Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Isnin, 21 Mac 2022

Saintis Britain bangunkan loji jana kuasa di angkasa lepas 'sedut' oksigen dan air di batuan Bulan

Saintis Britain bangunkan loji jana kuasa di angkasa lepas 'sedut' oksigen dan air di batuan Bulan


Agensi Angkasa Lepas Britain akan membangunkan 13 projek baharu di ruang angkasa termasuk pembinaan sebuah loji jana kuasa bagi menjana air dan oksigen, lapor akhbar Daily Star pada 14 Mac 2022.


Di bawah pelan tersebut, agensi berkenaan akan menerima dana daripada kerajaan Britain berjumlah £2 juta (RM11 juta) bagi membiayai kesemua projek itu.


Antara pelan digariskan adalah pembinaan sebuah loji jana kuasa Rolls-Royce yang boleh menjana air dan oksigen yang boleh disedut di angkasa lepas. Pasukan jurutera juga akan membangunkan sebuah robot yang berfungsi untuk meneroka sumber-sumber seperti oksigen dan air di batuan Bulan.


Projek lain termasuk membangunkan teknologi baharu yang boleh menahan kadar radiasi yang tinggi di Planet Marikh. Saintis juga akan membina alat komunikasi bagi membolehkan angkasawan menangani masalah kelewatan dalam perbualan antara Marikh dan Bumi.


"Kesemua projek itu akan membolehkan penduduk Bumi mendapat manfaat daripada teknologi-teknologi yang dibangunkan," kata Menteri Sains Britain, George Freeman, ketika berucap pada sambutan Minggu Sains Britain yang berlangsung dari 11 hingga 20 Mac ini.


Sementara itu, Pengarah Program Masa Depan Rolls-Royce, Abi Clayton berkata, sokongan daripada Agensi Angkasa Lepas Britain adalah penting dalam membolehkan kemajuan berterusan bagi program pembangunan Reaktor-Mikro Rolls-Royce.


"Ia membuktikan nilai sebenar kerjasama awam dan swasta di mana kami boleh memanfaatkan pengalaman utama agensi tersebut dan kepakaran nuklear Rolls-Royce yang unik," ujarnya. - Sumber Daily Star.


Gambaran imej menunjukkan sebuah robot digunakan untuk meneroka sumber air dan oksigen di batuan Bulan. - Foto PA.

Ahad, 20 Mac 2022

Elon Musk berkata manusia akan berada di planet Marikh menjelang 2029

Elon Musk berkata manusia akan berada di planet Marikh menjelang 2029


Bukan rahsia lagi bahawa pemilik kapal angkasa SpaceX, Elon Musk cuba membawa manusia ke Marikh, dan meramalkan manusia dapat menjejakkan kaki ke planet itu paling awal pada 2029, lapor akhbar Metro UK pada 17 Mac 2022.


Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu memberikan maklum balas ciapan Twitter yang bertanyakan ramalan mengenai perkara itu, selepas manusia kali pertama menjejakkan kaki ke Bulan 1969.


Isnin lalu, seorang pengguna Twitter memuat naik gambar menunjukkan kapal angkasa Apollo 11 Moon yang mendarat di bulan 1969, serta gambar bayangan manusia di planet Marikh tanpa tahun dinyatakan.


Menerusi gambar itu, pengguna media sosial menyebut nama Musk dan meminta ramalannya. Musk membalas ciapan itu Rabu lalu dengan menulis '2029'.


Hartawan terkemuka itu sebelum ini sering menyatakan rancangannya untuk menjelajah planet Marikh, serta sering membuat ramalan mengenai jangkaan manusia akan mendarat di planet itu.


Pada 2016, beliau berkata, sekiranya semua mengikut perancangan, manusia dapat dihantar ke planet itu pada 2024 dan dijangka tiba 2025.


Pada 2020, Musk berkata, dia berharap dapat membina 1,000 kapal angkasa SpaceX selama 10 tahun bagi menghantar sejuta manusia ke planet itu sehingga 2050.


Namun pada tahun 2021 lalu, Musk menarik balik ramalan awalnya dan penuh yakin SpaceX akan menghantar manusia pertama ke Marikh 2026.


Pengumuman itu dibuat sembilan bulan selepas SpaceX mencapai kejayaan pertama pelancaran dan pendaratan roket prototaip Starship, dalam penerbangan ujian selepas empat percubaan pendaratan sebelum ini berakhir dengan letupan.


Marikh adalah salah satu planet paling dekat dengan Bumi yang mungkin boleh didiami, dan gravitinya adalah kira-kira 38 peratus daripada graviti Bumi. Walaupun jarak dari Matahari lebih jauh berbanding Bumi, ia masih mempunyai cahaya yang baik.


"Ia agak sejuk, tetapi kita boleh memanaskannya. Atmosferanya CO2 dengan beberapa nitrogen dan argon serta beberapa unsur surih lain, yang bermaksud bahawa kita boleh menanam tumbuhan di Marikh hanya dengan memampatkan atmosfera," tulis laman web SpaceX.


Elon Musk percaya manusia akan menjejakkan kaki ke planet Marikh pada 2029. - Foto TNS.

Ahad, 13 Mac 2022

NASA akan hantar angkasawan ke Kutub Selatan Bulan pada 2025, sebuah kawasan yang terlalu gelap

NASA akan hantar angkasawan ke Kutub Selatan Bulan pada 2025, sebuah kawasan yang terlalu gelap


Sebagai sebahagian daripada misi Artemis yang dirancang pada 2025, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sekali lagi ingin menghantar orang ke Bulan, lapor laman berita Wion News pada 13 Mac 2022.


Angkasawan-angkasawan yang dihantar bukan sahaja akan mendarat, tetapi juga berjalan kaki di Kutub Selatan Bulan iaitu sebuah kawasan yang terlalu gelap. Mereka berpendapat kawasan tersebut mungkin terdapat air berais.


Dalam merealisasikan rancangan tersebut, angkasawan-angkasawan terbabit dilaporkan menjalani latihan di kolam renang sedalam 12 meter di Makmal Keapungan Neutral (NBL) di negeri Texas, Amerika Syarikat (AS).


Latihan yang diharungi oleh angkasawan-angkasawan itu supaya menyerupai persekitaran di permukaan sisi gelap Bulan.


Menerusi latihan tersebut, penyelam-penyelam telah memadamkan semua cahaya, memasang langsir hitam di sekeliling kolam untuk meminimumkan pantulan dan menggunakan lampu bawah air yang berkuasa tinggi.


"Padam cahaya, kami sedang menjalankan simulasi perjalanan di permukaan Kutub Selatan Bulan," demikian ciapan Pusat Angkasa Johnson NASA di Twitter. - Sumber Wion News.


Gambar menunjukkan sesi latihan yang dijalankan oleh angkasawan di kolam renang di Makmal Keapungan Neutral (NBL), negeri Texas, Amerika Syarikat (AS). - Foto NASA's Johnson Space Center.

Selasa, 8 Mac 2022

NASA lelong 74 gambar langkah pertama manusia di Bulan semasa misi Apollo 1968

NASA lelong 74 gambar langkah pertama manusia di Bulan semasa misi Apollo 1968


Sebanyak 74 gambar misi Apollo milik NASA yang mendokumentasikan penerokaan angkasa lepas akan dilelong. Ia termasuk gambar pertama earthrise yang disaksikan manusia dan gambar langkah pertama manusia di Bulan, lapor laman berita Wion News pada 7 Mac 2022.


Earthrise adalah gambar Bumi dan bahagian permukaan Bulan yang diambil oleh angkasawan William Anders pada 1968 semasa misi Apollo 8. Beberapa koleksi gambar itu adalah milik arkib NASA sendiri dan tidak diketahui umum.


Salinan terpilih adalah yang pernah muncul di muka depan majalah-majalah di Amerika Syarikat (AS) untuk memberitahu mengenai kejayaan negara itu dalam penerokaan di Bulan.


Lelongan koleksi peribadi milik seorang warga asing yang dirahsiakan identitinya itu dijadualkan berlangsung pada 9 Mac 2022, dan akan menyaksikan 74 gambar itu dilelong secara individu.


NASA memutuskan untuk melelong gambar-gambar itu sempena ulang tahun ke-60 ucapan terkenal bekas Presiden AS, John F. Kennedy mengenai Bulan pada tahun ini.


"Kata-katanya yang berinspirasi pada 1962 bukan hanya mengenai misi untuk meletakkan manusia di Bulan, malah untuk merangsang semangat di mana segala-galanya mampu dicapai oleh manusia dengan peredaran zaman," kata NASA.


Lelongan itu juga termasuk gambar lawatan terakhir Kennedy ke NASA di Cape Canaveral pada 16 November 1963, hanya enam hari sebelum kematiannya yang tragis.


Rumah lelong Denmark, Bruun Rasmussen yang bertanggungjawab untuk acara itu berkata, koleks itu itu dijangka dapat menjana perolehan lebih daripada AS$2 juta (RM8.36 juta).


Gambar yang dikeluarkan oleh NASA menunjukkan seorang angkasawan memberi hormat kepada bendera AS di permukaan Bulan semasa misi bulan Apollo 11 pada 20 Julai 1969. - Foto Space Center Houston.

Isnin, 28 Februari 2022

Saintis temukan tiga planet baharu yang mempunyai tanda-tanda kehidupan berhampiran Bumi

Saintis temukan tiga planet baharu yang mempunyai tanda-tanda kehidupan berhampiran Bumi


Pemburuan eksoplanet atau planet luar suria yang boleh menampung kehidupan seperti Bumi, masih diteruskan. Kali ini, kumpulan astronomi dari Pemantau Angkasa Lepas Eropah (ESO) mendakwa menemukan tiga planet baharu yang mempunyai tanda-tanda kehidupan.


Memetik lapor Forbes pada 5 Ogos 2021, ketiga-tiga planet itu dikatakan mempunyai sumber air menyerupai planet Zuhrah, Utarid dan Marikh. Ia dikesan dengan menggunakan Very Large Telescope (VLT) milik ESO, selain diketahui mempunyai jarak 35 tahun cahaya dari Bumi.


Maria Osorio dari Pusat Atrobiologi berkata, planet yang terletak dalam zon boleh dihuni mungkin memiliki atmosfera yang dapat melindungi dan menyokong kehidupan.


Berdasarkan pemerhatian, ketiga-tiga planet baharu tersebut mempunyai air di dasar dan atmosferanya. Planet paling dekat dengan bintang (matahari) dikenali sebagai L- 98-59a yang mempunyai separuh daripada jisim Zuhrah, manakala dua lagi planet yang ditemukan adalah L 98-59b dan L 98-59c.


"Kami akhirnya semakin hampir dengan pengesanan planet terestrial di zon boleh dihuni, yang mana kami boleh mengkaji atmosfera," kata Olivier Demangeon pengarang utama kajian yang diterbitkan dalam Astronomi & Astrofizik.


Ilustrasi artis menunjukkan planet L 98-59b. - Foto ESO.

Katanya, kajian tentang atmosfera eksoplanet boleh mendedahkan kehadiran biosignature, seperti oksigen dan metana yang mungkin dianggap sebagai bukti saintifik tentang kehidupan dahulu atau sekarang. Namun, teleskop semasa tidak mempunyai resolusi untuk mengkajinya.


Walau bagaimanapun, kerana sistem L 98-59 agak hampir dengan Bumi, para penyelidik dapat mengesan eksoplanet itu menggunakan teleskop VLT di Chile. Katanya, pada masa hadapan mungkin dapat kembali kepada penemuan mereka dengan menggunakan teleskop lebih besar.


"Apa yang penyelidik telah temukan setakat ini pasti meletakkan L 98-59 pada senarai 'untuk dilakukan'. Ia pasti akan dikaji oleh Teleskop Angkasa James Webb (JWST), yang telah dilancarkan ke angkasa pada 25 Disember 2021 lalu," katanya.


Infografik ini menunjukkan perbandingan antara sistem eksoplanet L 98-59 (atas) dengan sebahagian daripada Sistem Suria dalam (Utarid, Zuhrah dan Bumi), menonjolkan persamaan antara keduanya. L 98-59 mengandungi empat planet berbatu yang disahkan (ditandakan dengan warna pada panel atas), mengorbit bintang kerdil merah.

Planet yang paling hampir dengan bintang itu adalah sekitar separuh jisim Zuhrah, menjadikannya eksoplanet paling ringan yang pernah dikesan menggunakan teknik halaju jejarian. 30 peratus daripada jisim planet ketiga didakwa adalah air. Kewujudan planet keempat telah disahkan, tetapi saintis masih belum mengetahui jisim dan jejarinya (kemungkinan saiznya ditunjukkan oleh garis putus-putus).

Pasukan itu juga menemui petunjuk tentang planet kelima yang berpotensi, yang paling jauh dari bintang itu, walaupun pasukan itu mengetahui sedikit tentangnya. Jika disahkan, ia akan berada di zon boleh didiami sistem di mana air cecair boleh wujud di permukaannya. - Foto ESO.

Ahad, 20 Februari 2022

Saintis temui varian genetik bakteria baharu dalam kapal angkasa bantu manusia hidup di Marikh

Saintis temui varian genetik bakteria baharu dalam kapal angkasa bantu manusia hidup di Marikh


Sepasukan saintis telah mengenal pasti tiga varian genetik baharu bakteria yang belum ditemui sebelum ini, di dalam sebuah kapal angkasa yang mengorbit Bumi 15 kali sehari, lapor akhbar Daily Star pada 17 Februari 2022.


Mikroorganisma tersebut ditemui di lokasi berasingan termasuk ruang pertumbuhan khas tumbuh-tumbuhan, di mana penyelidik telah cuba untuk menanam tanaman dalam keadaan sifar graviti.


"Tiga varian Methylobacteriaceae yang berbentuk batang dan mampu bergerak, tidak pernah ditemui sebelum ini," demikian menurut kajian oleh NASA yang diterbitkan di dalam jurnal Frontiers In Microbiology.


Para penyelidik berpendapat bahawa penemuan itu dapat membantu dalam misi penerokaan planet Marikh kerana ciri-ciri bakteria tersebut yang mampu membantu tumbuh-tumbuhan untuk bertumbuh.


Disebabkan kepentingan kajian tersebut, para saintis kini ingin mengembangkan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dengan menempatkan sebuah makmal biologi baharu untuk mengumpul, memproses dan menganalisis mikrob di angkasa tanpa menghantar semula ke Bumi.


Dua saintis NASA, Dr. Nitin Kumar Singh dan Dr. Kasthuri Venkateswaran berkata, adalah amat penting untuk mencari bakteria baharu yang dapat membantu tumbuhan hidup dalam keadaan sukar serta lokasi ekstrem berserta sumber terhad.


"Berbanding mengembalikan sampel ke Bumi untuk pemeriksaan, sistem pemantauan mikrob bersepadu yang mengumpul, memproses dan menganalisis sampel di lokasi iaitu angkasa, menggunakan teknologi molekul, akan mempercepatkan proses tersebut.


"Apabila kita sudah menakluki Marikh, adalah menjadi satu cabaran untuk menanam tumbuh-tumbuhan, namun bakteria ini mungkin akan memudahkan semua itu," kata mereka.


Mikroorganisma tersebut ditemui di lokasi berasingan termasuk ruang pertumbuhan khas tumbuh-tumbuhan. - Foto NASA.

Rabu, 16 Februari 2022

Bukan roket Elon Musk, rupanya roket China akan langgar Bulan

Bukan roket Elon Musk, rupanya roket China akan langgar Bulan


Sebuah roket yang dijangka merempuh Bulan pada bulan hadapan dikenal pasti sebagai roket dari China yang dilancarkan pada 2014, lapor akhbar Metro News UK pada 14 Februari 2022.


Roket tersebut pada mulanya dikatakan milik Elon Musk daripada syarikat aeroangkasa Space X. Namun, pakar astronomi menjelaskan bahawa mereka tersalah memberi ramalan mengenai roket tersebut.


Ia dikenali 2014-065B iaitu bahagian teras bagi roket Chang’e 5-T1 yang dilancarkan sejak 2014 sebagai sebahagian daripada program penerokaan Bulan agensi angkasa lepas China.


Pengumuman mengejut itu dibuat oleh ahli astronomi amatur, Bill Gray yang pertama kali mengenal pasti kesan masa depan dan mengaku kesilapannya hujung minggu lalu.


Pada bulan lalu, Gray, mengatakan kemungkinan roket milik SpaceX, Falcon 9 daripada pelancaran 2015 akan bertembung dengan Bulan pada 4 Mac ini.


Namun begitu, Gray kini mengubah kenyataannya dan percaya objek itu bukanlah serpihan SpaceX Falcon 9, seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, sebaliknya roket lama milik China.


Objek itu mula dikesan oleh Catalina Sky Survey iaitu sebuah program yang menggunakan teleskop berhampiran Tucson, Arizona untuk mengimbas langit bagi mencari asteroid yang berpotensi menimbulkan ancaman kepada Bumi.


Tidak seperti asteroid biasa, ahli-ahli astronomi menyedari bahawa objek tersebut tidak mengorbit Matahari sebaliknya mengelilingi Bumi, menunjukkan bahawa ia adalah sampah angkasa lepas buatan manusia.


"Saya mempunyai bukti keadaan yang cukup baik untuk pengenalpastian tetapi tidak ada yang konklusif," tulis Gray dalam catatan blog baharunya. - Sumber Metro UK.


Objek misteri yang bakal merempuh Bulan adalah sampah buatan manusia dan dipercayai serpihan roket yang dilancarkan China pada 2014. - Foto Autoevalution (Animasi komputer).