Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan

Rabu, 14 September 2022

Kehidupan wujud di pelbagai planet, kami akan cari 'Alien', kata saintis NASA

Kehidupan wujud di pelbagai planet, kami akan cari 'Alien', kata saintis NASA


Bekas ketua saintis NASA, Jim Green berkata terdapat beberapa planet di luar Bumi yang mungkin boleh menampung hidupan. Beliau juga berkata manusia berada di ambang 'penemuan yang sangat menakjubkan'.


"Kami mencapai kemajuan yang ketara. Sekarang, kami tahu terdapat lebih banyak planet dalam galaksi daripada bintang. Kebanyakan planet seperti Bumi boleh menerima cahaya daripada Matahari dan mempunyai air," kata Green seperti yang dilaporkan oleh Daily Star.


Green, yang telah bekerja untuk NASA selama 40 tahun, menambah bahawa beberapa planet mempunyai air.


"Ia bukan sahaja dalam bentuk cecair, ada juga bentuk beku dan wap. Ini adalah syarat penting yang kami percaya diperlukan untuk kehidupan. Kami menjumpai beberapa planet yang berkemungkinan kehidupan telahpun wujud," kata Green.


NASA baru sahaja mengumumkan akan mengeluarkan gambar terbaru teleskop James Webb. Pada masa ini, empat elemen teleskop paling canggih itu berada dalam arah yang sempurna.


"Dengan teleskop hebat ini, kami akan mula menunjukkan rupa planet dan atmosferanya," kata Green.


Menurut Green, perbandingan atmosfera adalah penting kerana ia adalah salah satu tanda planet yang boleh dihuni atau tidak.


"Kami akan membandingkannya dengan apa yang kami tahu. Adakah atmosfera seperti Zuhrah, Marikh atau Bumi? Ini benar-benar satu langkah besar.


"Saya fikir kita akan melihat beberapa penemuan yang sangat mengagumkan dalam beberapa tahun akan datang," katanya.


Green meramalkan NASA sedang dalam perjalanan untuk menjawab dua matlamat misinya, 'Adakah kita bersendirian dan bagaimana kita sampai ke sini?'


Bagaimanapun, Wanjie Song dan He Gao dari Jabatan Astronomi di Beijing Normal University, dalam jurnal bertajuk 'The Number of Possible CETIs within Our Galaxy and the Communication Probability among These CETIs' meragui perkara ini.


Dipetik daripada Daily Star, mereka berpendapat bahawa manusia terpantas boleh mendengar tamadun pintar lain, kira-kira 2,000 tahun hingga 400 ribu tahun lagi. - Sumber Daily Star.


BACA: Manusia mungkin perlu menunggu 400,000 tahun untuk berhubung dengan makhluk asing.

Selasa, 13 September 2022

Tentera laut AS sekat 24 video penampakan UFO daripada disiarkan kepada umum, bimbang 'keselamatan negara'

Tentera laut AS sekat 24 video penampakan UFO daripada disiarkan kepada umum, bimbang 'keselamatan negara'


Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) didakwa menyekat pelepasan sebilangan klip video memaparkan kemunculan objek terbang tidak dikenali (UFO) kerana dianggap 'memudaratkan keselamatan negara', lapor akhbar Daily Star pada 11 September 2022.


Ketua-ketua tentera dikatakan memegang sekurang-kurangnya 24 video UFO yang tidak dapat dijelaskan yang belum pernah dilihat oleh orang ramai sebelum ini. Ia berkaitan dengan 19 penampakan berasingan pada separuh kedua tahun 2019.


Sebuah laman web yang menumpukan penyiasatan UFO membuat permintaan untuk menyiarkan video itu kepada orang awam.


"Pengeluaran maklumat ini akan membahayakan keselamatan negara kerana mungkin membekalkan maklumat berharga mengenai operasi Jabatan Pertahanan, Tentera Laut kepada musuh mengenai kelemahan dan keupayaan.


"Tiada bahagian video yang boleh diasingkan untuk dikeluarkan," kata timbalan pengarah Akta Kebebasan Maklumat Tentera Laut, Gregory Cason.


Menurut Cason, pihaknya telah menyahklasifikasikan tiga video yang memaparkan pertemuan antara juruterbang dan Tentera Laut Top Gun, serta fenomena udara yang tidak dapat dikenal pasti yang didedahkan kepada orang awam dua tahun lalu.


Beliau berkata, ketua-ketua tentera menganggap tindakan itu tidak boleh dilakukan 'tanpa merisikokan keselamatan negara'. Bagaimanapun, ketua laman web The Black Vault merancang untuk membuat rayuan mengenai video tersebut.


Perbalahan itu berlaku ketika Kerajaan AS menyiasat 144 laporan pertembungan antara juruterbang tentera dan objek terbang misteri.


Marik von Rennenkampff, bekas penganalisis dengan Biro Keselamatan Antarabangsa dan Nonproliferasi Jabatan Negara AS, berkata video itu harus dikeluarkan.


"Pentagon mempunyai sekurang-kurangnya dua dozen, dan mungkin lebih banyak lagi video UFO dalam simpanan. Walaupun ada komitmen awam terhadap  ketelusan pegawai, namun mereka enggan mengeluarkan sebarang rakaman itu.


"Penyiaran awam video UFO tidak sensitif boleh menyelesaikan beberapa kes dengan cepat. Pentagon mesti mematuhi komitmen tegasnya terhadap ketelusan dan mengeluarkan semua rakaman UFO itu," katanya kepada laman web politik The Hill. - Sumber Daily Star.


BACA: Pentagon Tubuh Pasukan Khas Siasat 144 Penampakan UFO, Berpotensi Cetuskan Bahaya.


Sebanyak 24 video penampakan UFO yang disembunyikan daripada orang awam. - Foto Getty Images.

Jumaat, 9 September 2022

Cahaya misteri muncul di langit Texas bukan kapal makhluk asing, kata pakar

Cahaya misteri muncul di langit Texas bukan kapal makhluk asing, kata pakar


Satu kumpulan cahaya misteri telah dikesan pada malam Khamis, 1 September 2002 lalu di utara Austin Texas, Amerika Syarikat. Rakaman tentang cahaya misteri itu dihantar ke laman berita FOX 7 oleh seorang penduduk, Gus McGiven.


Dia keluar berjalan dengan rakannya, Kyle Gomez berhampiran Cat Hallow di Round Rock ketika mereka menyaksikan kumpulan cahaya misteri tersebut.


"Dalam kehidupan sebenar apabila anda melihatnya, ia jauh lebih cerah daripada yang sebenarnya," kata Kyle Gomez seperti dilaporkan Fox 7.


Seorang lagi penduduk, Emily White berkata, dia dan seorang rakan berada berhampiran Brushy Creek, berhampiran dengan Taman Cedar juga merakamkan kumpulan cahaya tersebut.


"Ia memukau, secara jujur. Ia sangat senyap kerana jika ia adalah satu (kumpulan) cahaya, maka saya mungkin akan berfikir (ia) adalah helikopter, kapal terbang atau sesuatu seperti itu," kata White, yang bercakap dengan Rudy Koski dari FOX 7.


Bagaimanapun, kumpulan cahaya misteri itu kemungkinan sejenis pesawat tanpa pemandu atau UAV.


"Saya tidak pernah percaya pada UFO atau apa-apa seperti itu. UFO sebenarnya mungkin adalah UAV.


"Saya perlu mengatakan bahawa tiada makhluk luar angkasa yang terlibat dengan kejadian ini, tetapi saya tidak mengatakan bahawa itu tidak mungkin," kata seorang pakar dron, Gene Robinson.


Robinson yang tinggal di Wimberley, melatih juruterbang dron dan menerbangkan beberapa jenis platform UAV telah meneliti video yang dihantar kepada Fox 7.


"Pandangan awal saya mengenai perkara ini ialah kemungkinan besar ia adalah fenomena berasaskan dron," kata Robinson. - Sumber Fox 7 Austin.


Kumpulan cahaya misteri dilihat di utara Texas pada Khamis lalu. - Foto Twitter.

Rabu, 31 Ogos 2022

NASA hantar lukisan bogel manusia ke angkasa, tarik perhatian makhluk asing datang ke Bumi

NASA hantar lukisan bogel manusia ke angkasa, tarik perhatian makhluk asing datang ke Bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bercadang untuk menghantar foto dua orang berbogel ke angkasa lepas, dengan harapan untuk menarik perhatian kehidupan dari planet lain datang ke Bumi, lapor akhbar Daily Star.


"Walaupun manusia telah cuba menghubungi kehidupan makhluk asing selama lebih daripada 150 tahun, setakat ini tiada satu pun percubaan kami berjaya.


"Projek 'Beacon in the Galaxy' (BITG) bertujuan untuk menghantar mesej kepada tamadun lain di angkasa yang menjemput mereka untuk datang dan bercakap dengan kami," kata agensi itu.


NASA merancang untuk membuat hubungan komunikasi dengan makhluk asing dengan menghantar imej manusia pasangan lelaki dan perempuan melambai tangan. Ia diharapkan dapat menawarkan pendekatan yang mesra.


Namun begitu, lakaran manusia itu tidak akan sempurna seperti biasa kerana ia hanya dilukis berdasarkan anatomi asal tubuh manusia atau dalam erti lain, gambaran bogel.


Sebab saintis memilih imej ini adalah kerana cabaran berkomunikasi dengan spesies yang mungkin mempunyai bentuk bahasa yang sama sekali berbeza dengan manusia.


Pakar percaya bahawa lakaran bogel adalah bersifat kod binari dan mungkin lebih senang untuk difahami oleh makhluk asing.


"Walaupun konsep matematik dalam istilah manusia berpotensi tidak dapat dikenali oleh makhluk asing, kod binari berkemungkinan bersifat universal merentas semua kecerdasan," kata kajian itu. 


NASA sebelum ini telah menghantar gambaran manusia bogel ke angkasa lepas untuk mencuba dan menarik perhatian makhluk asing. - Sumber Daily Star.


Ini adalah gambar yang ingin dihantar oleh NASA. Lakaran lukisan manusia bogel dikatakan bersifat lebih universal dan difahami oleh makhluk asing. - Foto Jonathan H Jiang.

Rabu, 17 Ogos 2022

Gambar UFO paling jelas di dunia didedahkan kepada umum selepas 30 tahun dilapor hilang

Gambar UFO paling jelas di dunia didedahkan kepada umum selepas 30 tahun dilapor hilang


Satu imej jelas objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dirakam oleh dua pendaki di Scotland lebih 30 tahun lalu akhirnya ditemui semula selepas dianggap sudah hilang, lapor akhbar Mirror UK pada 14 Ogos 2022.


Gambar digelar Calvine Photograph itu memaparkan imej UFO berbentuk seperti berlian, terbang di langit, manakala objek seperti sebuah jet Harrier berada jauh di belakangnya.


Disifatkan oleh banyak pihak sebagai imej UFO terbaik, gambar itu ditemui selepas kajian bertahun-tahun yang dijalankan oleh ahli akademik dan wartawan, Dr. David Clarke.


Menurut laporan, imej tersebut beserta lima imej lain telah dirakam pada 4 Ogos 1990 oleh dua pendaki di tepi bukit berhampiran Calvine, kira-kira 56 kilometer ke barat laut Perth di Scotland.


Menurut dua pendaki yang identiti mereka tidak didedahkan itu, objek logam sepanjang kira-kira 30 meter itu berlegar-legar dan mengeluarkan bunyi deruman kira-kira 10 minit sebelum memecut ke atas langit lalu hilang.


Imej itu diserahkan kepada akhbar tempatan, Daily Record yang kemudian menyerahkannya kepada Kementerian Pertahanan (MoD).


Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, berita mengenai penampakan UFO itu tidak pernah diterbitkan dan tiada sebarang kenyataan lanjut daripada MoD. Imej-imej tersebut pula tidak pernah dipaparkan kepada orang awam sehingga kini.


Clarke, yang pernah bekerja sebagai kurator untuk projek fail UFO MoD di Arkib Negara dan merupakan profesor madya dari Universiti Sheffield Hallam, berjaya menemui foto itu selepas menghubungi bekas pegawai media Tentera Udara Diraja Britain, Craig Lindsay, lapor The Sun.


Lindsay, telah menyimpan salinan imej asal kerana beliau adalah orang yang menjadi penghubung antara akhbar dan MoD apabila cerita asal itu diteliti pada tahun 1990.


Imej itu kini disimpan sebagai arkib di Universiti Sheffield Hallam. Lindsay turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai dua pendaki tersebut agar tampil ke hadapan. - Sumber Mirror UK.


Gambar itu memaparkan imej UFO berbentuk seperti berlian yang sedang terbang langit dan kelihatan seperti sebuah jet Harrier turut berada dari jarak jauh. - Foto Perpustakaan Universiti Sheffield Hallam/Craig Lindsay.

Rabu, 10 Ogos 2022

'Alien' kerap muncul di Washington, seramai 88 daripada setiap 100,000 penduduk melaporkan melihat UFO

'Alien' kerap muncul di Washington, seramai 88 daripada setiap 100,000 penduduk melaporkan melihat UFO


Negeri Washington di Amerika Syarikat (AS) menjadi lokasi paling kerap melaporkan penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO). Seramai 88 daripada setiap 100,000 penduduk telah melaporkan melihat UFO, satu peratusan tertinggi bagi mana-mana penduduk serantau di dunia, lapor akhbar Daily Star UK pada 29 Julai 2022.


Lebih daripada 150,000 penampakan UFO telah dilaporkan di seluruh dunia sejak lima dekad yang lalu. Bilangan mengejutkan itu telah direkodkan dengan Pusat Pelaporan UFO Kebangsaan (SIC) sejak ia ditubuhkan pada 1974.


Angka tersebut adalah di atas laporan 143 penampakan kraf misteri yang tidak dapat dijelaskan oleh anggota tentera yang kini di bawah siasatan kerajaan Amerika Syarikat.


Pusat ini mengkatalog pertemuan rapat dari seluruh dunia dan diiktiraf oleh polis, tentera, agensi angkasa AS NASA, pengawal trafik udara, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan peramal cuaca.


Menurut laman webnya, fungsi utamanya adalah untuk menerima, merekod, dan setakat yang mungkin, mengesahkan dan mendokumentasikan laporan daripada individu yang telah menyaksikan kejadian luar biasa yang mungkin berkaitan dengan UFO.



"Kebebasan SIC daripada semua organisasi berkaitan UFO yang lain, digabungkan dengan polisi yang telah lama terjamin untuk tidak mahu namanya disiarkan kepada pemanggil, telah menjadikan ia mungkin kemudahan pelaporan UFO yang paling popular dan diterima secara meluas di mana-mana sahaja.


"Salah satu dasar SIC yang membezakan operasinya daripada kebanyakan organisasi UFO lain adalah ia menyediakan kepada umum semua datanya dalam bentuk ringkasan," kata wakil pusat itu.


Awal tahun ini Kongres AS mengadakan pendengaran pertamanya mengenai UFO dalam lebih setengah abad. Satu penampakan yang tidak dapat dijelaskan ialah video yang dirakam oleh pesawat tentera yang menunjukkan UFO mengelilingi kapal Tentera Laut AS di luar pantai California pada Julai 2019.


Objek berbentuk Tic Tac itu terbang selama beberapa minit sebelum kelihatan lenyap di bawah permukaan laut. Ketua pertahanan berkata rakaman itu adalah nyata dan menunjukkan kraf misteri dengan teknologi canggih 1,000 tahun lebih awal daripada apa-apa yang diketahui oleh tentera.


Bulan lalu NASA mengumumkan bahawa ia sedang membentuk satu pasukan ruang angkasa untuk menyiasat fenomena udara yang tidak dikenali itu. Pasukan itu akan menghabiskan sembilan bulan meneliti bukti sebelum menghasilkan laporan yang akan didedahkan kepada umum. - Sumber Daily Star.


BACA: UFO Dirakam Mengelilingi Kapal Perang AS, Membuktikan 'Alien' Miliki Pangkalan Di Dasar Laut.


Kumpulan Pengenalpastian dan Pengurusan Objek Udara telah ditubuhkan untuk mengkaji asal usul kraf misteri yang dikesan oleh anggota tentera. - Foto Jabatan Pertahanan AS.

Ahad, 3 Julai 2022

Ahli astronomi AS dakwa Alien sedang memantau Bumi dari 29 exoplanet berhampiran

Ahli astronomi AS dakwa Alien sedang memantau Bumi dari 29 exoplanet berhampiran

Ilustrasi Alien. - Foto Shutterstock.

Satu kajian yang mengejutkan mengatakan bahawa makhluk luar angkasa atau makhluk asing, mempunyai potensi untuk melihat kehidupan manusia di Bumi daripada 29 exoplanet dalam Bima Sakti.


Penyelidikan itu dilakukan oleh dua ahli astronomi dari Amerika Syarikat (AS) suatu ketika dahulu. Mereka berkata bahawa penyelidikan itu diperolehi dengan melihat bayang-bayang samar ketika planet-planet transit di hadapan bintang induknya.


"Salah satu cara kita mencari planet adalah jika mereka menyekat sebahagian cahaya daripada bintang induknya," kata Lisa Kaltenegger, pengarah Institut Carl Sagan di Universiti Cornell, seperti yang dilaporkan Global News.


Pada mulanya, ahli astronomi mengenal pasti 1,715 sistem bintang lain yang boleh melihat Bumi semasa tempoh kewujudan manusia. Teknik ini juga diketahui digunakan oleh manusia untuk mengetahui kehidupan lain di angkasa lepas.


Kemudian, mereka mengecilkan senarai itu kepada 46 sistem bintang yang cukup dekat untuk mendengar siaran radio dan televisyen (TV) dari Bumi.


"Apabila penyelidikan dilakukan, bintang yang paling dekat dengan kami akan menjadi yang paling menarik," kata Jackie Faherty, saintis senior di American Museum of Natural History, kepada NPR News.


Ahli astronomi berpendapat makhluk asing yang hidup di planet Ross-128 b, sebagai contoh, mungkin telah menemui Bumi. Sementara itu, penduduk Stars B dan C Teegarden akan berpeluang melihat Bumi dalam masa kira-kira 29 tahun.


Sebelum ini, beberapa pakar, termasuk ahli fizik teori dan kosmologi Stephen Hawking, telah memberi amaran supaya tidak cuba membuat hubungan dengan kehidupan luar angkasa, kerana mungkin makhluk asing itu tidak akan senang mendengar 'khabar' daripada manusia.


Ada juga yang mencadangkan bahawa mungkin terdapat banyak bangsa asing di luar sana di kalangan bintang. Namun mereka semua tetap 'diam' untuk mengelak ancaman besar kepada tamadun mereka. - Sumber CNBC Indonesia.


Apa Itu Transit Astronomi?


Transit, dalam astronomi, ialah laluan jasad yang agak kecil merentasi cakera jasad yang lebih besar, biasanya bintang atau planet, tersembunyi hanya di kawasan yang sangat kecil. Planet luar Sistem Suria atau exoplanet (cth, HD 209458b) telah ditemui semasa mereka transit bintangnya.


(Transit tahun 2012) transit atau peralihan Zuhrah merentasi Matahari berlaku apabila planet Zuhrah bergerak betul-betul di antara Matahari dan Bumi (ataupun planet lain). Pergerakan ini mengaburi sebahagian kecil cakera suria dan dengan itu membolehkan planet dilihat dengan berlatarbelakangkan cakera tersebut.


Sewaktu transit, Zuhrah dapat kelihatan dari Bumi sebagai sebuah cakera hitam kecil yang bergerak merentasi muka Matahari. Tempoh masa transit sedemikian biasanya diukur mengikut jam (transit tahun 2012 mengambil masa 6 jam 40 minit).


Transit mirip dengan penghijaban yang berlaku semasa gerhana suria apabila Bulan merentasi Matahari. Walaupun garis pusat Zuhrah lebih daripada tiga kali ganda garis pusat Bulan, Zuhrah kelihatan lebih kecil, dan bergerak lebih perlahan semasa merentas muka Matahari, kerana ia lebih jauh dari Bumi. - Sumber Wikipedia.


Gambar transit planet Zuhrah tahun 2012, gambar diambil oleh kapal angkasa Solar Dynamics Laboratory NASA.