Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Rabu, 30 Mac 2022

Bongkah ais sebesar Rom di Antartika runtuh sepenuhnya

Bongkah ais sebesar Rom di Antartika runtuh sepenuhnya


Bongkah ais yang dianggarkan bersaiz keluasan sebesar Rom didapati runtuh dan pecah sepenuhnya di Antartika Timur, dalam tempoh beberapa hari selepas peningkatan suhu.


Menerusi lapor The Guardian pada 24 Mac 2022, yang merujuk data satelit mendapati bongkah ais Conger mempunyai permukaan 1,200 kilometer persegi, pecah 15 Mac lalu.


Saintis berkata, Antartika Timur merekodkan suhu tinggi luar biasa minggu lalu, dengan stesen Concordia merekodkan suhu meningkat kepada -12 darjah Celcius, bersamaan lebih daripada 40 darjah Celcius iaitu lebih panas daripada biasa.


Rekod suhu tinggi adaalah hasil daripada sungai atmosfera yang memerangkap haba di atas benua itu. Bongkah ais ialah sambungan kepingan ais yang terapung di lautan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ais di daratan.


Tanpa bongkah tersebut, ais di daratan mengalir lebih cepat ke lautan yang mengakibatkan kenaikan paras laut.


Saintis Bumi dan Planet di Institut Oseanografi Woods Hole, Dr. Catherine Colello Walker berkata, insiden itu merupakan salah satu peristiwa bongkah ais pecah paling ketara sejak awal 2000, walaupun paras ais Conger agak kecil.


"Ia tidak akan mempunyai kesan yang besar, namun, kemungkinan ia adalah petanda mengenai kemungkinan yang akan berlaku," kata Walker.



Walker berkata, bongkah ais Conger mencair sejak pertengahan 2000, tetapi hanya secara beransur-ansur cair sehingga awal 2020.


Jelasnya, menjelang 4 Mac tahun ini, bongkah ais kelihatan kehilangan lebih daripada separuh luas permukaannya berbanding ukuran pada Januari iaitu sekitar 1,200km persegi.


Dalam pada itu, Ahli Glasiologi di Universiti Minnesota, Peter Naff berkata, insiden itu adalah satu kejutan walaupun bongkah ais yang kecil pecah.


"Kami masih menganggap Antartika Timur seperti kiub ais yang besar, tinggi, kering, sejuk dan tidak beralih.


"Pemahaman semasa mencadangkan sebahagian besar tidak akan kehilangan ais dengan cepat disebabkan oleh geometri ais dan batuan dasar di sana," katanya.


Data satelit dari misi Copernicus Sentinel-1 menunjukkan pergerakan bongkah ais bermula antara 5 hingga 7 Mac lalu.


Rakaman imej satelit menunjukkan kepingan bongkah ais Conger yang pecah di Antartika. - Foto NASA.

Imej satelit menunjukkan ais Conger runtuh. - Foto USNIC.

Jumaat, 4 Mac 2022

Warga emas sayu lihat 10 biri-biri ternakannya mati akibat ditenggelami banjir

Warga emas sayu lihat 10 biri-biri ternakannya mati akibat ditenggelami banjir


Seorang wanita warga emas hanya mampu termenung memikirkan semua 10 ekor biri-biri ternakannya mati akibat ditenggelami banjir, yang melanda Kampung Gual Arang, Gual Sitok, Rantau Panjang, baru-baru ini.


Siti Fatimah Che Daud, 72, bagaikan hilang kata-kata selepas semua ternakannya ditemui mati tersadai, susulan kandang biri-biri itu dinaiki air separas 1.5 meter bermula Sabtu lalu.


Katanya, dia dan anak, Nor Hasliza Mat Jusoh, 52, cuba menyelamatkan ternakan itu dengan membina tempat lebih tinggi ketika air sedang mendadak naik, namun nasib tidak menyebelahinya apabila pondok itu turut ditenggelami banjir.


"Saya reda dengan apa yang terjadi, namun masih terkejut kerana sepanjang lebih 30 tahun mengembala kambing serta biri-biri, kali ini paling teruk menyebabkan saya kehilangan semua haiwan ternakan.


"Nilai kerugian biri-biri mati ini lebih RM5,000 dan saya tidak kisah dengan kerugian itu, sebaliknya sedih kerana kehilangan haiwan sudah lama dipelihara.


"Walaupun ia hanya biri-biri, kasih saya pada haiwan ini tetap ada memandangkan hampir setiap hari saya menghabiskan masa dengan memberi makan di kandang," katanya.


Siti Fatimah berkata, ketika banjir, dia dibawa anaknya berpindah ke tempat selamat dan hanya berdoa semoga haiwan ternakan tidak menjadi mangsa, namun banjir kali ini terlalu besar menyebabkan semuanya mati.


Menurutnya, dia hanya mengetahui nasib haiwan itu pada hari ketiga banjir apabila anak dan cucunya berusaha ke kandang menggunakan pelampung getah untuk melihat keadaan biri-biri terbabit.


"Sebaik dikhabarkan semua haiwan ternakan saya mati, saya hanya mampu memujuk diri agar tabah dan sabar kerana tidak mahu perkara ini mengganggu kesihatan.


"Selepas air surut sepenuhnya, semua haiwan berkenaan ditimbus bagi mengelak bau busuk. Kini, kandang saya kosong dan tiada lagi biri-biri perlu saya berikan makan dan minum," katanya yang juga ibu kepada 10 cahaya mata berusia 30 sehingga 56 tahun. - Sumber Harian Metro.


10 ekor biri-biri mati akibat ditenggelami banjir.

Rabu, 16 Februari 2022

Amazon semakin gondol, penebangan hutan semakin berleluasa

Amazon semakin gondol, penebangan hutan semakin berleluasa


Aktiviti penebangan hutan Amazon di Brazil semakin berleluasa apabila data pada bulan Januari tahun ini, menunjukkan keluasan kawasan hutan yang digondolkan adalah lima kali ganda lebih besar berbanding tempoh sama tahun lepas.


Menurut laporan BBC News pada 13 Februari 2022, kawasan hutan Amazon seluas 430 kilometer persegi telah ditebang sekali gus rekod tertinggi untuk bulan Januari yang pernah dicatatkan sejak 2015.


Aktivis-aktivis alam sekitar menuduh Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, sebagai individu bertanggungjawab yang membenarkan aktiviti penebangan hutan dipertingkatkan.


Mereka mengaku tidak terkejut melihat rekod pada bulan Januari 2022 itu ekoran tindakan Bolsonaro, melonggarkan undang-undang bagi membenarkan aktiviti penebangan hutan Amazon sejak beliau memulakan tugasnya pada 2019.


Kerajaan Brazil bagaimanapun menyangkal semua laporan tersebut, dan mendakwa bahawa jumlah penebangan hutan antara Ogos tahun lepas hingga Januari 2022, adalah lebih rendah berbanding tempoh sama dua tahun lepas.



Ketika Persidangan Perubahan Iklim COP26 di Glasgow pada tahun lepas, lebih 100 negara berikrar untuk menghentikan aktiviti penebangan hutan menjelang 2030.


Bagaimanapun, data satelit terbaharu daripada Agensi Angkasa Lepas Brazil (INPE) itu menimbulkan tanda tanya terhadap komitmen kerajaan Bolsonaro dalam melindungi hutan hujan terbesar dunia itu, kata aktivis-aktivis alam sekitar.


"Data terbaharu ini sekali lagi mendedahkan situasi bagaimana tindakan yang diambil kerajaan Brazil adalah bertentangan dengan kempen-kempen hijau yang dijalankannya," kata jurucakap Greenpeace Brazil, Cristiane Mazzetti.


Greenpeace Brazil merupakan sebuah pertubuhan alam sekitar yang giat menggesa pasar raya-pasar raya seluruh dunia untuk memboikot pembekal yang terlibat dalam aktiviti penebangan hutan.


Sementara itu, menurut laporan, terdapat beberapa faktor yang menjadi penyebab kepada aktiviti penebangan hutan di Amazon.


Antaranya adalah permintaan kukuh global bagi komoditi pertanian seperti daging dan kacang soya, sekali gus, membawa kepada aktiviti penebangan hutan secara haram.


Pemandangan dari udara menunjukkan kawasan di hutan Amazon yang ditebang secara berleluasa pada 15 September 2021. - Foto AFP.
Bukan roket Elon Musk, rupanya roket China akan langgar Bulan

Bukan roket Elon Musk, rupanya roket China akan langgar Bulan


Sebuah roket yang dijangka merempuh Bulan pada bulan hadapan dikenal pasti sebagai roket dari China yang dilancarkan pada 2014, lapor akhbar Metro News UK pada 14 Februari 2022.


Roket tersebut pada mulanya dikatakan milik Elon Musk daripada syarikat aeroangkasa Space X. Namun, pakar astronomi menjelaskan bahawa mereka tersalah memberi ramalan mengenai roket tersebut.


Ia dikenali 2014-065B iaitu bahagian teras bagi roket Chang’e 5-T1 yang dilancarkan sejak 2014 sebagai sebahagian daripada program penerokaan Bulan agensi angkasa lepas China.


Pengumuman mengejut itu dibuat oleh ahli astronomi amatur, Bill Gray yang pertama kali mengenal pasti kesan masa depan dan mengaku kesilapannya hujung minggu lalu.


Pada bulan lalu, Gray, mengatakan kemungkinan roket milik SpaceX, Falcon 9 daripada pelancaran 2015 akan bertembung dengan Bulan pada 4 Mac ini.


Namun begitu, Gray kini mengubah kenyataannya dan percaya objek itu bukanlah serpihan SpaceX Falcon 9, seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, sebaliknya roket lama milik China.


Objek itu mula dikesan oleh Catalina Sky Survey iaitu sebuah program yang menggunakan teleskop berhampiran Tucson, Arizona untuk mengimbas langit bagi mencari asteroid yang berpotensi menimbulkan ancaman kepada Bumi.


Tidak seperti asteroid biasa, ahli-ahli astronomi menyedari bahawa objek tersebut tidak mengorbit Matahari sebaliknya mengelilingi Bumi, menunjukkan bahawa ia adalah sampah angkasa lepas buatan manusia.


"Saya mempunyai bukti keadaan yang cukup baik untuk pengenalpastian tetapi tidak ada yang konklusif," tulis Gray dalam catatan blog baharunya. - Sumber Metro UK.


Objek misteri yang bakal merempuh Bulan adalah sampah buatan manusia dan dipercayai serpihan roket yang dilancarkan China pada 2014. - Foto Autoevalution (Animasi komputer).

Isnin, 7 Februari 2022

Lapisan ais semakin cair di Greenland, 100 juta orang ditenggelami air setiap tahun

Lapisan ais semakin cair di Greenland, 100 juta orang ditenggelami air setiap tahun

Gambar hiasan.

Lapisan ais di Greenland kehilangan 4,700 gigaton ais sejak dua dekad lalu, sekali gus memberi amaran jumlah itu mencukupi untuk menenggelamkan Amerika Syarikat (AS) di bawah 0.3 meter air.


Menerusi lapor akhbar Daily Mail pada 4 Februari 2022, penemuan itu hasil kajian analisis data Denmark dari satelit Gravity Recovery and Climate Experiment (GRACE) yang dikumpul dari April 2002 hingga Ogos 2021.


"Data menunjukkan kebanyakan ais hilang di sepanjang pinggir kepingan ais. Pemerhatian bebas juga menunjukkan ais semakin menipis dan terdapat tahap pencairan lebih tinggi dari permukaan ais," kata penyelidik.


Penyelidik NASA memberitahu, kehilangan ais amat teruk di sepanjang pantai Greenland Barat akibat pemanasan air di bawah permukaan yang mempercepatkan pencairan glasier.


"Kehilangan lapisan ais Greenland dan Antartika adalah antara penyebab utama kenaikan paras laut yang berpunca akibat perubahan iklim," kata agensi itu.


Menurut pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan AS, apabila seluruh lapisan ais Antartika mencair, ia akan meningkatkan paras laut global sebanyak kira-kira 60 meter. Sekiranya lembaran ais Greenland hilang, ia turut menyumbang peningkatan paras laut global sebanyak 7.4 meter.


Malah, kajian 2019 yang diterbitkan dalam jurnal Nature mengira bahawa di bawah tahap pemanasan semasa, Greenland akan menyumbang sekitar 7 hingga 13 sentimeter kepada kenaikan paras laut global menjelang akhir abad ini.


"Setiap kenaikan sentimeter dalam paras laut global, 6 juta orang terdedah kepada banjir pantai. Kalau dilihat tahap pemanasan semasa, pencairan ais Greenland akan menyebabkan 100 juta orang ditenggelami air setiap tahun," kata saintis iklim dari Universiti Leeds dan pengarang kertas 2019, Andrew Shepherd.


Kehilangan lapisan ais Greenland dan Antartika adalah antara pemacu utama kenaikan paras laut yang dicetuskan oleh perubahan iklim, kata NASA. (Gambar) perubahan dalam ketebalan ais di atas Greenland antara 2018–2020.

Sabtu, 5 Februari 2022

Ribut suria melanda Bumi, frekuensi radio lumpuh di Rusia

Ribut suria melanda Bumi, frekuensi radio lumpuh di Rusia


Rusia mengalami gangguan frekuensi radio untuk seketika apabila ribut suria melanda Bumi. Bukan sahaja membuat isyarat radio huru hara, beberapa kawasan juga mengalami gangguan bekalan elektrik, lapor Sindonews.com pada 4 Februari 2022.


Coronal mass ejection (CME) atau ribut suria mengeluarkan tenaganya pada 29 Januari 2022. Ribut suria pantas yang menyebabkan ribut geomagnet telah dilontarkan ke atmosfera Bumi pada 3 Februari 2022.


Ribut ini membawa berbilion tan zarah suria yang bergerak pantas membawa medan magnet yang mengikatnya. Apabila ini mencecah atmosfera Bumi, ia boleh menyebabkan kekacauan di bawah, termasuk kemungkinan pemadaman radio.


Ahli fizik cuaca angkasa lepas Tamitha Skov menulis di Twitter: "Inilah yang dilakukan oleh aurora daripada ribut suria yang berterusan kepada radio VHF di Rusia sekarang." Skov berkongsi klip audio radio Rusia di mana angin suria boleh didengar mengganggu siaran.


Pusat Cuaca Angkasa AS (SWPC) meletakkan kedudukan ribut suria pada skala 'G1 Kecil', yang paling tidak kuat, kepada 'G5 Extreme'. Tetapi ribut suria yang lebih lemah juga boleh mengganggu komunikasi radio dengan sinaran tenaga tinggi yang boleh dibawa.


Sinaran ini dikatakan meliputi keseluruhan spektrum elektromagnet. Menurut SWPC, apabila CME yang berkuasa berlanggar dengan magnetosfera Bumi, semua sinaran tambahan itu boleh merosakkan satelit komunikasi dan navigasi. CME juga boleh mengganggu grid kuasa.


"Ini boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang boleh berlangsung beberapa hari jika ribut suria sangat kuat," kata SWPC.


Rusia mengalami gangguan frekuensi radio cukup lama apabila ribut suria melanda Bumi. - Foto NASA.

Rabu, 2 Februari 2022

NASA naik taraf perisian kesan asteroid 'Hari Kiamat' yang boleh memusnahkan Bumi

NASA naik taraf perisian kesan asteroid 'Hari Kiamat' yang boleh memusnahkan Bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mendakwa bahawa agensi berkenaan berupaya mengesan lebih banyak 'asteroid kiamat' yang boleh memusnahkan Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 29 Januari 2022.


Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu telah menaik taraf perisiannya bagi mengesan asteroid kepada algoritma Sentry-II baharu buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.


Penambah baikan itu akan membantu Makmal Jet Propulsion (JPL) NASA untuk meningkatkan pengesanan batu angkasa berbahaya yang menghampiri Bumi, serta menganalisis kemungkinan asteroid berkenaan boleh melanggar Bumi.


Ia berfungsi dengan mengimbas senarai asteroid dan orbit serta status bahaya dan mengira jika mana-mana asteroid yang diketahui atau baharu berpotensi melanggar Bumi.


Sistem yang digunakan dikenali sebagai kesan Yarkovsky, merujuk kepada bagaimana asteroid menyerap cahaya matahari dan memancarkannya sebagai haba. Haba ini memberi kesan kepada laluan asteroid dan boleh menjelaskan kemungkinan ia jatuh ke Bumi.


Sebelum ini dengan menggunakan Sentry (perisian asal), para saintis terpaksa melakukan pengiraan manual untuk mengetahui kesan Yarkovsky. Penambah baikan perisian ini akan membuat perbezaan yang besar.


Pada masa ini, NASA memerhati hampir 28,000 asteroid berdekatan dengan Bumi, dan diharapkan peningkatan perisian akan membantu mereka mengesan lebih banyak lagi.


Penambah baikan perisian JPL membantu mengesan dengan lebih tepat asteroid yang berpotensi melanggar Bumi. - Foto Future Publishing.