Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan

Ahad, 28 Ogos 2022

NASA menangkap imej Musytari yang menakjubkan termasuk ribut gergasi cukup besar untuk 'menelan' Bumi

NASA menangkap imej Musytari yang menakjubkan termasuk ribut gergasi cukup besar untuk 'menelan' Bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merakam imej Planet Musytari yang belum pernah dilihat sebelum ini menggunakan Teleskop Angkasa James Webb (JWST), lapor akhbar The Sun pada 23 Ogos 2022.


Kamera Infra Merah Dekat (NIRCam) pada JWST mendedahkan rahsia planet terbesar itu secara terperinci dengan menggabungkan beberapa imej menjadi satu. Imej yang dirakam itu turut memaparkan ribut besar yang berpusat di atmosfera planet itu.


Pada imej tersebut, orang ramai boleh melihat aurora memanjang ke altitud tinggi di atas kutub utara dan selatan. Turut kelihatan adalah jerebu yang berpusar di sekeliling kutub-kutub tersebut.


"Sejujurnya kami tidak menyangka imej yang dirakam akan menjadi sehebat itu.


"Ia adalah sesuatu yang luar biasa kerana kita dapat melihat Planet Musytari secara terperinci yang lengkap dengan cincin, satelit kecil dan galaksi dalam satu imej," kata ahli astronomi di Universiti California, Profesor Mike de Pater.


Selain itu, imej tersebut turut memaparkan Titik Merah Besar Musytari yang ikonik, ribut besar yang boleh dilihat pada bahagian bawah kiri.


"Ia kelihatan putih dalam imej ini kerana memantulkan cahaya Matahari. Kecerahan di sini menunjukkan altitud yang tinggi," jelas saintis Webb, Heidi Hammell.


Titik Merah Besar Musytari merupakan ribut terbesar dalam Sistem Solar, berukuran lebar sekitar 16,350 kilometer. Ia adalah 1.3 kali ganda lebih besar daripada diameter Bumi.


Angin ketika kemuncak taufan itu boleh mencecah sehingga 431 kilometer sejam, lebih laju berbanding kelajuan angin terkuat Bumi iaitu 407 kilometer sejam.


Teleskop JWST dilancarkan pada Disember 2021, tetapi imej pertamanya tidak didedahkan kepada umum sehingga Julai 2022. Ia adalah pengganti teleskop angkasa Hubble milik NASA, dan ditugaskan untuk mengkaji alam semesta awal.


Ini dicapai dengan memerhati cahaya dari bintang dan galaksi pertama yang terbentuk selepas Big Bang. Ia kini mengorbit lebih satu juta kilometer jauhnya, dan bersedia untuk menangkap lebih banyak imej keajaiban angkasa lepas - sebelum memancarkannya kembali kepada saintis di Bumi.


Saintis berharap bahawa beberapa data ini dapat membantu mencari planet jauh yang mampu menyokong kehidupan. - Sumber The Sun.


BACA: Roket Bawa Teleskop Paling Berkuasa Di Dunia Melintasi Malaysia Menuju Ke Ruang Angkasa.


Imej yang dirakam oleh JWST memaparkan pemandangan Planet Musytari secara lebih terperinci. - Foto NASA.

Jumaat, 26 Ogos 2022

NASA teruja temui Bulan paling kecil berdiameter 5 kilometer di hujung sistem suria

NASA teruja temui Bulan paling kecil berdiameter 5 kilometer di hujung sistem suria


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan bahawa saintis-saintisnya menemui 'bulan mini' yang dikesan mengorbit sebuah asteroid di pinggir sistem suria, lapor akhbar Daily Star pada 25 Ogos 2022.


Batu satelit berdiameter kira-kira lima kilometer itu ditemui mengorbit sebuah asteroid kecil berhampiran planet Musytari bernama Polymele.


Saiz Polymele adalah sekitar 27 kilometer dan jika objek yang mengorbitnya itu disahkan sebagai satelit, ia akan menjadi salah satu Bulan paling kecil pernah ditemui.


Bulan itu ditemui oleh pasukan NASA yang menjalankan misi Lucy dengan menghantar sebuah kapal angkasa penjelajah ke pinggir sistem suria, untuk mengumpul data mengenai beberapa asteroid Trojan yang merupakan dua gugusan batu besar terletak di orbit Musytari.


"Pada 27 Mac lalu, pasukan sains Lucy mendapati bahawa sasaran asteroid Trojan terkecil, Polymele, mempunyai satelitnya sendiri," kata NASA dalam satu kenyataan.


Ketika ditemui, asteroid berkenaan berada di hadapan bintang jauh yang membolehkan penyelidik mengkaji dengan tepat saiz batu angkasa terbabit.


Mereka memerhati sejauh mana cahaya bintang itu disekat oleh asteroid tersebut, bagaimanapun, ketika berbuat demikian, mereka melihat kelibat yang lebih kecil melepasi Polymele. Batu satelit dan asteroid pusatnya itu terletak sejauh kira-kira 200 kilometer.


"Kami sangat teruja bahawa 14 pasukan melaporkan memerhatikan bintang berkelip ketika ia melintas di belakang asteroid, tetapi semasa kami menganalisis data, kami melihat bahawa dua daripada pemerhatian itu tidak seperti yang lain.


"Kedua-dua pemerhati itu mengesan objek sekitar 200 kilometer dari Polymele. Ia mestilah satelit," kata Marc Buie, ketua sains ghaib Lucy di Institut Penyelidikan Southwest. - Sumber Daily Star UK.


Batu angkasa itu akan menjadi bulan paling kecil yang pernah ditemui. - Foto NASA.

Rabu, 24 Ogos 2022

NASA rakam bunyi menyeramkan berasal daripada 'black hole' sejauh 200 juta tahun cahaya

NASA rakam bunyi menyeramkan berasal daripada 'black hole' sejauh 200 juta tahun cahaya


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendedahkan bunyi menakutkan yang berasal daripada sebuah lohong hitam (black hole) di gugusan galaksi berjauh 200 tahun cahaya dari Bumi, lapor akhbar New York Post pada 22 Ogos 2022.


NASA merakam audio tersebut menggunakan pelbagai gelombang bunyi dan data pintar. Melodi tersebut dikatakan amat menakutkan seperti yang dijangka daripada sesuatu yang sangat misteri.


"Terdapat salah faham sebelum ini dengan ramai yang menyatakan bahawa tiada sebarang bunyi di angkasa lepas kerana kebanyakan ruang adalah vakum, tidak menyediakan cara untuk gelombang bunyi bergerak.


"Bagaimanapun, terdapat satu gugusan galaksi yang mengandungi banyak gas sehingga membolehkan kami merakam bunyi yang sebenar.


"Jadi, kami menguatkannya (bunyi) dan menggabung dengan sebilangan data lain untuk anda mendengar bunyi lohong hitam," kata NASA menerusi Twitter.


Lohong hitam tersebut ditemui di bahagian tengah gugusan galaksi digelar Perseus.


Pada 2003, ahli-ahli astronomi menyedari bahawa gelombang tekanan yang dihasilkan oleh lohong hitam menghasilkan ombak dalam gas panas gugusan bintang tersebut. Ia dipercayai boleh diterjemah ke dalam nota bunyi.


Bagaimanapun, manusia tidak dapat mendengar bunyi tersebut. Justeru, pakar-pakar telah mengubahnya menerusi proses sonifikasi bagi menghasilkan bunyi aneh yang didedahkan tersebut.


"Bunyi itu didengari 144 kuadrilion dan 288 kuadrilion kali lebih kuat daripada frekuensi asalnya," kata NASA. - Sumber New York Post.


Lohong hitam tersebut ditemui di bahagian tengah gugusan galaksi digelar Perseus. - Foto Twitter NASA Exoplanets.

Isnin, 22 Ogos 2022

ESA ramal Matahari akan membesar lebih 2 kali ganda sebelum 'mati' 5 bilion tahun akan datang

ESA ramal Matahari akan membesar lebih 2 kali ganda sebelum 'mati' 5 bilion tahun akan datang


Agensi Angkasa Eropah (ESA) menerusi kajian kapal angkasa miliknya, Gaia, meramalkan bahawa Matahari bakal 'mati' tidak lama lagi, lapor akhbar Daily Mail pada 20 Ogos 2022.


Menurut ramalan tersebut, Matahari kini sudah menghampiri separuh daripada jangka hayatnya dan apabila ia mencapai penghujung, cahayanya akan terpadam lalu menjadikan Bumi kesejukan.


Bagaimanapun, data daripada Gaia mencadangkan keadaan tersebut tidak akan berlaku selama sekurang-kurangnya lima bilion tahun lagi.


Kehancurannya akan bermula bila mencapai usia sekitar 10 hingga 11 bilion tahun apabila ia menjadi gergasi merah dan membesar dengan pesat. Dari sini, Matahari mula mati dan berakhir sebagai kerdil putih malap yang sejuk.


Gaia menganggarkan Matahari kini berusia sekitar 4.57 bilion tahun. Dengan mengenal pasti jisim dan komposisinya, peranti itu mampu menganggarkan bagaimana Matahari akan berkembang pada masa hadapan.


Pada masa ini, Matahari dianggap berusia 'pertengahan umur' dan stabil kerana ia menggabungkan hidrogen menjadi helium.


Sekurang-kurangnya dua bilion tahun kemudian, matahari akan mula menyejuk dan membesar menjadi lebih daripada dua kali ganda daripada hari ini.


Gaia terletak kira-kira 1.4 juta kilometer dari Bumi dan membawa dua teleskop untuk mendokumentasikan galaksi dan mengkaji bintang bagi meramalkan masa depan mereka. - Sumber Daily Mail.


Jalan kehancurannya bermula sekitar 10 hingga 11 bilion tahun apabila ia menjadi gergasi merah yang membesar 2 kali ganda dari saiz sekarang. Dari sini, Matahari perlahan-lahan akan mati dan berakhir sebagai kerdil putih malap yang sejuk. - Foto ESA.

Ahad, 31 Julai 2022

Gambar cerun curam di Marikh 'mengandungi air' dirakam Kapal angkasa Mars Express

Gambar cerun curam di Marikh 'mengandungi air' dirakam Kapal angkasa Mars Express


Kapal angkasa Mars Express milik Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) telah merakamkan imej lurah dalam bercerun tinggi dan curam yang dikenali sebagai Ngarai Valles Marineris di planet Marikh baru-baru ini.


Valles Marineris merentasi Marikh sama seperti cara Grand Canyon merentasi Amerika Syarikat. Lurah itu sepanjang 4,000 kilometer dan lebar 200 kilometer serta sedalam sehingga 7 kilometer. Ia hampir sepuluh kali lebih panjang, 20 kali lebih lebar, dan lima kali lebih dalam daripada Grand Canyon.


Terdapat satu lagi perbezaan ketara antara kedua-duanya, Grand Canyon tercipta akibat batu yang dihancurkan oleh Sungai Colorado, Valles Marineris pula dianggap telah terbentuk melalui pemisahan plat tektonik.


Gambar itu menggunakan data daripada Kamera Stereo Resolusi Tinggi (HRSC) di atas kapal angkasa tersebut, dan ia adalah imej dengan warna yang sebenar. Mars Express sebelum ini telah menemui mineral sulfat yang mengandungi air di Marikh.


"Mars Express telah menemui mineral sulfat yang mengandungi air di rantau ini. Ini menunjukkan bahawa benjolan ini mungkin terbentuk apabila cecair yang pernah mengisi chasma tersejat, walaupun teori ini masih hangat diperkatakan," menurut ESA.


Kapal angkasa itu telah mengorbit planet tersebut sejak tahun 2003 untuk menjalankan pelbagai eksperimen saintifik termasuk pengimejan permukaan Marikh, memetakan mineralnya, mengenal pasti komposisi dan peredaran atmosferanya dan melalukan penyelidikan di bawah keraknya. - Sumber Scitech Daily.


Imej dari Mars Express ESA ini menunjukkan Ius dan Tithonium Chasmata, yang membentuk sebahagian daripada struktur ngarai Mars Valles Marineris. Imej ini terdiri daripada data yang dikumpul oleh Kamera Stereo Resolusi Tinggi (HRSC) Mars Express pada 21 April 2022. - Foto ESA/DLR/FU Berlin.

Imej topografi berkod warna ini menunjukkan Ius dan Tithonium Chasmata, yang membentuk sebahagian daripada struktur ngarai Marikh Valles Marineris. Ia dicipta daripada data yang dikumpul oleh ESA's Mars Express pada 21 April 2022. Ia berdasarkan model 'terrain' digital rantau ini, yang daripadanya topografi landskap boleh diperolehi. Bahagian bawah permukaan ditunjukkan dalam warna biru dan ungu, manakala kawasan ketinggian yang lebih tinggi muncul dalam warna putih dan merah. - Foto ESA/DLR/FU Berlin.

Pandangan perspektif Tithonium Chasmata yang membentuk sebahagian daripada struktur ngarai Valles Marineris Marikh, dihasilkan daripada model 'terrain' digital dan saluran nadir dan warna bagi Kamera Stereo Resolusi Tinggi di Mars Express ESA. - Foto ESA/DLR/FU Berlin.

Gambar menunjukkan sebahagian kawasan membentuk Ngarai Valles Marineris yang dirakamkam Mars Express di Marikh baru-baru ini. - Foto ESA/DLR/FU Berlin.

Khamis, 28 Julai 2022

China sediakan misi ke planet Zuhrah, mencari potensi untuk alam sekitar dan kehidupan yang boleh didiami

China sediakan misi ke planet Zuhrah, mencari potensi untuk alam sekitar dan kehidupan yang boleh didiami

 

China telah memasukkan misi berpotensi untuk mengkaji planet Zuhrah atau Venus sebagai sebahagian daripada program penerokaan angkasa lepasnya, lapor laman berita Kompas.com pada 16 Julai 2022.


Misi Pengimejan, Penjelajah Iklim dan Gunung Berapi Zuhrah (VOICE) akan dilancarkan pada tahun 2026 dan tiba di orbit sekitar planet tersebut pada tahun 2027 - Zuhrah adalah planet paling panas di sistem suria.


Menurut perincian misi ini, kapal angkasa akan menggunakan orbit kutub melingkar pada ketinggian 350 kilometer untuk menyiasat evolusi geologi, proses haba dan kimia di atmosfera, interaksi permukaan-atmosfera, serta potensi untuk alam sekitar dan kehidupan yang boleh didiami.


Instrumen saintifiknya akan termasuk radar bukaan sintetik polarimetrik jalur-S, yang boleh mengintai melalui awan Zuhrah dan memetakan permukaan, serta pengimejan berbilang spektrum yang boleh memerhatikan planet dalam kedua-dua panjang gelombang ultraungu dan inframerah.


VOICE ialah calon misi China untuk program sains angkasa yang berasingan daripada misi penerokaan Bulan dan planet utama China yang diketuai oleh Agensi Angkasa Negara China (CNSA), termasuk misi Tianwen 1 (pengembalian sampel di Marikh) yang sedang dijalankan dan Tianwen 2 (mengkaji asteroid berdekatan Bumi) yang sudah dirancang.


Misi yang dicadangkan itu sebaliknya dinilai sebagai salah satu daripada 13 misi calon di bawah Program Keutamaan Strategik Sains Angkasa (SPP) ketiga yang diketuai oleh Akademi Sains China.


Selain daripada misi ke Zuhrah, tidak diketahui dengan tepat berapa banyak misi angkasa lepas China telah diluluskan, tetapi calon akan dinilai dalam masa terdekat berdasarkan bajet, kesediaan teknologi dan jadual pengeluaran.


Cadangan lain yang dikemukakan selain mengkaji Zuhrah termasuk penyelidikan dalam bidang astronomi dan astrofizik, eksoplanet (tinjauan eksoplanet boleh dihuni berdekatan dengan Bumi), dan heliofizik.

Sabtu, 23 Julai 2022

Teleskop JWST temui galaksi berusia 13.5 bilion tahun yang tertua di Alam Semesta

Teleskop JWST temui galaksi berusia 13.5 bilion tahun yang tertua di Alam Semesta


Teleskop Angkasa James Webb (JWST) yang baru sahaja dilancarkan ke angkasa tahun lepas telah menemui galaksi berusia 13.5 bilion tahun, yang kini tertua di alam semesta yang dilihat oleh manusia, lapor akhbar Daily Mail pada 20 Julai 2022.


Dikenali sebagai GLASS-z13 (GN-z13), galaksi itu merekodkan sejarah 300 juta tahun selepas peristiwa Big Bang (teori Letupan Besar yang saintis percaya menjadi titik permulaan kejadian alam semesta) yang diteorikan berlaku 13.8 bilion tahun lalu.


Kejayaan JWST ini sekaligus menewaskan rekod penemuan galaksi tertua yang dibuat oleh Teleskop Hubble. Pada 2015, teleskop berkenaan berjaya menemui galaksi yang dinamakan GN-Z11 yang dianggarkan berusia 13.4 bilion tahun.


Penemuan terbaru itu dianggarkan 100 juta tahun lebih awal daripada segala yang pernah diketahui sebelum ini, ujar Rohan Naidu, saintis dari Pusat Astrofizik Harvard.


"Kita berkemungkinan melihat cahaya bintang paling jauh yang pernah dapat disaksikan sesiapa," ujarnya kepada AFP.


Semakin jauh sesuatu objek dari kita, semakin lama tempoh cahayanya sampai kepada kita. Maka untuk mencerap sebuah semesta yang jauh jaraknya, bermakna kita 'meninjau' jauh ke lembaran sejarah yang sangat lama.


Walaupun GN-z13 telah wujud dalam era awal alam semesta, usia tepatnya masih tidak diketahui kerana ia mungkin terbentuk pada bila-bila masa dalam 300 juta tahun terawal.


GN-z13 dikesan menerusi data yang diperoleh dari pengimejan inframerah utama yang mengorbit di angkasa atau Near Infrared Camera (NIRcam), namun penemuan itu tidak didedahkan kepada umum dalam siri imej pertama yang disiarkan NASA sebelum ini.


Apabila diterjemah dari inframerah ke spektrum yang boleh dilihat, galaksi berkenaan kelihatan seperti satu tompok merah dengan warna putih di bahagian tengahnya. Naidu dan pasukan 25 ahli astronomi dari seluruh dunia telah menghantar hasil penemuan mereka ke jurnal saintifik.


"Rekod astronomi banyak yang memerlukan sokongan dan pembuktian. Saya hanya berpuas hati apabila hasilnya mendapat pengesahan rakan sepasukan. Namun, yang ini sangat menjanjikan sesuatu," ujar Ketua Saintis NASA, Thomas Zurbuchen.


Naidu berkata, seorang lagi pasukan astronomi diketuai Marco Castellano, yang memproses data yang sama, turut mencapai rumusan yang sama.


Salah satu daripada kelebihan teleskop Webb adalah kemampuannya mencari galaksi-galaksi terawal yang terbentuk selepas Big Bang, 13.8 bilion tahun lalu.


Oleh kerana galaksi itu terlalu jauh jaraknya dari Bumi, pada ketika cahayanya sampai kepada kita, ia terserak luas disebabkan sifat semesta yang tidak terbatas. Maka, cahaya itu berubah kepada bentuk inframerah dalam spektrum cahaya.


Teleskop Webb bagaimanapun, dapat mengenal pasti bentuk itu dengan kadar kejelasan tinggi. Naidu dan pasukannya meneliti data inframerah dari semesta yang jauh itu, demi mencari ciri khusus atau signatur semesta-semesta yang jaraknya sangat jauh.


"Kami memeriksa semua data awal galaksi dengan ciri yang khusus ini, dan inilah dua sistem (GN-Z11 dan GN-z13) yang kami kenal pasti mempunyai signatur paling menakjubkan. Ada bukti kukuh, namun banyak lagi yang perlu dilakukan," katanya," kata Naidu. - Sumber Daily Mail.


BACA: NASA dedah imej berwarna Alam Semesta pertama paling jelas dan paling jauh.


Walaupun GN-z13 telah wujud dalam era awal alam semesta, usia tepatnya masih tidak diketahui kerana ia mungkin terbentuk pada bila-bila masa dalam 300 juta tahun terawal. - Foto Rohan Naidu.

Semasa menyiasat kawasan berhampiran GN-z13 (atas), JWST turut melihat GN-z11 (bawah). - Foto Rohan Naidu.