Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fakta. Papar semua catatan

Ahad, 22 Mei 2022

Kajian sahkan wanita lebih suka dan tertarik kepada lelaki kaya

Kajian sahkan wanita lebih suka dan tertarik kepada lelaki kaya


Satu kajian mendedahkan bahawa wanita sememangnya lebih menyukai lelaki kaya untuk dijadikan pasangan, lapor akhbar The Sun pada 17 Mei 2022.


Wanita juga lebih mendapat perhatian jika mereka kelihatan kaya dan berpendidikan, namun kesannya lebih kecil berbanding lelaki.


Penyelidik kajian telah mengimbas 1.8 juta profil pada aplikasi janji temu dari 24 buah negara, dan menyimpulkan bahawa ia berlaku di seluruh dunia.


"Ramai orang cenderung untuk percaya bahawa ia hanyalah stereotaip. Namun, kami mendapati ia berlaku merentasi semua budaya dalam kajian yang dilakukan sejak 1980-an," kata seorang pakar psikologi dari Universiti Swansea, Dr. Andrew Thomas.


Kajian yang dilakukan Thomas menilai lelaki berdasarkan pendapatan, pendidikan dan pekerjaan yang disiarkan pada profil serta kaitannya dengan respons yang diterima daripada wanita bujang.


Lelaki yang memiliki tahap tertinggi pendidikan dan kewangan mendapat respons sebanyak 255 peratus berbanding yang terendah. Bagi wanita, ia adalah 103 peratus.


Dr Thomas juga berkata internet mendorong kedua-dua jantina ke tahap yang melampau untuk kelihatan kaya bagi menarik perhatian kekasih.


"Manusia nampaknya mempunyai keutamaan terhadap wang dan kekayaan pada pasangan.


"Hal ini kerana ia bertindak sebagai petunjuk moden yang bersifat lebih umum serta keupayaan untuk mendapatkan sumber seperti makanan, tempat tinggal, peralatan dan perlindungan," katanya. - Sumber The Sun.


Lelaki kaya seperti Elon Musk lebih 3.5 kali ganda mendapat balasan sembang di aplikasi janji temu. - Foto The Sun.

Ahad, 1 Mei 2022

Ahli Geologi Temukan 'Kapsul Masa' Dari 3.8 Bilion Tahun Yang Lalu Di Afrika Selatan

Ahli Geologi Temukan 'Kapsul Masa' Dari 3.8 Bilion Tahun Yang Lalu Di Afrika Selatan


Satu pasukan ahli geologi menemui kristal kecil zirkon dari 3.8 bilion tahun yang lalu yang mengandungi bukti geokimia terawal untuk aktiviti tektonik plat di Bumi, lapor laman berita Science Alert pada 23 April 2022.


'Kapsul masa' ini adalah satu siri kronologi 33 kristal zirkon mikroskopik, bertarikh dari 4.15 hingga 3.3 bilion tahun yang lalu, ditemui dalam blok purba kerak Bumi yang ditemui di Barberton Greenstone Belt, Afrika Selatan.


Satu pasukan saintis yang diketuai oleh ahli geologi Nadja Drabon dari Universiti Harvard mengkaji zirkon Greenstone Belt untuk membina semula garis masa keadaan di mana ia terbentuk.


"Apabila saya katakan plat tektonik, saya secara khusus merujuk kepada tetapan arka, apabila satu plat berada di bawah yang lain dan anda mempunyai semua gunung berapi itu.


"Pada 3.8 bilion tahun yang lalu, terdapat perubahan dramatik di mana kerak tidak stabil dan batu baru terbentuk. Kami melihat tandatangan geokimia ini menjadi semakin serupa dengan apa yang kita lihat dalam tektonik plat moden," kata Drabon.


Menariknya, kristal zirkon, yang berusia kira-kira 3.8 bilion tahun dan seterusnya, tidak terbentuk dalam persekitaran zon subduksi. Kemungkinan kristal ini terbentuk daripada protokrust Hadean bahan mantel Bumi yang dicairkan semula, jelasnya.


Pasukan itu kemudian membandingkan penemuan mereka dengan kristal zirkon yang bertarikh pada masa yang sama dari seluruh dunia, untuk memastikan mereka tidak hanya memerhati fenomena setempat. Zirkon lain ini menunjukkan peralihan yang serupa.


Ini adalah untuk memastikan bahawa mereka bukan sahaja memerhati fenomena tempatan tetapi zirkon ini mempamerkan peralihan yang sama. Sukar untuk mengetahui dengan pasti sama ada hablur kecil ini semuanya menunjukkan evolusi Bumi ke arah tektonik plat.


"Kami melihat bukti perubahan ketara di Bumi sekitar 3.8 hingga 3.6 bilion tahun lalu dan evolusi ke arah tektonik plat adalah satu kemungkinan yang jelas," kata Drabon.


Drabon menjelaskan, rekod yang dimiliki untuk menentukan keadaan Bumi terawal adalah sangat terhad. Tetapi melihat peralihan yang serupa di banyak tempat yang berbeza menjadikannya sangat yakin ia mungkin perubahan global dalam proses kerak bumi.


Kristal mineral boleh bertindak sebagai kapsul masa yang mengandungi maklumat tentang keadaan di mana ia terbentuk. Kristal zirkon khususnya boleh menjadi sangat berharga untuk tujuan saintifik ini.


Isotop hafnium logam dan unsur surih yang terdapat dalam zirkon boleh digunakan untuk membuat inferens tentang batuan dari mana ia terhablur. - Sumber Science Alert.


Kristal zirkon boleh bertindak seperti kapsul masa yang mengandungi maklumat tentang keadaan plat Bumi di mana ia terbentuk. - Foto/doc.

Isnin, 18 April 2022

Tembikai berharga RM25,000 sebiji, hanya dijual dalam acara lelongan kepada pembida tertinggi

Tembikai berharga RM25,000 sebiji, hanya dijual dalam acara lelongan kepada pembida tertinggi


RM25,000 bagi sebiji tembikai. Itu harga buah tembikai dalam kategori 'rare' atau jarang didapati di dunia yang hanya ditanam di Jepun, dan penghasilannya tidak melebihi 100 biji setahun.


Menerusi laman Berita Oddity Central pada 15 April 2022 melaporkan, tembikai jenis Densuke adalah yang paling terkenal dan mahal berbanding lebih 1,200 tembikai jenis lain di seluruh dunia.


Untuk rekod, Densuke hanya ditanam di Pulau Hokkaido, utara Jepun dalam kuantiti kecil dan dikategorikan sebagai buah paling jarang di dunia. Malah, Densuke juga bukanlah buah yang boleh ditemukan di pasar atau kedai runcit.


Sebaliknya, tembikai itu dilelong kepada pembida tertinggi dalam acara yang dinanti-nantikan pada harga beratus-ratus malah beribu-ribu ringgit.


Buah tembikai Densuke paling mahal pernah dijual pada harga 750,000 yen (RM25,121) sebiji pada 2019. Bagaimanapun, harganya turun sejak dua tahun lalu disebabkan oleh pandemik Covid-19 tetapi masih kekal sebagai tembikai termahal di dunia setakat ini.


Portal berita itu turut melaporkan, Densuke terkenal dengan kulitnya yang hitam dan berkilat. Buahnya dikatakan rangup dan mempunyai tahap kemanisan paling tinggi berbanding tembikai jenis lain serta kurang biji.


Menurut majalah The Gardener, tidak dijelaskan mengapa tembikai Densuke tidak ditanam secara meluas di luar Jepun, tetapi benihnya dilaporkan tersedia secara komersial di Eropah dan Amerika Utara.


Harganya yang mahal ditetapkan berikutan faktor masa dan dedikasi diperlukan dalam penanamannya. - Sumber Oddity Central.


Buah tembikai Densuke paling mahal dilelong dalam sejarah adalah pada 2019 dengan harga RM25,121.

Jumaat, 11 Mac 2022

Mumia paling awal di dunia berusia 8,000 ditemui di Portugal

Mumia paling awal di dunia berusia 8,000 ditemui di Portugal


Satu kajian baharu mendakwa mayat manusia berusia 8,000 tahun yang ditemukan di Portugal, boleh memberikan bukti mumifikasi paling awal di dunia, lapor Daily Mail pada 7 Mac 2022.


Beberapa penyelidik telah mengkaji gambar-gambar sisa rangka 13 manusia yang digali dalam sebuah kubur pada awal tahun 1960-an di Lembah Sado, Portugal.


Kumpulan penyelidik itu dapat membina semula posisi asal ketika mayat dikebumikan, sekali gus memberi 'peluang unik' untuk mengetahui lebih lanjut mengenai upacara pengebumian mayat pada 8,000 tahun lalu.      


Analisis menunjukkan beberapa mayat dikebumikan dalam kaki dibengkokkan ke lutut dan diletakkan di hadapan dada. Pakar mendedahkan sesetengah mayat mungkin diawet sebelum dikebumikan bagi mengelak 'menjadi busuk'.


Setakat ini, mumia Chinchorro yang berusia lebih 7,000 tahun di utara Chile merupakan mumia tertua di dunia yang diawet oleh manusia.



Sementara itu, satu kajian sebelum ini mendedahkan orang Mesir purba melakukan pengawetan mumia sehingga 5,700 tahun lalu.


Kajian baharu ini menunjukkan kaedah pengawetan mumia paling awal diketahui berlaku di Lembah Sado. Dalam erti kata lain, mayat di Lembah Sado dianggap sebagai mayat manusia pertama yang diketahui sudah diawet.


Walau bagaimanapun, tisu lembut tidak lagi dipelihara dan mayat tersebut sepenuhnya hanya rangka, bermakna mayat Lembah Sado tidak lagi dalam keadaan mumia. Secara teknikal, mumia ialah mayat manusia atau haiwan yang tisu lembut dan organnya telah dipelihara.


Kajian baru itu telah dijalankan oleh ahli arkeologi di Universiti Uppsala dan Universiti Linnaeus di Sweden dan Universiti Lisbon di Portugal.


Digambarkan, pemandangan zaman moden dari tapak arkeologi Arapouco ke arah Lembah Sado, Portugal. - Foto Universiti Cambridge.


Dua rangka manusia yang ditemukan di Lembah Sado di Portugal. - Foto Universiti Cambridge.

Jumaat, 25 Februari 2022

NASA akhirnya mendedahkan imej awan di Marikh yang berjaya dirakam

NASA akhirnya mendedahkan imej awan di Marikh yang berjaya dirakam


Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) akhirnya mendedahkan imej awan yang dirakamkan kenderaan robotik Curiosity di lokasi penjelajahannya di planet Marikh, lapor laman berita Newsweek pada 21 Februari 2022.


Curiosity ialah salah satu kenderaan peneroka Marikh yang telah berada di permukaan planet ini sejak Ogos 2012. Ia adalah pendahulu kepada rover Perseverance yang lebih baharu yang mendarat di Marikh pada Februari 2021.


Walaupun Perseverance mungkin lebih maju dari segi teknikal, Curiosity masih beroperasi sehingga hari ini, dan sedang menjalankan penyelidikan berharga di planet Merah itu.


Menurut NASA, bukan satu tugas yang mudah bagi kenderaan tersebut untuk merakamkan imej awan itu. Ini kerana kamera Curiosity tidak direka untuk merakamkan awan tersebut.


Sebaliknya, kamera kenderaan itu digunakan untuk tujuan merakamkan imej batuan di Marikh dan landskap dalam misinya untuk mencari tanda-tanda kuno kehidupan di planet tersebut.


Bagaimanapun, ia berjaya merakamkan imej tersebut yang menunjukkan awan yang kelihatan sangat samar sehinggakan NASA terpaksa menggunakan teknik pengimejan khas untuk melihatnya selain menghasilkan dua klip rakaman itu.


Kenderaan robotik itu merakamkan imej awan tersebut pada 12 Disember 2021 tetapi NASA hanya mendedahkannya kepada umum baru-baru ini.


Dalam satu klip video, ia menunjukkan pergerakan awan manakala satu lagi imej menunjukkan awan di langit berada di atas kenderaan tersebut. Menurut NASA, awan itu sangat tinggi dan berada hampir 80 kilometer di atas permukaan planet Marikh.


Dengan mengkaji imej awan Marikh, saintis boleh memahami bagaimana ia terbentuk di planet itu dan mengapa sesetengahnya berbeza dengan yang lain.


Klip video NASA baru-baru ini menunjukkan imej awan di planet Marikh. - Foto NASA/Universiti York.

Khamis, 24 Februari 2022

Kampung 'ghaib' 30 tahun muncul kembali selepas kemarau hampir 2 bulan

Kampung 'ghaib' 30 tahun muncul kembali selepas kemarau hampir 2 bulan


Sebuah perkampungan di Aceredo di Sepanyol, yang sebelum ini 'hilang' selama 30 tahun kerana pembinaan empangan, kini dapat dilihat semula apabila paras air empangan turun mendadak selepas kemarau.


Menurut Mirror UK pada 19 Februari 2022, melaporkan kawasan kampung yang tenggelam itu dapat dilihat selepas kawasan berkenaan tidak dilanda hujan selama hampir dua bulan.


Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk melihat bumbung bangunan di permukaan empangan Lindoso di barat laut Sepanyol itu. Malah, penduduk tempatan dapat melihat kereta berkarat dan jalan lama.


Ketika musim kemarau, kampung lama itu akan muncul semula selepas ditenggelami 30 tahun lalu selepas pembinaan empangan hidroelektrik yang menyebabkan kampung itu tenggelam.


Bagaimanapun, kini adalah musim sejuk, tetapi hampir keseluruhan kawasan kampung itu dapat dilihat.


Kapasiti air empangan itu pada masa ini hanya 15 peratus. Ia sekali gus mendedahkan bangunan dan struktur di kampung itu dengan sebahagian bumbung runtuh, batu bata dan serpihan kayu bertaburan di sekeliling.


"Saya pernah pergi ke bar bersama rakan-rakan selepas pulang dari memancing, seluruh tempat ini dahulunya adalah ladang anggur, pokok oren dan semuanya hijau..ia cantik," kata Jos Luis Penn, yang kini berusia 72 tahun.


Penduduk tempatan berkata adalah luar biasa untuk melihat kampung yang tenggelam semasa musim sejuk yang basah. - Foto REUTERS.

Orang yang tinggal di kampung Aceredo telah diarah berpindah dari rumah mereka pada tahun 1992 untuk pembinaan empangan. - Foto AFP/Getty Images.

Salah satu rumah di perkampungan Aceredo yang telah ditenggelami air pada tahun 1992. - Foto REUTERS.
Lelaki Nigeria berjaya cipta dapur guna kuasa air

Lelaki Nigeria berjaya cipta dapur guna kuasa air


Seorang lelaki warga Nigeria yang menetap di kawasan Jekadafari, negeri Gombe dilaporkan mencipta dapur memasak tanpa gas yang boleh berfungsi dengan hanya menggunakan air.


Menurut laporan laman berita Legit pada 17 Februari 2022, Hadi Usman, 67, mencipta dapur yang tidak memerlukan gas atau minyak tanah dalam menghasilkan api untuk memasak.


Menurut media tempatan, juruteknik elektronik itu berjaya menghasilkan inovasi berkenaan kerana ingin mengurangkan kos penggunaan gas dan minyak tanah.


Sebuah video di laman YouTube memaparkan situasi ketika Hadi menunjukkan bagaimana dapur tanpa gas itu berjaya menghasilkan api.


Lelaki yang pernah memasang pemancar radio serta mengendalikan stesen radio komuniti suatu masa dulu itu mahu institusi-institusi berkaitan membantu mempatenkan hasil inovasinya.


"Pada 23 januari 1980, Gasakiya Ta Fi Kwabo, tabloid vernakular yang diterbitkan oleh Akhbar Nigeria melaporkan bagaimana saya memasang pemancar radio, dan mengendalikan stesen radio komuniti di metropolis Gombe," katanya.


Beliau juga mahu wujudkan kerjasama dalam memastikan ciptaan terbaharunya itu dihasilkan secara besar-besaran, dan berharap institusi berkaitan boleh menyokong ke arah mempatenkan projek ini untuk pengeluaran.


"Sekurang-kurangnya, ia dapat membantu mereka tanpa perlu membeli minyak tanah atau gas dan boleh memasak menggunakan air," katanya.


Sementara itu, hasil ciptaannya ini dipercayai telah menarik perhatian global dari Amerika Syarikat, Jerman dan negara lain untuk menyokong penciptaannya walaupun masih belum disahkan.


Dapur memasak itu menggunakan tekanan air untuk menghasilkan api. - Foto SensorSpot, PR Nigeria.