Memaparkan catatan dengan label Fosil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fosil. Papar semua catatan

Rabu, 9 Jun 2021

Makhluk purba ditemui masih hidup setelah 24,000 tahun membeku di Siberia

Makhluk purba ditemui masih hidup setelah 24,000 tahun membeku di Siberia


Sebuah organisma mikroskopik multisel ditemui masih hidup setelah membeku selama 24,000 tahun di Siberia. Makhluk mikro yang disebut Bdelloid Rotifers ini biasanya tinggal dipersekitaran berair dan mempunyai kemampuan luar biasa untuk bertahan hidup dalam keadaan ekstrem.


Para saintis Rusia menemui makhluk itu dalam inti tanah beku yang diekstrak dari lapisan ais di Sungai Alayeza, Arktik Rusia, menggunakan rig penggerudian. Setelah dicairkan, ia dapat membiak secara aseksual walaupun telah menghabiskan ribuan tahun dalam keadaan beku, suatu keadaan yang dikenali sebagai crytobiosis.


Penyelidikan sebelumnya mengatakan bahawa makhluk mikro ini dapat bertahan hidup dalam keadaan beku sehingga 10 tahun. Tetapi kajian terbaru, yang diterbitkan dalam Current Biology pada 07 Jun 2021, Isnin lalu, menunjukkan bahawa makhluk itu dapat bertahan selama ribuan tahun atau bahkan selama-lamanya.


"Laporan kami adalah bukti paling sukar setakat ini bahawa makhluk multisel dapat dibekukan dan disimpan seperti itu selama ribuan tahun dan kemudian hidup kembali," kata Stas Malavin, seorang penyelidik dari Institute of Physicochemical and Biological Problems in Soil Science.


Dalam kajian terbaru itu, para penyelidik Rusia menggunakan radiocarbon untuk menentukan bahawa makhluk yang mereka temui dari permafrost berusia sekitar 24,000 tahun. Dia mengatakan lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk melihat bagaimana makhluk yang membeku ribuan tahun kembali hidup.


Walaupun tidak semua rotifer bertahan dalam proses pembekuan, penyelidikan menunjukkan bahawa makhluk itu memiliki beberapa mekanisme yang dapat melindungi sel dan organ mereka dari bahaya pada suhu yang sangat rendah.


Para saintis dalam kajian itu, turut menempatkan puluhan mamalia yang telah lama mati tetapi terpelihara dengan baik, termasuk beruang gua dan raksasa yang telah punah yang juga telah digali dari lapisan ais, untuk memeriksa prosesnya.


Sebelum ini, terdapat laporan mengenai organisma multisel yang hidup kembali setelah beribu-ribu tahun membeku. Cacing nematode telah dihidupkan kembali dari lapisan ais ditemui di timur laut Siberia, dalam sedimen yang berusia lebih dari 30,000 tahun. - Sumber BBC Indonesia.


Bdelloid rotifers terkenal kerana kemampuannya untuk bertahan hidup dalam persekitaran yang melampau.

Isnin, 17 Mei 2021

Penyelidik temui spesies dinosaur baharu yang 'banyak bercakap' berusia 73 juta tahun di Mexico

Penyelidik temui spesies dinosaur baharu yang 'banyak bercakap' berusia 73 juta tahun di Mexico


Dinosaur telah pupus jutaan tahun dahulu dan kewujudannya hanya dapat dibuktikan melalui penemuan fosil. Terbaharu, ahli paleontologi mengenal pasti spesies dinosaur baharu hasil penemuan spesimen berusia 73 juta tahun di utara Mexico.


Menurut Institut Sejarah dan Antropologi Kebangsaan (INAH) negara itu pada Khamis lalu memaklumkan, penyelidik berpendapat keadaan di mana dinosaur itu ditemui menjelaskan bagaimana rangkanya terpelihara sehingga kini.


"Kira-kira 73 juta tahun lalu, dinosaur herbivor yang besar mati dengan badannya mendap dengan air dan penuh sedimen, yang memudahkan badan haiwan itu mudah ditutupi dan terpelihara selama berabad-abad," kata institut itu dalam satu kenyataan.


Menurutnya, penyelidik berpendapat dinosaur tersebut adalah daripada spesies herbivor yang hanya makan tumbuh-tumbuhan. Haiwan itu dipanggil Tlatolophus galorum. Ekornya ditemui pertama kali, di wilayah General Cepeda di utara Coahuila pada 2013.


Ketika penggalian berterusan, mereka akhirnya menemui 80 peratus tengkoraknya, tulang-tulang paha dan bahu, yang membolehkan penyelidik akhirnya menyedari tahun ini (2021) bahawa mereka memiliki spesies dinosaur baharu.


"Dinosaur ini memiliki telinga dengan kemampuan untuk mendengar suara frekuensi rendah, jadinya kemungkinan besar dinosaur ini yang tenang tetapi banyak bercakap (mengeluarkan bunyi)," kata kenyataan itu.


Ahli paleontologi juga percaya bahawa dinosaur itu mengeluarkan suara yang kuat untuk menakut-nakutkan pemangsa atau untuk tujuan pembiakan.



Menurut INAH, kajian ini masih di peringkat awal namun penyelidikan tersebut sudah diterbitkan dalam jurnal saintifik Cretaceous Research. Mereka menganggap ia adalah kes luar biasa dalam bidang paleontologi Mexico.


"Penemuan fosil berusia jutaan tahun ini adalah perkara yang sangat menggembirakan kami. Jika dilihat keadaan di mana ia ditemukan, ketika itu Coahuila adalah wilayah tropika.


"Nama Tlatolophus berasal daripada bahasa Nahuatl iaitu tlahtolli yang bermaksud kata atau pernyataan dan kata Greek lophus, yang bermaksud kepala," kata INAH.


Bentuk kepala binatang seperti yang dikatakan oleh INAH adalah simbol yang digunakan oleh orang Mesoamerika dalam manuskrip purba untuk menggambarkan tindakan komunikasi dan pengetahuan. - Sumber Everything Dinosaur.


Tengkorak Tlatolophus galorum. - Foto Juan Miguel Contreras Fotógrafo (técnico del Instituto de Geología).

Gambar ilustrasi dinosaur spesies Tlatolophus galorum. - Foto Marco Pineda.

Ahli paleontologi menemui ekor dinosaur spesies Tlatolophus galorum di utara Coahuila, Mexico pada 2013. - Foto Berita Harian

Khamis, 29 April 2021

Penemuan 7 Fosil Tapak Kaki Dinosaur Bukti Bahawa Haiwan 'Gergasi' Itu Pernah Hidup Di Kelantan

Penemuan 7 Fosil Tapak Kaki Dinosaur Bukti Bahawa Haiwan 'Gergasi' Itu Pernah Hidup Di Kelantan


Ahli kaji bumi tidak menyangkal dinosaur mungkin pernah hidup di Malaysia berdasarkan bukti dari beberapa kawasan di negara ini dengan batuannya berusia Jura-Kapur antara 203 juta hingga 65 juta tahun lampau sesuai untuk haiwan purba berkenaan hidup.


Kawasan berusia Jura-Kapur dijumpai di Gunung Panti, Johor dan juga di Gunung Gagau yang bersempadan dengan Terengganu, Kelantan dan Pahang yang memberi keyakinan bahawa fosil dinosaur boleh ditemui.


Pada Ogos 2020 lalu, penyelidik daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memaklumkan telah menemui tujuh fosil yang didakwa tapak kaki dinosaur dianggarkan berusia puluhan hingga jutaan tahun di Bukit Panau, Tanah Merah.


Penemuan itu dibuat penyelidik daripada Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB) UMK yang menemui kesan tapak kaki dipercayai spesies Sauropod dianggarkan berusia 66 juta hingga 160 juta tahun.


Ekplorasi itu diketuai Pensyarah FSB UMK, Arham Muchtar Achmad Bahar dan Prof Surono Martosuwito serta disertai Prof Udi Hartono serta Mohd Syakir Sulaiman.



Arham Muchtar berkata, aktiviti dan penyelidikan berkaitan kewujudan dinosaur di negeri ini bermula Mei 2017 sebelum pihaknya menemui fosil tapak dan laluan trek dinosaur daripada subkumpulan Saurapod di Bukit Panau yang tidak dimaklumkan tarikh penemuan.


"Kami menemui tujuh tapak kaki fosil berukuran purata 72 sentimeter panjang dan lebar dengan purata 66 sentimeter yang tercetak di atas batu pasir kuarsa dari formasi Panau seluas 60 meter persegi. Penemuan ini membuktikan satu masa dulu, dinosaur pernah hidup di lokasi yang sekarang kita kenal sebagai Tanah Merah, Kelantan," katanya.


Beliau berkata, pasukannya mengenalpasti tapak kaki dinosaur Sauropod itu adalah sejenis reptilia berkaki empat dalam kategori herbivor yang memakan tumbuh-tumbuhan.


"Berdasarkan bukti tapak kaki dijangka haiwan ini memiliki tubuh besar dengan tulang belakang setinggi sembilan meter, panjang sehingga 22 meter dan berat sekitar 30 hingga 40 tan dan spesies dinosaur ini dikenal sebagai haiwan terbesar hidup di muka bumi ini," katanya.


Katanya, lanjutan daripada penemuan itu, pihaknya menerbitkan jurnal ilmiah bertajuk 'The Saurapod Dinosaur Trackways from Tanah Merah, Kelantan' pada penganjuran Conference on Tropical Resources and Sustainable Sciences (CTRESS) 2.0 secara dalam talian pada 11 dan 12 Ogos lalu.


"Aktiviti penyelidikan dan pencarian dinosaur di kawasan ini bukan perkara baharu kerana sekurang-kurangnya sejak 2016, pihak kami sudah mengadakan beberapa kajian bersama ahli geologi dari dalam dan luar negara.


"Malah, pihak penyelidik menghabiskan lebih 10,000 jam menyiasat dan menjejak dinosaur di negeri ini. Kewujudan dinosaur di Bukit Panau sudah dijangka banyak ahli geologi berdasarkan struktur muka bumi kawasan itu yang dikaitkan dengan kawasan di Thailand Selatan yang mengandungi fosil haiwan prasejarah itu.


"Mengikut geologi Bukit Panau ini, dinosaur Saurapod ini hidup di persekitaran daratan khususnya berdekatan sungai berliku, bagaimanapun secara terperinci kami masih perlukan kajian mendalam kerana data yang diperlukan belum mencukupi," katanya.


Beliau berharap, penemuan itu akan mendapat maklum balas positif semua pihak bagi meneruskan kajian ini malah pihaknya percaya masih terdapat banyak lagi fosil dinosaur yang tersimpan di dalam batuan Bukit Panau.


Sebelum ini, kumpulan penyelidik yang sama pernah membuat kajian menjejak fosil dinosaur di Taman Negara Kuala Koh dan sekitar hutan di Gua Musang bagi membuktikan kewujudan dinosaur yang pernah mendiami Kelantan. Sumber: BH Online


Arham Muchtar Achmad Bahar dari Fakulti Sains Bumi (FSB) menunjukkan fosil kesan tapak kaki didakwa dinosour spesis Saurapod ditemui di Bukit Panau,Jeli,Tanah Merah, Kelantan.

Arham Muchtar Achmad Bahar dari Fakulti Sains Bumi (FSB) menunjukkan fosil kesan tapak kaki didakwa dinosour spesis Saurapod ditemui di Bukit Panau, Tanah Merah.

Ketua jabatan Pasukan penyelidik Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Arham Muchtar Achmad Bahar bersama kumpulannya menunjukkan jenis batuan yang dijumpai di Gua Musang.

Arham Muchtar Achmad Bahar memeriksa batu besar yang terdapat fosil cengkerang yang dijumpai oleh sekumpulan penyelidik UMK di Felda Aring, Gua Musang.

Khamis, 22 April 2021

Fosil gajah purba 'raksasa' berusia lebih 30 ribu tahun ditemui di Gopeng, Perak

Fosil gajah purba 'raksasa' berusia lebih 30 ribu tahun ditemui di Gopeng, Perak

Gajah Stegodon. - Foto Earth Archives.

Sekumpulan saintis Universiti Malaya (UM) menemui fosil gajah purba Stegodon pertama di dalam negara dengan anggaran kasar usia antara 30,000 hingga 80,000 tahun di dalam sebuah gua batu kapur terletak di Gopeng, Perak, pada Oktober 2020 lalu.


Untuk pengetahuan, sesetengah jenis gajah Stegodon ini memiliki tubuh jauh lebih besar dibandingkan dengan gajah moden, ada yang mencecah berat sehingga 13 tan dengan tinggi sehingga tiga setengah meter, gadingnya juga berukuran jauh lebih panjang dari gajah biasa. Namun, bukan semua spesies gajah Stegodon ini berukuran 'raksasa' ada yang kecil iaitu Stegodon Sondaari yang berasal dari Flores dengan berat hanya 350 hingga 400 kilogram.


Penemuan fosil gajah purba berkenaan antara genus Proboscidea daripada keluarga Stegodontidae yang sudah lama pupus. Penyelidikan itu diketuai saintis dari Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Dr Ros Fatihah Muhammad dengan kerjasama ahli paleontologi vertebrat dan zooarkeologi dari Persatuan Paleontologi Malaysia, Lim Tze Tshen.


Menurut Dr Ros Fatihah, penemuan itu hasil maklumat kumpulan peneroka gua, Kinta Valley Watch selain tinjauan serta kajian pasukan penyelidik. Gajah purba itu berbeza dengan spesies moden Asia (Elephas maximus) yang masih wujud di Malaysia dari segi morfologi, ekologi dan taksonomi.



Katanya, Perak mempunyai kepelbagaian spesimen dan spesies Proboscidea paling tinggi di Malaysia, sekurang-kurangnya dua atau tiga jenis Proboscidea berlainan pernah hidup di Semenanjung (Stegodon sp, Elephas maximus dan berkemungkinan juga Palaeoloxodon namadicus).


Beliau berkata, penemuan itu amat penting dari segi biogeografi dengan implikasi terhadap pembinaan semula sejarah laluan migrasi biota zaman Pleistosen, termasuk manusia. Kajian setakat ini menunjukkan tinggalan hidupan ini tidak berasosiasi dengan manusia purba.


Fosil itu dikenal pasti sebagai Stegodon oleh Tze Tshen, juga hasil maklumat dari perkongsian pakar dari seluruh dunia. Ros Fatihah berkata, gajah purba itu mungkin mati pada usia kurang dua tahun, susulan hasil proses pengimejan dilakukan pakar gigi dari Fakulti Pergigian UM, Prof Madya Dr Norliza Ibrahim dan Dr Mohd Azmi Abdul Razak.


"Saya berharap kerajaan negeri mewartakan kawasan penemuan ini supaya dilindungi daripada pencerobohan dan boleh dicadangkan sebagai geotapak baharu, Geopark Lembah Kinta.


"Terdapat bukti di lokasi penemuan Stegodon dan tapak paleontologi lain, menunjukkan tinggalan haiwan telah pupus pernah wujud di Semenanjung seperti orang utan, badak sumbu Sumatera, badak raya Java, beruang hitam Asia dan satu spesies tikus kuno sudah lama pupus.


"Kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara bukit batu kapur daripada ancaman kuari sebagai contoh, penemuan fosil dari gua ini sebab kukuh bagi pemeliharaan berterusan," katanya.


Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim, menyifatkan penemuan itu sebagai tonggak sejarah dalam kajian paleontologi Kuaterner di Malaysia dengan pasukan berkenaan berjaya membuka lembaran baharu bidang kajian terbabit.


"Setakat ini, hanya dua sarjana doktor falsafah dianugerahkan dalam bidang ini, masing-masing berkenaan fosil dan paleo-ekologi mamalia besar serta fosil dan paleo-ekologi tikus.


"Beberapa penerbitan dihasilkan mengenai penemuan tapak fosil mamalia baharu berpotensi tinggi di Semenanjung dan penentuan umur geologi tapak lama dengan menggunakan kaedah terkini," katanya. - Sumber Harian Metro.


Proses ‘casting’ oleh pakar gigi dari Fakulti Pergigian Universiti Malaya. - BH Online

Fosil gigi Stegodon yang dianggar secara kasar berusia di antara 30 ke 80 ribu tahun terenap di dalam sedimen gua. - Foto BH Online

Fosil gigi Stegodon yang telah dikeluarkan dari dinding gua. - Foto BH Online

Khamis, 25 Februari 2021

'Perak Man' Rangka Manusia Tertua Berusia 11,000 Tahun Akhirnya Memiliki Lakaran Wajah Sempurna

'Perak Man' Rangka Manusia Tertua Berusia 11,000 Tahun Akhirnya Memiliki Lakaran Wajah Sempurna


Perak Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemukan 30 tahun lalu di Lembah Lenggong, Perak kini mempunyai lakaran wajah yang siap pada 19 Januari lalu.


Lakaran wajah Perak Man itu dibuat menerusi kaedah 3D virtual reconstruction, oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, individu yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.


Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM Dr Johari Yap yang juga merupakan seorang daripada penyelidik berkenaan berkata, projek itu tercetus sejak dua tahun lepas, hasil idea Pakar Bedah Neurosurgeri di Hospital USM Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah.


Berkongsi cerita, Johari berkata, Jafri Malin yang banyak menjalankan kajian berkaitan neurosains dan kognitif telah mengajak beliau untuk mereka bentuk semula tulang kepala perak Man dan seterusnya membuat lakaran wajah perak Man.


Johari yang memilki kepakaran dalam pengimejan kraniofasial dan rekonstruksi 3D muka serta tengkorak berkata beliau telah menggunakan data imbasan CT perak Man dan tengkorak yang terbentuk dalam imej 3D untuk dihantar melalui e-mel kepada Moraes bagi menghasilkan lakaran wajah.


Jelasnya, sebelum mereka bentuk wajah, Moraes memerlukan maklumat seperti jantina, umur dan keturunan bagi menghasilkan tisu muka berdasarkan ketebalan purata melalui kajian sebelum ini.


Tengkorak yang terbentuk dalam imej 3D bagi menghasilkan lakaran wajah Perak Man.

"Apabila muka sudah terbentuk, pihak kami akan berbincang mengenai warna mata, warna kulit, rambut berdasarkan Antropologi Forensik.


"Oleh kerana perak Man ini dirujuk sebagai 'Australo-Melanesian' dan merupakan nenek moyang kepada orang asli Negrito, maka ciri-ciri Negrito banyak mempengaruhi reka bentuk akhir muka perak Man ini," katanya.


Selain Johari, Jafri Malin dan Moraes, empat lagi penyelidik yang terlibat dalam kajian berkenaan ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, Pakar Forensik Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM Dr Helmi Hadi, Pakar Pengimejan Kraniofasial Prof Dr Zainul Ahmad Rajion dan Pensyarah Sekolah Seni USM Norshahidan Mohamad.


Perak Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemukan 30 tahun lepas di Lembah Lenggong, Perak.

Jelasnya, hasil kajian mendapati anggaran isi padu otak perak Man adalah 1,204.91 mL, rendah sedikit daripada isi padu otak manusia moden yang dalam lingkungan 1,312 mL hingga 1,479 mL dan secara tidak langsung dapat memberikan sedikit maklumat kognitif berkaitan perak Man.


"Walaupun dilahirkan dengan kecacatan fizikal, perak Man terus hidup dan menjalani gaya hidup berburu dan berkumpul secara nomad, mungkin disebabkan penjagaan yang diberikan kepadanya. Dia mungkin mengatasi kekurangan fizikalnya dengan mengembangkan kemahiran berburu, atau mungkin dia jarang memburu dan melakukan tugas lain.


"Berdasarkan andaian statusnya, perak Man mungkin seorang yang dihormati dalam kumpulan dan mungkin juga seorang dukun dan orang yang paling berpengetahuan dalam kumpulan mengenai kelangsungan hidup, pemburuan, pengumpulan dan aspek lain dalam kehidupan seharian Paleolitik.


"Perak Man berkemungkinan hidup sebagai pemburu, sama seperti gaya hidup kumpulan etnik Negrito, yang mungkin keturunan perak Man," menurut para penyelidik dalam jurnal itu.


Johari berkata, menerusi perkembangan terbaharu kajian berkenaan, ia dilihat membuka jalan bagi pengkaji menggunakan teknologi abad ke-21 untuk memahami bagaimana interaksi antara otak, minda, tingkah laku dan budaya berlaku pada masa lalu.


Katanya, teknologi 3D yang ada sekarang ini mampu menghasilkan lakaran muka yang mampu memberikan kefahaman baharu mengenai penemuan prasejarah di negara kita.