Memaparkan catatan dengan label Fosil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fosil. Papar semua catatan

Ahad, 26 Jun 2022

Pelombong temukan fosil hampir lengkap anak gajah purba yang mati lebih 30,000 tahun lalu

Pelombong temukan fosil hampir lengkap anak gajah purba yang mati lebih 30,000 tahun lalu


Kumpulan pelombong di lombong emas Klondike di utara Kanada, dikejutkan dengan penemuan fosil hampir lengkap seekor anak gajah purba atau Mammoth ketika melakukan kerja-kerja penggalian, lapor Daily Mail pada 24 Jun 2022.


Pakar paleontologi, Grant Zazula berkata, fosil yang dinamakan 'Nun cho ga' atau bermaksud anak haiwan besar itu kelihatan hampir sempurna apabila kulit dan bulunya masih terpelihara dengan baik.


"Sebagai ahli paleontologi, ini merupakan salah satu impian sepanjang hidup saya untuk bersemuka dengan seekor Mammoth berbulu sebenar.


"Impian itu menjadi kenyataan hari ini. Nun cho ga cantik dan salah satu daripada haiwan zaman ais mumia yang paling luar biasa yang pernah ditemui di dunia. Saya tidak sabar untuk mengetahui lebih lanjut mengenai fosil ini," katanya.


Fosil itu ditemukan ketika kerja-kerja penggalian lombong dilakukan di kawasan tanah beku di selatan bandar Dawson di wilayah Yukon, yang bersempadan dengan Alaska.


Anak gajah purba itu dipercayai betina dan mati semasa zaman ais, lebih 30,000 tahun lalu. Analisis lanjut mendedahkan anak gajah itu tinggal bersama kuda liar, singa gua dan bison padang rumput gergasi yang pernah berkeliaran di Yukon beribu-ribu tahun dahulu.


Penemuan itu secara tidak langsung menjadi fosil pertama yang hampir lengkap dan masih terpelihara ditemukan di Amerika Utara.


"Kami sangat teruja dengan penemuan penting anak Gajah Mammoth berbulu mumia ini. Tanpa perkongsian antara pelombong emas dan kerajaan Yukon, penemuan seperti ini tidak boleh berlaku," kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Ranj Pillai dalam satu kenyataan.


Menurut kerajaan Yukon, saiz Nun cha go hampir sama dengan fosil anak Mammoth berbulu berusia 42,000 tahun 'Lyuba' yang ditemui di Siberia pada 2007 lalu. - Sumber Daily Mail.


Anak gajah purba itu dipercayai betina dan mati semasa zaman ais, lebih 30,000 tahun lalu. - Foto Government of Yukon.

Pakar teruja dengan keutuhan spesimen ini. - Foto Government of Yukon.

Pakar mengatakan ia adalah 'penemuan paling lengkap' di Amerika Utara. - Foto Government of Yukon.

Fosil kelihatan hampir sempurna apabila kulit dan bulunya masih terpelihara dengan baik. - Foto Government of Yukon.

Ahad, 10 April 2022

Saintis temukan fosil dinosaur pertama bersama serpihan asteroid berusia 66 juta tahun

Saintis temukan fosil dinosaur pertama bersama serpihan asteroid berusia 66 juta tahun


Ahli paleontologi berjaya menemukan sebahagian fosil dinosaur pertama yang dipercayai terbunuh ketika asteroid besar melanda Bumi 66 juta tahun lalu, di Tanis, Dakota Utara, Amerika Syarikat, lapor BBC News pada 6 April 2022.


Pakar menemukan kaki Thescelosaurus yang merupakan dinosaur herbivor kecil bersama serpihan batu angkasa selebar 11,265 meter yang membunuhnya. Kaki haiwan itu yang lengkap dengan kulit berkemungkinan 'tercabut' selepas dilanda asteroid Chicxulub sehingga menyebabkan banjir kilat.


Fosil kaki haiwan itu digali bersama beberapa siri penemuan luar biasa di tapak fosil terbabit, antaranya fosil penyu yang dicucuk dengan pancang kayu, sisa-sisa mamalia kecil, kulit dari triceratops bertanduk dan embrio pterosaurus di dalam telurnya.


"Ini adalah penemuan pertama dinosaur yang menjadi mangsa hujan asteroid sehingga menyebabkan kawah seluas 149, 669 meter di kawasan yang kini dikenali sebagai Teluk Mexico.


"Kami juga menemukan serpihan kecil dari batu angkasa yang menamatkan era dinosaur sehingga membawa kepada kebangkitan mamalia," kata pakar.


Penemuan itu dilakukan oleh Ahli Paleontologi Universiti Manchester, Robert DePalma di tapak penggalian terkenal yang ditemukan sejak 2008.


"Ini adalah perkara paling luar biasa, dan adalah senario kes terbaik. Kawasan ini mempunyai haiwan yang tertimbus semasa dihentam asteroid, selain dikenali sebagai 'tanah perkuburan dinosaur'," katanya.


Pakar juga boleh memberikan bukti fizikal pertama mengenai dinosaur terbunuh akibat asteroid semasa penghujung Zaman Cretaceous.


Pakar menjelaskan bilangan fosil dinosaur yang ditemukan di dalam batu sangat sedikit walaupun beberapa ribu tahun sebelum hujan asteroid berlaku. Oleh itu, usaha untuk menemukan fosil dari hari peristiwa itu berlakunya sebenarnya adalah sangat luar biasa.


Sementara itu, BBC bakal menyiarkan dokumentari bagi mendedahkan beberapa penemuan baharu rangka dinosaur di Tanis, yang dipersembahkan oleh Sir David Attenborough 15 April depan.


Asteroid selebar 12 kilometer (km) telah dikenal pasti jatuh di Teluk Mexico, di luar Semenanjung Yucatan, kira-kira 3,000km jauhnya dari Tanis, begitulah tenaga yang diberikan dalam peristiwa itu, kemusnahannya dirasai jauh dan luas. - Foto BBC News.

Ahli paleontologi menemui fosil kaki Thescelosaurus - dinosaur herbivor kecil bersama serpihan batu angkasa selebar 11,265 meter yang membunuhnya. - Foto Twitter.

Sir David Attenborough meneliti fosil dinosaur Thescelosaurus. - Foto BBC News.

Ahad, 20 Mac 2022

Fosil ikan paus purba berusia 36 juta tahun kini dipamerkan kepada umum

Fosil ikan paus purba berusia 36 juta tahun kini dipamerkan kepada umum


Ahli paleontologi pada Khamis mendedahkan sebahagian fosil ikan paus purba yang dianggarkan mendiami lautan sejak 36 juta lalu, selepas ia ditemukan di kawasan gurun Peru pada tahun lalu.


Menurut akhbar New Straits Times pada 18 Mac 2022 melaporkan, Ahli paleontologi, Mario Urbina, ketua pasukan yang menemui rangka itu berkata, fosil itu terdiri daripada set lengkap tengkorak basilosaurus yang hidup 36 juta tahun lalu.


"Kami telah mempersembahkan basilosaurus Peru yang baharu, ia adalah tengkorak lengkap ikan paus kuno yang hidup 36 juta tahun lalu," katanya kepada AFP.


Jelas beliau, fosil paus berkenaan ditemukan pada penghujung tahun lalu di Gurun Ocucaje, kira-kira 350 kilometer ke selatan Lima. Kawasan gurun tersebut merupakan lautan cetek yang terbentuk jutaan tahun lalu.



Fosil yang digelar 'Ocucaje Predator' itu mempunyai panjang berukuran 17 meter dan dipercayai menjadikan tuna, jerung dan ikan sardin sebagai diet utamanya.


"Penemuan ini amat penting kerana tiada spesimen serupa dengannya ditemukan di tempat lain di seluruh dunia," kata Urbina yang juga merupakan pengkaji di Universiti Kebangsaan San Marcos di Lima.


Pasukannya menjelaskan, fosil basilosaurus berbeza berbanding spesies pasu purba yang lain berdasarkan saiz, gigi dan rantaian makanannya.


Baca Juga: Fosil Ikan Paus ditemukan di Tengah Padang Pasir.


Ahad, 30 Januari 2022

Fosil 'naga laut' terbesar berusia 180 juta tahun ditemukan di Britain

Fosil 'naga laut' terbesar berusia 180 juta tahun ditemukan di Britain


Kumpulan saintis sifatkan penemuan satu fosil 'naga laut' di Midlands sebagai kejayaan terbaik dalam sejarah paleontologi Britain, lapor akhbar Daily Mail pada 10 Januari 2022.


Fosil ichthyosaur yang dianggarkan berusia 180 juta tahun itu ditemukan dengan rangka sepanjang 10 meter dan tengkorak seberat satu tan. Rangka itu merupakan fosil lengkap paling besar pernah ditemukan di United Kingdom.


Fosil itu mula-mula ditemukan oleh Joe Davis, 48, dari Lercestershire ketika melakukan kerja-kerja mengeringkan sebuah lagun di kawasan perairan Rutland pada Februari 2021.


"Apabila ahli paleontologi dan pasukan kami menemui rangka penuh dan mengangkatnya keluar menggunakan traktor dengan pemuat, kepala rangka itu adalah sebesar saya, iaitu setinggi enam kaki. Ia adalah haiwan yang hebat," jelasnya.



Ichthyosaur digelar sebagai naga laut kerana memiliki gigi dan mata yang besar dan fosil pertama haiwan purba itu ditemukan oleh ahli paleontologi, Mary Anning pada awal abad ke-19.


Pakar paleontologi, Dr. Deam Lomax seorang pakar mengenai ichthyosaur dari Universiti Manchester yang menghabiskan 14 hari menggali fosil itu menyifatkan penemuan terbaharu itu paling menakjubkan.


"Walaupun banyak fosil ditemui di Britain, adalah luar biasa untuk terfikir bahawa Rutland ichthyosaur adalah rangka terbesar yang pernah ditemui di UK", jelasnya.



Ichthyosaur merupakan haiwan reptilia, dipercayai wujud kira-kira 250 juta tahun lalu dan pupus sejak 90 juta tahun lepas. Ia berbeza-beza dari segi saiz, iaitu dari satu hingga lebih 25 meter panjang dan menyerupai ikan lumba-lumba dalam bentuk badan fizikalnya.


Rangka itu telah digali oleh sepasukan pakar paleontologi dari UK pada Ogos dan September. Dua ichthyosaur yang tidak lengkap dan lebih kecil pernah ditemui semasa pembinaan awal Rutland Water pada tahun 1970-an. - Sumber Daily Mail.


Spesimen ini ditemui di takungan terbesar di England ketika ahli pemuliharaan mengalirkan air untuk memulihara habitat untuk pembiakan burung. - Foto Daily Mail.

Ichthyosaur menyerupai ikan lumba-lumba dalam bentuk badan fizikalnya. - Foto Daily Mail.

Penemuan terbaharu Fosil ichthyosaur ini adalah rangka lengkap pertama yang pernah ditemui. - Foto Daily Mail.

Sabtu, 8 Januari 2022

Tapak kaki dinosaur berusia lebih 200 juta tahun ditemukan di pantai Wales

Tapak kaki dinosaur berusia lebih 200 juta tahun ditemukan di pantai Wales


LONDON - Fosil tapak kaki dinosaur yang ditemukan di sebuah pantai di Wales dipercayai berusia lebih 200 juta tahun, kata pakar selepas mereka selesai melakukan penyelidikan.


Memetik lapor CNN pada 2 Januari 2022, ahli paleontologi dari Natural History Museum di London memaklumkan tapak kaki dinosaur itu berasal dari zaman Triassic.


Malah, pakar percaya penemuan tapak kaki itu dari spesies Saurapod atau kumpulan Saurapod yang paling awal.


"Kami tahu spesies awal Saurapod wujud di Britain pada masa itu kerana tulang Camelotia (spesies yang paling awal) ditemukan di Somerset pada tempoh sama.


"Kami tidak pasti sama ada spesies ini meninggalkan jejak kaki tersebut, namun ia merupakan petunjuk haiwan seperti ini boleh melakukannya," kata ahli paleontologi, Dr. Susannah Maidment yang terlibat dalam penyelidikan tersebut.


Gambar 3D tapak kaki yang ditemukan di sebuah pantai di Wales. - Foto CNN.

Sebelum ini, Maidment dan rakan sekerjanya, Prof. Paul Barrett menerima gambar tapak kaki yang ditemukan di pantai di Penarth oleh ahli paleontologi amatur pada 2020.


Pada mulanya, mereka ragu-ragu dengan penemuan itu. Mereka kemudian pergi ke lokasi penemuan itu untuk melakukan penyelidikan dan mendapati kesan tapak kaki itu milik kumpulan spesies dinosaur paling awal.


Kata Barrett, penemuan itu juga boleh mendedahkan maklumat tentang tingkah laku dinosaur, seperti cara mereka berjalan, dan mengembara dalam kumpulan.


"Rekod mengenai dinosaur Triassic di negara ini (UK) tidak banyak, jadi apa sahaja yang kami temui daripada zaman itu menambah kepada gambar kami tentang apa yang berlaku pada masa itu," katanya.


Penyelidik mendapatkan bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa jejak kaki itu sebenarnya adalah tapak kaki dinosaur dari zaman Triassic. - Foto CNN.

Selasa, 28 Disember 2021

Fosil kepala raksasa laut yang hidup kira-kira 244 juta tahun dahulu ditemui di Nevada

Fosil kepala raksasa laut yang hidup kira-kira 244 juta tahun dahulu ditemui di Nevada


Satu fosil kepala raksasa laut gergasi menyamai saiz seorang lelaki dewasa ditemui, di salah satu tempat paling kering di Bumi, lapor akhbar Daily Mail pada 23 Disember 2021.


Fosil kepala haiwan bernama Cymbospondylus youngorum itu ditemui dengan muncung panjang dan gigi runcing, bersama beberapa spesimen lain di gurun Black Rock di Nevada, Amerika Syarikat.


Haiwan ini hidup kira-kira 244 juta tahun dahulu, jauh sebelum kehidupan dinosaur sauropod. Beratnya boleh mencapai lebih 40 tan dan mempunyai ukuran panjang lebih 18 meter (60 kaki) dari hidung hingga ke ekor.


"Walaupun ikan paus kini merupakan makhluk terbesar di Bumi, ia bukanlah gergasi lautan pertama yang mendiami lautan.


"Ikan paus mengambil 90 peratus masa selama 55 juta tahun kewujudannya untuk berevolusi menjadi gergasi lautan seperti yang kita kenali hari ini," kata Profesor Martin Sander yang merupakan penulis tentang raksasa dalam jurnal Science.



Tambah Profesor Sander, reptilia marin itu sememangnya haiwan terbesar yang pernah ditemui sejak tempoh masa ini.


"Setakat yang kita tahu, ia juga merupakan makhluk gergasi pertama yang pernah mendiami Bumi - jauh sebelum dinosaur," katanya.


Menurutnya, sisa-sisa fosil Cymbospondylus youngorum pertama kali ditemui pada tahun 1998, namun hanya dalam bentuk serpihan tulang belakang haiwan itu.


Hanya pada September 2011, penyelidik membuktikan bahawa ia adalah haiwan prasejarah yang hidup sebelum dinosaur, kepala fosil itu kemudian digali keluar dari batu.


Selepas kajian selesai, fosil Cymbospondylus youngorum kini menjadi koleksi paleontologi Muzium di Natural History Museum of Los Angeles County, dan dipamerkan kepada orang ramai.


Kepala dinosaur prasejarah sama panjangnya dengan seorang lelaki dewasa. - Foto SWNS.

Isnin, 27 Disember 2021

Fosil lipan sebesar kereta yang hidup sejak 326 juta tahun lalu ditemukan di Newcastle

Fosil lipan sebesar kereta yang hidup sejak 326 juta tahun lalu ditemukan di Newcastle


Sebuah fosil lipan bersaiz gergasi yang dipercayai kehidupannya bermula sejak 326 juta tahun lalu, ditemukan di Pantai Howick di Northumberland, kira-kira 64 kilometer dari Newcastle, lapor akhbar Daily Mail pada 21 Disember 2021.


Lipan sebesar 2.7 meter dari kepala ke kaki yang ditemukan itu sekali gus merekodkan sebagai penemuan haiwan invertebrata terbesar sepanjang zaman - menyingkirkan pemegang rekod terdahulu, iaitu kala jengking laut purba.


Fosil Arthropleura atau lipan itu ditemukan kali pertama pada Januari 2018, selepas bongkah batu pasir jatuh dari tebing di Teluk Howick ke kawasan pantai. Spesimen itu hanya kali ketiga yang pernah ditemukan dan rekod sebelum ini digali di Jerman.



Pakar sedimentologi, Neil Davies dari Universiti Cambridge berkata, penemuan itu adalah satu kebetulan kerana cara batu itu terjatuh dan retak mendedahkan fosil kelihatan sempurna.


"Ia adalah satu kebetulan, batu yang retak itu terjatuh dan mendedahkan fosil dengan sempurna, salah seorang bekas pelajar PhD kami terlihat fosil itu ketika berjalan di pantai tersebut," katanya.


Fosil itu diekstrak dari batu pada Mei 2018, selepas pasukan itu mendapat kebenaran daripada Natural England dan pemilik tanah, Howick Estate.


"Ia adalah penemuan yang sangat menarik, tetapi fosilnya sangat besar sehingga kami mengambil masa mendapatkannya, dan empat orang diperlukan untuk membawanya ke permukaan tebing," tambah Davies.


Menurut Davies, penemuan fosil kaki gergasi itu jarang berlaku kerana sebaik sahaja haiwan itu mati, badannya akan kelihatan tidak jelas. Kemungkinan besar fosil itu adalah karapas berkulit yang dibuang haiwan itu semasa ia membesar.


"Kami belum menemukan kepala fosil. Jadi, adalah sukar untuk mengetahui segala-galanya tentang lipan tersebut," katanya.


Katanya selepas lama difikirkan, Arthropleura dapat mencapai saiz yang besar kerana gabungan ketiadaan pemangsa berasaskan darat, dan paras oksigen yang lebih tinggi semasa tempoh zaman Karbon dan Permian.


"Walaupun kita tidak dapat mengetahui dengan pasti apa yang mereka makan, terdapat banyak kacang dan biji berkhasiat yang terdapat dalam sampah daun pada zaman itu," katanya.



Davies dan rakan sekerjanya berpendapat, Arthropleura mungkin juga menjadi pemangsa yang memakan invertebrata lain dan juga vertebrata kecil seperti amfibia.


Katanya, Arthropleura hidup selama kira-kira 45 juta tahun sebelum pupus semasa Permian. Walaupun punca kematian mereka tidak jelas, ia mungkin hasil daripada peralihan kepada iklim yang lebih kering atau bersaing dengan reptilia yang baru muncul.


Zaman Karbon ialah zaman dan sistem geologi yang bermula dari penghujung zaman Devon, kira-kira 359.2 juta tahun lalu, hingga permulaan zaman Permian. Permian ialah tempoh yang dianggap sebagai pembahagian skala jisim geologi.


Ini adalah tempoh yang bermula kira-kira 299 juta tahun dan berakhir 251 juta yang lalu. Seperti dalam kebanyakan tempoh geologi yang telah berlaku di planet ini, strata ialah tempoh yang menentukan permulaan dan akhir tempoh yang dikenal pasti dengan baik.


Fosil lipan gergasi ditemukan di Pantai Howick.- Foto Neil Davies.