Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Jumaat, 22 April 2022

AS lancar roket membawa 'muatan misteri', ia mungkin sistem pengintip untuk pantau pegerakan kapal di lautan

AS lancar roket membawa 'muatan misteri', ia mungkin sistem pengintip untuk pantau pegerakan kapal di lautan


Sebuah roket membawa 'muatan misteri' untuk Pejabat Peninjau Kebangsaan (NRO) Amerika Syarikat (AS) dilancarkan ke angkasa lepas dari California, Ahad lalu, lapor Daily Mail pada 18 April 2022.


Roket Falcon 9 milik SpaceX yang membawa satelit NROL-85 dilancarkan pada 17 April 2022, pukul 6.13 pagi (waktu tempatan) dari tapak pelancaran 4E di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, barat laut Los Angeles.


"Roket itu berlepas dengan daya tujahan sebesar 1.7 juta paun mendorong roket hingga ke langit," jelas laporan itu.


Berdasarkan masa pelancaran dan faktor lain termasuk dokumen perolehan ketenteraan, seorang pakar angkasa membuat spekulasi bahawa roket Falcon 9 membawa dua Sistem Pengawasan Lautan Tentera Laut (satelit NOSS) yang mampu memantau dan mengesan kapal di laut secara elektronik.


Vandenberg menerusi kenyataan memaklumkan ia merupakan misi pertama NRO untuk menggunakan semula roket penggalak SpaceX, dan ia juga merupakan penerbangan SpaceX ke-14 bagi tahun ini.


"Dua setengah minit selepas pelancaran, roket penggalak mula jatuh dan berpusing menggunakan tiga enjin untuk menukar haluan kembali ke Vandenberg, mendarat di Zon Pendaratan 4 kira-kira lapan minit selepas lepas landas," jelas kenyataan itu.


SpaceX pula tidak mendedahkan butiran lain mengenai satelit itu dan hanya menyatakan proses peringkat kedua roket mencapai orbit. Sementara itu, NRO hanya menyifatkan satelit NROL-85 sebagai 'muatan keselamatan negara yang amat kritikal'.


"Saya berbangga dengan kerja berpasukan, kemahiran dan keazaman yang menjayakan pelancaran ini, dan akhirnya untuk menyampaikan maklumat kritikal kepada penggubal dasar, tentera dan komuniti perisikan negara kita," kata Pengarah NRO, Chris Scolese.


NRO ialah agensi kerajaan yang bertanggungjawab membangunkan, membina, melancarkan dan menyelenggara satelit AS, yang menyediakan data risikan kepada penggubal dasar kanan, komuniti perisikan dan Jabatan Pertahanan. - Sumber Daily Mail.


Roket Falcon 9 membawa satelit NOSS berlepas dari tapak pelancaran 4E di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California. - Foto SpaceX.

Sabtu, 9 April 2022

Serpihan angkasa lepas berkemungkinan milik roket China terhempas di pedalaman India

Serpihan angkasa lepas berkemungkinan milik roket China terhempas di pedalaman India


Beberapa pakar percaya sekeping serpihan angkasa lepas bersaiz besar yang terhempas di sebuah perkampungan di India, berkemungkinan milik roket China yang dilancarkan tahun lalu, lapor Daily Mail pada 5 April 2022.


Logam berbentuk cakera seberat lebih 40 kilogram dan diameter berukuran dua hingga tiga meter, ditemukan di sebuah padang kawasan kampung di daerah Chandrapur, Maharashtra, Sabtu lalu. Tiada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan akibat struktur itu.


"Ketika kejadian, kami sedang menyediakan jamuan dan terkejut selepas cakera merah itu jatuh di kawasan terbuka dengan mengeluarkan bunyi dentuman yang amat kuat.


"Penduduk bergegas lari dalam ketakutan meninggalkan kawasan itu ke rumah masing-masing dan tidak keluar selama hampir setengah jam," kata seorang penduduk kepada The Times of India.


Memetik laporan Press Trust of India, pegawai daerah, Ajay Gulhane berkata, sebuah lagi serpihan berbentuk bola logam besar yang berukuran kira-kira setengah meter, jatuh di perkampungan lain di daerah tersebut.


"Serpihan tersebut diambil untuk pemeriksaan lanjut. Kami juga menghantar beberapa pegawai ke semua perkampungan di daerah tersebut untuk mencari sekiranya ada lagi serpihan bertaburan," katanya.


Dalam pada itu, menurut seorang pegawai di Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO), masa objek itu terhempas adalah 'padanan paling hampir' dengan waktu kemasukan semula serpihan dari roket China yang dilancarkan Februari tahun lalu.


"Apabila badan kapal angkasa bertahan memasuki semula atmosfera, bahagian roket seperti muncung dan cakera boleh memberi kesan ke atas Bumi," kata seorang lagi pegawai ISRO.


Sementara itu, seorang ahli astronomi dari Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian, Jonathan McDowell menerusi ciapan Twitter memaklumkan logam itu konsisten dengan bahagian roket Long March 3B milik China.


Objek berkenaan menghasilkan sejumlah besar haba dan geseran apabila ia memasuki atmosfera, yang boleh menyebabkannya terbakar dan hancur, tetapi yang lebih besar mungkin tidak musnah sepenuhnya.


Serpihan itu boleh mendarat di permukaan planet dan boleh menyebabkan kerosakan dan kematian, walaupun risiko itu rendah.


Insiden terbaru berlaku bulan lepas selepas roket terbuang yang dipercayai milik China terhempas ke bahagian jauh Bulan. Sampah angkasa lepas seberat tiga tan itu dipercayai meninggalkan kawah besar di permukaan Bulan pada 4 Mac lalu.


Pada 2020, serpihan dari sebuah lagi roket Long March milik China turut dilaporkan terhempas di sebuah kampung di Ivory Coast sehingga menyebabkan kerosakan struktur, namun tiada kecederaan mahupun kematian dilaporkan. - Sumber Daily Mail UK.


Logam berbentuk cakera seberat lebih 40 kilogram ditemukan di sebuah perkampungan di Maharashtra. - Foto Twitter.

Ahad, 3 April 2022

Sistem gegelang Zuhal bakal lenyap, graviti planet itu mula 'telan' serpihan jirim gegelang

Sistem gegelang Zuhal bakal lenyap, graviti planet itu mula 'telan' serpihan jirim gegelang


Daripada semua planet dalam sistem suria kita, Zuhal mungkin yang paling cantik. Planet ini dikenali ramai kerana bahagian cincin atau gegelangnya yang membezakan ia daripada planet-planet lain. Gegelang tersebut terdiri daripada helaian demi helai bahan berais dengan hanya sekelumit batu, disusun dalam lingkaran cahaya yang halus.


Dari dekat, cincin itu bersinar dalam warna merah jambu lembut, kelabu dan coklat, berkilauan dalam kegelapan. Sukar untuk membayangkan Zuhal tanpa gegelangnya. Namun, saintis-saintis meramalkan bahawa gegelang gergasi yang mengelilingi Planet Zuhal akan pecah dan hilang sepenuhnya dalam beberapa ratus juta tahun akan datang.


Proses kemusnahan itu telah didedahkan oleh ahli-ahli astronomi kepada majalah The Atlantic. Gegelang itu dikatakan berada dalam keadaan 'terganggu', ditarik ke dalam Planet Zuhal oleh graviti dan akhirnya akan mengewap di atmosfera planet tersebut. Proses kehilangan ini berlaku sedikit demi sedikit.


Mikrometeorit yang masuk dan sinaran Matahari mengganggu serpihan jirim gegelang yang kecil dan debu kerana menggegarkannya. Ia menyebabkan zarah-zarah itu tiba-tiba berubah, menjadi selaras dengan garis medan magnet Zuhal dan mula berputar di sepanjang laluan yang tidak sepatutnya.



Apabila zarah terlalu dekat dengan bahagian atas atmosfera Zuhal, graviti menariknya masuk, dan ia mengewap di awan planet dan hilang. Ahli astronomi memanggilnya 'hujan cincin', dan fenomena lain turut melemahkan unsur tersendiri yang menyebabkan planet itu bakal kehilangan keseluruhan gegelang.


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah mengkaji gegelang Planet Zuhal secara meluas melalui misi kapal angkasa Cassini. Menerusi kadar kemerosotan semasa, keseluruhan sistem gegelang itu dianggarkan akan lenyap sekitar 300 juta tahun akan datang.


"Penduduk Bumi masih mempunyai banyak masa untuk mengagumi keindahan gegelang Zuhal, dan mengkajinya. Ahli astronomi masih tidak mengetahui segala-galanya tentang planet ini, termasuk cara Zuhal mula-mula mendapatkan gegelangnya," kata James O'Donoghue, seorang saintis planet di JAXA, agensi angkasa Jepun.


"Gegelang Zuhal telah memukau pemerhati selama berabad-abad, tetapi kami benar-benar rapat dengan mereka buat kali pertama pada awal 1980-an, apabila kapal angkasa Voyager NASA melakukan lawatan ke planet luar. Pada masa itu, saintis mengesyaki bahawa gegelang itu mungkin terbentuk bersama Zuhal kira-kira 4.6 bilion tahun yang lalu, ketika sistem suria masih muda dan riuh.


"Pada masa itu, dengan objek berbatu yang berterbangan di mana-mana, sebuah planet baru boleh dengan mudah menangkap dan menyarungnya di tengah-tengahnya, dan membiarkan graviti meratakannya. Tetapi selepas penerbangan Voyager berjaya diterbangkan ke angkasa, ia mencadangkan cerita yang berbeza.


"Pemerhatian lebih terperinci berbanding sebelum ini dijalankan berkenaan planet menangkap bebatu jadi gegelangnya, mendedahkan bahawa sistem itu tidak mempunyai jisim sebanyak yang diramalkan oleh penyelidik, yang bermaksud bahawa ia tidak boleh berumur berbilion tahun.


"Gegelang itu mestilah jauh lebih muda, mungkin hanya 10 juta hingga 100 juta tahun. Keputusan pemerhatian itu benar-benar membingungkan dan pelik," kata Jeff Cuzzi, seorang saintis penyelidikan di NASA dan pakar dalam gegelang planet. - Sumber The Atlantic (28 Mac 2022).


Gambar menunjukkan planet Zuhal yang dirakam kapal angkasa Cassini mulik NASA pada April 2016. - Foto NASA.

Sabtu, 26 Mac 2022

NASA kini temui lebih 5,000 exoplanet, ada diantaranya memiliki ciri seakan Bumi

NASA kini temui lebih 5,000 exoplanet, ada diantaranya memiliki ciri seakan Bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengesahkan terdapat lebih daripada 5,000 planet dikesan berada di luar sistem suria (eksoplanet). Namun setakat ini, Bumi menjadi planet paling sesuai untuk didiami hidupan.


Exoplanet ialah istilah digunakan untuk planet yang mengorbit di luar sistem suria atau planet suria tambahan - merupakan planet yang mengorbit bintang selain dari Matahari, dan dengan itu tidak terletak dalam sistem suria.


Terdapat juga laporan mengenai objek berjisim planet terapung bebas (iaitu, yang tidak beredar mengelilingi sebarang bintang). Oleh kerana objek sedemikian tiada yang diketahui dengan pasti, ia tidak akan dibincangkan.


Agensi itu memaklumkan pada 21 Mac 2022, bahawa ada 5,005 planet di luar sistem suria dengan kebanyakannya bersaiz kecil dan berada di luar galaksi Bima Sakti.


NASA memaklumkan planet yang dikategorikan sebagai 'kecil' terletak pada jarak 93.3 bilion kilometer atau ribuan tahun jarak cahaya. Planet paling hampir dengan Bumi, Proxima Centauri B adalah empat tahun jarak cahaya jauhnya.


Penambahan terbaharu 65 eksoplanet kepada Arkib Eksoplanet NASA itu merupakan pencapaian baharu dalam bidang sains. Arkib berkenaan adalah platform kepada penemuan eksoplanet oleh ahli-ahli astronomi kewujudannya telah disahkan.


"Ini bukan sekadar nombor. Setiap satu daripadanya adalah dunia baharu, planet baharu. Saya teruja untuk setiap satu daripadanya kerana kita tidak tahu apa-apa tentangnya," kata Jessie Christiansen selaku ketua sains untuk arkib dan saintis penyelidikan Institut Sains Eksoplanet NASA di Institut Teknologi California, Pasadena.


NASA sudah menjalankan penyelidikan terhadap eksoplanet sejak 30 tahun lalu dengan jumlah yang ditemui menjangkaui 5,000 planet. Teleskop Angkasa NASA membantu saintis menemui lebih banyak planet daripada bintang di galaksi.


Kepelbagaian eksoplanet itu jauh berbeza daripada planet yang terdapat dalam sistem suria. Ia termasuk planet berbatu lebih besar dari Bumi dipanggil super-Earths, mini Neptune dan Musytari panas terik.


Saintis juga menemukan planet yang mengorbit lebih daripada satu bintang, malah ada yang mengelilingi sisa-sisa bintang mati yang dipanggil bintang kerdil putih.


"Saintis kini sedang mencari galaksi untuk planet yang memiliki ciri seakan Bumi yang bersesuaian untuk hidupan. Apa yang kami lihat di Bumi, kehidupan boleh menyesuaikan diri dengan keadaan yang manusia anggap 'sangat keras' seperti suhu, sinaran, kemasinan, keasidan dan kegersangan.


"Ada kemungkinan bahawa kehidupan sudah bermula di dunia lain dan disesuaikan dengan keadaan yang agak asing yang tidak biasa kita lakukan," kata agensi itu. - Sumber NASA TV.


NASA telah menemukan lebih daripada 5,000 eksoplanet. - Fot NASA.

Isnin, 21 Mac 2022

Saintis Britain bangunkan loji jana kuasa di angkasa lepas 'sedut' oksigen dan air di batuan Bulan

Saintis Britain bangunkan loji jana kuasa di angkasa lepas 'sedut' oksigen dan air di batuan Bulan


Agensi Angkasa Lepas Britain akan membangunkan 13 projek baharu di ruang angkasa termasuk pembinaan sebuah loji jana kuasa bagi menjana air dan oksigen, lapor akhbar Daily Star pada 14 Mac 2022.


Di bawah pelan tersebut, agensi berkenaan akan menerima dana daripada kerajaan Britain berjumlah £2 juta (RM11 juta) bagi membiayai kesemua projek itu.


Antara pelan digariskan adalah pembinaan sebuah loji jana kuasa Rolls-Royce yang boleh menjana air dan oksigen yang boleh disedut di angkasa lepas. Pasukan jurutera juga akan membangunkan sebuah robot yang berfungsi untuk meneroka sumber-sumber seperti oksigen dan air di batuan Bulan.


Projek lain termasuk membangunkan teknologi baharu yang boleh menahan kadar radiasi yang tinggi di Planet Marikh. Saintis juga akan membina alat komunikasi bagi membolehkan angkasawan menangani masalah kelewatan dalam perbualan antara Marikh dan Bumi.


"Kesemua projek itu akan membolehkan penduduk Bumi mendapat manfaat daripada teknologi-teknologi yang dibangunkan," kata Menteri Sains Britain, George Freeman, ketika berucap pada sambutan Minggu Sains Britain yang berlangsung dari 11 hingga 20 Mac ini.


Sementara itu, Pengarah Program Masa Depan Rolls-Royce, Abi Clayton berkata, sokongan daripada Agensi Angkasa Lepas Britain adalah penting dalam membolehkan kemajuan berterusan bagi program pembangunan Reaktor-Mikro Rolls-Royce.


"Ia membuktikan nilai sebenar kerjasama awam dan swasta di mana kami boleh memanfaatkan pengalaman utama agensi tersebut dan kepakaran nuklear Rolls-Royce yang unik," ujarnya. - Sumber Daily Star.


Gambaran imej menunjukkan sebuah robot digunakan untuk meneroka sumber air dan oksigen di batuan Bulan. - Foto PA.

Ahad, 20 Mac 2022

Elon Musk berkata manusia akan berada di planet Marikh menjelang 2029

Elon Musk berkata manusia akan berada di planet Marikh menjelang 2029


Bukan rahsia lagi bahawa pemilik kapal angkasa SpaceX, Elon Musk cuba membawa manusia ke Marikh, dan meramalkan manusia dapat menjejakkan kaki ke planet itu paling awal pada 2029, lapor akhbar Metro UK pada 17 Mac 2022.


Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu memberikan maklum balas ciapan Twitter yang bertanyakan ramalan mengenai perkara itu, selepas manusia kali pertama menjejakkan kaki ke Bulan 1969.


Isnin lalu, seorang pengguna Twitter memuat naik gambar menunjukkan kapal angkasa Apollo 11 Moon yang mendarat di bulan 1969, serta gambar bayangan manusia di planet Marikh tanpa tahun dinyatakan.


Menerusi gambar itu, pengguna media sosial menyebut nama Musk dan meminta ramalannya. Musk membalas ciapan itu Rabu lalu dengan menulis '2029'.


Hartawan terkemuka itu sebelum ini sering menyatakan rancangannya untuk menjelajah planet Marikh, serta sering membuat ramalan mengenai jangkaan manusia akan mendarat di planet itu.


Pada 2016, beliau berkata, sekiranya semua mengikut perancangan, manusia dapat dihantar ke planet itu pada 2024 dan dijangka tiba 2025.


Pada 2020, Musk berkata, dia berharap dapat membina 1,000 kapal angkasa SpaceX selama 10 tahun bagi menghantar sejuta manusia ke planet itu sehingga 2050.


Namun pada tahun 2021 lalu, Musk menarik balik ramalan awalnya dan penuh yakin SpaceX akan menghantar manusia pertama ke Marikh 2026.


Pengumuman itu dibuat sembilan bulan selepas SpaceX mencapai kejayaan pertama pelancaran dan pendaratan roket prototaip Starship, dalam penerbangan ujian selepas empat percubaan pendaratan sebelum ini berakhir dengan letupan.


Marikh adalah salah satu planet paling dekat dengan Bumi yang mungkin boleh didiami, dan gravitinya adalah kira-kira 38 peratus daripada graviti Bumi. Walaupun jarak dari Matahari lebih jauh berbanding Bumi, ia masih mempunyai cahaya yang baik.


"Ia agak sejuk, tetapi kita boleh memanaskannya. Atmosferanya CO2 dengan beberapa nitrogen dan argon serta beberapa unsur surih lain, yang bermaksud bahawa kita boleh menanam tumbuhan di Marikh hanya dengan memampatkan atmosfera," tulis laman web SpaceX.


Elon Musk percaya manusia akan menjejakkan kaki ke planet Marikh pada 2029. - Foto TNS.

Ahad, 13 Mac 2022

NASA akan hantar angkasawan ke Kutub Selatan Bulan pada 2025, sebuah kawasan yang terlalu gelap

NASA akan hantar angkasawan ke Kutub Selatan Bulan pada 2025, sebuah kawasan yang terlalu gelap


Sebagai sebahagian daripada misi Artemis yang dirancang pada 2025, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sekali lagi ingin menghantar orang ke Bulan, lapor laman berita Wion News pada 13 Mac 2022.


Angkasawan-angkasawan yang dihantar bukan sahaja akan mendarat, tetapi juga berjalan kaki di Kutub Selatan Bulan iaitu sebuah kawasan yang terlalu gelap. Mereka berpendapat kawasan tersebut mungkin terdapat air berais.


Dalam merealisasikan rancangan tersebut, angkasawan-angkasawan terbabit dilaporkan menjalani latihan di kolam renang sedalam 12 meter di Makmal Keapungan Neutral (NBL) di negeri Texas, Amerika Syarikat (AS).


Latihan yang diharungi oleh angkasawan-angkasawan itu supaya menyerupai persekitaran di permukaan sisi gelap Bulan.


Menerusi latihan tersebut, penyelam-penyelam telah memadamkan semua cahaya, memasang langsir hitam di sekeliling kolam untuk meminimumkan pantulan dan menggunakan lampu bawah air yang berkuasa tinggi.


"Padam cahaya, kami sedang menjalankan simulasi perjalanan di permukaan Kutub Selatan Bulan," demikian ciapan Pusat Angkasa Johnson NASA di Twitter. - Sumber Wion News.


Gambar menunjukkan sesi latihan yang dijalankan oleh angkasawan di kolam renang di Makmal Keapungan Neutral (NBL), negeri Texas, Amerika Syarikat (AS). - Foto NASA's Johnson Space Center.