya kira-kira £30,000 (RM153,984) kepada mata wang baharu.


Menurut akhbar Daily Star, Pineiro menemui sejumlah enam bekas tin berisi wang tunai lama itu di pelbagai bahagian rumah yang sedang diubah suainya.


"Saya rasa mereka menyimpan bekas ini untuk mengelakkan kelembapan. Bekas yang terakhir agak rosak, tetapi yang lain tidak," kata Pineiro.


Rumah itu telah ditinggalkan selama empat dekad apabila Pineiro, yang dibesarkan di wilayah itu, melihatnya untuk dijual di Facebook. Dia kemudian membeli rumah itu untuk persaraannya.


"Rumah itu sebelum ini milik Manuel do Xentes, seorang pekerja di kilang bata Canabal yang juga peniaga lembu. Dia meninggal dunia tanpa waris, meninggalkan kekayaannya untuk ditemui di dinding lebih daripada 40 tahun kemudian," kata jiran Pineiro.


Sebahagian daripada wang tunainya yang lapuk itu akan disimpan lelaki itu sebagai kenang-kenangan. - Sumber The Sun.


Tono Pineiro menemui wang tunai lama Sepanyol semasa melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumah. - Foto AGENCIA ATLAS / EFE.





Ahad, 15 Januari 2023

UFO berbentuk cakera terbang berhampiran gunung berapi aktif di Mexico

UFO berbentuk cakera terbang berhampiran gunung berapi aktif di Mexico


Sepasang kekasih peminat hobi fotografi terkejut melihat kehadiran objek terbang tidak dikenali (UFO) ketika merakam gambar sebuah gunung berapi aktif di tengah Mexico, lapor portal berita Mirror UK pada 11 Januari 2023 lalu.


Karla Garcia memberitahu portal berita itu bahawa teman lelakinya, Luis Guerra bangun awal pagi pada Ahad, 8 Januari di rumah mereka di Atlixco, Puebla untuk menyediakan sarapan apabila mereka terdengar bunyi letusan gunung berapi Popocatepetl.


Kata Karla, Guerra mengambil telefon bimbitnya dan mula merakamkan gambar dan video dan menumpukan perhatian pada bulan purnama yang kelihatan di tepi gunung itu.


"Dia kemudian menghantar foto itu kepada saya menerusi WhatsApp dan apabila saya bangun, saya melihatnya dan berkongsi (gambar itu) di status WhatsApp saya," kata Karla.



Namun, Karla yang kekal berada di katil mula menerima mesej daripada rakan-rakan memberitahunya tentang objek yang kelihatan seperti sebuah UFO sedang terbang berhampiran gunung berapi itu.


"Ekoran teman lelaki saya bukan peminat rangkaian sosial, saya bertanya kepadanya sama ada saya boleh memuat naik fotonya ke Twitter dan dia berkata, ya," tambah García.


Dia kemudian melampirkan gambar tersebut kepada seorang wartawan tempatan yang terus berkongsi imej itu di rangkaian tempatannya sebelum ia menjadi tular di media sosial. - Sumber Mirror UK.


Foto menunjukkan gunung berapi setinggi 10,000 kaki dengan kepulan asap yang melayang dari kawahnya, dan di sebelah kanan kelihatan objek berbentuk cakera yang jelas, seperti yang dilaporkan oleh Daily Star. - Foto Facebook/Karla GC.