Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Selasa, 21 Februari 2023

Serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di kota purba selatan Itali

Serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di kota purba selatan Itali


Penduduk ‘kota batu’ purba di selatan Itali dikejutkan dengan satu fenomena luar biasa selepas serpihan meteorit jatuh di balkoni sebuah rumah di pinggir bandar itu, Matera baru-baru ini, lapor akhbar The Guardian pada 19 Februari 2023.


Objek angkasa yang bergerak pada kelajuan 321 kilometer sejam itu dikesan di langit wilayah Puglia dan Basilicata pada 14 Februari lalu, membuatkan ia digelar ‘bebola api Hari Kekasih’.


Ia dikatakan jatuh di balkoni rumah pasangan adik beradik, Gianfranco dan Pino Losignore bersama ibu bapa mereka.


Mereka menyedari keadaan itu apabila melakukan pemeriksaan pada panel solar kediaman tersebut tiga hari kemudian.


Mereka mendapati panel dan jubin telah rosak, bersama dengan serpihan kelabu bertaburan di seluruh balkoni.


“Saya tidak berada di rumah ketika ia berlaku, namun ibu saya memberitahu dia ada mendengar bunyi dentuman kuat.


“Dia berasa bimbang, namun disebabkan cuaca berangin, saya menyangkakan bunyi dentuman itu adalah ranting pokok. Rupa-rupanya, ia adalah serpihan meteorit,” kata Gianfranco.


Bebola api meteorit itu dipantau pada kamera pengawasan Prisma, sebuah projek yang dikendalikan oleh Institut Astrofizik Itali, sekali gus membolehkan pakar mengesan lokasi ia jatuh.


Lebih 70 gram serpihan telah dikumpulkan setakat ini untuk kajian tersebut, yang kemudiannya akan dipamerkan di muzium.


Seorang wakil Prisma, Carmelo Falco berkata, meskipun banyak meteorit jatuh ke Bumi, apa yang jarang berlaku di Matera adalah ia mendarat pada permukaan bersih, justeru, objek itu tidak tercemar. - Sumber The Guardian.


Gianfranco menemui serpihan kelabu bertaburan di seluruh balkoni rumahnya. - Foto Gianfranco Losignore.

Ahad, 19 Februari 2023

Saintis beri amaran bahaya asteroid Itokawa, batu angkasa 'paling keras' yang boleh menceroboh pertahanan Bumi

Saintis beri amaran bahaya asteroid Itokawa, batu angkasa 'paling keras' yang boleh menceroboh pertahanan Bumi

Karya seni Sistem Suria, menunjukkan laluan lapan planet utama semasa mereka mengorbit Matahari. - Foto Getty Images.

Pakar-pakar memberi amaran mengenai sebuah asteroid bersaiz besar yang boleh menceroboh pertahanan Bumi sekiranya bergerak terlalu hampir dengan planet ini, lapor akhbar The Sun pada 24 Januari 2023 lalu.


Asteroid dikenali sebagai Itokawa itu memiliki ketinggian lebih daripada 1700 kaki, bersamaan dengan 535 meter.


Pakar-pakar menganggarkan bahawa impak yang menyebabkan terhasilnya Itokawa berlaku lebih 4.2 bilion tahun lalu, iaitu hampir menyamai usia sistem suria Bumi.


Menurut pakar Universiti Curtin di Perth, Profesor Fred Jourdan dan Profesor Madya Nick Timms, asteroid tersebut sukar untuk dimusnahkan berbanding dengan jasad kosmik lain.


"Asteroid merupakan ketulan serpihan berbatu di angkasa lepas yang merupakan sisa masa lalu yang lebih ganas dalam sistem suria kita.


"Terdapat dua jenis asteroid, iaitu jenis monolitik bersaiz kira-kira 1 kilometer (km) dalam diameter serta mempunyai jangka hayat yang diramal hanya beberapa ratus juta tahun," kata dua saintis tersebut.


Tambah mereka, satu lagi jenis asteroid adalah asteroid longgokan runtuhan seperti Itokawa, yang terdiri daripada batuan serpihan mampat dan akan menjadi lebih kuat dengan setiap hentaman.


"Pelanggaran berterusan hanya akan menghancurkan jurang antara batu dan bukannya memusnahkan batuan itu.


"Sekali ia terbentuk, amat sukar untuk memusnahkannya," tulis Jourdan dan Timms dalam satu laporan diterbitkan laman berita The Conversation.


Bagaimanapun, Agensi Angkasa Lepas Eropah berkata, Itokawa berada sekitar 42 juta kilometer dari Bumi, yang merupakan satu berita baik buat umat manusia. - Sumber The Sun.


BACA: NASA dedah imej terbaharu kapal angkasa DART hentam asteroid.


Ilustrasi longgokan runtuhan asteroid Itokawa. - Foto Kevin M.
Asteroid halimunan 'boleh menyerang Bumi bila-bila masa'

Asteroid halimunan 'boleh menyerang Bumi bila-bila masa'


Bumi boleh dihentam oleh bilangan asteroid yang tidak dapat dikesan lebih awal pada bila-bila masa sahaja, kata seorang pakar dalam satu amaran seperti yang dilaporkan oleh portal berita Daily Star pada 16 Februari 2023.


Insiden itu pernah berlaku apabila meteor Chelyabinsk selebar 19 meter meletup di ruang udara Russia pada 2013 dan tiada siapa tahu bagaimana batu angkasa tersebut memasuki ruang udara di selatan negara itu.


Dalam kejadian itu, seramai 1,600 orang cedera akibat gelombang kejut besar-besaran dan letupannya adalah sama dengan 35 bom di Hiroshima di Jepun pada tahun 1940-an.


Saintis-saintis menganggap bahaya yang akan timbul daripada asteroid yang tidak dapat dikesan atau asteroid halimunan pada masa hadapan berpunca daripada silauan matahari.


Berikutan begitu ramai yang cedera disebabkan letupan meteor Chelyabinsk, sistem baharu dinamakan Near Earth Object Mission (NEOMIR) sedang diusahakan untuk memberi amaran awal kepada orang ramai supaya mereka selamat sekiranya kejadian serupa berulang.


NEOMIR akan dilaksanakan lewat dekad ini bagi mengawasi objek yang menuju ke Bumi dari arah Matahari.


Ketua Pertahanan Planet Agensi Angkasa Eropah, Richard Moissl berkata: "Asteroid sebesar meteor Chelyabinsk 'menyerang' sekitar selang 50 hingga 100 tahun."


"Kecederaan yang disebabkan oleh letupan di udara atau kejadian serupa boleh dicegah jika orang ramai dimaklumkan tentang kesan yang akan berlaku dan ia boleh diramal. Dengan amaran awal, pihak berkuasa tempatan akan dapat menasihati orang ramai supaya menjauhkan diri dari tingkap dan kaca," tambahnya.


NEOMIR akan berada di antara Bumi dan Matahari jauh dari atmosfera Bumi. - Sumber Daily Star.


Bumi boleh dihentam asteroid yang tidak dapat dikesan terlebih dahulu pada bila-bila seperti yang pernah berlaku di Russia pada 2013. - Foto GettyImages/SciencePhotoLibrary RF.

Rabu, 15 Februari 2023

ESA berjaya ramal lebih awal, asteroid meletup di langit Selat Inggeris

ESA berjaya ramal lebih awal, asteroid meletup di langit Selat Inggeris


Sebuah asteroid kecil dinamakan sebagai 2023 CX1 meletup dan menerangi langit malam di Selat Inggeris kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) pada hari Isnin 13 Februari lalu, lapor akhbar Daily Mail.


Cahaya akibat letusan asteroid 0.91 meter itu dilaporkan dapat dilihat di seluruh selatan England, Wales termasuk di beberapa bahagian di Perancis.


Ia adalah kali ketujuh serpihan batu angkasa berjaya diramalkan lebih awal akan meletus. Pakar-pakar di Pertubuhan Meteor Antarabangsa menjangkakan kejadian itu yang akan mewujudkan kesan bebola api.


Agensi Angkasa Eropah (ESA) menerusi Twitter menyatakan, pengesanan lebih awal itu adalah tanda kemajuan pesat dalam pengesanan asteroid global. ESA sebelum ini menyatakan objek tersebut dijangka memasuki atmosfera Bumi di utara Perancis.



2023 CX1 berjaya dikesan oleh seorang ahli astronomi Hungary, Krisztián Sárneczky, di Balai Cerap Konkoly di Pergunungan Mátra, Hungary.


Maklum Sárneczky, pada awalnya dia mendakwa batu itu dikesan berada sekitar 233,000 Kilometer dari orbit bumi dan bulan pada jam 8.18 malam waktu tempatan.


"Ia mula memasuki atmosfera pada awal pagi Isnin pada jam 3 pagi merentasi pantai Normandy, Perancis di sepanjang Selat Inggeris.


"Ketika membelah ruang udara, ia terbakar sehingga dapat dilihat dengan terang dari Utara Perancis, Belgium, Belanda dan United Kingdom," katanya.


Pakar fizik, Mark Boslough dari Makmal Kebangsaan Los Alamos, New Mexico, Amerika Syarikat memberitahu portal berita Wales Online bahawa walaupun letusan udara sebesar itu berlaku beberapa kali dalam setahun namun kejadian tersebut jarang ditemui lebih awal. - Sumber Daily Mail.


Sebuah asteroid kecil meletus di Selat Inggeris pada awal pagi Isnin. - Austin Huffmaster/Twitter.

Selasa, 14 Februari 2023

Saintis terkejut, sukar dipercayai secebis matahari 'terputus'

Saintis terkejut, sukar dipercayai secebis matahari 'terputus'


Satu klip video menunjukkan filamen gergasi plasma 'terputus' di Kutub Utara Matahari dirakam oleh NASA dalam peristiwa yang tidak pernah dilihat sebelum ini, menyebabkan saintis-saintis keliru, lapor portal berita Daily Mail pada 9 Februari 2023.


Rakaman itu menunjukkan filamen gergasi plasma atau gas berelektrik terpercik keluar dari Matahari, terpisah dan kemudian beredar dalam pusaran besar kutubnya.


Walaupun ahli-ahli astronomi keliru, mereka membuat spekulasi bahawa penonjolan itu ada kaitan dengan pembalikan medan magnet Matahari yang berlaku sekali bagi setiap kitaran suria atau setiap 11 tahun.


Video itu dikongsi di laman Twitter oleh ahli meteorologi angkasa lepas, Tamitha Skov yang berkata, klip video kemunculan fenomena suria pelik itu diambil daripada Balai Cerap Dinamik Suria milik NASA.


"Bercakap tentang pusaran kutub! Bahan dari bahagian utara (Matahari) baru sahaja terputus dari filamen utama dan kini beredar dalam pusaran kutub besar di sekitar kutub utara bintang kita," ciapnya.


NASA menggambarkan bahawa filamen suria sebagai awan zarah bercas yang terapung di atas Matahari selain ditambat padanya oleh daya magnet.


Scott McIntosh, pengarah bersama dan ahli fizik suria di Pusat Penyelidikan Atmosfera Kebangsaan di Boulder, Colorado, menjelaskan bahawa perkara pelik berlaku pada latitud 55 darjah Matahari sekali setiap kitaran suria.


Tetapi dia juga mengakui bahawa dia tidak pernah melihat pusaran skala ini: "Sekali setiap kitaran suria, ia terbentuk pada 55 darjah latitud dan mula bergerak ke arah kutub matahari. Ia sangat pelik," katanya.


Penyelidikan terhadap fenomena sedemikian adalah terhad kerana tiada cara untuk memerhatikannya dari kawasan kutub Matahari pada masa ini.


"Kita hanya boleh memerhati Matahari dari satah ekliptik, iaitu satah di mana planet mengorbit," kata McIntosh.


Walau bagaimanapun, dengan misi Pengorbit Suria Agensi Angkasa Eropah yang sedang dijalankan, saintis sekurang-kurangnya mempunyai akses yang lebih besar kepada pemahaman yang lebih dekat tentang bagaimana kitaran magnet Matahari boleh wujud di kaki langit (Matahari). - Sumber Daily Mail.


BACA: Pesawat NASA berjaya 'sentuh' Matahari dan akan 'menyelam' lebih dalam lagi hingga tahun 2025.


Filamen gergasi plasma (dalam bulatan) terputus di Kutub Utara Matahari baru-baru ini. - Foto Tamitha Skov/Twitter.

Isnin, 13 Februari 2023

Perlumbaan menjelajah angkasa lepas antara Jeff Bezos, Elon Musk sengit

Perlumbaan menjelajah angkasa lepas antara Jeff Bezos, Elon Musk sengit


Perlumbaan menjelajah angkasa lepas dalam kalangan bilionair semakin sengit selepas syarikat Blue Origin yang dimiliki oleh pengasas Amazon, Jeff Bezos, dipilih oleh NASA untuk melancarkan misi ke Marikh, lapor akhbar Daily Star pada 11 Februari 2023.


Misi Escape and Plasma Acceleration and Dynamics Explorers, atau dikenali sebagai ESCAPADE, terdiri daripada probe berkembar yang akan menyelidik maklumat penting tentang cara magnetosfera Marikh berinteraksi dengan angin suria.


Penemuan ESCAPADE penting untuk angkawasan tinggal lama di Marikh serta membantu misi penjelajahan manusia ke angkasa lepas. Saintis perlu mengetahui risiko pendedahan radiasi di permukaan Marikh.


Setakat ini, NASA belum menggunakan kemudahan syarikat milik Bezos untuk sebarang misi, malah kapal angkasa Blue Origin juga belum mencapai orbit Bumi yang sebenar.


Kontrak baharu NASA untuk Blue Origin itu mewakili permulaan baharu antara kedua-dua organisasi walaupun ia mewakili risiko yang besar di pihak NASA.


Kenderaan pelancar New Glenn milik Blue Origin masih belum digunakan selepas pelancaran pertamanya pada 2020 ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya musim panas ini.


Ia dilaporkan boleh digunakan untuk 25 pelancaran berbanding kapal angkasa SpaceX Starship milik Musk yang menjanjikan 'kebolehgunaan semula sepenuhnya'.


Jika penerbangan ujian pertama roket itu terpaksa ditangguhkan lagi atau menghadapi beberapa kerosakan yang tidak dijangka, misi itu boleh ditarik balik daripada Bezos dan diberikan kepada Musk. - Sumber Daily Star.


BACA: Bilionair pertama melancong ke angkasa lepas, kini berhasrat mahu bina hotel di Bulan.


Misi NASA adalah peluang yang penting untuk Bezos. - Getty Images.

Selasa, 31 Januari 2023

Komet hijau kali terakhir dilihat 50,000 tahun lalu dijangka buat kemunculan esok

Komet hijau kali terakhir dilihat 50,000 tahun lalu dijangka buat kemunculan esok


Sebutir komet berwarna hijau yang mengorbit Matahari sekali setiap 50,000 tahun akan terbang tepat melintasi Bumi esok, lapor portal berita MSN pada 30 Januari 2023.


Ia yang turut dikenali sebagai komet C/2022 E3 (ZTF) akan melintas pada kedudukan paling dekat dengan Bumi pada 1 Februari ini dengan jarak kira-kira 45 juta kilometer.


Komet ialah batu angkasa berais dan apabila hampir dengan matahari, ia mula mencair dan menghasilkan jejak-jejak gas. Cahaya hijaunya adalah hasil sinaran ultraungu dari matahari yang menerangi gas yang mengelilingi permukaan komet.


ZTF pertama kali dikesan pada Mac 2022 oleh Kemudahan Sementara Zwicky di San Diego, California, Amerika Syarikat. Kali terakhir ia melepasi planet ini ialah ketika Zaman Batu kerana bola berais ini akan mengelilingi matahari setiap 50,000 tahun.


Komet itu mengelilingi matahari pada 12 Januari lalu dan kini menuju ke Bumi dalam perjalanan keluar dari Sistem Suria. Manakala penduduk Kanada berada di tempat yang paling sesuai untuk melihatnya.


"Pada masa ini, sudah tentu terlalu samar untuk dilihat dengan mata kasar, bagaimanapun ia akan menjadi lebih cerah menjelang penghujung bulan Januari ini dan boleh dilihat dengan mata kasar," kata Paul Wiegert iaitu seorang profesor di Jabatan Fizik dan Astronomi, Universiti Barat di London, Ontario, Kanada.


Seorang lagi ahli astronomi di Royal Observatory Greenwich, Dr Greg Brown berkata, ini adalah peluang seumur hidup untuk melihat kejadian berkenaan kerana komet itu kini sedang melalui sistem suria dan tidak akan kembali sekurang-kurangnya 50,000 tahun lagi.


"Komet itu akan merentasi langit kita melalui buruj Draco serta akan melalui Ursa Major dan Ursa Monor pada akhir Januari dan awal Februari," katanya.


Tambah Brown, walaupun mungkin dapat melihatnya dengan mata kasar tanpa sebarang bantuan, namun lebih baik menggunakan teropong atau teleskop kecil.


"Paling mudah dilihat ialah kepala komet yang lebih cerah, tetapi, jika anda bernasib baik, anda mungkin melihat salah satu daripada dua ekornya terkeluar," katanya.


Cahaya hijau C/2022 E3 adalah hasil sinaran ultraungu daripada matahari yang menerangi gas yang mengelilingi permukaan komet. - Foto Twitter/Daily Loud.