Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan

Khamis, 11 Februari 2021

Nelayan jumpa mutiara RM1.39 juta, anjur parti dadah ditahan polis

Nelayan jumpa mutiara RM1.39 juta, anjur parti dadah ditahan polis


Seorang nelayan yang menemui mutiara oren Melo bernilai 250,000 pound (RM1.39 juta) di Thailand, ditahan polis selepas didakwa menganjurkan parti dadah bagi meraikan kekayaan baharunya.


Lapor Daily Mail, Hatchai Niyomdecha, 37, menjemput rakan-rakannya ke rumah di Nakhon Si Thammarat, Thailand pada Jumaat lalu selepas ditawarkan jumlah wang berkenaan bagi mutiara yang jarang ditemui.


Polis Thailand berkata, pihaknya merampas beribu-ribu pil methamphetamine di rumah nelayan itu ketika melakukan serbuan selepas menerima aduan daripada jiran mengenai bunyi bising yang melampau dan mendakwa terhidu bau dadah.


Nelayan warga Thailand itu menjadi tajuk utama akhbar di seluruh dunia selepas menemui mutiara Melo yang juga dikatakan paling mahal di dunia, ketika mengutip cangkerang bersama keluarganya di sebuah pantai berhampiran rumahnya.


Polis merampas dua kotak yang mengandungi bahan tidak diketahui dan sebuah kotak mengandungi kira-kira 16,000 pil methamphetamine ketika melakukan serbuan di rumah nelayan itu.


Hatchai menafikan kotak itu miliknya namun polis menemui cap jari nelayan itu pada kotak berkenaan selepas menjalankan ujian forensik terhadap bungkusan terbabit.


Dalam pada itu, Kolonel polis Chokdee Srimuang berkata, pihaknya masih sedang menyiasat Hatchai mengenai rampasan pil dadah berkenaan.


Mutiara oren Melo yang ditemui
Hatchai bernilai RM1.39 juta.

Hatchai Niyomdecha ditahan polis tempatan
selepas menganjurkan parti dadah
bagi meraikan ‘kekayaannya’ itu.

Selasa, 26 Januari 2021

Seorang lelaki ditahan polis, memiliki dua senjata api dan senapang angin buatan sendiri

Seorang lelaki ditahan polis, memiliki dua senjata api dan senapang angin buatan sendiri

Polis merampas selaras senapang angin buatan sendiri dan sepucuk pistol selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai, Iskandar Puteri pada Ahad


Iskandar Puteri: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol, selaras senapang dan empat butir peluru selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai dekat sini pada Ahad.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada jam 8.10 malam selepas mendapat maklumat dan hasil risikan.


"Dalam serbuan itu pihak polis melakukan enam rampasan iaitu sepucuk pistol jenis Rev .38 SPL 2 inci, satu laras senapang angin buatan sendiri, sebutir peluru jenis SME 9mm dan tiga butir peluru .38 Spl dalam chamber.


"Suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah. Ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.


Menurutnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai 25 sehingga 31 Januari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.


Katanya, kini polis masih mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Ramen atau nama sebenarnya Mohd Rahmin Ahmat, 33, beralamat No 30-A, Jalan Pengkalan Rinting, Batu 5, Tampoi, Johor Bahru.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan diminta menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

Jumaat, 22 Januari 2021

Ahli politik ditahan jual dadah diproses sendiri campuran ganja dan ketamin

Ahli politik ditahan jual dadah diproses sendiri campuran ganja dan ketamin


Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan berusia 35 tahun yang juga bekas calon bagi satu kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, ditahan polis kira-kira jam 1.45 petang selepas disyaki mengedar dadah di Pudu, di sini, pada Rabu.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pasukan polis pada mulanya menahan suspek yang dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan, polis menemui 40 botol mengandungi 400 milimeter (ML) cecair dadah beserta wang tunai RM250 pada suspek.


Menurutnya, susulan itu pihaknya menyerbu rumah suspek di Ampang, Selangor, dan hasil pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemui pokok ganja, daun kering disyaki ganja serta cecair dadah disyaki ketamin dan THC.


"Hasil daripada tangkapan itu, kami membuat serbuan di rumah suspek yang terletak di Ampang, Selangor sekitar pukul 1 pagi semalam dan berjaya membawa kepada penemuan tujuh pokok ganja serta dua anak pokok ganja," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Saiful Azly, pemeriksaan lanjut polis turut berjaya merampas 1,500 gram ganja, cecair ganja (3,000 ML), cecair kimia, ganja, tempat siram pokok ganja serta sebuah kereta BMW disyaki milik suspek berkenaan.


Tambah beliau, kesemua rampasan di rumah suspek dianggarkan berjumlah RM60,760 melibatkan pokok ganja bernilai RM4,500, ganja bernilai RM3,000 serta cecair dadah bernilai RM53,100.


Hasil soal siasat polis ke atas suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu. Polis juga difahamkan suspek telah menghasilkan sendiri dadah berkenaan dengan campuran jenis ganja dan ketamin sebelum menjual di luar pada harga RM300 sebotol.


Suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 27 Januari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6B akta sama. Difahamkan, isteri bersama pembantu rumah suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Selasa, 12 Januari 2021

Polis rampas dadah bernilai RM125.8 juta, hasil risikan selama setahun

Polis rampas dadah bernilai RM125.8 juta, hasil risikan selama setahun


Johor Bahru: Polis Johor merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM125.8 juta yang boleh menampung 5.4 juta penagih, dalam 16 serbuan selama dua hari, bermula pada 2.45 petang Sabtu hingga 6.40 petang Ahad lalu menyaksikan 15 suspek iaitu lapan lelaki dan tujuh wanita warga tempatan berusia antara 17 hingga 62 tahun ditahan.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, ia kejayaan rampasan dadah terbesar di Malaysia, membabitkan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, setakat awal tahun ini.


Beliau berkata, ketua sindiket berkenaan yang berusia 30-an turut ditahan dan siasatan masih dijalankan sama ada terdapat saki baki ahli sindiket masih bebas termasuk kewujudan dalang lain.


"Kami membuat risikan selama setahun terhadap sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang beroperasi di dua rumah sekitar bandar raya ini yang dijadikan stor penyimpanan dan makmal memproses dadah.


"Sindiket ini dipercayai aktif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu berikutan semua pintu sempadan negara dikawal ketat membuatkan dadah diseludup dari luar negara tidak dapat masuk, lalu mereka memproses sendiri dadah.


"Dadah dirampas adalah syabu sebanyak 72.61 kilogram (kg), serbuk ecstacy (12.81kg), ganja (5.44kg), 3.72 juta biji pil eramin 5, 397,905 pil ekstasi, heroin (4.0 gram), ketamin (28 gram), jus mangga (8.5 gram), serbuk dadah seberat 969.15 kg selain enam mesin dan peralatan memproses dadah.


"Turut dirampas 13 kereta mewah pelbagai jenama, sebuah motosikal Kawasaki, wang tunai RM2.28 juta, pelbagai mata wang asing bernilai RM284,000, jongkong emas seberat 1kg, empat utas jam tangan jenama Rolex dan pelbagai jenis barang kemas yang kesemuanya bernilai RM5.43," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.


Razarudin berkata, makmal dadah itu mampu memproses 3,000 biji pil dadah pelbagai jenis dalam masa satu jam selain mampu menghasilkan lebih 300,000 biji dalam tempoh kurang tiga hari.


Beliau berkata, dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan, namun tidak menolak kemungkinan ia turut diseludup ke pasaran luar. Semua 15 suspek direman bermula Ahad lalu hingga 16 Januari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


"Tiga daripada suspek ditahan didapati positif dadah manakala hasil semakan rekod lampau mendapati mereka mempunyai enam kesalahan lampau antaranya membabitkan kesalahan dadah, senjata api dan ugutan jenayah, " katanya.

Guna wang i-Sinar KWSP beli dadah

Guna wang i-Sinar KWSP beli dadah


Limbang: Seorang lelaki berusia 28 tahun berasal Kampung Patiambun, Jalan Buangsiol, yang kini bekerja sendiri mengaku menggunakan wang baru dikeluarkan melalui i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli dadah.


Suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang di tepi jalan Kampung Limpaki, di sini, pada 1 tengah hari semalam.


Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berada dalam keadaan mencurigakan ketika ditahan untuk pemeriksaan dan cuba melarikan diri.


"Pihak polis bertanya sama ada suspek menyimpan barang salah atau dadah, namun suspek hanya berdiam diri.


"Hasil pemeriksaan, polis menemui satu paket lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam seluar jean dipakai mangsa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata, suspek bersama dadah jenis syabu dianggarkan seberat 13.07 gram dan bernilai RM 1,300 itu dibawa ke Pejabat BSJND untuk tindakan lanjut.


Menurutnya, ketika disoal siasat, suspek menyatakan memperoleh dadah daripada seorang lelaki dikenali Lawang yang tinggal di Taman Damai, Limbang.


"Hasil risikan anggota BSJN didapati suspek yang membekalkan dadah tinggal di Kampung Patiambun dan bergiat aktif dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952," katanya.

Ahad, 20 Disember 2020

Hanya imbas anak mata, AADK terima alat kesan penagih dadah

Hanya imbas anak mata, AADK terima alat kesan penagih dadah


Kuala Lumpur: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kini memiliki teknologi untuk kesan penagih dadah dengan mudah dan cepat. Unit alat Pengesan Dadah Visual Segera 2.0 (IVDD 2.0) adalah teknologi terbaru diterima agensi itu yang bernilai RM136,000 dalam usaha mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah di negara ini.


Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, alat sumbangan syarikat Nyla Sdn Bhd itu akan digunakan sebagai kajian projek rintis AADK mengesan penyalahgunaan dadah melalui sensor mengimbas anak mata.


Penyerahan dua alat IVDD 2.0 kepada Zulkifli disempurnakan Pengarah Nyla Sdn Bhd, Ahmad Khusairy Abd Ghani. Bagaimanapun katanya, alat berkenaan akan diuji terlebih dahulu untuk tempoh enam bulan bagi memastikan keberkesanannya sebelum digunakan.


"AADK akan terbabit sama dalam menjalankan ujian alat itu bertujuan mengenal pasti keberkesanannya. Kita berharap teknologi terbabit dapat memberikan hasil yang memuaskan.


"Ini seterusnya mewujudkan kaedah ujian pengesanan dadah yang kurang mengganggu (less instrusive)," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan dua unit alat IVDD 2.0 di sini, hari ini.



Zulkifli berkata, peringkat awal dua alat itu akan digunakan oleh AADK Kuala Lumpur dan Putrajaya semasa menjalankan operasi bersepadu dadah di pusat hiburan, kawasan 'hot spot', sarang penagihan dadah dan sekolah.


Tambah beliau, alat berkenaan memerlukan tempoh dua minit untuk menghasilkan data daripada imbasan anak mata dan ia akan disimpan dalam sistem AADK.


"Alat ini menjadi alternatif kepada ujian saringan air kencing yang kita biasa lakukan untuk mengesan penyalahgunaan dadah kepada individu yang disyaki sebelum ini.


"Cara ini lebih profesional, cepat dan bersih. Orang yang perlu menjalani saringan juga akan berasa lebih selesa dan mudah menerimanya," katanya.


Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak syarikat swasta atau badan korporat yang dapat bersama-sama membantu AADK dalam menangani penyalahgunaan dadah menerusi kaedah dan teknologi berkesan.


Katanya, syarikat swasta atau badan korporat dilihat mempunyai keupayaan, kemahiran dan sumber kepakaran teknologi yang boleh diguna pakai untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu menangani permasalahan dadah.

Sabtu, 5 Disember 2020

Suspek menggigil ditahan polis ketika edar 2kg dadah

Suspek menggigil ditahan polis ketika edar 2kg dadah


Beaufort: Mengedar dadah jenis syabu sebanyak 2.065 kilogram (kg), tiga individu termasuk seorang wanita berdepan hukuman gantung selepas ditahan di tepi pantai Kampung Mempakul, Menumbok, Kuala Penyu Isnin lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dua lelaki berusia 45 dan 57 tahun bersama seorang wanita berusia 22 tahun menggigil selepas disergah polis ketika mengedar dadah yang bernilai RM90,000 di kawasan itu.


Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, tangkapan dibuat ketika sepasukan polis melakukan serbuan selepas disyaki berlaku transaksi pengedaran dadah di kawasan itu


"Satu kenderaan jenis Toyota Hilux berhenti di kawasan pemunggahan tepi pantai berkenaan dan seorang lelaki keluar sambil membawa satu bungkusan serta meletakkannya di celah batu.


"Pasukan polis bertindak menghampiri kenderaan itu dan memperkenalkan diri sebagai polis kepada ketiga-tiga suspek. Kesemua suspek terkejut serta menggigil ketika ditahan.


"Pasukan polis juga bertindak mengambil bungkusan dan membukanya di hadapan suspek sebelum menemui bungkusan plastik teh Cina yang di dalamnya mengandungi ketulan hablur disyaki dadah methamphetamine kira-kira 2,065 gram," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Katanya, barang kes kemudian dirampas dan semua suspek ditahan serta dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut.


Saringan awal mendapati dua daripada tiga suspek positif methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek perempuan negatif dadah.


Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek utama dalam kes ini memperoleh bekalan syabu dari Kota Kinabalu dan dipercayai akan diedar ke Menumbok bagi tujuan penjualan, manakala transaksi dadah ke Labuan pula hasil risikan bahagian narkotik IPD Labuan.


Katanya lagi, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan siasatan lanjut masih dijalankan. Kes di siasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39 C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap kedua-dua suspek lelaki yang turut mempunyai dua kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.


Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, ketiga-tiga suspek akan berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dikenakan 15 kali sebatan.

Selasa, 1 Disember 2020

JSJN siasat punca dadah bolos masuk lokap polis

JSJN siasat punca dadah bolos masuk lokap polis


Johor Bahru: Sejumlah dadah jenis syabu dan heroin dirampas daripada tahanan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dekat sini, Ahad lalu.


Ujian saringan air kencing yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) terhadap 129 tahanan reman di lokap terbabit turut mendapati 22 daripadanya adalah positif dadah.


Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan mencari punca bagaimana dadah boleh dibawa masuk ke dalam lokap dan akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan itu.


Sumber berkata, empat anggota polis bertugas menjaga lokap itu turut menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati seorang daripadanya positif dadah methamphetamin. Dipercayai anggota polis yang positif dadah itu turut membawa masuk bekalan dadah ke dalam lokap IPD Kota Tinggi.


Malah, siasatan yang dilakukan mendedahkan terdapat dua lagi anggota polis terbabit dalam membantu tahanan reman membawa masuk dadah dan tembakau ke dalam lokap polis. Usaha sedang dilakukan bagi mengesan dua anggota polis berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.


Sementara itu, Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, tiada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terlepas daripada tindakan jika didapati terbabit dalam penyeludupan dadah di lokap.


Menurutnya, sebelum ini Bukit Aman sudah mengambil tindakan tegas ke atas anggota dan pegawai yang terbabit dengan sindiket pengedaran dadah seperti yang berlaku di Langkawi, Kedah.


"Kita akan menjalankan ujian saringan air kencing ke atas tahanan lokap melebihi seminggu untuk mengesan jika ada dadah bolos di bawa masuk ke dalam lokap.


"Kita akan cari punca bagaimana dadah boleh masuk dalam lokap. Tidak kira mana-mana balai pun. Insiden serupa pernah berlaku di Pulau Pinang melibatkan seorang anggota polis membawa masuk dadah ke dalam lokap namun sudah pun diambil tindakan," katanya.


Jelasnya, terdapat beberapa lagi kes serupa melibatkan anggota polis selain daripada ahli sindiket yang ditahan dalam lokap.


Kamarulzaman ditemui selepas program perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.


Kamarulzaman berkata, siasatan terperinci akan dilakukan berhubung perkara itu termasuk mengenal pasti dalang utama. Beliau percaya, penyeludupan dadah ke dalam lokap membabitkan pihak yang mengambil kesempatan terhadap penagih dadah yang ditahan.

Jumaat, 27 November 2020

 7 suspek ditahan, dadah bernilai RM18 juta dirampas

7 suspek ditahan, dadah bernilai RM18 juta dirampas


Padang Terap: Susulan penahanan tujuh lelaki dan penemuan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM18 juta, Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah terbesar bagi tahun ini, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini.


Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, penahanan yang dilakukan dalam empat serbuan berasingan pada Rabu dan Khamis itu membabitkan tangkapan lima lelaki warga Thailand dan dua lelaki tempatan berusia 32 hingga 48 tahun.


"Serbuan pertama pada 8 malam Rabu lalu, polis menahan sebuah kereta jenis Wira Aeroback di tepi Jalan Padang Sanai dan menahan dua lelaki Thailand berumur 28 tahun. Pemeriksaan lanjut menemukan dadah jenis heroin seberat lebih 108 kilogram (kg) di bahagian belakang bonet kereta dianggarkan bernilai RM18 juta.


"Pada 6 pagi Khamis, dibantu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Bidor satu serbuan dilakukan di kawasan Hutan Simpan Situlang, Padang Terap dan seorang lelaki tempatan dan warga Thailand yang menaiki kereta jenis Pajero Mitsubishi berjaya ditahan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di sini, hari ini.


Katanya, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemukan dadah jenis ganja seberat 7.75 kg bernilai RM20,000 di bahagian tempat duduk belakang kereta berkenaan, serbuan seterusnya dilakukan di kawasan sama pada 10.30 pagi dan pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan warga Thailand yang menaiki kereta jenis Mitsubishi Triton. 


Katanya, turut menemukan selaras senapang patah dan sebilah parang panjang bersama suspek. Polis turut menjumpai dadah jenis syabu seberat 9.3 gram dan 5.18 gram dadah jenis pil kuda yang dianggarkan bernilai RM1,450. Kedua-dua suspek yang positif dadah jenis syabu itu ditahan dan dibawa ke IPD Padang Terap untuk siasatan lanjut.


Menurutnya, kemudian, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga Thailand yang dilihat mencurigakan di kawasan hutan yang sama. Lokasi penahanan di kawasan hutan itu sangat hampir dengan sempadan dan terdapat beberapa khemah sementara dipasang yang disyaki dijadikan sebagai lokasi transit. 


Katanya, dia tidak menafikan penahanan semua suspek itu mempunyai kaitan antara satu sama lain dan mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Lelaki khayal dadah, langgar polis didakwa

Lelaki khayal dadah, langgar polis didakwa


Ipoh: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah, sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan parah seorang anggota polis di satu sekatan jalan raya di sini Selasa lalu.


Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan mengakibatkan kecederaan kepada Koperal Mohd. Aizal Md. Lazim di satu sekatan jalan raya di Jalan Silibin di Ipoh pada pukul 11.15 pagi, 24 November lalu.


Tertuduh, Nor Azman Mat Salleh, 35 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar. Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44 (1A) akta yang sama.


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 dan penjara selama tempoh tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun.


Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan menawarkan jaminan RM10,000 namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan isterinya sedang hamil. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.


Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Januari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.


Dalam kejadian Selasa lalu, Mohd. Aizal dari Cawangan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dilanggar seorang penunggang motosikal yang cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya (SJR).


Rempuhan motosikal dari arah belakang itu menyebabkan mangsa melambung sebelum terjatuh dan terseret sejauh lebih lima meter di atas jalan. Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa cedera di kepala, muka, tangan dan badan.

Selasa, 24 November 2020

Mat gian bakar motosikal, kecewa tak dapat wang beli dadah

Mat gian bakar motosikal, kecewa tak dapat wang beli dadah


Kepala Batas: Kecewa gara-gara tidak memperoleh wang seperti yang diminta, seorang lelaki bertindak di luar dugaan membakar motosikalnya selepas mengamuk dalam kejadian di Paya Keladi Hujung di sini petang semalam.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, suspek dikatakan berang apabila ibu bapanya enggan memberi wang dipercayai untuk membeli dadah.


Menurutnya, suspek berusia 24 tahun itu kemudiannya mengamuk lalu membakar sebuah motosikal jenis Honda Wave 125 miliknya di depan rumah.


"Pihak polis menerima panggilan menyatakan ada seorang lelaki mengamuk lalu membakar motosikal miliknya.


"Dia dipercayai bertindak demikian kerana berang tidak diberi wang untuk membeli dadah. Bagaimanapun, suspek tidak mencederakan sesiapa termasuk ibu bapanya," katanya ketika dihubungi.


Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendapati suspek positif methamphetamine. Suspek diserahkan kepada AADK Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.


Kesan pengambilan 'meth' ialah drug-induced psychosis (DIP). DIP menyebabkan seseorang hilang pertimbangan, tidak berada di alam realiti, mendengar suara, alami halusinasi, delusi dan paranoia.


Pengambilan dadah ini akan mengganggu kemampuan mengawal emosi. Contohnya, andai sesuatu diminta tidak diberi, ia mengundang kemarahan melampau hingga hilang pertimbangan.

Sabtu, 21 November 2020

Lelaki kayal gam, bertindak libas polis dengan rantai gergaji

Lelaki kayal gam, bertindak libas polis dengan rantai gergaji


Kota kinabalu: Dipercayai kayal selepas menghidu gam, seorang lelaki warga asing bertindak menyerang anggota dan pegawai polis serta mengeluarkan kata-kata kesat. Lelaki bersenjatakan rantai mesin gergaji itu telah ditahan di Kampung Pondo, Pulau Gaya di sini, hari ini.


Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi itu, anggota polis melihat seorang lelaki menghidu gam, ketika dihampiri, lelaki berusia 21 tahun itu bertindak menyerang polis.


"Ketika memperkenalkan diri sebagai polis, lelaki terbabit terus memaki hamun dan mengugut untuk membunuh anggota polis itu.


"Suspek kemudiannya bertindak melibas rantai besi beberapa kali ke arah pasukan polis sebelum ditahan.


"Rantai mesin gergaji yang digunakan sebagai senjata dipercayai diubahsuai turut dirampas dan dibawa ke balai polis," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurutnya, akibat kejadian itu salah seorang anggota polis cedera di kaki dan tangan kanan manakala suspek tidak cedera. Pemeriksaan lanjut terhadap suspek mendapati tiada dokumen pengenalan diri yang sah.


Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.


Sumber: Sinar Harian

Sabtu, 14 November 2020

Wanita khayal hiris kemaluan kawan lelakinya

Wanita khayal hiris kemaluan kawan lelakinya


Georgetown: Kerana lalok selepas mengambil dadah, seorang wanita menghiris kemaluan rakan lelakinya menyebabkan kecederaan. Difahamkan ketika itu mereka sedang khayal selepas mengambil dadah di Pasar Bandar Baru Farlim di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima panggilan daripada mangsa jam 7.55 pagi yang memaklumkan kemaluannya telah cedera.


Siasatan telah dijalankan mendapati suspek yang berusia 38 tahun itu pergi ke pejabat mangsa yang terletak berdekatan pasar tersebut pada jam 6.30 pagi. Mereka kemudiannya mengambil dadah dan berada dalam keadaan khayal.


"Akibat terlalu khayal, mangsa kemudiannya tidak sedarkan diri.


"Bagaimanapun, mangsa menyedari kemaluannya cedera dan berdarah dipercayai dihiris selepas sedar daripada khayal manakala suspek menghilangkan diri," katanya ketika dihubungi.


Katanya, mangsa dipercayai dicederakan menggunakan objek tajam. Pemeriksaan mendapati kecederaan dialami tidak serius dan kini dirawat di hospital.


"Suspek yang belum berkahwin ditahan di Paya Terubong, Air Itam pada jam 9 pagi semalam dan dia didapati positif methamphetamine serta mempunyai tiga rekod jenayah lampau.


"Semakan mendapati, mangsa mempunyai rekod psikiatri di Hospital Pulau Pinang. Beberapa barang kes termasuk sebilah gunting dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa telah di rampas," katanya.


Soffian berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Jumaat, 13 November 2020

Usahawan bergelar Datuk Seri, adik ditahan bersama dadah seberat 126 kg bernilai RM5 juta

Usahawan bergelar Datuk Seri, adik ditahan bersama dadah seberat 126 kg bernilai RM5 juta


Shah Alam: Seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri serta adiknya ditahan polis dalam serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.


Dalam serbuan kira-kira 4.30 petang itu, kedua-dua mereka yang berusia 25 dan 31 tahun itu, ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 126.85 kilogram yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina bernilai kira-kira RM5 juta.


Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan tersebut melibatkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang.


"Hasil siasatan, polis (kemudian) telah menahan tiga lelaki (lain) termasuk seorang warga Indonesia yang pasportnya sudah tamat tempoh di lokasi sama.


"Dua lelaki tempatan itu dipercayai anggota sindiket terbabit manakala warga Indonesia itu dikenal pasti memainkan peranan sebagai orang tengah.


"Pemeriksaan mendapati kesemua mereka positif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai 19 rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di IPK Selangor pada Jumaat.


Difahamkan, sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum semua dadah itu dihantar ke negara jiran. Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa kenderaan termasuk Ford Mustang, Nissan Almera, Toyota Innova dan Honda HRV.


"Hasil siasatan mendapati Ford Mustang yang dianggarkan bernilai RM500,000 didaftarkan di bawah nama isteri kepada adik ahli perniagaan itu yang juga seorang anggota tentera," katanya.


Sementara itu, Arjunaidi berkata, dadah yang dirampas pihaknya dalam serbuan itu boleh menampung kehendak 253,700 penagih.


Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.