Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Ahad, 9 Oktober 2022

Ribuan ikan salmon liar mati akibat kemarau, sungai di British Columbia kering

Ribuan ikan salmon liar mati akibat kemarau, sungai di British Columbia kering


Spesies salmon liar menjadi mangsa terbaharu akibat kemarau yang melanda wilayah British Columbia di Kanada selama sebulan dengan beribu-ribu bangkai ikan itu bertaburan di sepanjang tebing sungai, lapor laman berita Wion News pada 8 Oktober 2022.


Dalam sebuah klip video yang dikongsikan secara online minggu lalu, bangkai-bangkai ikan salmon spesies merah jambu dan chum didapati terapung dan hanyut ke tebing sungai. Ahli biologi berkata lebih 70 peratus daripada ikan mati di dasar anak sungai sebelum sempat membiak.


Salmon liar sering menunggu hujan sebagai petunjuk untuk 'menongkah' arus sungai kerana paras air yang meningkat akan memudahkan ia berenang ke lokasi kelahiran asal.


"Sungguh menyedihkan untuk melihat perkara ini berlaku. Paras air sungai adalah rendah di kebanyakan kawasan sekarang dan bukan hanya di rantau Heiltsuk, British Columbia. 


"Kami menyaksikan kematian ikan salmon sebelum ia sempat bertelur secara tahunan. Tetapi belum pernah sampai ke tahap ini," kata pengurus pertubuhan pemuliharaan Heiltsuk Nation, William Housty kepada akhbar The Guardian.



Housty mendakwa, kira-kira 10 hari yang lalu, hujan rintik pada waktu petang dan air pasang memberi isyarat palsu kepada ikan-ikan salmon untuk 'berpindah'. Anak sungai yang menjadi kering kerana ketiadaan air kemudian menyebabkan ia terkandas.


Salmon Pasifik liar sering kali mati selepas menggembara melalui anak-anak sungai yang berliku. Bangkainya kemudian diagihkan atau dimakan oleh beruang, burung, serigala atau mana-mana haiwan lain yang memberi manfaat kepada hutan.


Populasi salmon liar sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan penurunan yang lebih besar.


Memandangkan hujan tidak turun di sepanjang pantai barat wilayah British Columbia sejak kebelakangan ini, banyak kawasan dilaporkan mengalami kemarau tahap empat yang dipercayai memberi kesan kepada penduduk setempat dan alam sekitar. - Sumber Wion News.


Salmon Pasifik liar sering kali mati selepas menggembara melalui anak-anak sungai yang berliku, tetapi belum pernah sampai ke tahap ini. - Foto Twitter/William Housty.

Seorang ahli biologi menganggarkan 65,000 salmon mati berada di dasar sungai. - Foto Twitter/William Housty.

Pantai barat British Columbia mengalami sedikit hujan sejak lima minggu lalu dan beberapa kawasan mengalami kemarau tahap empat. - Foto Twitter/William Housty.

Rabu, 5 Oktober 2022

NASA rakam imej Matahari yang menakutkan mengeluarkan 'letusan tenaga sangat kuat' menyebabkan gangguan radio di Bumi

NASA rakam imej Matahari yang menakutkan mengeluarkan 'letusan tenaga sangat kuat' menyebabkan gangguan radio di Bumi

 

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya merakam imej menakjubkan letusan tenaga yang meletus dari Matahari, lapor akhbar The Sun UK, semalam.


Hamparan zarah bercas yang besar dikenali sebagai letusan suria dilaporkan sangat kuat sehingga menyebabkan gangguan pada radio di Bumi pada hari Selasa, 4 Oktober 2022.


Menurut NASA, letusan suria yang kuat itu dilepaskan dari Matahari pada Isnin, pukul 9.25 malam (waktu tempatan).


Balai Cerap Dinamik Suria NASA yang bertanggungjawab menjejaki aktiviti Matahari, merakam foto kejadian yang jarang berlaku itu.


Dalam satu kenyataan, NASA berkata, letusan suria yang besar boleh mengganggu medan magnet Bumi serta menyerakkan radio dan isyarat Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).


Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA), sebilangan kecil gangguan pada fungsi radio telah diperhatikan semalam susulan letusan sinaran elektromagnet Matahari.


Letusan suria yang baru berlaku itu dikelaskan sebagai suar X1. Kelas X menandakan suar paling panas manakala nombor menandakan tahap kekuatannya. X2 adalah dua kali lebih sengit daripada X1, X3 adalah tiga kali lebih sengit.


Setiap ribut suria digredkan mengikut keterukan pada skala satu hingga lima, dengan G1 digambarkan sebagai "kecil" dan G5 sebagai "melampau".


Pada bahagian atas skala, ribut mendatangkan malapetaka pada medan magnet planet kita, yang boleh mengganggu grid kuasa dan rangkaian komunikasi.


"Radiasi berbahaya daripada suar tidak boleh melalui atmosfera Bumi untuk menjejaskan manusia secara fizikal di atas tanah. Bagaimanapun apabila cukup sengit, ia boleh mengganggu suasana di lapisan tempat isyarat GPS dan komunikasi bergerak," kata NASA.


Pada tahun 1989 lalu, suar suria yang lebih besar telah mendatangkan malapetaka di planet kita. Letusan suria yang kuat menembak begitu banyak zarah bercas elektrik di Bumi sehingga Wilayah Quebec Kanada kehilangan kuasa selama sembilan jam. - Sumber The Sun.


NASA mengeluarkan imej suar suria yang meletus pada permukaan Matahari pada hari Isnin. - Foto NASA.

Ahad, 11 September 2022

Kaktus gergasi berusia 200 tahun tumbang akibat dibadai hujan lebat

Kaktus gergasi berusia 200 tahun tumbang akibat dibadai hujan lebat


Pokok kaktus padang pasir Saguaro gergasi yang hidup selama kira-kira 200 tahun telah tumbang dibadai hujan lebat yang melanda negeri Arizona barat daya Amerika Syarikat pada Ahad, 28 Ogos 2022 lalu. Taman Negara Arizona memaklumkan kehilangan Saguaro adalah kerugian besar.


"Musim hujan yang kuat dengan cepat boleh memberi kesan kepada landskap padang pasir. Kehilangan Saguaro adalah kerugian yang besar. Ia ikonik selama 200 tahun ini di denai Romero Ruins.


"Lokasi menarik yang menghadap Sutherland di Catalina State Park di Tucson, suatu pemandangan selama ini tidak dapat dinikmati pengunjung di taman lain," kata Taman Negeri Arizona menerusi kenyataan di media sosial.


Gambar yang dilampirkan dalam siaran di Facebook itu menunjukkan bahagian kaktus gergasi itu terdampar di tanah dengan batangnya hancur.


Kaktus Saguaro boleh mencapai ketinggian lebih daripada 10 meter dan berat lebih dua tan apabila penuh dengan air.



Tumbuhan itu yang tumbuh di Amerika Syarikat dan Mexico, menjadi simbol Amerika Barat dan khususnya landskap padang pasir Arizona.


"Namun, syukurlah gergasi ini telah jatuh di laluannya dan akan kekal di tempat ia mendarat, menyediakan habitat dan makanan untuk banyak makhluk ketika ia mereput," kata pihak Taman Negeri Arizona.


Ramai pelawat ke Catalina State Park mengimbas kembali lawatan mereka dalam komen siaran Facebook dan memasukkan gambar kaktus gergasi itu, menunjukkan skala penuh betapa tingginya ia telah berkembang selama dua abad.


Kaktus saguaro gergasi berdiri selama 200 tahun di Taman Negeri Catalina di Arizona telah tumbang dibadai hujan lebat. - Foto Taman Negeri Arizona.

Kini terhampar di atas tanah, kaktus saguaro akan mula reput tidak lama lagi. - Foto Taman Negeri Arizona/AFP.

Jumaat, 26 Ogos 2022

Eropah dilanda kemarau terburuk dalam 500 tahun, hampir semua sungai kering

Eropah dilanda kemarau terburuk dalam 500 tahun, hampir semua sungai kering


Berdasarkan data terbaru, Eropah kini dilanda kemarau terburuk dalam 500 tahun, menjejaskan banyak negara dari Jerman hingga United Kingdom, lapor portal BBC News pada 23 Ogos 2022.


Laporan terbaru dari Balai Cerap Kemarau Global mengatakan 47 peratus daripada benua eropah berada dalam keadaan amaran iaitu tanah semakin kering.


Selain itu, 17 peratus lagi berada dalam keadaan berjaga-jaga bermakna tumbuh-tumbuhan menunjukkan tanda-tanda mengalami tekanan kesan cuaca ekstrem itu.


Laporan itu memberi amaran, musim kemarau akan menjejaskan hasil tanaman, mencetuskan kebakaran hutan dan mungkin berlarutan beberapa bulan lagi di beberapa wilayah selatan Eropah.


Berbanding dengan purata lima tahun sebelumnya, ramalan Kesatuan Eropah (EU) untuk penuaian turun kepada 16 peratus untuk bijirin jagung, kacang soya (15 peratus) dan bunga matahari (12 peratus).


Balai cerap kemarau adalah sebahagian daripada bahagian penyelidikan di Suruhanjaya Eropah. Suruhanjaya memberi amaran, data awal mencadangkan kemarau semasa masih kelihatan paling teruk sejak sekurang-kurangnya 500 tahun.


Pesuruhjaya Penyelidikan, Mariya Gabriel berkatra, gelombang haba dan kekurangan air yang berterusan mencipta tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada paras air di seluruh EU.


"Kami sedang memerhatikan musim kebakaran hutan dengan ketara melebihi purata dan kesan penting terhadap pengeluaran tanaman. Perubahan iklim sudah pasti lebih ketara setiap tahun," katanya dalam portal BBC.


Laporan itu memberi amaran, hampir semua sungai di Eropah kering. Selain kesan yang jelas terhadap bot dan pengangkutan kargo, sungai kering turut melanda sektor tenaga yang sudah pun mengalami krisis - kuasa hidroelektrik menurun ketara sebanyak 20 peratus.


Laporan itu memberi amaran, keadaan semakin teruk di negara termasuk Itali, Sepanyol, Portugal, Perancis, Jerman, Belanda, Belgium, Luxembourg, Romania, Hungary, utara Serbia, Ukraine, Moldova, Ireland dan United Kingdom. - Sumber BBC News.


Paras air yang merosot di Tasik Serre-Ponçon, Ubaye Serre-Poncon di kawasan pergunungan Alps Perancis. - Foto AFP.

Sabtu, 20 Ogos 2022

Pakar dakwa Bumi menuju ke arah 'peristiwa kepupusan besar-besaran' disebabkan perubahan iklim

Pakar dakwa Bumi menuju ke arah 'peristiwa kepupusan besar-besaran' disebabkan perubahan iklim


Pakar-pakar mendakwa bahawa Bumi sedang menuju ke arah bencana kepupusan besar-besaran buat kali keenam, lapor akhbar Daily Star pada 13 Ogos 2022.


Sepanjang sejarah sekitar 4.5 bilion tahun kewujudan planet ini, pakar berkata, terdapat lima peristiwa kepupusan berskala besar yang berlaku setakat ini.


Perubahan iklim kini diramalkan membawa kepada peristiwa kepupusan seterusnya. Keadaan itu dijangka berlaku apabila Bumi mengalami perubahan iklim yang memusnahkannya dengan lebih cepat berbanding dipulihkan.


David Storch, seorang profesor di Jabatan Ekologi Universiti Charles di Prague memberitahu Live Science, berkata kadar kepupusan semasa adalah kira-kira dua urutan magnitud lebih tinggi daripada kadar kepupusan biasa.


"Perubahan iklim yang dikesan semasa kepupusan besar-besaran dan terakhir ini bukanlah satu-satunya punca. Kesan perubahan global lain turut memainkan peranan," katanya.


Sementara itu, Kunio Kaiho, seorang profesor emeritus di Jabatan Sains Bumi di Universiti Tohoku di Jepun, menjelaskan bahawa cara Bumi memanas menyebabkan ia hanya memerlukan beberapa darjah suhu untuk dimusnahkan dengan lebih cepat berbanding dipulihkan.


"Peningkatan purata suhu global sebanyak 9 darjah Celsius menjadi elemen penting kepada kepupusan besar-besaran, sejajar dengan pemanasan global," katanya.


Menurut laman web Kerajaan UK, gabungan suhu darat dan lautan telah meningkat pada kadar purata 0.14F atau 0.08C setiap dekad sejak 1880, peningkatan hampir 2 darjah Celsius antara 1880 dan 2022. - Sumber Daily Star UK.


Perubahan iklim boleh menjadi peristiwa kepupusan besar-besaran kali keenam di Bumi. - Foto Getty Images.

Sabtu, 13 Ogos 2022

Pemandangan menghijau Britain kini bertukar jadi 'gurun' akibat kemarau dahsyat

Pemandangan menghijau Britain kini bertukar jadi 'gurun' akibat kemarau dahsyat


Satu rakaman imej satelit memaparkan lanskap di Britain perlahan-lahan bertukar menjadi seperti gurun disebabkan gelombang haba yang melanda, lapor akhbar Daily Star UK pada 12 Ogos 2022.


"Bahagian Barat Daya, bahagian selatan dan tengah England, dan Timur England akan dipindahkan ke status kemarau berikut sudah beberapa minggu tiada hujan," kata Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar.


Pengisytiharan untuk memindahkan bahagian England ke status kemarau berlaku sehari selepas Jabatan meteorologi mengeluarkan amaran panas melampau di beberapa lokasi sehingga Ahad ini (14 Ogos), meliputi sebahagian besar kawasan di England serta beberapa bahagian di Wales.



Ketua Pejabat Meteorologi, Andy Page memberi amaran bahawa suhu boleh mencecah 36 darjah Celcius pada hujung minggu ini.


Imej satelit menunjukkan banyak kawasan hijau di England berubah menjadi kekuningan dan juga hitam di beberapa tempat.


Secara keseluruhan, 64 peratus kawasan di Eropah dan Britain kini berada di bawah amaran kemarau, demikian menurut data dari Balai Cerap Kemarau Eropah.


Setiausaha Alam Sekitar George Eustice dan Menteri Alam Sekitar Steve Double bertemu dengan ketua eksekutif syarikat air pada hari Rabu, untuk membincangkan tindak balas berterusan terhadap cuaca kering yang berpanjangan.


Menteri mendengar daripada ketua eksekutif tentang bagaimana syarikat mereka mengambil langkah yang perlu untuk melindungi bekalan air awam dan mengurangkan kesan tempoh kering yang luar biasa ini.


"Kami lebih bersedia berbanding sebelum ini untuk tempoh cuaca kering, tetapi kami akan terus memantau keadaan itu dengan teliti, termasuk kesan kepada petani dan alam sekitar, dan mengambil tindakan selanjutnya mengikut keperluan." kata Steve Double. - Sumber Daily Star UK.


Pemandangan menghijau Britain kini bertukar kuning dan hitam akibat kegersangan tanah dilanda gelombang haba. - Foto PA.

Suhu diramalkan mencecah sehingga 36 darjah Celcius pada hujung minggu ini. - Foto Met Office.

Sabtu, 6 Ogos 2022

'Menggoncang' dunia sebanyak 2 kali, wap air letusan gunung berapi Tonga boleh isi 58,000 kolam renang Olimpik

'Menggoncang' dunia sebanyak 2 kali, wap air letusan gunung berapi Tonga boleh isi 58,000 kolam renang Olimpik


Salah satu letusan gunung berapi paling kuat di planet ini yang telah mengeluarkan sejumlah besar wap air hingga ke atmosfera, berkemungkinan mampu memanaskan permukaan bumi buat sementara waktu, menurut pengesanan daripada satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Memetik laporan CNN pada 3 Ogos 2022, letusan gunung berapi dasar laut yang berlaku di Tonga pada 15 Januari lalu, mencetuskan tsunami dan ledakan sonik yang dapat didengar di seluruh dunia sebanyak dua kali.


Letusan itu mengeluarkan wap air hingga ke dalam stratosfera, yang terletak antara 12 dan 53 kilometer di atas permukaan bumi. Air yang dikeluarkan itu mencukupi untuk mengisi 58,000 buah kolam renang bersaiz Olimpik, berdasarkan pengesanan satelit NASA.


Pengesanan itu dibuat oleh alat Microwave Limb Sounder pada satelit Aura NASA. Satelit itu mengukur wap air, ozon dan gas atmosfera yang lain.



Para saintis terkejut dengan bacaan wap air yang diperoleh selepas letusan itu berlaku. Mereka menganggarkan letusan itu mengeluarkan 146 teragram air ke stratosfera.


Satu teragram adalah bersamaan satu trilion gram, justeru dalam kes ini, ia bersamaan dengan 10 peratus daripada jumlah air yang sedia ada di stratosfera.


Ia adalah empat kali ganda berbanding jumlah wap air yang mencecah stratosfera selepas letusan Gunung Pinatubo pada 1991 di Filipina. Kajian baharu mengenai penemuan wap air disiarkan dalam Geophysical Research Letters pada bulan lalu.


"Kami tidak pernah melihat perkara seperti itu. Malah, kami terpaksa memeriksa dengan teliti semua ukuran dalam kepulan untuk memastikan ia adalah benar," kata saintis atmosfera di NASA, Luis Millan.


Para penyelidik percaya sebab utama jumlah wap air yang tinggi adalah disebabkan oleh kedalaman kaldera gunung berapi 150 meter di bawah permukaan lautan.


Sekiranya ia terlalu dalam, kedalaman lautan akan meredam letusan, namun letusan di Tonga airnya terlalu cetek, jumlah air laut yang dipanaskan oleh magma yang meletus tidak sepadan, kata para penyelidik.


Saintis masih berusaha untuk memahami letusan luar biasa bertenaga dan semua superlatifnya, termasuk angin berkekuatan taufan yang mencapai angkasa. - Sumber CNN.


Petugas Geologi Tonga mengamati letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga di bawah laut perairan Tonga pada 15 Januari 2022. - Foto Facebook (Tonga Geological Services, Government of Tonga).