Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Ahad, 14 April 2024

'Ikan kiamat' muncul sejurus sebelum gempa bumi dahsyat melanda Taiwan

'Ikan kiamat' muncul sejurus sebelum gempa bumi dahsyat melanda Taiwan


Seekor 'ikan kiamat' yang dikatakan hanya muncul ketika bencana hampir tiba, ditangkap oleh seorang nelayan sejurus sebelum gempa bumi menggegarkan Taiwan dua minggu lalu.


Ikan oar biasanya hidup pada kedalaman sehingga satu kilometer di dasar laut, tetapi legenda Jepun mengatakan ia muncul di perairan cetek apabila kejadian seismik akan berlaku.


Ikan itu dilaporkan ditangkap di Filipina sejurus sebelum negara jiran Taiwan menghadapi gempa bumi terbesar dalam tempoh 25 tahun.


Ia ditemui berhampiran Pulau Kalanggaman, kira-kira 1,448 kilometer di selatan pusat gempa, kira-kira 30 jam sebelum gempa bumi berlaku.



Nelayan, Brenjeng Caayon yang menemukan ikan tersebut ketika menaiki bot MB Starlight pada pukul 2 pagi (waktu tempatan) percaya ia bukan kebetulan.


Bercakap kepada pemberita, Caayon berkata, ikan itu sering dianggap membawa petanda buruk, menyebabkan penduduk akan merasa takut jika menemukannya.


"Saya tidak percaya sebelum ini, tetapi sekarang saya sudah mula percaya. Saya memiliki bot nelayan itu dan mempunyai tiga nelayan di atas kapal. Anak kapal tidak tahu jenis ikan itu dan kali pertama mereka melihatnya.


"Mereka sepatutnya membuangnya semula, tetapi saya menghalang mereka. Saya menyuruh mereka membawanya ke darat.


"Apabila saya melihatnya, saya mengenalinya serta-merta. Saya pernah melihat ikan oar sebelum ini, tetapi tidak sebesar ini," katanya.


Caayon, 53, berkata, ikan itu panjangnya hampir 1.5 meter dengan berat dianggarkan sekitar 15 kilogram.


"Hidupan laut itu mendapat jolokan 'ikan kiamat' kerana ramai percaya petanda bencana yang dibawa apabila ia mula berada di permukaan laut.


"Tetapi saya percaya setiap yang berlaku adalah penyembuhan untuk bumi kita," katanya.


Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud di Taiwan dilaporkan membunuh 13 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 1,000 yang lain.


Kepercayaan terhadap petanda bencana alam ikan oar semakin terkenal apabila 20 daripadanya ditemui dihanyutkan di pantai sebelum gempa bumi Jepun 2011 yang paling kuat pernah direkodkan.


Pada 2010, Ahli Seismologi Ekologi, Kiyoshi Wadatsumi berkata, spekulasi mengenai legenda makhluk itu mempunyai asas berdasarkan kajian sains.


"Ikan laut dalam yang hidup berhampiran dasar laut lebih sensitif terhadap pergerakan sesar aktif daripada yang berdekatan dengan permukaan laut," katanya kepada Japan Times.


Bagaimanapun laporan 2019 daripada Buletin Persatuan Seismologi Amerika gagal mewujudkan kaitan antara ikan tersebut dengan gempa bumi yang bakal berlaku dan mendakwanya sebagai kepercayaan karut. - Sumber Mirror UK.


Seekor ikan oar sepanjang 1.5 meter ditangkap di Filipina sejurus sebelum negara jiran Taiwan menghadapi gempa bumi. - Foto Brenjeng Caayon via Pen News.

Isnin, 12 Februari 2024

Lelaki mati disambar petir ketika bermain bola di Stadium

Lelaki mati disambar petir ketika bermain bola di Stadium


Seorang lelaki meninggal dunia akibat disambar kilat ketika bermain bola sepak di sebuah stadium di wilayah Jawa Barat, lapor laman berita yoursay.id, semalam.


Sebuah klip video yang memaparkan kejadian tersebut menjadi tular di media sosial. Kemalangan itu berlaku ketika sebilangan lelaki bermain bola di Stadium Siliwangi pada Sabtu, 10 Februari.


"Tidak hujan, tiada hujan panas. Kita berhenti bermain ketika hujan lebat dan selepas hujan walaupun tiada kilat. Sedangkan ini tidak hujan," kata lelaki yang merakam video tersebut.


Video berkenaan memaparkan seorang pemain yang berasal dari bandar Subang di Jawa Tengah, tiba-tiba disambar petir dari arah belakang. Mangsa terus tersungkur di atas padang ketika kejadian.


Beberapa rakan sepasukan berlari ke arah mangsa untuk menyelamatkannya. Dia sempat dibawa ke Hospital Sariningsih sebelum disahkan meninggal dunia.


Video detik-detik mangsa disambar petir itu mencuri perhatian orang ramai di media sosial. Netizen turut mengucapkan takziah atas kematian mangsa. - Sumber Yoursay.id.


Mangsa disambar kilat ketika bermain di padang. - Foto Twitter/ @ScariestProject.

Ahad, 4 Februari 2024

Asteroid 'pemusnah bandar raya' sebesar stadium bola sepak hampiri Bumi

Asteroid 'pemusnah bandar raya' sebesar stadium bola sepak hampiri Bumi


Sebuah asteroid yang disifatkan sebagai 'pemusnah bandar raya' dan bersaiz lebih besar daripada stadium bola sepak dilaporkan semakin menghampiri Bumi, lapor laman berita Daily Star pada 3 Februari 2024.


Asteroid OS7 2008 dijangka melintasi planet ini dalam tempoh beberapa minggu akan datang, demikian menurut amaran beberapa saintis. 


Bagaimanapun, ia diramal tidak akan berada pada jarak hampir dengan Bumi tetapi akan menjadi lebih dekat dengan planet ini berbanding sebelumnya.


Pakar-pakar dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) percaya komet tersebut akan berada pada jarak paling dekat dengan Bumi dalam tempoh berabad-abad lamanya.


Batuan angkasa lepas dengan lebar 271 meter itu akan bergerak sejauh kira-kira 2.84 juta kilometer dari Bumi.


Disebabkan saiznya dan kelajuan yang bergerak 65,883 kilometer sejam, NASA telah menyenaraikannya sebagai 'asteroid yang berpotensi berbahaya jika ia terhempas'. - Sumber Daily Star.


Lakaran artis menunjukkan sebuah asteroid jika ia merempuh Bumi. - Foto Getty Images/Perpustakaan Foto Sains RF.

Selasa, 2 Januari 2024

Pesawat 'mega' bawa 379 penumpang terbakar di lapangan terbang Jepun

Pesawat 'mega' bawa 379 penumpang terbakar di lapangan terbang Jepun


Sebuah pesawat yang membawa 379 penumpang dan anak kapal terbakar di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo hari ini selepas berlanggar dengan sebuah pesawat Pengawal Pantai.


Portal berita Daily Mail melaporkan, rakaman video menunjukkan pesawat Japan Airlines terbakar ketika ia berada di landasan dengan api marak dilihat keluar dari tingkap penumpang.


Pesawat itu bertembung dengan sebuah pesawat Pengawal Pantai ketika ia melalui landasan, lapor stesen penyiaran TV Japan, dengan perlanggaran itu menyebabkan pesawat terbakar.


Beberapa pasukan bomba dikerahkan ke lokasi kejadian dengan rakaman dari stesen penyiar Jepun, NHK menunjukkan anggota bomba bertungkus-lumus cuba memadamkan api.



Jurucakap Japan Airlines memberitahu penyiar NHK bahawa kesemua 367 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki pesawat JAL 516 Airbus A-350 pada masa letupan telah berjaya dipindahkan dari pesawat itu.


Belum ada pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa atau kecederaan, tetapi pemindahan semua penumpang dan anak kapal yang berjaya akan menjadi satu kejayaan yang benar-benar ajaib memandangkan kebakaran itu memusnahkan pesawat itu sepenuhnya.


Penerbangan Japan Airlines itu telah terbang keluar dari lapangan terbang Shin Chitose di Jepun dan sedang mendarat di lapangan terbang Haneda sebelum berlanggar dengan sebuah pesawat Pengawal Pantai.


Sementara itu, seorang pegawai pengawal pantai mengesahkan sebuah pesawat Pengawal Pantai terlibat dalam kejadian itu, dengan NHK melaporkan seorang anak kapal telah melarikan diri dari pesawat itu tetapi lima yang lain masih tidak diketahui.


Agensi berita Jiji melaporkan pesawat Pengawal Pantai itu bersedia untuk berlepas bagi membantu usaha menyelamat susulan gempa bumi besar di tengah Jepun pada Hari Tahun Baru. - Sumber Daily Mail.


Tangkap layar menunjukkan anggota bomba memadam kebakaran pesawat Japan Airlines. - Foto AP.

Pesawat Japan Airlines Penerbangan JAL 516 terbakar di Lapangan Terbang Haneda pada 2 Januari 2024 di Tokyo, Jepun. - Foto Daily Mail.

Selasa, 12 Disember 2023

'Bandar hari kiamat' kubu bawah tanah kini dibuka untuk tempahan

'Bandar hari kiamat' kubu bawah tanah kini dibuka untuk tempahan


Sebuah 'bandar hari kiamat' di negeri Dakota Selatan, AS, dibuka untuk tempahan bagi orang ramai yang mahu hidup di dalam kubu bawah tanah (bunker) mewah ketika dunia berada dalam keadaan kacau-bilau, lapor akhbar The Sun pada 6 Disember lepas.


Terletak di kawasan pergunungan Black Hills, projek dikenali sebagai Vivos itu boleh menempatkan sehingga 10,000 orang di dalam 575 bunker.


Ia merupakan bekas tapak pangkalan tentera seluas 28.9 kilometer yang pernah digunakan untuk menyimpan bom dan senjata dari tahun 1942 hingga 1967.



"Kesan daripada ancaman pandemik Covid-19, perang Ukraine serta risiko Perang Dunia Ketiga meletus dari Russia hingga ke China dan Asia Barat menyebabkan permintaan untuk pemilikan bunker Vivos berkembang pantas.


"Kita hidup dalam tempoh masa yang sangat berbahaya. Justeru, adalah menjadi satu keperluan untuk mempunyai penyelesaian perlindungan jaminan hayat," kata Pengarah Eksekutif Vivos, Dante Vicino.


Bunker moden tersebut menawarkan pelbagai keperluan menyerupai perbandaran termasuk gimnasium dan pawagam, manakala unit sewaan pula dilengkapi dengan perabot asas termasuk sofa, meja kopi, dapur, peti sejuk, mesin basuh dan meja makan.


Tempat perlindungan itu juga dilaporkan dilengkapi sekurang-kurangnya satu tahun operasi autonomi tanpa orang perlu kembali ke permukaan. - Sumber The Sun.


Vivos boleh menempatkan sehingga 10,000 orang dalam 575 bunker. - Foto Jam Press/Terravivos.

Malah terdapat bilik pawagam untuk kegunaan penduduk. - Foto Jam Press/Terravivos.

Terdapat empat jenis bunker yang berbeza, pelan A, pelan B, pelan C dan pelan D. - Foto Jam Press/Terravivos.

Rabu, 29 November 2023

Ikan aneh ditemui terdampar di pantai, cetuskan kebimbangan penduduk ia petanda gempa bumi

Ikan aneh ditemui terdampar di pantai, cetuskan kebimbangan penduduk ia petanda gempa bumi


Seekor ikan dayung atau 'oarfish' ditemui terdampar di pesisir pantai Los Coquitos, Republik Dominika pada Isnin lalu sebelum mati tidak lama kemudian, lapor akhbar The Sun, semalam.


Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk kerana terdapat kepercayaan bahawa gempa bumi akan berlaku selepas kemunculan ikan gergasi itu.


Spesies itu dilaporkan hidup berdekatan Zon Septentrional-Oriente yang mencetuskan gempa bumi dan tsunami Cap-Haitien di Haiti pada 1842 sehingga mengorbankan kira-kira 5,300 orang.


Oarfish adalah salah satu ikan paling panjang di lautan dengan saiznya boleh mencecah sehingga 17 meter panjang dan berat lebih 200 kilogram.


Sesetengah penyelidik membuat spekulasi bahawa mereka bergerak ke perairan yang lebih cetek disebabkan oleh perubahan elektromagnet yang berlaku apabila terdapat aktiviti tektonik yang dikaitkan dengan sesar.


"Ia adalah ikan laut dalam, amat luar biasa untuk menemuinya di permukaan. 


"Namun, ia tidak menimbulkan sebarang ancaman, ia hanya hidup di kawasan paling dalam," kata Timbalan Menteri Sumber Pantai dan Laut Republik Dominika, Jose Ramon Reyes.


Menurut cerita rakyat Jepun, kemunculan ikan oarfish di permukaan adalah isyarat bahawa gempa bumi akan berlaku dalam masa terdekat.


Ia dikaitkan dengan mitos Namazu, seekor ikan keli gergasi yang tinggal di bawah kepulauan negara itu dan kononnya menyebabkan gempa bumi apabila ekornya merotan-rotan dasar lautan.


Kepercayaan itu dipertingkatkan lagi selepas 10 ekor oarfish dihanyutkan di sepanjang pantai utara Jepun pada tahun 2010.


Beberapa bulan kemudian, gempa bumi besar melanda negara itu, mencetuskan tsunami yang membunuh hampir 19,000 orang dan memusnahkan loji nuklear Fukushima. - Sumber The Sun.


Seekor ikan dayung ditemui terdampar di pantai Los Coquitos, Republik Dominika. - Foto Jam Press Vid.

Isnin, 18 September 2023

Saintis dedah tarikh tepat Asteroid menyamai letupan 22 bom atom terhempas ke Bumi

Saintis dedah tarikh tepat Asteroid menyamai letupan 22 bom atom terhempas ke Bumi


Saintis-saintis mendedahkan tarikh tepat sebuah asteroid yang diramalkan terhempas ke Bumi dan mempunyai kekuatan menyamai letupan 22 bom atom, lapor akhbar Daily Star pada 17 September 2023.


Batu angkasa dinamakan Bennu itu melintasi Bumi setiap enam tahun, namun saintis-saintis meramalkan Bumi berada di garisan selari untuk berlanggar dengan asteroid itu pada 24 September 2182.


Walaupun tarikh tersebut masih jauh, NASA sudah bekerja keras untuk mengalihkan Bennu daripada laluannya dan ia kini berada di peringkat akhir misi tersebut.


Sampel dari Bennu dijangka tiba di Bumi minggu ini, dan mendarat di kawasan gurun di Utah pada 24 September ini.


Ia dilancarkan ke arah Bumi daripada kapal angkasa OSIRIS-REx dalam sebuah kapsul bersaiz peti sejuk. Kapsul itu membawa kira-kira 250 gram bahan sampel batuan yang diambil dari permukaan Bennu pada 2020.


Asteroid itu adalah kira-kira satu pertiga batu lebar, manakala asteroid yang menyebabkan dinosaur pupus adalah kira-kira enam batu lebar, kira-kira 20 kali lebar Bennu.


Ini bermakna asteroid Bennu tidak cukup besar untuk menyebabkan kepupusan di seluruh dunia, tetapi NASA mengira jika terhempas ke Bumi, ia akan mencipta kawah berukuran kira-kira 9.6 kilometer dan menyebabkan kemusnahan kira-kira 965 kilometer di semua arah.


Nicola Fox, pentadbir bersekutu Direktorat Misi Sains NASA di Washington, berkata: "Bahan murni daripada asteroid Bennu akan membantu memberi penerangan tentang pembentukan sistem suria kita 4.5 bilion tahun lalu dan mungkin juga tentang bagaimana kehidupan di Bumi bermula." - Sumber Daily Star.


BACA: NASA Lancar Kapal Angkasa Untuk Musnahkan Asteroid.


Asteroid Bennu diramal terhempas ke Bumi pada 24 September 2182. - Foto Getty Images.