Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Disember 2022

CCTV rakam wanita berbikini rompak kedai dan rumah pada hari yang sama

CCTV rakam wanita berbikini rompak kedai dan rumah pada hari yang sama


Seorang pencuri wanita yang hanya memakai bikini ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah dan kedai pembekal bahan binaan di ­Chiang Mai, Thailand, lapor portal berita Thaiger pada 14 Disember 2022.


Ketika kejadian, suspek berjaya melarikan wang tunai, te­lefon pintar jenama iPhone dan beberapa barangan lain. Pemilik kedai itu memuat naik rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi keja­dian di laman Facebook baru-baru ini.


Rakaman itu menunjukkan pencuri wanita tersebut memanjat pagar setinggi tiga meter di belakang kedai dan cuba membuka pintu, namun dia berputus asa selepas gagal membukanya selama 30 minit.


Dia kemudian memanjat semula pagar dan melarikan diri, manakala kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu pada pukul 6 petang (waktu tempatan).


Pemilik kedai berkata, dia terkejut kerana wanita itu berani melakukan jenayah pada waktu petang disebabkan kawasan berhampiran yang sentiasa sesak dengan penjual dan para pe­ngunjung.


Dalam kejadian berasingan pada hari sama, wanita tersebut turut cuba memecah masuk sebuah rumah di Chiang Mai. Rakaman CCTV berhampiran lokasi kejadian itu merakamkan aksi suspek bersama barangan curi.


Dia memanjat bumbung, terjun ke dalam parit dan melarikan diri dengan membawa telefon, jam tangan, wang sebanyak 1,000 baht (RM126), alat pengencas dan beberapa helai pakaian dalam.


Pegawai-pegawai dari Balai Polis Chang Phueak memeriksa kamera keselamatan di sepanjang laluan iaitu tempat wanita itu melarikan diri.


Mereka kemudian melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mengesan cap jari suspek sebelum wanita tersebut berjaya ditangkap pada Rabu lalu. - Sumber The Thaiger.


Suspek dirakam memanjat pagar sebuah kedai sebelum melarikan diri. - Foto NBT North.

Rabu, 7 Disember 2022

Ular sawa batik seberat 60 kg 'tumpang tidur' bonet MPV cikgu

Ular sawa batik seberat 60 kg 'tumpang tidur' bonet MPV cikgu


Seorang guru wanita terkejut apabila menyedari seekor ular sawa batik seberat 60 kilogram berada di dalam bonet kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser sebelum ke sekolah di rumahnya di Kampung Padang Kala, Melor dekat Kota Bharu, hari ini.


Ketua Operasi Pusat Kawalan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Bharu, Siti Nur Zakiah Abdul Halim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi semasa guru berusia 53 tahun itu memanaskan enjin MPV miliknya sementara bersiap-siap untuk ke sekolah.


Menurutnya, guru itu pada awalnya pelik apabila terdengar bunyi dari bahagian bonet MPV itu semasa memanaskan enjin. Curiga dengan bunyi itu, guru berkenaan terus membuka bonet kenderaaannya sebelum mendapati seekor ular sawa batik berada pada bahagian bateri.


"Wanita itu terus menghubungi panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.25 pagi sebelum seorang pegawai dan empat anggota APM bergegas ke lokasi kejadian.


"Anggota bertugas mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan ular sawa batik sepanjang tiga meter itu menggunakan alat khas," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Siti Nur Zakiah, ular itu dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah dan diletakkan dalam sangkar sementara menunggu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambilnya.


Anggota APM menangkap ular sawa batik seberat 60 kilogram di dalam bonet sebuah MPV di Kampung Padang Kala, Melor dekat Kota Bharu hari ini. - Foto APM.

Sabtu, 3 Disember 2022

Pasangan suami isteri dicekup bawa syabu seberat 246kg bernilai RM9.5 juta

Pasangan suami isteri dicekup bawa syabu seberat 246kg bernilai RM9.5 juta


Sepasang suami isteri yang dipercayai bertindak sebagai 'transporter' ditahan semasa membawa sebanyak 246 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM9.5 juta menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan Eco Park, Batu Jong, Kuala Krai, semalam.


Suspek pertama yang berusia 26 tahun bersama isterinya 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 pagi semasa sedang memandu kenderaan MPV jenis Perodua Alza.


Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas MPV itu membawa kepada penemuan 11 guni putih di bahagian belakang pemandu dan penumpang.


"Pemeriksaan ke atas setiap guni putih mengandungi 24 bungkusan foil berwarna silver. Setiap bungkusan itu mengandungi plastik lutsinar bertulis 'guanyinwang' yang disyaki berisi dadah jenis syabu.


"Selain itu, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM8,899 dan 200 Baht Thailand ," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, hari ini.


Muhamad Zaki memberitahu, hasil soal siasat yang dilakukan mendapati pasangan suami isteri itu diberi upah sebanyak RM5,000 setiap kali penghantaran.


Katanya, hasil siasatan mendapati suspek enam kali menjadi 'transporter' dan semasa ditahan, mereka turut membawa dua anak mereka berusia empat tahun dan lapan bulan.


Tambahnya, siasatan mendapati, kesemua dadah-dadah itu dibawa dari Thailand dan akan mereka membawanya dari Kelantan ke Lembah Klang.


"Kesemua dadah yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang dan boleh digunakan oleh seramai lebih 2.6 juta orang penagih dadah.


"Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Disember 2022 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.


Muhamad Zaki Harun (dua kanan) bersama pegawai menunjukkan bungkusan syabu semasa sidang akhbar di IPD Kuala Krai, Kelantan hari ini. - Foto Utusan.

Ahad, 20 November 2022

"Penghormatan terbesar berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan anda" - Khairy

"Penghormatan terbesar berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan anda" - Khairy


"Terima kasih kepada pengundi P.107 Sungai Buloh. Saya telah berusaha sehabis baik, tahniah kepada Datuk R. Ramanan. Selamat berkhidmat".


Demikian kata-kata calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas tewas di Parlimen Sungai Buloh kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ramanan Ramakrishnan.


Khairy juga menyifatkan khidmatnya sebagai Menteri Kesihatan sebagai penghormatan tertinggi.


"Terima kasih kepada rakyat Malaysia. Satu penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan anda semasa pandemik," katanya dalam kemas kini di media sosial.


R. Ramanan menang di kerusi Parlimen Sungai Buloh dengan 50,943 undi, manakala Khairy memperoleh 48,250 undi.


Terdahulu, Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara PH, BN, Perikatan Nasional, Pejuang, Parti Rakyat Malaysia dan dua calon Bebas.


Ramanan berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,693 undi berbanding Khairy Jamaluddin.


Sebelum ini penyandang kerusi parlimen itu adalah R. Sivarasa mewakili PH pada PRU14 dengan majoriti 26,634.


Khairy adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum diletakkan sebagai calon BN di Parlimen Sungai Buloh pada PRU-15.


Ia bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Parlimen itu.


Khairy Jamaluddin.

Sabtu, 19 November 2022

Bapa minta keluarga guna lampu suluh jimat elektrik selepas bil bulanan meningkat 2 kali ganda

Bapa minta keluarga guna lampu suluh jimat elektrik selepas bil bulanan meningkat 2 kali ganda


Sebuah keluarga di Britain menjalani kehidupan harian dalam keadaan bergelap kerana mengamalkan 'dasar tiada elektrik' di rumah bagi menjimatkan bil tenaga bulanan, lapor akhbar Metro UK pada 17 November 2022.


Chavdar Todorov, 53, mengajak ahli keluarganya menjalani gaya hidup sedemikian dengan hanya memasang sistem pemanas sekali seminggu. Dia juga menggalakkan isteri dan anak-anaknya memakai jaket atau selimut bagi mengelak daripada kesejukan.


Keluarga itu terpaksa mengubah gaya hidup mereka selepas bil tenaga kediaman tersebut didapati meningkat dua kali ganda menjadi £320 (RM1,732) sebulan.


Disebabkan itu, Chavdar mendapat idea untuk menggunakan lampu kepala agar mereka tidak perlu menggunakan tenaga elektrik. Keluarga itu juga menggunakan lilin untuk menyalakan rumah mereka.


"Ia bagaikan hidup semasa abad ke-18," kata Chavdar, semasa menyesuaikan diri dengan gaya hidup sedemikian.



Tambahnya, dia kini berjalan di dalam rumahnya menggunakan lampu kepala tanpa menghidupkan lampu.


"Kami mengurangkan aktiviti menonton televisyen dan hanya menonton sekali sekala," katanya.


Menurut isterinya, Moda, 49, dan anak-anak mereka, Teo, 14, dan Nicole, 20, cuba berfikir positif, namun agak sukar untuk melakukan demikian.


"Kami memadam lampu di rumah dan hanya menggunakan lampu suluh namun, ia agak menakutkan dan saya berasa tidak selamat. Terdapat banyak kes kecurian di kawasan kejiranan kami," ujarnya.


Chavdar Todorov berkata malamnya kini terasa seperti hidup 'dalam abad ke-18'. - Foto SWNS.

Chavdar dan isterinya serta anak-anak mereka menggunakan lampu kepala bagi menjimatkan tenaga elektrik. - Foto SWNS.

Ahad, 13 November 2022

Dari Asia 'identiti dirahsiakan' membeli berlian merah jambu unik dengan harga RM135 juta

Dari Asia 'identiti dirahsiakan' membeli berlian merah jambu unik dengan harga RM135 juta


Sebentuk cincin istimewa bertatah berlian merah jambu terang berbentuk buah pear yang sangat jarang ditemui dijual pada harga AS$28.8 juta (RM135 juta) di Switzerland pada Selasa lalu (8 November 2022).


Jualan tersebut dibuat dalam sesi lelongan barang-barang kemas dan perhiasan yang jarang ditemui, Christie’s Auction di Geneva. Difahamkan berlian tersebut dibeli oleh pelanggan persendirian dari Asia.


Pembidaan itu, yang berlangsung selama empat minit yang tegang, bermula pada RM83.6 juta dan merupakan pertempuran tiga hala antara pembida telefon, dengan pemenang akhirnya menuntut permata itu dengan menaikkan bidaan sebanyak setengah juta.


"Pembeli gembira. Ia adalah impian yang menjadi kenyataan," kata pekerja Christie yang menerima bidaan tertinggi itu melalui telefon, sambil mengekalkan kerahsiaan pembeli.


Berlian unik bersaiz gergasi yang diberi nama 'Pink Fortune' itu mempunyai berat 18.18 karat yang disifatkan nombor bertuah bagi ramai pengumpul barangan dari Asia.


"Warnanya luar biasa. Ia adalah merah jambu yang terang dan batu yang bersih. Ia benar-benar permata asli dan sesuatu yang sudah lama tidak kami lihat di Christie’s.


"Jumlah beratnya juga sangat istimewa dan mempunyai peminat yang besar hampir di seluruh dunia," kata Ketua Jabatan Barang Kemas Christie di Geneva, Max Fawcett.


Berlian merah jambu terang terbesar pernah dijual di Christie’s Auction yang diberi nama 'Winston Pink Legacy'.


Berlian seberat 18.96 karat itu dijual pada harga AS$50.4 juta (RM237 juta) pada tahun 2018 yang merupakan harga tertinggi yang pernah dicatatkan bagi penjualan berlian merah jambu dalam sesi lelongan. - Sumber SCMP.


Christie menyatakan bahawa berlian itu mempunyai berat 18.18 karat yang disifatkan nombor bertuah bagi ramai pengumpul barangan dari Asia. - Foto Reuters.

Ahad, 23 Oktober 2022

Mike Tyson dedah punca sebenar tumbuk peminat dalam pesawat

Mike Tyson dedah punca sebenar tumbuk peminat dalam pesawat


Mike Tyson mengakui dia pening kepala akibat terhidu bau ganja sebelum menumbuk seorang peminat di dalam pesawat. Bekas petinju berusia 56 tahun itu dirakam berulang kali menumbuk Melvin George Townsend dalam penerbangan JetBlue pada April 2022 lalu.


Tyson mengakui dia menaiki penerbangan dari San Francisco ke Miami selepas berada di tengah-tengah 60,000 orang yang menghisap ganja.


Bercakap mengenai kejadian itu, Tyson memberitahu dalam rancangan Piers Morgan Uncensored bahawa dia tidak boleh tahan lagi melihat tingkah laku Townsend yang cuba mendekatinya dan tidak henti-henti melakukan provokasi.


"Pertama sekali, saya datang dari tempat bernama Hippie Hill di mana 60,000 orang di sana menghisap ganja. Jadi apabila saya berada di dalam pesawat, saya lapar, pening dan letih. Lelaki itu terus mendekati saya.


"Saya geram dan bertindak menumbuknya. Mujur pengawal peribadi saya menghentikan insiden itu," katanya.


Susulan kejadian itu, pendakwa raya sebuah daerah di California memaklumkan bahawa tidak akan memfailkan pertuduhan terhadap Tyson yang didakwa menumbuk seorang penumpang dalam pesawat yang dalam penerbangan.


"Kini kami menganggap kes ini ditutup," kata Pendakwa Raya Daerah Steve Wagstaffe.


Wagstaffe berkata, pejabatnya telah mengkaji video insiden tersebut dan laporan polis mengenai insiden pertengkaran yang berlaku pada 20 April lalu sebelum memutuskan untuk tidak melakukan pendakwaan.


Wagstaffe menambah, pejabatnya juga tidak akan memfailkan pendakwaan terhadap penumpang terbabit, yang juga enggan mendakwa Tyson.


Pada April lalu, TMZ menyiarkan rakaman video yang memaparkan Tyson menumbuk Townsend yang duduk di barisan belakangnya dengan menyatakan insiden tersebut berlaku selepas penumpang itu terus mengganggu bekas penunju tersebut setelah dia diminta berhenti melakukannya.


Seorang saksi di dalam pesawat memberitahu TMZ bahawa pada mulanya bekas juara heavyweight itu bersikap mesra dengan peminat yang meminta bergambar namun Townsend terus bercakap dengan Tyson yang mencetuskan kemarahan sebelum menumbuknya.


"Malangnya Tyson mengalami insiden dalam penerbangan dengan seorang penumpang yang agresif yang mula mengganggunya dan membaling botol ke arah beliau ketika beliau berada di tempat duduknya," kata wakil Tyson kepada Fox Business menerusi satu kenyataan ketika itu.


Mike Tyson menumbuk Townsend di dalam pesawat, April lalu. - Foto Agensi.